Sunday, September 17, 2023

 


Lihat artikel,"ORANG MELAYU MALAS'  kata R.O. Winstedt dan Maxwell 'dalam http://abuhassanadam.blogspot.com.


Tun Dr. Mahathir masih terus 'bertahlil' mengatakan bahawa orang Melayu mundur berbanding dengan orang Cina.  Hampir semua rakyat Malaysia tahu hakikat ini. Tetapi yang anihnya bahawa Tun Mahathir tidak segan silu menyatakan keadaan sedemikian sedangkan beliau pernah dua kali menerajui tampuk kerajaan di Malaysia. Mengapa tidak dibuat. Mungkin beliau mengatakan bahwa beliau cuba melakukan tetapi tidak berjaya. Soalnya mengapa tidak berjaya. Kenyataan Tun Mahathir ini mungkin ditertawakan oleh anak-anak yang berfikiran kritis yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Dan mungkin juga ramai anak-anak yang sanggup 'menelan' bulat-bulat kenyataan Tun Mahathir itu. Mungkin.

Kini beliau dengan sokongan beberapa individu ' bertahlil' ke hulu dan ke hilir berhasrat untuk membetulkan keadaan orang Melayu sehingga nampak menyusahkan (sedikit) usaha DS Anwar Ibrahim membangunkan negara disebabkan 'gangguan-gangguan' yang diusahakannya untuk memenuhi sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki. Tentulah rakyat nampak tentang 'ketidakikhlasan' Tun Mahathir dalam hal ini. Sekiranya beliau betul-betul ikhlas untuk memajukan orang Melayu tentulah sudah lama diusahakannya. Puluhan tahun beliau seolah-olah diberikan peluang untuk memajukan orang Melayu dan kita tidak pasti golongan orang Melayu yang telah berjaya dimajukan oleh Tun Mahathir sepanjang pemerintahannya.

Aku petik kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dari Malaysian Insider bertarikh, 22 Disember 2013. “Instead of wailing, lamenting and demanding more Bumiputera participation in the economy, Malays should take a good look at themselves and ask why they have been left behind’.

Lebih kurang maknanya ialah beliau cuba mengingatkan orang Melayu bahawa daripada sentiasa merayu, merintih, (mengeluh) dan mendesak agar orang Melayu (Bumiputera) diberikan peranan lebih dalam ekonomi, lebih baiklah orang Melayu itu sendiri ‘cerminkan’ diri sendiri dan tanya mengapa mereka ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi itu.

Aku semacam setuju benar dengan kenyataan berkenaan.

‘Penyakit’ sentiasa menyalahkan orang lain sudah lama dihidapi oleh orang Melayu. Bukan lah semua….Tetapi kebanyakannya begitulah. Bangsa lain pun ada yang bersikap begitu. Itu aku tak peduli. Yang aku ingin persoalkan ialah mengenai orang Melayu tulin seperti aku. Terlalu ghairah menyalahkan orang lain ( selalu juga begitu) dan menyembunyikan kelemahan diri. 

Satu contoh yang amat ketara ialah apabila ada pihak yang menyalahkan orang Cina yang menyebabkan Barisan Nasional hampir-hampir tewas dalam PRU  yang lepas. Dan hampir tidak ada yang mengaku bahawa punca kekalahan itu disebabkan oleh kelemahan sendiri. Dan tidak pula ada usaha bersungguh-sungguh untuk cuba mengatasi kesilapan yang telah ada. Kebanyakan kenyataan yang dibuat ke arah membetulkan kesilapan hanyalah sebagai ‘melepaskan batuk di tangga’.

Aku ingin juga menyingkap peristiwa sejarah.‘ The Malays were lazy’ kata R.O. Winstedt dan Maxwell (penjajah British yang pernah mewakili penjajah menjajah Tanah Melayu). Berasa ‘panas’ juga apabila ada bangsa lain mengatakan bahawa orang Melayu itu malas dan ‘easy-going’. Berasa marah juga apabila mereka memperkatakan  perkara yang buruk mengenai bangsa aku. Sekiranya ada orang Melayu (tulin) yang tidak terasa dan ‘terhangat’ dengan kenyataan sedemikian, maka jelaslah bahawa ‘dia’ bukan orang Melayu tulin. Bukan orang ‘Melayu’ yang emak bapaknya orang Melayu tulin. Bukan orang ‘Melayu’ yang emak bapaknya keturunan sakai dan orang darat. ‘Orang asli’ mengikut kata orang sekarang.

Mengikut pemerhatian  R.O. Winstedt, (seorang pentadbir dalam zaman penjajahan British ) itulah rupa keadaan orang Melayu ketika beliau memulakan pentadbirannya di Tanah Melayu. Dan juga semasa beliau menjalankan pentadbiran. Begitulah rupa orang Perak ketika James Birch mula menjalankan pentadbirannya di sana selepas tertandatangannya Perjanjian Pangkor 1874. Begitulah juga rupa orang Pahang ketika Dato Bahaman dan Mat Kilau menentang British. Dan begitu jugalah keadaan orang Kelantan, Terengganu ketika Abdullah Munshi mengembara ke Kelanatan dan Terengganu. 

Ketika aku berada dan bertugas di negara penjajah suatu ketika dahulu , ia itu di London dan rupanya dari sini lebih mudah aku ‘meneropong’ melihat kembali tentang keadaan anak cucu datuk nenek aku dulu. Masyarakat Melayu di Malaysia sekarang.  Apakah telah ada perubahan daripada keadaan sebagaimana yang digambarkan oleh R.O.Winstedt itu. Atau apakah orang Melayu masih berada di takuk lama sebagaimana yang digambarkan oleh Winstedt dan Maxwell itu. Malas, suka berpoya-poya, ‘relax’, selalu mengucapkan ‘tidak apa’…….

Sambutan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap kenyataan R.O. Winstedt dan Maxwell itu ialah dengan ‘marah-marah’. Rata-rata orang Melayu marah dan ‘melenting’ dengan kenyataan sedemikian. Jarang sangat aku bertemu dengan keadaan dimana para pemimpin Melayu menyeru rakyat agar menerima kenyataan berkenaan. Terima walaupun pahit bunyinya. Itu merupakan pandangan mereka yang dilihat dari persepsi mereka. Mungkin juga betul. 

Dan sepatutnya ada pemimpin Melayu yang berusaha menggerakkan orang Melayu supaya ‘menafikan’ kenyataan sedemikian. Kenyataan Winstedt yang mengatakan orang Melayu malas itu sepatutnya dijadikan ‘slogan ransangan’ untuk merangsang anak Melayu supaya bergerak menuju kemajuan dan berusaha ‘menafikan’ kenyataan demikian. Letakkan satu target dimana orang Melayu boleh ‘melihat’ tahun berapakah target itu boleh dicapai semacam kita berhasrat untuk merealisasikan Wawasan 2020 dulu.

Namun dalam usaha kita untuk maju telah timbul pula satu lagi ‘wabak’ yang dihidapi oleh orang Melayu ia itu kebanyakannya malas berfikir. Tidaklah semuanya begitu. Tetapi aku masih merasakan ‘penyakit’ ini terbawa-bawa sampai kini. Apa tidaknya? Masih ramai lagi orang Melayu khususnya yang tidak langsung mahu memikirkan secara kritikal tentang sesuatu isu mengenai keadaan negara kini. Masih ramai lagi orang Melayu yang menerima sesuatu kenyataan yang dibuat oleh seseorang pemimpin itu sebagai betul belaka. Tidak nampak langsung usaha mereka memikirkan sesuatu isu yang diperkatakan secara kritikal.

Dalam masa kempen pilihan raya misalnya, aku dapat rasakan bahawa masyarakat Melayulah yang paling senang untuk dipengaruhi kerana amat mudah menerima apa saja yang diperkatakan oleh pihak yang menyampaikan sesuatu. Orang Melayu amat malas untuk berfikir secara rasional. Mereka seolah-olah tidak mahu langsung merunsingkan fikiran mereka. Lantas mereka hanya menerima sesuatu keadaan itu seadanya. ‘Easy-going’…..’lantaknya lah..’ kata orang Perak.

Dari segi hiburan memang amat disukai oleh orang Melayu. Termasuklah aku juga. Namun begitu sudah ada kumpulan Melayu yang sudah bergerak meninggalkan amalan lama orang Melayu yang agak lapuk walaupun banyak nilai-nilai murni yang menjadi pusaka yang amat berharga yang ditinggalkan oleh datuk nenek kita.

abuhassanadam

18 September 2023


No comments:

Post a Comment