ANJAKAN PARADIGMA AHLI PARLIMEN
Parlimen akan bersidang semula tidak lama lagi. Entah macam mana aku diketemukan dengan buku lama dalam simpanan aku. Charles Handy,” The Age of Unreason’. Antara yang aku tertarik adalah kenyataan yang berbunyi,
“ We are entering the age of unreason, a time when the future, in so many areas, is to be shaped by us and for us; a time when the only prediction that will hold true is that no prediction will hold true; a time, therefore, for bold imaginings in private life as well as public; for thinking the unlikely and doing the unreasonable’
Aku terfikir pula berapa ramaikah agaknya wakil rakyat atau pemimpin negara yang terserampak dengan petikan sedemikian. Bagi aku mereka sepatutnya tahu dan dapat merasakan apakah bentuk keadaan dunia yang sedang dihadapi kini dan tentunya tindakan dan persiapan yang harus dipersiapkan kepada rakyat yang dipimpin di negara ini. Bagaimana wakil rakyat hendak berperanan sebagai pemimpin sekiranya mereka pun tidak tahu tentang arah tuju yang hendak dituju.
Rakyat masih boleh memaafkan sekiranya ramai antara wakil rakyat kita yang kurang membaca ataupun tidak pernah langsung berketemu dengan pandangan-pandangan baru melalui pembacaan. Masih dikira ‘tak apa’. Tetapi rakyat merasa gusar kini apabila terdapat agak ramai wakil rakyat yang tidak dapat meletakkan diri sebagai wakil rakyat menepati erti kata sebenarnya. Pendek kata rakyat amat tidak ‘selesa’ apabila berhadapan dengan tindakan wakil rakyat yang memalukan.
Walaupun tidak ramai yang berkelakuan yang tidak senonoh, namun rakyat akan melabelkan bahawa tindakan wakil rakyat adalah memalukan. Seekor kerbau (atau lembu) yang membawa lumpur maka pastinya semua terpalit. Disebabkan dua tiga ‘ekor’ yang melakukan tindakan yang tidak wajar sebagai seorang wakil rakyat maka rakyat sedikit sebanyak akan menuduh bahawa kebanyakan wakil rakyat adalah bersikap demikian.
Orang tua-tua selalu berkata bahawa, ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’. Membayangkan bahawa sesuatu perkara buruk itu pasti tidak dapat dilindungi dan lambat laun akan diketahui juga. Itu dulu. Kini setelah kemunculan media sosial yang begitu meluas, tentulah apa saja perkara yang membabitkan seseorang pemimpin akan diketahui dengan cepat oleh rakyat. Apatah lagi yang berkaitan dengan perkara-perkara buruk seseorang pemimpin itu.
Akhir-akhir ini terdapat wakil rakyat samada wakil parlimen atau ADUN yang mengeluarkan kata-kata yang sepatutnya tidak diucapkan oleh seorang wakil rakyat. Seolah-olah tidak memikirkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata. Ramai antara waki rakyat yang memiliki hobi ‘mencarut’ sebagai budaya mereka di parlimen dan di DUN. Membayangkan bahawa keadaan sedemikian sudah merupakan budaya yang sentiasa diamalkan oleh mereka setiap hari samada di rumah atau pun apabila berada di majlis-majlis.
Rakyat biasanya mengaharap sesuatu yang murni daripada seorang wakil rakyat, samada dari segi tingkah lakunya ataupun percakapannya ataupun cara mereka berhubung dengan rakyat. Sekiranya seseorang wakil rakyat itu tidak menampakkan penonjolan yang sedemikian maka pastinya mereka tidak akan mendapat penghormatan daripada rakyat. Rakyat kadang-kadang tertanya-tanya dan agak ‘bingung’ melihatkan tingkah laku wakil rakyat yang kononya berkelulusan Phd tetapi cara hujah dan penyampaiannya di Parlimen tidak menggambarkan langsung sebagai seseorang berkelulusan tinggi.
Tidak berapa lama dahulu telah timbul gelaran ‘Professor Kangkung’ yang diberikan kepada para professor di universiti kita yang tidak langsung menampakkan diri mereka sebagai seorang professor berbanding dengan setengah Professor yang mendapat penghormatan yang begtu tinggi dari rakyat. Professor Ungku Aziz misalnya terus menerus mendapat penghormatan rakyat kerana kemampuannya meletakkan diriinya sebagai seorang professer sebenar. Dan begitu jugalah dengan keadaan wakil rakyat yang tidak dapat menempatkan diri mereka sebagai seorang wakil rakyat yang tugasnya adalah merangka undang-undang negara di parlimen. Rakyat pastinya mempersoalkan kredibiliti mereka sebagai penggubal undang-undang, sekiranya rakyat merasakan bahawa belum begitu layak seseorang itu untuk diberikan pengikitirafan sedemikian.
Adalah diperhatikan juga bahawa Ahli Dewan Undangan di negeri-negeri menampakkan juga keadaan yang serupa sebagaimana yang berlaku di parlimen. Apakah mereka tidak berfikir terlebih dahulu semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan. Apakah mereka tidak merasa malu dengan tindakan mereka yang ‘surung-sentap’ yang memberikan gambaran bahawa mereka seolah-olah tidak langsung menghormati Dewan Undangan Negeri dan rakyat yang diwakili oleh mereka. Apakah sememangnya sikap mereka yang sambil lewa dan amalan mereka mempersendakan isu yang sepenting itu. Apakah mereka tidak merasa malu dengan perbuatan dan tindakan sedemikian.
Sepatutnya apabila menjelang Kurun ke 21, tidak ada lagilah wakil rakyat kita yang bersikap seperti setengah wakil rakyat pada tahun-tahun selepas mendapat kemerdekaan dahulu. Rakyat boleh memaafkan wakil rakyat berkenaan atas dasar bahawa mereka sememangnya golongan yang tidak mendapat pendidikan yang agak sempurna berbanding dengan sekarang. Ramai yang hanya berkelulusan Darjah 5 atau Darjah 6 sekolah Melayu sahaja dan tentu sekali rakyat dapat memaafkan. Kini sudah ramai wakil parlimen kita yang berkelulusan Phd, tetapi tidak menampakkan kemampuan untuk ‘menggalas’ status Phd mereka. Tentulah amat malang sekali.
Antara faktor yang memungkinkan kebanyakan wakil rakyat bersikap tidak sebagaimana yang sepatutnya adalah
• Kurang membaca. Mungkin mereka telah ketinggalan zaman dalam erti kata mereka telah tidak diketemukan dengan fakta dan maklumat yang terkini yang sedang berlegar di dunia kini. Mereka mungkin tidak melibatkan diri mereka dalam’the knowledge society ‘ kini. Lantas mereka agak ketinggalan dan tidak berapa tahu apa yang berlaku dalam dunia kini.
• Mungkin juga disebabkan mereka tidak terangsang minda mereka. Keadaan ini disebabkan oleh mereka yang sentiasa mendampingi rakyat di peringkat bawahan yang amat kurang membaca. Lantas mereka hanya bertemu dengan watak-watak ‘yes man’ yang sentiasa mengangguk apa saja yang diperkatakan oleh mereka, walaupun fakta yang diperkatakan amat tidak munasabah. Hujah seseorang wakil rakyat itu tidak terangsang sama sekali. Lantas wakil rakyat sedemikian adalah sentiasa dalam keadaan ‘syok sendiri’. Sentiasa berada di kawasan ‘zon selesa’.
Wakil rakyat samada di Parlimen atau di DUN seharusnya peka dengan perkembangan semasa. Peranan mereka bukan sahaja dapat dilihat oleh rakyat Malaysia tetapi memberikan gambaran dan imej yang diperhatikan oleh dunia luar. Seharusnya tidak memalukan…..
abuhassanadam
9 September 2023
Majoriti wakil rakyat.. bersikap peribadi... Hanya jadi pengikut ketua.. sebab.. utk menyokong usul ketua sahaja...lain lain hak.. lantak.. rakyat urus sendiri...
ReplyDeleteWakil rakyat hanya boneka parti . Utk capai matlamat parti.. dan kroni.. dgn sokongan.. dapat kuasa...dgn kuasa.. jana kewangan.. utk 7 generasi.. sedang .. tidak fikir kemana ingin dibawa negara ini ..
Rakyat pula.. rata rata serah sehala hal.. kepada menteri... ayat biasa yg kita dgr... Bukan masalah aku..biarlah menteri yg selesaikan...
Akhirnya.. orang lain ambil peluang.. paling mudah lihat.. warga asing berniaga.. jd kaya raya...
Kita jadi rakyat.. tak memenuhi keperluan negara.. sistem pendidikan negara wajar dirombak... Utk lebih dekat dgn jatidiri membina negara.. merasai diri sebahagian drpd negara...