Wednesday, September 6, 2023

 


PERANAN 'SPIN DOCTOR' DALAM SESUATU PRK

Aku kadang-kadang merasa belas melihat gelagat setengah yang menggelarkan diri mereka sebagai penulis  ‘terkial-kial’ menulis mengenai sesuatu isu yang diciptakan sendiri oleh mereka ataupun diciptakan oleh ‘boss’ mereka. Maksud aku tentang perangai setengah penulis yang digolongkan sebagai 'blog upahan'. Mereka terpaksa menulis demi untuk mencari sesuap nasi pagi dan petang. Dan sekiranya mereka tidak menghasilkan sesuatu, maka besar kemungkinannya ‘dapur mereka tidak berasap’. Ini yang aku istilah perangai setengah penulis upahan.

Berbanding dengan keadaan penulis tulin yang tidak mendapat apa-apa upahan walau dari sesiapa pun memang kelihatan agak ketara. Tidak ada siapa yang boleh ‘mengarahkan’ mereka untuk berbuat itu dan ini. Penulis tulin akan menulis apa saja yang  terlintas di fikirannya ‘without fear or favour’. Tidak ada ‘boss’ yang mengarahkannya untuk menulis tentang sesuatu isu. Dan kehidupan seorang penulis tulin adalah seperti burung yang terbang bebas di angkasa luas.

Untuk membezakan antara penulis upahan dengan penulis tulin dapat dilihat dalam suasana yang membolehkan memperlihatkan sikap mereka dengan jelas dan nyata - dalam suasana diadakan pilihanraya atau pemilihan parti politik. Dengan jelas dapat memberikan gambaran yang mana satu penulis upahan dan yang mana satu penulis tulin.

Membincangkan tentang hal ini tentulah aku teringat akan penulis-penulis lama yang agung seperti Pendeta Za’ba, Abdul Rahim Kajai, Ishak haji Muhammad, Usman Awang, Keris Mas, Samad Ismail dan ramai lagi yang menulis sesuatu mengenai sesuatu isu atas kehendak dan dorongan hati dan perasaan yang ikhlas. Mereka dikira beruntung disebabkan oleh ‘mewah’nya isu yang hendak dipaparkan, terutama  pada ketika itu tanah air kita masih di bawah jajahan British. Lantas apa saja yang ditulis dan dipaparkan samada dalam bentuk rencana atau Cerpen atau Sajak kesemuanya berlegar disekitar penjajahan British.

Pada ketika itu tidak timbul isu ‘Penulis Upahan’ sepertimana sekarang ini. Mungkin ada tetapi tidak begitu menonjol. Mungkin ada juga penulis upahan yang diupah oleh pihak penjajah. Namun tidak begitu ketara seperti sekarang. 

Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa peranan seorang penulis upahan (penulis blog upahan) misalnya boleh juga diibaratkan seperti pelacur (maaf, aku gunakan perkataaan yang tidak patut diutarakan). Aku katakan begitu disebabkan kebanyakan mereka menulis atas arahan tertentu dan diberi upah untuk menghasilkan sesuatu. Yang menyedihkan ialah seseorang penulis upahan itu terpaksa ‘memerah otak’ untuk menulis sesuatu isu yang tidak betul dan tidak tepat. Ringkasnya isu rekaan yang semata-mata untuk mengambil hati ‘boss yang memberi upah kepada mereka.

Istilah ‘spin doctor’ sentiasa digunakan untuk golongan penulis seperti ini. Mereka akan sedaya upaya ‘memutar-belitkan’ sesuatu fakta demi meyakinkan pembaca tentang hujah yang mereka kemukakan walaupun hujah yang dikemukakan mereka itu amat dangkal. Dan yang agak malang bagi golongan ini ialah mereka lupa bahawa mereka berhadapan dengan pembaca yang sudah matang dan sudah dapat menghidu ke arah mana hala sesuatu hujah dalam tulisan berkenaan.

Namun begitu masih ramai juga yang anggota masyarakat yang masih belum memahami atau pun dapat 'menangkap' maksud yang ditulis oleh seseorang penulis upahan itu. Lantas wujudlah berita-berita yang terpapar yang boleh dianggap sebagai fitnah. Dikatakan bahawa ramai golongan anak muda yang 'terperangkap' dalam kancah penulis yang diuatarakan oleh golongan sebegini.

Penulis upahan akan menggunakan suasana seperti PRK atau pemilihan parti untuk 'mencari makan' dengan menulis sesuatu isu yang sensitif yang boleh 'menggamit' perasaan anak muda untuk menyokong apa saja isu yang mereka tulis. Tanpa berfikir panjang 'simangsa' terjerat dan berlakulah fikiran yang tidak rasional dikalangan pembaca tulisan berkenaan. 

Walaupun mereka amat sedar bahawa mereka sedang berhadapan dengan  masyarakat dan pembaca Kurun ke 21 yang sudah agak mulai 'matang' namun masih ramai anggota masyarakat kita yang 'membiarkan' diri mereka 'dieksploitasi' oleh fakta-fakta 'picisan' yang bertujuan semata-mata untuk menghuru harakan keadaan yang aman dan tenang.

Semoga PRK yang sedang berlaku di Johor kini tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir yang boleh merobah suasana amat tenteram di sana sebagaimana yang diharapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang bijaksana.

abuhassanadam

6 September 2023



No comments:

Post a Comment