Monday, September 18, 2023

 FUNGSI PARLIMEN BUKAN MENCARI KESALAHAN 

Sudah lama aku perhatikan bahawa gelagat para pembangkang di Parlimen Malaysia sentiasa mencari kesalahan pihak pemerintah dalam apa juga situasi. Jikalau boleh mereka mahu 'menghentam' pihak lawan sepanjang parlimen berjalan. Tidak ada yang betulnya. Tentulah banyak sebab mengapa pihak pembangkang bersikap sedemikian. Dan tentulah tidak terhurai tentang mengapa mereka bersikap demikian.

Cuma yang agak menyedihkan rakyat ialah pihak pembangkang  sepatutnya 'ditugaskan' untuk membantu pihak kerajaan melaksanakan tugas dengan berkesan, membetulkan dimana-mana perlu agar negara kita sentiasa berada dijalan yang betul. Jarang sangat diperhatikan pihak pembangkang memberikan tunjuk ajar sekiranya terdapat keadaan yang sesuai dilakukan oleh pihak kerajaan. Mungkin juga agaknya mereka tidak tahu dari sudut mana hendak dikemukakan cadangan atau komen yang ingin disampaikan. Ya lah 'jikalau kail panjang sejengkal takkanlah laut hendak diduga'. Bagi aku itulah merupakan jawapan yang tepat.

Contoh yang telah ditunjukkan oleh ketua pembangkang sudah memberikan pengertian bahawa beliau tentu sekali tidak mampu untuk memberikan bantuan dari segi ekonomi sedangkan beliau sendiri tidak mempunyai pengetahuan asas tentang ekonomi. Lantas ramai di antara mereka mencari jalan untuk menunjukkan bahawa mereka faham tentang ekonomi tetapi yang sebenarnya tidak. Lalu 'jalan' yang paling selamat untuk menunjukkan kepada pengundi di luar ialah dengan menimbulkan suasana 'tidak aman' sebagai langkah untuk mengelakkan terjebak dalam perbincangan mengenai ekonomi.

Aku perhalusi dan diperhatikan persidangan parlimen yang baru diadakan tempoh hari memberikan satu gambaran ia itu parlimen yang ada sekarang terbahagia kepada dua 'darjat'. Memanglah antara dua kumpulan ia itu kumpulan kerajaan dan pembangkang. Tetapi jika dibandingkann dengan keadaan parlimen di England misalnya perbezaan antara kumpulan penykong kerajaan dan pembangkang memperlihatkan perbezaan yang ketara. Maksudnya ialah yang pihak kerajaan bersungguh benar berhasrat untuk membawa kemajuan kepada negara sedangkan pihak pembangkang PN/PAS masih berlegar ditakuk lama dengan cara dan sikap yang semacam tidak mahu berubah. Masih mahu mengamalkan politik ala 'kedai kopi'. Aku tidak mahu membandingkan dengan politik kampung sedangkan mungkin di kampung juga sudah berlaku perubahan yang agak ketara. Sudah ada kemajuan dari segi pemikiran orang kampung. Mungkin.

Apa tidaknya.

Perhatian awal ialah apabila TS Muhyiddin Yasin dan Tuan Guru Haji Hadi Awang tidak menampakan yang mereka betul-betul berminat untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada parlimen . Senyap dan diam seribu bahasa. Dan tugas sebagai Ketua Pembangkang diserahkan kepada orang lain yang lebih 'junior'. Tentulah mengandungi seribu makna yang boleh ditafsirkan. Sepatutnya samada TS Muhyiddin Yasin atau Tuan Guru Haji Hadi Awang yang memikul peranan sedemikian. Dengan sebab itulah ramai yang mengatakan atau 'menempelak' mengatakan kemungkinan yang TS Muhyiddin hanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Lagak dan tindakan mereka ke arah untuk memegang semula tampuk pemerintahan negara jelas dan tidak perlu berselindung lagi. Dengan sebab itu jugalah YAB Saudara Anwar Ibrahim bersungguh benar mencadangkan diadakan persidangan parlimen ini untuk mendapatkan keabsahan daripada anggota parlimen, mendapat 'anggukan' daripada anggota parlimen walaupun sudah mendapat persetujuan daripada YDP Agung. Pernah pada peringkat awal pelantikan YAB Saudara Anwar sebagai Perdana Menteri telah tidak dipersetujui oleh TS Muhyiddin Yasin yang menyebabkan rakyat Malaysia 'terpinga-pinga' dengan tindakan sedemikian dan seolah-olah TS Muhyiddin tidak peduli akan 'derita' rakyat ekoran daripada tindakannya itu.

Syukur pada Allah maka akhirnya YAB Saudara Anwar telah disahkan, mendapat keabsahan dari Parlimen dengan majoriti yang besar melalui 'voice vote'. dan pihak pembangkang tidak pula mencadangkan melalui 'Bloc vote'. Tak kena juga. Pihak pembangkang cuba pula memainkan 'isu' berkenaan, mempersoalkan tentang jumlah yang diperolehi oleh YAB Saudara Anwar. Tidak puas hati lagi.

Serba tak kena.

Pada mulanya PN / PAS mempersoalkan bagaimana YAB Saudara Anwar boleh dilantik menjadi Perdana Menteri sedangkan jumlah yang menyokong beliau tidak mencukupi berbanding dengan yang diperolehi oleh TS Muhyiddin melalui cara-cara yang mereka sahaja dapat buktikan. Mereka persoalkan 'the constitutionality of the memorandum of understanding (MoU) signed by parties in the unity government as well as the rationale of having a vote of confidence'. Rationale mengadakan 'vote of confidence' pula dipersoalkan.Dan apabila sudah semakin jelas yang mereka 'tewas' dalam apa juga 'pertandingan' diajukan pula isu 'voice vote' dan 'blockvote'

Yang sebenarya golongan ini, ia itu puak pembangkang masih mahu berada di takuk lama berbanding dengan pihak Kerajaan Perpaduan yang sudah semacam tidak sabar-sabar mahu memajukan negara. Sudah cukup-cukup malu bangsa kita di mata rakan-rakan negara di Asia Tenggara yang mereka sudah begitu jauh di hadapan kita sedangkan pada tahun-tahun 1990an mereka berada di belakang kita.

Apakah kita tidak merasa malu mengenangkan  dalam masa empat tahun telah berlaku pertukaran tiga Perdana Menteri dan kesan akhirnya dapat kita lihat bahawa  'tidak ke mana pun' hala tuju negara. Tak tahu ke mana negara hendak dituju. Yang nampak jelas ialah, ramai pemimpin politik yang kelihatan begitu 'makmur' setelah mendapat jawatan-jawatan penting. Dengan sebab itulah agaknya ramai yang 'bermati-matian' untuk merebut jawatan dalam politik., sehinggakan semacam ada tokoh-tokoh yang mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

abuhassanadam

22 September 2023


No comments:

Post a Comment