Monday, September 4, 2023

 


ANTARA TEORI GOEBBELS DAN FALSAFAH MELAYU

Dalam suasana  rakyat menghadapi PRK di Johore elok rasanya kita mengimbau dan meneliti suatu ‘kefahaman’ yang boleh ‘membimbing’ kita untuk membuat suatu keputusan yang tepat. Rakyat di Kawasan PRK di Johore seharusnya memikirkan secara kritikal dan rasional tentang langkah-langkah dan tindakan yang perlu diambil sebelum membuat keputusan yang jelas agar setiap keputusan yang diambil itu menepati kehendak hasrat negara yang kita sedang bina kini.

Joseph Goebbels, Menteri propaganda Adolf Hitler dalam zaman pemerintahan Nazi di negara Jerman pada suatu ketika dahulu pernah berkata bahawa, “If you repeat a lie often enough, it becomes the truth”. Maknanya kalau kita berbohong dan kita ulangi pembohongan itu beberap kali, nescaya lambat laun akan dipercayai juga akhirnya (oleh siapa yang mendengarnya)

Aku tak tahu samada ramai yang cuba mengamalkan teori Goebbels ini. Memandangkan ‘trend’ dalam negara kita kini seolah-olah teori Goebbels ini sudah menjadi semacam ‘ ayat-ayat suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad’. Ramai pengamal politik terutamanya golongan pembangkang kerajaan masing-masing cuba mengguna-pakai dalam amalan setiap hari terutama menjelangnya pemilihan. Mereka cuba meyakinkan rakyat dengan mengulangi  hujjah-hujjah yang serupa pada setiap masa agar rakyat yakin apa yang dicakapkan.

Tahun 1998 berlaku peristiwa hitam dalam sejarah negara. Saudara Anwar Ibrahim dituduh melakukan perkara sumbang (mengikut istilah kerajaan pada ketika itu) disamping berbagai-bagai tuduhan lain. Pihak tertentu pada ketika itu menggunakan berbagai-bagai cara untuk meyakinkan rakyat bahawa Saudara Anwar ada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.Beliau ditkutuk dan dihina ( sehina-hinanya) oleh pihak pemerintah pada ketika itu yang amat bimbang dengan kemunculannya sebagai pejuang rakyat yang boleh menumbangkan sebuah kerajaan pimpinan mereka yang korupt. Dan berkemungkinan besar juga pihak propaganda kerajaan  mengguna-pakai teori Joseph Goebbels ini dalam usaha perang saraf itu.

Namun begitu teori Joseph Goebbels yang dipakai oleh pihak pemerintah pada ketika itu ‘tewas’ apabila berhadapan dengan ‘falsafah  Melayu’.

 “ Aku tak percaya…”

“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”

“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”

“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Berapa kali pun disogokkan dengan cerita karut itu pada masyarakat Malaysia, pada orang Melayu khususnya ‘jawapan’ yang diberikan oleh masyarakat Melayu ialah tetap sama. Hanya para pemimpin kerajaan pada ketika itu, tanpa segan silu terus menerus menggunakan hujjah untuk ‘menenggelamkan’ Saudara Anwar Ibrahim.

'Falsafah' orang Melayu dulu dan mungkin kini juga ialah berfikiran secara 'simple' dan ikhlas dalam menyatakann sesuatu. 'Fahaman' mereka mungkin,

“ Aku tak percaya…”

“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”

“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”

“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Inilah sifat orang Melayu yang telah diwarisi turun temurun. Teori Goebbels Nampak semacam ‘tak lut’ apabila berhadapan dengan teori dan falsafah Melayu. Aku sengaja memilih isu ini kerana kewujudan keadaan sekeliling yang menghairankan aku dan ramai orang. Semenjak tahun 1998 lagi, tidak habis-habis tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Walaupun beliau dijatuhi hukuman bersalah dan dikenakan penjara beberapa tahun, namun masyarakat masih tidak mempercayai yang dia ada melakukan perkara-perkara yang dituduh. Maknanya masyarakat masih tidak percaya kepada tuduhan-tuduhan itu walaupun hakim mengatakan beliau bersalah.

Hakim mengatakan bersalah tetapi masyarakat umum merasakan beliau tidak bersalah. Ini ialah persoalan persepsi. Aku mengatakan begitu kerana sambutan terhadap Saudara Anwar Ibrahim seolah-olah tidak berubah. Malah semakin bertambah. Ketika beliau berada di penjara, tidak putus-putus orang ramai pergi melawat keluarganya dan apabila beliau dibebaskan dari penjara, lautan manusia hadhir di rumahnya untuk menyambut kepulangannya.

Maknanya masyarakat  seolah-olah ‘menentang’ keputusan hakim yang mengatakann dia bersalah.

Maknanya masyarakat menganggap Saudara Anwar Ibrahim tidak bersalah.

Maknanya teori Goebbels tidak berkesan kepada masyarakat Malaysia dan masyarakat Melayu khususnya. Orang Melayu tidak ambil peduli tentang beberapa kempen yang dijalankan untuk memburuk-burukkan beliau.

Mungkin juga ada yang percaya. Tak ramai. Jikalau ada yang percaya pun aku pasti, jauh disudut hatinya tidak juga begitu yakin dengan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan. Seorang kawan aku yang ‘ terpaksa’ mempercayai segala tuduhan dan tohmahan terhadap Saudara Anwar terpaksa mengaku juga akhirnya bahawa sebenarnya dia juga tidak mempercayai fitnah berkenaan. Dia mengaku bersalah membuat tuduhan sedemikian disebabkan ‘terpaksa’.

Aku pernah menghadhiri satu ceramah dimana Saudara Anwar berucap. Aku tahu Saudara Anwar memang hebat ketika menyampaikan ucapan. Tapi persoalannya ialah apakah rakyat masih mahu lagi mendengar ucapannya setelah ditohmah dengan berbagai tohmahan oleh siaran TV dan akhbar-akhbar milik kerajaan pada ketika itu.

Apa yang menghairankan aku ialah sambutan yang diberikan oleh rakyat dari berbilang kaum terhadap Saudara Anwar Ibrahim memang luar biasa. Suasana sedemikian berlaku pada ketika beliau bukan lagi sebagai Perdana Menteri. Apatah lagi sesudah menjadi Perdana Menteri.  Lautan manusia hadhir mendengar ucapannya. Mereka datang bukan dibayar. Bukan disediakan nasi bungkus. Tidak disediakan bas-bas untuk membawa mereka pergi dan balik. Tidak dibekalkan wang saku. Rakyat datang untuk mendengar ucapan Saudara Anwar Ibrahim.

Maknanya  falsafah dan pegangan orang Melayu itu amat berkesan dalam suasana masyarakat Malaysia. Orang Melayu khususnya tetap mengatakan

“ Aku tak percaya…”

“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”

“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”

“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Maknanya teori Jospeh Goebbels tidak sesuai dan tidak berkesan dipraktikkan di Malaysia. Mungkin…….

Maka dalam hal sedemikian, sekiranya apa yang berlaku di PRK Johore nanti dan teori Joseph Goebbels berkesan di Johore, maka sepatutnyalah pihak kerajaan mengambil langkah yang berkesan dan drastik bagi meyakinkan rakyat dan menafikan hujjah pembangkang tentang sarana yang mereka kemukakan.


Abuhassanadam

4 September 2023


No comments:

Post a Comment