Monday, September 11, 2023

 

MASIH ADA LAGIKAH PEMIMPIN 'DEDAK'?

Sebenarnya aku pun dah lama benar tidak diketemukan dengan perkataan ‘dedak’. Bukan aku tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan dedak, malah aku lebih mengenali dedak daripada kebanyakan rakyat Malaysia memandangkan yang diriku datang dari kampung yang sememangnya mahir bab-bab dedak - diriku sebagai orang kampung yang membela ayam. Orang kampung yang membela ayam dan itik pastinya biasa dengan dedak. Dedak adalah kulit padi yang ditumbuk halus untuk makanan ayam dan itik.

Apabila perkataan ‘dedak’ menjadi semakin popular dalam negara pada suatu ketika dahulu, maka tak dapat tidak fikiran aku terpaksa menerawang, merenung kembali  keadaan di kampung yang aman damai ketika masih kecil-kecil. Tentulah tidak terlepas pandangan aku kepada keadaan bagaimana ayam dan itik yang kelaparan (setelah keluar dari reban masing-masing) berlari-lari menuju emak yang sedang menaburkan dedak untuk diagih-agihkan. Kedengaran jugalah ‘hiruk-pikuk’ suara ayam dan itik ketika menikmati dedak yang diberikan oleh emak. Apabila sudah hampir kenyang, mereka akan senyap.

Eh! bagus pula 'gambaran' yang aku paparkan ini. Lebih kurang begitulah keadaan manusia yang 'dilemparkan' dedak kepadanya. Mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkan habuan masing-masing dan kadang-kadang tidak menghiraukan apa akan terjadi kepada rakan yang tidak dapat menikmati dedak yang diberikan. 'Pat-pat siku lipat, siapa cepat dia dapat'

Oleh kerana emak yang memberikan dedak itu kepada mereka (itik dan ayam) maka sang ayam dan itik merasa ‘terhutang budi’, lantas terus merasakan diri dipunyai oleh emak. Maka itik ayam berkenaan tidaklah pergi ke rumah Mak Cik Jah ( jiran aku) ibu saudara ku), kerana dia tahu bahawa yang memberikan mereka dedak adalah emak aku. Lantas timbullah ‘ikatan’ yang cukup kukuh antara emak dan binatang peliharaannya. Agaknya lah. Tidaklah pula aku pasti bahawa apa yang dikatakan ini fakta. Itu hanya merupakan perasangka!

Maka semacam amat sesuai pula senario di Malaysia pada suatu ketika dulu yang diibaratkan ‘seperti ayam diberikan dedak’ kepada situasi di mana ada segolongan pemimpin yang diberikan ‘dedak’ oleh tuannya untuk membolehkan mereka mengikut sahaja apa yang disuruh arah. Sama seperti keadaan ayam yang amat bising sebelum diberikan dedak, maka sama jugalah dengan keadaan manusia yang sentiasa bising sebelum diberikan ‘dedak’ Dan setelah ‘dedak’ diberikan maka akan senyaplah mereka dan akan terus mematuhi apa saja yang diarahkan kepada mereka.

Keadaan sebegini dan suasana politik yang sebegini yang ingin diubah oleh YAB DS Anwar Ibrahim. Beliau cuba memerangi rasuah menepati ertikata sebenarnya dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja. Yang sedang dirangka, diimpikan oleh DS Anwar Ibrahim agar suasana sedemikian tidak berlaku lagi. Biar negara ini maju. Menoktahkan kemiskinan bukannya memperbanyakan penerima-penerima dedak untuk kesejahteraan.

Suasana negara yang wujud kini, sekiranya tidak dibendung aku lihat semacam  lebih kurang sama dengan keadaan ayam yang diberikan dedak. Ramai pemimpin kini yang sudah ‘meletakkan jawatan’ sebagai seorang manusia dan meletakkan diri mereka sebagai ayam. Aku mengatakan demikian kerana semacam sudah tidak ada langsung suara-suara kritikan terhadap pemberi dedak walaupun ada tindakan-tindakan pemberi dedak yang dirasakan tidak kena dan tidak bersesuaian dengan hasrat rakyat di negara ini.

Aku ingin menarik perhatian tentang satu tajuk berita dalam Malaysiakini bertarikh 19 April 2016 yang berjodol, “ Ketua PAC sunting kenyataan Bank Negara’. Diceritakan bahawa anggota pembangkang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menuduh pengerusi jawatankuasa itu, menyunting laporan PAC mengenai IMDB tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada ketika itu mendakwa tentang pengeluaran ayat dalam laporan itu mengenai firma Good Star Ltd yang dikaitkan dengan Jho Low. Pua berkata ayat yang dikeluarkan berbunyi,” Bank Negara Malaysia dimaklumkan secara sukarela oleh pihak berkuasa negara itu bahawa Good Star Limited adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi Group”

Ayat berkenaan, katanya diluluskan oleh semua anggota PAC dalam draf kerja mereka, namun ia tidak muncul dalam laporan ahkir yang diterbitkan.

Maknanya apa yang dilakukan oleh Pengerusi PAC  pada ketika itu amat menyalahi undang-undang. Dan sepatutnya tindakan yang tegas perlu diambil terhadap beliau yang berfungsi sebagai penjaga amanah rakyat dan negara. Rakyat meletakkan setinggi harapan kepada badan seperti PAC ini untuk menjaga wang dan khazanah negara dari ‘dirompak dan dicerobohi’. Kini sudah semacam ‘harapkan pagar (peger) pagar makan padi’

Yang anihnya pula ramai pula pemimpin ‘pemakan dedak’ pada ketika itu di negara kita yang cuba mempertahankan tindakan Pengerusi PAC dan menuduh pihak-pihak tertentu sebagai usaha untuk mempolitikkan keadaan. Dengan tidak ada rasa segan dan silu golongan ‘pemakan dedak’ ini mengemukakan berbagai ‘hujah’ yang kadang-kadang amat memalukan sesiapa sahaja apabila membaca hujah yang diutarakan. Seolah-olah golongan ‘pemakan dedak’ yang sebegini merasakan bahawa mereka sahaja yang cerdik dan menganggap orang lain semuanya bodoh-bodoh belaka.

Beginilah keadaan pemimpin yang ada di Malaysia kini jika sudah termakan ‘dedak’. Nampak jelas bahawa segala tindak tanduk mereka sudah semacam ‘tidak siuman’ dan sering ditertawakan oleh masyarakat umum sedang mereka tidak sedar yang mereka sedang ditertawakan. Mereka juga mungkin tidak sedar bahawa anak-anak mereka sedang ‘menangis’ di sekolah disebabkan selalu diejek oleh rakan-rakan yang mereka berketurunan pemimpin yang ‘makan dedak’. 

Golongan pemimpin ‘makan dedak’ ini juga mungkin tidak tahu yang ibu bapa mereka (sekiranya masih ada lagi) sudah tidak tahu di mana ‘nak letak muka’ ekoran daripada tindakan mereka yang sentiasa ‘makan dedak’. Dan yang paling malang bagi golongan ini mereka sudah ‘dicap dan dimetrai’ oleh masyarakat sebagai ‘pemimpin dedak’.

Ke mana saja mereka pergi, masyarakat akan berkata, ‘ itu dia pemimpin dedak sudah datang…’

Itu dulu. Kini mungkin tiada lagi...

YAB DS Anwar Ibrahim nampaknya bersungguh benar untuk memerangi dan menghapuskan rasuah dalam pentadbirannya. Hasrat ini merupakan hasrat terpendam beliau semenjak zaman berzaman untuk menghapuskan rasuah dan membasmi kemiskinan. 'The conscience of the majority' sentiasa dilaungkan semata-mata untuk mewujudkan sebuah masyarakt yang adil untuk semua. Bukan merupakan suatu langkah yang senang dan mudah. Beliau tentunya amat sedar tentang tugas yang akan dilaluinya. Namun sekiranya sebahagian besar rakyat sedar dan sedia memikul tanggungjawab untuk bersamanya tentulah tidak ada sesuatu perkara yang dapat menggagalkannya.

Kepada Allah kita berserah.

abuhassanadam

11 September 2023


1 comment:

  1. Sekarang pembetulan..

    Istilah dedak.. merujuk kepada padi.. atau bijirin gred rendah.. ( sesuatu utk ternakan.. )

    Tuan nyatakan kulit padi.. bagi saya kurang tepat..

    ReplyDelete