Saturday, September 28, 2013

SEMACAM ADA PERBALAHAN DALAM UMNO ANTARA GOLONGAN TUA DAN GOLONGAN MUDA......

SEMACAM ADA PERBALAHAN DALAM UMNO
ANTARA GOLONGAN TUA DAN GOLONGAN MUDA....

Aku nampak telah muncul  keadaan yang agak luar biasa dalam UMNO kini.

·      Kepimpinan UMNO kini terutama golongan berfikiran ‘tua’ seolah-olah tidak mempedulikan nasihat dan pandangan Tun Mahathir. Mereka anggap Tun MM adalah sama seperti ‘quran buruk’. Hendak ‘dibaca’ tak boleh dan hendak dibuang begitu sahaja pun tak boleh. Oleh itu wujud satu keadaan dalam UMNO kini seperti ‘api dalam sekam’. Menjalar dan tetap menjalar perasaan tidak puas hati terhadap Tun Mahathir, terutama apabila Tun Mahathir menyarankan agar kepimpinan lama (yang berfikiran jumud) ditukar dengan yang baru. Pastinya mendapat tentangan yang hebat daripada golongan berfikiran tua.

·      Ternampak semacam ada perbalahan dalam UMNO kini. Antara golongan tua dan golongan muda. Terbukti apabila ada usaha semacam untuk menyekat kemasukan golongan muda dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam kepimpinan UMNO.

Semenjak zaman berzaman, pemimpin UMNO ( golongan tua dan berfikiran jumud) sememangnya tidak begitu gembira dengan kehadiran golongan bijak pandai. Ada dua tiga ‘kerat’ pemimpin yang agak cerdik yang berada dalam UMNO kini adalah dikira beruntung dan bernasib baik. Penerimaan mereka dalam UMNO mungkin disebabkan kaitan mereka dengan pucuk pimpinan samada melalui hubungan kekeluargaan ataupun dengan sebab-sebab lain.

Banyak contoh-contoh yang boleh diketengahkan untuk menjelaskan lebih lanjut tentang perkara ini. Kejayaan Khairy dalam UMNO ada kaitan dengan persoalan kekeluargaan. Begitu juga dengan Mukhriz. Malah kemasukan dan kejayaan DS Najib sendiri dalam UMNO adalah berkaitan soal hubungan kekeluargaan. Penglibatan DS Tajol Rosli juga adalah berkait rapat dengan persoaalan keluarga juga. Pendek kata sekiranya tidak ada hubungan keluarga, maka amatlah susah golongan cerdik pandai memasuki UMNO. Ketua-ketua Bahagian UMNO lebih suka untuk menjadikan golongan bijak pandai dalam UMNO hanya sebagai ‘buruh kasar’ dan bukan sebagai pemimpin UMNO.

Sejarah telah membuktikan bahawa ramai golongan bijak pandai Melayu yang cuba melibatkan diri dalam UMNO dengan hasrat dan harapan untuk memajukan UMNO yang dianggap sebagai parti yang boleh memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam disamping tidak meminggirkan bangsa lain di Malaysia. Usaha ke arah itu pernah dilakukan oleh para graduan Melayu dalam tahun-tahun 1970an di mana ketika itu bermulanya kebanjiran para graduan Melayu hasil daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan selepas berlakunya Persitiwa 13 Mei 1969.

Ramai anak muda Melayu pada ketika itu yang terpelajar ingin berjinak-jinak dengan UMNO. Walaupun tidak dinafikan sememangnya ada yang ingin  mengambil kesempatan peribadi dengan menyertai UMNO, namun ramai anak muda graduan pada ketika itu yang ingin berjuang memajukan orang Melayu melalui UMNO. Mereka merasa terhutang budi yang amat sangat kepada kerajaan kerana membantu mereka dari segi kewangan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat university. Dapat menjejakkan kaki di university adalah merupakan sesuatu yang amat besar ertinya kepada golongan muda Melayu pada ketika itu.

Justeru, mereka mahu membalas budi dengan cara berjuang melalui UMNO. Malangnya hasrat anak muda yang berpelajaran pada ketika itu tidak disenangi oleh kebanyakan pemimpin UMNO samada peringkat pusat, apatah lagi peringkat bahagian dan cawangan. Mereka amat tidak senang. malah mereka amat ‘takut’ dengan kemasukan golongan ini. Mereka merasa amat tidak selamat dengan kemasukan golongan muda yang sebegini. Kelulusan golongan ini hanyalah kebanyakannya hanya lulus sekolah Melayu sahaja dan amat sedikit yang berkelulusan SPM ataupun STPM.

Para pemimpin UMNO diperingkat bahagian dan cawangan pada ketika itu telah ‘memperalatkan’ para guru untuk mengukuhkan kedudukan UMNO. Tidak hairanlah kebanyakan para perwakilan ke persidangan agung UMNO pada tahun-tahun 60an dan 70an terdiri daripada kaum guru. Dan ramai juga kaum guru ( lepasan SITC Tanjung Malim atau pun kelulusan ‘Normal’ ) yang berjaya menjadi Ketua Bahgian UMNO dan menjadi wakil rakyat peringkat parlimen atau negeri.

Golongan ini juga amat bimbang dengan kemasukan golongan graduan muda kerana pastinya akan menggugat kedudukan mereka. Pada ketika itu rakyat umumnya telah mula menyuarakan agar pemimpin UMNO terdiri daripada golongan lepasan university. ‘Desakan’ dari masyarakat ini ‘menghantui’ pemikiran golongan ‘lepasan sekolah atap’ terus menerus ‘mengawal kubu’ mereka agar tidak ditembusi oleh golongan graduan muda.

Tidak ramai graduan muda yang berjaya menembusi kubu itu. Kebanyakannya akan ‘ditendang’ keluar sebelum menjejakkan kaki di gelanggang. Mereka akan cuba mengenepikan golongan bijak pandai ini dengan berbagai-bagai alasan. Amat mustahil bagi seorang anak muda dapat menewaskan ‘pengaruh’ seorang wakil rakyat ( ketua bahgian) yang telah lama bertapak di satu-satu bahagian. Setelah mencuba beberapa kali untuk ‘memasuki gelanggang’ dengan harapan untuk berjuang dalam UMNO memajukan orang Melayu dan sentiasa menemui kegagalan menyebabkan ramai graduan muda yang putus asa.

Golongan ‘ yang kecewa’ inilah yang terus beramai-ramai ‘mengabdikan’ diri mereka dalam PAS dan Keadilan kini. Semacam ‘membalas dendam’.Walaupun mereka tidak terang-terangan menyokong Pakatan Rakyat namun secara senyap mereka memberikan sokongan  padu kepada Pakatan Rakyat. UMNO masih berpegang kepada golongan yang tidak begitu berpelajaran sedangkan Pakatan Rakyat memiliki golongan bijak pandai negara, sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir. Dengan sebab itulah pandangan Tun Mahathir itu perlu diambil perhatian serious oleh kepimpinan UMNO.

Dan kepimpinan UMNO perlu memandang serious tentang usaha untuk menarik golongan bijak pandai yang terdiri dari golongan muda ke dalam UMNO. Sejarah tahun-tahun 1970an, sebagaimana yang aku jelaskan tadi seharusnya tidak akan berulang lagi. Golongan tua yang merasakan diri mereka sudah tidak sesuai dengan perkembangan zaman ini seharusnya bersiap sedia mengundur diri demi penerusan dan kesinambungan bangsa Melayu. Janganlah merasakan diri kita masih sesuai dan masih diperlukan. Itu tak sedar diri namanya.

Peribahasa Melayu mengatakan, “ Patah Tumbuh Hilang Berganti’.

abuhassanadam
28 September 2013


Friday, September 27, 2013

KETIKA ITU NAMANYA LCE BUKAN PMR

KETIKA ITU NAMANYA LCE BUKAN PMR

Ini musim peperiksaan. Pelajar-pelajar sibuk. Emak bapak lagi sibuk. Anak-anak risau tetapi emak bapak lagi risau kalau-kalau anaknya gagal dalam peperiksaan. Malu. Emak bapak lagi malu kalau anak tidak berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Aku menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1961. Lower Certificate of Education ( LCE) . Kini dipanggil PMR ( Penilaian Menengah Rendah). Pada akhir tingkatan tiga, pepriksaan LCE dijalankan. Sama seperti sekarang. Akhir tingkatan tiga, pelajar menduduki peperiksaan PMR. Yang berubah hanyalah nama peperiksaan itu. Yang lain tidak banyak berubah, kecualilah penambahan mata pelajaran yang terpaksa diambil oleh calon-calon. Dan penggunaan bahasa. Pada ketika itu semuanya dalam bahasa Inggeris. Hanya Bahasa Melayu sahaja yang ditulis dalam Bahasa Melayu!....

Kadang-kadang aku termenung juga memikirkan zaman itu. Maksud aku dari segi kemampuan anak-anak Melayu pada ketika itu. Apabila disebut anak Melayu bermakna anak Melayu dari kampunglah. Ketika itu belum ramai lagi orang Melayu tinggal di bandar. Boleh dibilang dengan jari. Yang menyebabkan aku termenung ialah ‘kehebatan’ anak kampung ketika itu, kalau boleh dikatakan ‘hebat’.

Maksud aku ‘kehebatan’ anak kampung yang boleh lulus beberapa peperiksaan yang dijalankan dalam bahasa Inggeris. Bermula dari ‘Standard Six Entrance Test’ ( peperiksaan untuk memasuki Tingkatan Satu), Lower Certificate of Education Examinations ( LCE – untuk memmasuki Tingkatan Empat), Senior Cambrige / Malaysia Certificate of Education ( selepas Tingkatan Lima) dan kemudiannya Higher School Certificate ( untuk memasuki uiniversity). Kesemua peperiksaan ini dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Kertas soalan dibuat di Cambridge.

Soalan yang selalu menerpa kepala aku sehingga kini ialah bagaimana kami ( anak kampung ) boleh lulus peperiksaan-peperiksaan ini. Para belia kini tentulah agak pelik mendengar ‘persoalan’ yang aku menungkan ini. Tentulah tidak masuk akal bagi mereka ‘ persoalan’ yang aku menungkan itu.

Bagaimana kami boleh berjaya?. Dengan cemerlang pulak……

Rata-rata orang Melayu pada ketika itu tersangatlah miskin. Dari semua segi. Pendek kata orang Melayu pada ketika itu ‘ TERAMAT KAYA DENGA KEMISKINAN’. ( kenyataan yang selalu aku gunakan apabila diminta memperkenalkan diri aku ketika berada di persidangan luar negara – ‘ I’M RICH IN POVERTY’). Tinjaulah dari sudut mana pun. Jawapannya miskin. Miskin sungguh….

Kami tidak kenal erti ‘breakfast’. Apabila Cikgu menyebut perkataan ‘breakfst’ ramai yang terpinga-pinga, sebab kami tidak menikmati ‘brakfast’ dalam ertikata yang digambarkan oleh Cikgu. Hampir setiap hari, ‘breakfast’ kami ialah rebus pisang, atau rebus ubi, nasi sejuk ( lebihan semalam) berlaukkan ikan kering dan secawan kopi O atau teh O. Susu tidak pernah ‘ singgah’ di kebanyakan rumah orang kampung pada ketika itu. Susu tin ‘cap junjung’ biasanya untuk makanan bayi kecil!!....

Sepanjang zaman persekolahan aku, hanya ‘bertemankan’ pelita bersumbu untuk aku membaca dan membuat kerja rumah. Mungkin anak-anak zaman ini tidak pernah melihat pelita bersumbu yang ‘bertenagakan’ minyak tanah ( orang kampung panggil minyak gas). Di sekolah Cikgu kerapkali menasihati murid-murid agar membaca dalam suasana yang terang supaya mata tidak rosak. Aku terpinga-pinga mendengar ‘nasihat’ sedemikian. Aku mendengar nasihat Cikgu tetapi apakan daya kami. Itulah saja ‘cahaya’ yang boleh menerangi kami ketika membaca. Pelita bersumbu itulah yang memberikan cahaya. Dan mujurlah mata aku masih terang benderang sehingga kini dan hanya memerlukan cermin mata untuk membaca. Mata orang tua…

‘Keazaban’ pergi dan pulang dari sekolah jangan ‘dikira’. Terpaksa bangun pukul 5.00 pagi dan pulang dari sekolah Pukul 3.00 petang. Dari rumah ke perhentian bas di Padang Rengas terpaksa menaiki basikal. Dari Padang Rengas menaiki bas ke Kuala Kangsar. Dari setesen bas Kuala Kangsar ke sekolah, berjalan kaki pulak. Berbanding dengan kebanyakan rakan-rakan ( Cina dan India) yang tinggal di bandar Kuala Kangsar, tidaklah mengalami kesusahan sebagaimana yang kami anak kampung alami.

Banyak lagi cerita derita yang hendak aku sampaikan. Sekurang-kurangnya untuk diketahui dan dihayati oleh anak-anak zaman ini tentang kesusahan yang dialami oleh orang tua mereka ketika bersekolah. Dalam keadaan dan suasana ‘kesusahan’ itu, ramai juga anak-anak kampung yang berjaya setanding dengan anak-anak kaum lain yang tinggal di kawasan bandar dengan berbagai-bagai kemudahan yang tersedia.

Berbagai-bagai cabaran yang kami hadapi dalam mengejar cita-cita untuk menjadi seorang yang berilmu pendidikan. Disamping dorongan dan galakan yang diterima terdapat juga golongan orang Melayu ( di kampung-kampung ketika itu yang melemahkan semangat untuk meneruskan pelajaran di sekolah Inggeris pada ketika itu. ‘Nasihat’ yang  boleh melemahkan ibu bapa di kampung untuk memberikkan pendidikan Inggeris kepada anak-anak ialah ‘ugutan’ yang mengatakan bahawa ‘ sesiapa saja yang menghantar anak ke sekolah Inggeris akan menukar agama ke agama Kristian’. Ramai juga ibu bapa Melayu yang ‘termakan’ dengan ‘nasihat’ sedemikian. Dan merupakan salah satu punca yang melemahkan orang Melayu dalam pelajaran pada tahun-tahun 50an dan 60an.

Kami bersyukur kerana kami bernasib baik mempunyai ibu bapa yang ‘progressive’ dan ‘ far-sighted’. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan orang yang beriman.

abuhassanadam
27 September 2013




Thursday, September 26, 2013

DEBAT MEREBUT JAWATAN UMNO PERLU DIADAKAN

DEBAT  MEREBUT JAWATAN UMNO PERLU DIADAKAN

Aku terbaca tulisan YB Abdul Rahman Dahlan dalam tweeternya yang menyatakan, Saya perhatikan Tun Faisal ( aku tidak tahu siapa dia ‘tokoh’ ini) terbukti mampu berdebat dengan pihak pembangkang dalam isu nasional. Apakah itu tidak boleh dipertimbangkan?’

Tertarik aku kepada kenyataan ini kerana beberapa sebab.

·                        Jelas menampakkan bahawa pemimpin UMNO sebenarnya bukan tidak mahu berdebat dengan pihak pembangkang tetapi mereka merasa amat bimbang, taku-takut mereka akan kecundang dalam perdebatan itu. Mereka takut. Dan umum mengetahui bahawa sekiranya dipertemukan pemimpin pembangkang dengan pemimpin UMNO (BN) jawapannya ialah pemimpin UMNO akan ‘tersungkur’. Rakyat sudah tahu keputusannya.
·         
       Jelas juga menampakkan bahawa tidak ada tokoh yang mampu berdebat dengan pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat, samada dari pemimpin atasan, sayap pemuda, wanita atau puteri. Tidak ada tokoh dari UMNO yang berkaliber untuk menentang DS Anwar Ibrahim atau YB Rafizi Ramli atau YB Nurul Izzah dan ramai lagi pemimpin dari Pakatan Rakyat yang mampu untuk berdebat. Sepatutnya DS Shahrizat Jalil sebagai calon ketua Wanita menerima pelawaan daripada YB Nurul Izzah untuk berdebat atas isu-isu membabitkan negara.
·      
          Kenyataan YB Abdul Rahman Dahlan itu mungkin mengaibkan parti UMNO sendiri. Beliau menonjolkan nama seperti Tun Faisal ( ramai yang tidak tahu asal usulnya) yang mengikut kata YB Kota Belud itu ‘ terbukti mampu berdebat dengan pihak pembangkang dalam isu nasional’ dan beliau menyoal pula, ‘Apakah itu tidak boleh dipertimbangkan?’

Maknanya UMNO sudah puas mencari ‘rotan’ untuk berdebat dengan pihak pembangkang. Tidak jumpa-jumpa. Kini sudah berjumpa dengan ‘akar’ yang bernama ‘Tun Faisal’. Peribahasa Melayu berkata, ‘ jikalau tiada rotan akar pun berguna’. Maknanya sememangnya UMNO ketandusan pemimpin yang berkaliber seperti mana yang diucapkan oleh Tun Mahathir baru-baru ini yang dipetik oleh Malaysiakini.

"We must accept that it is a good thing that more intelligent people join the party and leadership quality will improve over time - or you will have more and more stupid people," Mahathir told some 600 youths at a talk at the International Youth Centre.

Tentunya ramai ahli UMNO yang mempersendakan kenyataan Tun Mahathir ini. Ramai juga yang merasakan kenyataan itu menggugat kedudukan mereka dalam parti yang akhirnya akan menyebabkan ‘periuk nasi’ mereka dipenuhi ‘pasir’. Namun apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir itu adalah benar belaka. Dan dengan sebab itulah UMNO seolah-olah ditolak oleh kebanyakan rakyat intelek di Malaysia kini. Seolah-olah UMNO itu adalah kepunyaan orang kampung yang tidak berpelajaran ( ramai juga orang kampung yang berpendidikan tinggi). Dan orang Melayu yang berpelajaran telah ‘berhijrah’ ke pihak Pakatan Rakyat.

Keadaan inilah yang menyebabkan UMNO terlalu sukar untuk mencari ‘ayam tambatan’ mereka untuk berdebat dengan pihak pembangkang yang mempunyai bukan hanya ‘seekor ayam tambatan’ tetapi berpuluh-puluh ‘ekor’. Mereka boleh memilih samada mereka mahukan ‘ayam tambatan’ dari PAS atau DAP atau Keadilan. Itulah perbezaan yang jelas antara UMNO ( BN) dengan Pakatan Rakyat.

Perdebatan atau pengamalan konsep kebebasan bersuara adalah merupakan initisari penting bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Mahu tidak mahu mesti ada ‘intellectual discourse’ antara pemimpin kerajaan dan pembangkang sepertimana yang dicadangkan oleh DS Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Secara kebetulan pulak aku terbaca sebuah buku yang ditulis oleh Ivan Hare, James Weinstein berjodol,“ Extreme Speech and Democracy’. Mengikut buku itu,

            “There is no democracy without public disourse and no public discourse without freedom of speech, freedom of the media and freedom of information. And only if it contains both the active and pasive side – freedom to express one’s own opinion and freedom to learn about the opinion of others – does the right constitute a comprehensive freedom of communication”

Lebih kurang kata Ivan Hare ialah,

      Tidak wujudlah demokrasi dalam sesebuah negara itu sekiranya tidak ada debat umum dan tidak wujudlah perdebatan umum sekiranya tidak wujud kebebasan bersuara, kebebasan media dan kebebasan untuk mencapai maklumat.

      Kebebasan bersuara adalah merupakan hak seseorang untuk menyatakan sesuatu, kata Ivan Hare. Jadi sekiranya hak bersuara dan menyatakan sesuatu pendapat secara tidak terkongkong tidak diamalkan, dimanakah letaknya kebebasan seseorang itu.

Keith Werhan pulak menulis buku berjodol,” Freedom of Speech: A Reference Guide to the United states Constitution”

“ The linkage among the ideas of democracy, popular sovereignity, and freedom of speech is as old as those ideas themselves, and they are very old indeed.. Freedom of speech was a constitutent element of the world’s first democracy, that which prevailed in Athens during the Classical Era ( 508BC-323 BC). Classical Athenians believed that authentic public debate was a prerequisite for the creation and refinement of public policy in a democracy.They nurtured a political culture that encouraged common citizens not only to participate fully in political institutions, but also to speak forthrightly on issues of public concern”.

Lebih kurang kata Keith Werhan begini,

      Pertalian atau perhubungan  antara konsep demokrasi, kedaulatan rakyat dan kebebasan bersuara sudah wujud begitu lama. Malah konsep kebebasan bersuara itu adalah merupakan initisari atau pra-syarat kewujudkan konsep demokrasi itu sendiri yang bermula di Athens dalam zaman era kelasikal ( 508 BC-323 BC).

      Masyarakat Athens pada ketika itu berpendapat bahawa perdebatan umum adalah sebagai syarat untuk membentuk dasar-dasar awam dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan demokrasi. Dengan demikian akan membolehkan rakyat menyuarakan pendapat mereka secara bebas tanpa rasa takut dan gentar. Maknanya kebebasan bersuara.

Sekiranya rakyat Malaysia betul-betul mahu mewujudkan demokrasiyang sihat di
Malaysia, maka mahu tidak mahu, budaya berdebat iniharus disuburkan. Dan
amat elok dan sesuai dimulakan dari dalam pertubuhan UMNO sendiri, terutama
ketika menjelang pmilihan pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan nasional.
Elok diadakan perdebatan antara calon-calon yang merebu jawatan-jawatan
penting dalam parti seperti jawatan Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua
Wanita dan Ketua Puteri. Ahli UMNO tentunya ingin melihat kemampuan dan
kredibiliti mereka sebelum mereka boleh mengundi seseorang pemimpin itu.

Pastinya majoriti ahli UMNO menyokong saranan ku ini. Agak aku begitulah…….

abuhassanadam
26 September 2013


Wednesday, September 25, 2013

MENGGUNAKAN KHIDMAT McKINSEY &CO, APAKAH PEGAWAI PENDIDIKAN KITA SUDAH TIDAK BERGUNA LAGI?

MENGGUNAKAN KHIDMAT McKINSEY &CO, APAKAH PEGAWAI PENDIDIKAN KITA SUDAH TIDAK BERGUNA LAGI?

Berita dari parlimen Malaysia mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggunakan tenaga consultant McKinsey and Co untuk merangka blueprint pendidikan yang baru saja diumumkan. Berita ini tentunya amat mengejutkan ramai orang, terutamanya para pendidik dan bekas pendidik.

Aku hairan!

·      -             Apa yang telah terjadi kepada EPRD ( Educational Planning and Research Development ) kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab untuk merancang mengenai pendidikan negara. Selama ini kementerian pendidikan telah menyerahkan kepada Bahagian ini untuk merancang sistem pendidikan Malaysia.

·     -        Apa yang telah terjadi kepada puluhan ribu pegawai pendidikan yang dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dan kini seolah-olah tidak berguna lagi. Apa tidaknya. Pihak kerajaan merasakan bahawa tenaga dari luar lebih hebat dan berguna daripada menggunakan tenaga dalaman. Ibarat ‘ Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’. Namun apakah ‘gading’ yang digunakan oleh kerajaan itu betul-betul berguna atau lebih ‘teruk’ lagi daripaa tanduk yang dibuang.

·      -       Mengapakah pihak kerajaan tidak menggunakan tenaga-tenaga pakar dan berpengalaman seperti Tan Sri Abdul Rahman Arshad, Tan Sri Omar bin Mohd Hashim, Tan Sri Asiah Abu Samah, Tan Sri Wan Mohd Zahid Nordin yang boleh digunakan kepakaran untuk merangka blueprint pendidikan ini. Mereka masih ada dan bertenaga untuk melaksanakan tugas-tugas seperti itu. Mengapa tenaga mereka tidak digunakan sepenuhnya?Dan ‘orang lama’ ini boleh berpadu tenaga dengan ‘orang baru’ yang masih berkhidmat di Kementerian Pendidikan untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan zaman ini – Kurun ke 21.

·      -                        Mengapakah kesatuan-kesatuan guru tidak ‘bersuara’ menyatakan ketidakpuasan hati mereka mengenai perkara ini. Mengapa mereka menyepi – sesepinya. Ataupun sekiranya mereka bersetuju dengan langkah ini, mengapa mereka tidak menyuarakan sokongan mereka. Apakah kesatuan-kesatuan guru sudah seperti kata peribahasa Melayu ‘ hidup segan mati tak mahu’. Ke manakah perginya pemimpin-pemimpin kesatuan Gruru. Apakah mereka tidak sedar tentang hal sebegini berlaku. Apakah mereka sanggup memekakkan telinga dan memejamkan mata mereka dan membiarkan saja hal-hal pendidikan ‘dinodai’. Apakah mereka sudah tidak layak dipanggil guru kerana seolah-olah ‘sudah meletakkan jawatan sebagai seorang guru.

Kerajaan sanggup berbelanja 20 juta ringgit untuk merangka pendidikan milik orang Melaysia yang dirangka oleh ‘orang luar’ yang hampir tidak tahu dengan mendalam perasaan,falsafah, hala tuju pendidikan di negara ini. Dan mereka bukannya pakar dalam bidang pendidikan yang ditugaskan untuk melaksanakan tugas pendidikan. Mereka seolah-olah ditugaskan hanya sebagai ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja. Jika dibandingkan pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai pendidikan di Malaysia, maka kepakaran mereka adalah seperti langit dengan bumi jika dibandingkan dengan tenaga pakar kita yang ada di Malaysia. Persoalannya mengapalah pihak kerajaan kita sanggup berbelanja jutaan ringgit untuk itu. Amat sedih memikirkannya…..

Apakah negara kita sudah betul-betul ketandusan pemikir-pemikir yang boleh memikirkan sesuatu ke arah menyediakan blueprint pendidikan negara kita. Aku merasakan amat dayus penduduk negara ini yang tinggal pada awal Kurun ke 21 berbanding dengan  tokoh-tokoh pendidikan yang hidup pada pertengahan dan penghujung Kurun ke 20.  Tidakkah kita merasa malu dengan tokoh-tokoh seperti Dato’ Abdul Razak, Abdul Rahman Talib, Aminuddin Baki dan ramai lagi yang sanggup merangka sistem pelajaran yang praktikal dan boleh digunapakai sehingga kini berbanding dengan blueprint yang ada kini.

Seingat akulah, sebelum ini tidak pernah lagi kementerian Pendidikan menggunakan tenaga asing untuk membuat kerja-kerja sebegini. Dan satu perkara yang perlu difikirkan oleh rakyat Malaysia ialah tentang Consultan yang digunakan oleh kementerian pelajaran ini adalah milik Yahudi. Dan yang anihnya tidak pula terdengar suara yang menentang tindakan kerajaan ini yang datang dari NGO-NGO yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama di negara ini. Tidak terdengar langsung suara mereka. Senyap. Sepi. Seolah-olah memberikan gambaran bahawa NGO-NGO ini lebih merupakan NGO cari makan. Mencari sesuap pagi dan sesuap petang. Amat hina ….
Sayup-sayup terdengar juga suara dari ‘atas’ yang mengatakan bahawa blueprint yang dirangka oleh ‘expert’ dari luar negara ini merupakan yang terbaik dalam sejarah pendidikan negara. Apakah setiap yang dihasilkan oleh orang luar semuanya ‘tip-top’ belaka? Apakah mereka tidak memperhalusi  atau pun tidak tahu tentang kewujudan Penyata Razak atau Penyata Rahman Talib. Bukankah inti laporan-laporan berkenaan yang telah wujud sehingga kini dan menampakkan bahawa ‘blueprint’ yang dirangka pada tahun 1956 dan 1960 telah tahan diuji zaman. Bukankan itu yang dikatakan ‘hebat’. Blueprint yang dirangka oleh orang luar ini belum tentu lagi dapat bertahan atau tidak. Malah belum dilaksanakan. Dan sudah nampak penentangan yang bukan kepalang sebelum dilaksanakan. Inilah hasil kerja orang luar….

Tindakan kerajaan menggunakan tenaga konsultan dari luar ini memberikan satu andaian bahawa sekiranyalah keadaan ‘menggaji’ tenaga luar ini berterusan, maka apakah guna dan apakah perlunya para pegawai kita yang dibayar gaji dan dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Wujudnya keadaaan sedemikian seolah-olah memberikan gambaran bahawa para pegawai kita tidak layak untuk menjalankan tugas sedemikian dan lantas terpaksa menggunakan tenaga dari luar.

Apa yang dilakukan oleh kementerian pendidikan ini adalah sesuatu yang amat luar biasa. Apa tidaknya.  sekiranya diperhalusi dan direnungkan sedalam-dalamnya, apakah boleh tenaga dari luar memahami tentang keadaan ‘yang sebenar’ mengenai perjalanan pendidikan di negaar kita. Maksud aku mengenai latar belakang penduduk dan budaya kita di Malaysia. Mereka mungkin kata mereka faham. Tetapi apakah mereka betul-betul faham sepertimana kefahaman yang dimiliki oleh TS Abdul Rahman Arshad yang telah bergelumang dengan warga pendidik sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Apakah kefahaman mereka tentang sejarah pendidikan negara ini dapat menandingi kefahaman yang dimiliki oleh TS Omar bin Mohd Hashim yang sampai kini masih rapat dan berjinak-jinak dengan sistem pendidikan negara.

Mengapa tenaga yang tepu dengan pengalaman sebegini diketepikan? Malang sungguh nasib bangsaku.


abuhassanadam

25 September 2013