DAP KURANG TERLIBAT DENGAN RASUAH
Mari kita berfikir dan renungkan panjang-panjang sebelum kita membuat keputusan.
Tak habis-habis kutukan mereka kepada DAP. Yang dimaksudkan dengan ‘mereka’ ialah segelintir golongan pemimpin di Malaysia yang seringkali meletakkan kesalahan kepada DAP yang menyebabkan orang Melayu mundur. Sikit-sikit DAP. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang ditonjolkan oleh DAP demi kepentingan orang Melayu. Dan apabila 'DAP" dinyatakan itu bermakna 'orang Cina' lah. Kutukan mereka terhadap orang Cina mereka berselindung disebalik perkataan 'DAP'.
Dengan perkataan lain mereka memarahi orang Cina. Dan demi kepentingan politik golongan tertentu maka sasaran mereka adalah orang Cina yang kononnya menyebabkan orang Melayu mundur sebegini. Itu merupakan suatu tanggapan yang tidak harus diamalkan setelah kita (Melayu, Cina, India dll) telah berjaya hidup bersama dalam negara yang tercinta ini.
Timbul pula persoalan. Betulkah orang Melayu masih mundur. Jawapnya BETUL jika dibandingkan dengan pencapaian kaum-kaum lain di Malaysia. Orang Melayu tetap terkebelakang. Namun sekiranya dibandingkan orang Melayu pada zaman sebelum merdeka, sememangnya orang Melayu sudah begitu maju sekali. Yang kita mahukan ialah kemajuan orang Melayu yang selari dan seiring dengan perkembangan zaman.
Awal Kurun ke 21 orang Melayu masih merintih. Tahun 2019 orang Melayu masih meminta-minta, masih mengemis. Bak kata Aminuddin Baki pada suatu ketika dahulu bahawa orang Melayu masih seperti ayam yang mati di kepuk padi dan itik kehausan di air tenang. Aminuddin Baki melafazkan kata-kata ini pada tahun-tahun 1950an dan pada ketika itu beliau menggambarkan tentang keadaan orang Melayu pada ketika itu. Rupa-rupanya orang Melayu masih dalam keadaan yang hampir serupa pada awal Kurun ke 21.
Kononnya yang menyebabkan orang Melayu mundur adalah disebabkan oleh DAP yang kebanyakan ahlinya terdiri dari kaum Cina - kaum bukan Melayu. Sehingga kini masih lagi ‘didendangkan lagu-lagu’ sedemikian. Dan yang malangnya masih ramai lagi rakyat Malaysia berbangsa Melayu percaya dengan kata-kata sedemikian. Mereka masih terus menerus menyalahkan DAP. Mungkin jika diperhalusi tentulah ada hal tertentu kaum Cina yang boleh dipersalahkan (sekiranya mahu mencari salah orang lain) namun meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada orang lain tentunya tidak patut dilakukan.
Tidak pula aku mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh DAP itu semuanya betul. Begitu juga tidak pula aku mengatakan apa yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan kini semuanya betul belaka. Serupa jugalah yang aku tidak meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional yang menyebabkan orang Melayu mundur. Tetapi yang anihnya segelintir pemimpin Melayu (pembangkang) yang terus menerus meletakkan kesalahan kepada DAP. Dan ramai pula pengikut yang terus menerus membabi buta menerima kenyataan sedemikian dan menyokongnya. Maknanya bagi mereka yang menyebabkan orang Melayu masih mundur adalah disebabkan oleh orang Cina (DAP).
Kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14 yang lalu seharusnya membuka mata seluruh orang Melayu. Orang Melayu harus sedar bahawa kerajaan BN yang dipimpin oleh sebahagian besar orang Melayu tidak dapat memajukan orang Melayu semenjak 60 tahun yang lampau. Ibarat kata Usman Awang, ‘ perahu sudah di air dan pengayuh berada ditangan – kayuhlah…”Sepatutnya pemimpin Melayu sudah cukup matang untuk memikirkan demi memajukan orang Melayu selama 60 tahun itu. Kuasa sudah berada di tangan.
Apakah ada halangan-halangan yang ditimbulkan oleh kaum Cina yang menyebabkan orang Melayu tidak maju. Apakah orang Cina yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan orang Melayu? Orang Cina seolah-olah membenarkan apa sahaja rancangan kerajaan yang bertujuan untuk memajukan orang Melayu. Beberapa rancangan lima tahun kerajaan tetap disokong oleh orang Cina walaupun jelas menampakkan rancangan kerajaan itu menguntungkan orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru misalnya tetap berusaha untuk memajukan orang Melayu dan disokong oleh orang Cina. Tamat tempohnya pada tahun 1990. Namun disambung lagi demi untuk terus menerus memajukan orang Melayu.
‘Tenggelam’nya Barisan Nasional pada PRU 14 membawa bersamanya ‘menenggelamkan’ beberapa pemimpin Melayu yang menggunakan mandat yang diberi untuk mengkayakan diri dan keluarga masing dan semacam tidak terlintas di hati perut mereka untuk memajukan orang Melayu. Yang tersenarai oleh SPRM hampir tidak kelihatan nama pemimpin Cina. Ada tetapi tidak seramai pemimpin Melayu.
Orang Melayu sudah hampir ‘tenggelam’ dalam arus kehidupan di bumi ini. Orang Melayu sememangnya amat ketinggalan berbanding dengan kaum lain terutamanya orang Cina. Malah jikalau dibandingkan dengan orang India pun, orang Melayu mungkin masih ketinggalan. Sudah sampailah masanya orang Melayu tidak menyalahkan orang lain yang menyebabkan orang Melayu mundur. Sudahlah sikap menyalahkan orang lain.
Hentikanlah menuding jari yang satu ke arah lain sedangkan empat jari lagi menuding ke diri sendiri.
abuhassanadam
8 September 2023
No comments:
Post a Comment