Friday, September 29, 2023

 

TH TIDAK PERNAH JUAL ASET PADA BUKAN ISLAM

PMX pastinya tidak akan menyerahkan semula Tabung Haji kepada pentadbiran lama sekiranya didapati yang mereke belum bersedia untuk memikul tugas yang berat ini yang berkaitan dengan 'titik peluh' dan 'keringat' rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di kampung-kampung.

Kerajaan akan menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan daripada Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun 2018.Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia susulan prestasi pengurusan TH yang semakin baik serta pemulangan aset itu akan dilaksanakan secara berperingkat."Masa itu saudara Datuk Seri Mujahid Rawa sebagai menteri (Menteri Agama) beri usul dan MOF ambil alih keadaan TH ketika itu menghadapi masalah kewangan."Sekarang dengan pengurusan baru lebih cekap dan dapat beri keyakinan dan pengurusan lebih mantap jadi MOF sedang berunding memindahkan semula aset dipegang MOF kepada TH," katanya.

Tambah Anwar lagi, tindakan itu sekali gus menjawab tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan ketika itu mendakwa aset TH dijual kepada bukan Islam."Semua aset, kita mula dan arah berbincang mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pulangan itu baik."Ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual, tiada dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah dan sekarang sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya," katanya lagi.

“Ini juga mematikan fitnah amat tidak bertanggungjawab pada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dan kerajaan ketika itu seolah-olah memindahkannya pada kelompok bukan Islam."Tidak, saya lihat rekodnya, dan di MOF, ia masih dalam pegangan MOF, sekarang saya pegang amanahnya,” kata Anwar.

Sayup-sayup kedengaran pada suatu ketika dahulu tentang kisah Tabung Haji (TH) yang tidak sedap telinga mendengarnya. Tidak lama dulu kisah TH ‘membantu’ untuk menyelamatkan IMDB dengan membeli sebidang tanah yang harganya jauh lebih mahal daripada harga sepatutnya. Dan kononnya harta akan dijual dan kononnya sudah ‘ramai’ pembeli yang ‘teringin’ untuk membeli harta berkenaan. Agaknya sudah terjual pun harta berkenaan dan pastinya TH telah pun membuat ‘keuntungan’ yang lumayan. Agaknya begitu lah…

Kemudian terdengar pula kisah TH tidak mengumumkan lagi dividen yang sepatutnya diumumkan. Penabung yang tahu menahu tentang hal perniagaan tentunya tertanya-tanya tentang mengapa keadaan terjadi demikian. Dilaporkan bahawa TH membuat keuntungan yang berlipat ganda dan tidak akan terjejas langsung simpanan penabung di TH. Dan sampai pada suatu ketika TH belum membuat pengumuman untung- ruginya. Apa dah jadi? 

Apabila menyentuh tentang Tabung Haji pastinya aku merasa sebak mengenangkan penderitaan  emak bapa mengumpulkan wang untuk perbelanjaan ke tanah suci. Jatuh juga setitik dua air mata mengenangkan 'derita' dan 'sengsara' yang mereka tempohi untuk melangkah ke Mekah. Seingat aku, arwah bapak dan emak aku dulu tidak tahu menahu tentang selok – belok dividen-dividen TH. Mereka hanya tahu menyimpan dan apabila sudah cukup wang mereka di TH untuk mereka menunaikan Haji, maka mereka berangkat ke Makkah. Dan begitu jugalah sikap ramai petani miskin di seluruh negara yang menyimpan di TH. Mereka seolah-olah menyerahkan bulat-bulat dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pentadbiran dan penguruan TH untuk menguruskan simpanan mereka. Mereka percaya bulat-bulat sebagaimana yang dijelas dan dirangka oleh Ybhg Professor Diraja Ungku Aziz yang mengasaskan penubuhan Tabung Haji berpuluh tahun yang lalu. Mereka percaya sepnuhnya akan kepimpinan Tabung Haji. Malangnya harapan orang kampung yang menggunung dikecewakan oleh pihak yang tidak beertanggungjawab.

Kini TH telah diuruskan oleh golongan professional yang kononnya amat arif tentang selok belok perniagaan. TH kini diterajui oleh golongan ‘bijak pandai’ yang bukan sahaja ‘bijak’ berpolitik tetapi juga kononnya ‘bijak’ dalam hal ‘jual-beli’ (Tak kiralah jual beli apa pun). TH dipertanggung-jawabkan kepada Menteri yang amat ‘tahu’ tentang selok belok agama Islam yang kadang-kadang seolah-olah kelihatan seperti ‘pakar’ yang tidak ada siapa yang boleh menandingi ‘ilmu’ agamanya.

Tetapi solanya ialah apakah golongan ini sedar bahawa mereka telah mengkhianati harapan dan hasrat golongan petani miskin yang berada di kampung-kampung. Dan apabila disebut golongan petani miskin, maka dengan sendirinya perasaan aku akan terguris disebabkan antara mereka itu termasuklah arwah bapak dan emak aku, Pak Alang, Pak Ngah, Wan Chu, Mak Cik Lamah, Chu Mi, Pak Alang Palit, Pak Lop Godak, Tokki Pandak, Pan Peah dan ramai lagi yang tidak perlu aku sebutkan namanya. Mereka pernah suatu ketika menjadi jiran tetangga aku yang aku amat faham sangat tentang budi pekerti mereka.

Setahu aku mereka adalah penyimpan di TH yang semata-mata bertujuan untuk menunaikan fadhu Haji ke Makkah. Berpuluh tahun mereka berjimat-jimat semata-mata untuk memenuhi matlamat akhir dalam kehidupan mereka – menunaikan Haji ke Makkah. Hasil jualan buah-buahan (pada musim buah-buahan) mereka simpan di TH. Lebihan hasil jualan ayam dan itik mereka simpan di TH. Malah ada orang kampung aku yang hampir setiap hari berbasikal ke bandar demi untuk menyimpan wangnya di TH (setelah menjual getah torehannya pada hari berkenaan).

Tabung Haji adalah seperti keringat dan air mata orang kampung. Dan para pengurusan TH semacam tidak memahami hakikat ini. Ataupun mungkin ( pengurusan sebelum ini) mereka sudah tidak ‘berhati perut’ untuk mengenangkan keadaan sedemikian. Mereka hidup dengan penuh kemewahan adalah berasaskan ‘titik peluh’ petani miskin. Mereka sewenang-wenang seolah-olah lupa tentang tanggungjawab mereka tentang hasrat untuk membela petani miskin di kampung. Mereka hanya ‘menanam tebu di bibir’ ketika bertemu rakyat pada musim pilihanraya. Dan selepas itu semacam tidak langsung mempunyai masa dan waktu untuk memikirkan hal ehwal petani miskin di kampung.

Arwah bapak  dan emak  tidak pernah menyebut tentang dividen TH. Dan begitu jugalah agaknya petani miskin lain di seluruh negara yang menyimpan di TH. Tetapi para pengurusan TH harus sedar bahawa anak petani miskin itu kini sudah menjadi golongan terpelajar yang tahu selok-belok mengenai perniagaan. Dan bukan itu saja anak-anak petani miskin itu tahu tentang ‘sepak-terajang’ yang sedang dilakukan oleh pihak pengurusan di TH. Janganlah pihak pengurusan TH merasakan bahawa para penyimpan di TH kini boleh diperkotak-katikan. Malah anak petani miskin kini boleh bial-bila masa mengambil alih pentadbiran dan pengurusan TH jika diperlukan.

Sepatutnya para peneraju yang diberikan tanggungjawab menguruskan TH adalah terdiri dari golongan yang betul-betul sedar dan peka tentang derita rakyat miskin yang menyumbang kepada TH. Pak Ungku Aziz tentunya telah memikirkan sedalam-dalammnya tentang pengrurusan dan perjalanan TH. Dan secara kasarnya tentu dapat dilihat bahawa TH boleh membuat keuntungan yang besar disamping memberikan perkhidmatan dalam urusan jemaah Haji ke Makah.

Tetapi soalnya mengapa begitu malang nasib yang dilalui oleh Tabung Haji.

Bukan Tabung Haji yang begitu malang nasibnya tetapi pengurusan Tabung Haji ( sebelum ini) yang patut dipersalahkan oleh rakyat, khususnya petani miskin yang memerah keringat dan air mata.

abuhassanadam

29 September 2023


No comments:

Post a Comment