Sunday, September 10, 2023

 

KEMENANGAN UNTUK MEMULIHKAN MARUAH NEGARA 

Kepimpinan DS Anwar Ibrahim sebenarnya yang telah menyatukan rakyat Malaysia khususnya di Pulai untuk terus menerus menyokong perjuangan kepimpinan di PRK berkenaan. Tanpa kesedaran rakyat demi penyatuan tentu sekali kemenangan sedemikian tidak dapat dilakar. Ini menambahkan kesedaran dan keyakinan rakyat terbanyak tentang kepimpinan yang hendak dilakukannya. Ini bukan permulaan tetapi sebenarnya penerusan keyakinan terhadap perjuangan yang ikhlas.

Kemenangan Pakatan Harapan dalam PRK di Johor memberikan suatu nafas lega kepada kepimpinanan negara disamping 'menundukan'  kelantangan yang dicapai oleh parti lawan yang sentiasa merendahkan kepimpinan Pakatan Harapan. Kini sudah terjawablah apa yang mereka harapkan sebagai jawapan. Bermakna bahawa rakyat khususnya di Johor tahu menilai dan tahu membuat perhitungan dan perkiraan yang mana harus disokong dan yang mana harus 'ditinggalkan'. Tahniah rakyat Johor.

Kemenangan di PRK Johor itu sebenarnya merupakan sesuatu yang amat penting kepada kepimpanan negara, ia itu suntikan semangat dalam penerusan untuk memulihkan maruah negara. Ia memberikan sesuatu yang amat penting khsusnya kepada hasrat dan perjuangan DS Anwar Ibrahim.

Sebenarnya sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, rakyat Malaysia sudah tidak tahu dimana lagi ‘nak disorokkan muka’. Ke mana saja kita pergi, pasti ada saja yang bertanya tentang keadaan negara kita. Dan pertanyaaan mereka mengandungi sesuatu yang bertujuan untuk mencungkil tentang keadaan negara Malaysia yang berada dalam keadaan 'tenat' ketika itu.Walaupun cara mereka mengemukakan soalan-soalan itu agak ‘bersopan’ namun akan tetap juga ‘menyucuk’ tulang sum-sum. Sebagai rakyat Malaysia yang perihatin tentang kedudukan Malaysia ketika terpaksa terus menerus 'menelannya' walaupun pahit dirasakan.

Sebagai rakyat yang sedar bahawa tidak harus ‘meludah ke langit’ ( pada ketika itu) aku cuba dengan berbagai-bagai alasan untuk melindungi ‘pekung dan cabuk’ yang ‘sedang berulat’ yang ‘baunya’ amat menyucuk hidung sesiapa saja yang terhidu. Walaupun yang mendengarkan penjelasan yang kita berikan itu akan tetap ‘menganggukkan kepala’ menunjukkan simpati namun dari gerak geri ‘sekilas ikan diair’ kita dapat meneka ‘jantan atau betinanya’. Tentulah sudah agak letih ‘menangkis’ berbagai-bagai hujah yang dilemparkan kepada negara dan kadang-kadang terfikir juga bahawa segala tangkisan itu adalah seperti ‘menegakkan benang basah’. Selama mana lagi rakyat Malaysia yang selalu keluar negara mengamalkan sikap sedemikian, mempertahankan ‘kebenaran’ yang hampir tidak benar kesahihannya.

Apabila dilihat keadaan dalam negara ketika itu, ternampak semacam keraguan yang berterusan dikalangan rakyat. Isu IMDB dan isu wang RM 2.6billion yang tersimpan di akaun DS Najib sentiasa menghantui pemikiran rakyat. Berani aku mengatakan bahawa majortiti rakyat Malaysia kini tetap ragu-ragu dengan apa juga penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan dengan  isu isu yang maha kritikal itu. Sama ada penjelasan berkenaan datangnya dari DS najib sendiri atau daripada para menteri ataupun ‘pengesahan’ dari Peguam Negara, sebahgian besar rakyat negara ini masih tidak dapat diyakini. Semacam samalah keadaannya ketika ada sekumpulan rakyat  Malaysia yang tidak berpuas  hati terhadap layanan yang diberikan kepada DS Zahid Hamidi kini.

Persoalannya ialah mengapa begini jadinya. Maksud aku mengapa terjadi sedemikian sikap rakyat di negara ini terhadap pihak yang bertanggungjawab. Rakyat seolah-olah sudah hilang kepercayaan terhadap apa juga penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Mungkin masih ada lagi segelintir rakyat yang tidak bersikap sedemikian, namun bilangannya tentulah terlalu kecil. Dapat dirasakan bahawa apa sahaja yang diperkatakan oleh berita yang disiarkan melalui radio dan TV arus perdana akan disambut dengan perasaan yang begitu negatif. Tidak yakin dan tidak percaya. Itulah rupa keadaannya sebelum itu.

Disamping isu IMDB dan RM 2.6billion, rakyat telah disogokkan pula dengan isu baru ia itu tentang TPPA (ketika itu ) dan perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa 1.5 juta rakyat dari negara itu untuk datang sebagai pekerja di Malaysia. Rakyat Malaysia menentang tindakan pihak kerajaan berbuat demikian. Lantas dibatalkan hasrat berkenaan (kononnya). Sepatutnya rakyat harus percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu. Namun rakyat seolah-olah terus ‘mentertawakan’ kenyataan sedemikian. Rakyat semacam tidak percaya.

Kenyataan seorang Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) sudah tidak diyakini rakyat. Dan ada kala dan ketikanya, kenyataan Perdana Menteri juga diketepikan oleh rakyat apatah lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri. Sampai bila keadaan jadi begini.Dalam hal  isu ‘pendatang’ samada dari Indonesia atau dari Bangladesh atau dari India, Burma seharusnya rakyat merasa curiga dengan kehadiran mereka. Apa tidaknya. 

Lihat sajalah suasana di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang pada hari cuti akan kelihatan suasana negara Malaysia yang sudah bertukar kepada suasana seperti di negara lain, semacam kita berada di Bangladesh atau berada di Jakarta atau berada di New Delhi. Setiap pelusuk bandar berkenaan dipenuhi dengan warga asing dan seolah-olah warga negara Malaysia sudah diketepikan. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila sudah ada warga asing ini yang cuba menceburi lapangan perniagaan di negara ini yang lantas ‘menenggelamkan’ putera bumi negara ini.

Keadaan negara Malaysia ( sebelum terciptanya Kerajaan Perpduan) adalah dalam keadaan yang amat menyedihkan. Mungkin itulah perasaan rakyat terbanyak, mengenangkan nasib yang sedang menimpa, yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Rakyat merintih, tetapi dengan siapa hendak mengadu. Rakyat amat mengharapkan agar sesuatu tindakan dilakukan demi untuk memulihkan keadaan negara yang tercinta supaya tegak seperti sediakala. Namun golongan pemimpin yang macam manalah agaknya yang akan memperbetulkan keadaan ini. Itu merupakan gambaran pemikiran rakyat terbanyak pada ketika itu. Sampai bilakah agaknya nasib mereka terbela.

Maruah negara amat tercemar ketika ini. Rakyat Malaysia seolah-olah sudah kehilangan semangat bukan sahaja untuk maju, malah untuk terus hidup pun, rakyat sudah dalam keadaan lemah longlai. Isu IMDB dan wang RM 2.6billion terus menerus menghantui pemikiran rakyat Malaysia. Penafian demi penafian terus menerus dilakukan namun rakyat masih belum yakin dengan penafian yang dibuat. Malah akhbar-akhbar luar negara terus menerus mendedahkan kisah kepincangan yang berlaku dalam negara.

Kemenangan PRK Pulai merupakan sesuatu 'blessings in disguise'. Kemenangan itu memberikan suntikan semangat yang cukup kuat kepada kepimpinan negara kini. Sememangnya pihak pembangkang 'berhempas pulas' untuk menggagalkan kemenangan di PRK berkenaan. Malah TS Mahyuddin sendiri pernah mengeluarkan 'satu'fatwa' agar tidak harus diberikan kemenangan supaya majoriti dua pertiga di parlimen tidak tercapai. Itu perancangan manusia tetapi perancangan Tuhan lebih nyata.

Moga-moga maruah negara akan tertebus dibawah kepimpinan DS Anwar Ibrahim. Hanya dengan berbuat demikian akan dapat tertebus kembali maruah negara Malaysia yang tercinta ini. Dan yang paling menakut dan menggerunkan  rakyat negara ini ialah kalau-kalau negara yang tercinta ini akan tergadai satu hari kelak. 

Diharapkan tidak dibawah kepimpinan baru.

abuhassanadam

10 September 2023



1 comment:

  1. Hal warga asing di negara ni.. berpunca drpd gelombang meningkatkan infrastruktur negara... Sedang rakyat pada masa itu belum mampu.. ambil serta.. dlm apa jua keadaan dan sumbangan... Akhirnya memilih utk import tenaga kerja...hasilnya inilah dia.. apabila generasi baru terlalu leka dgn hal yg menyenangkan diri utk sementara waktu...

    Dalam utk memajukan negara..wajib majukan rakyatnya.. paling tidak 10 tahun sebelum.. memulakan projek mega...

    Biarlah anak tempatan yg mengalirkan peluh dlm setiap infrastruktur negara..

    ReplyDelete