DS NAJIB MENYANGGAH TUN MAHATHIR
Tun Mahathir melalui blognya, “ Che Det’ berkata
“Saya sedar akan hakikat bahawa UMNO mengidap sakit tua, dan ia akan maut
kerana sudah tua. Ini naluri manusia. Lambat laun manusia akan menemui ajalnya.
Ini
bukan sebarang ‘orang’ yang berkata-kata. Tun Dr. Mahathir Mohammed, bekas
Perdana Menteri Malaysia. Tokoh yang ‘telus mata’. Orang Putih kata
‘far-sighted’. Oleh itu nasihatnya akan diteliti dan dihayati oleh rakyat,
khususnya oleh pemimpin UMNO.Maknanya kalau Tun Mahathir sudah berkata-kata,
memberikan suatu petunjuk bahawa UMNO sedang sakit tenat. Mungkin sudah lama
diperhatikannya yang UMNO sudah sakit, tetapi disebabkan menghadapi PRU 13,
maka pandangannya itu tidak diluahkannya. Dan kini PRU 13 sudah selesai dan pemilihan
pucuk pimpinan UMNO akan berlangsung. Amat sesuailah kenyataanya itu diberikan
perhatian serious oleh para perwakilan dan ‘kerabat ‘UMNO seluruhnya.
DS Najib pula menyanggah kenyataan demikian
dengan berkata, ‘“I think Umno has proven itself as a dynamic
party cause change has taken place at different levels, even at the highest
level, from time to time,” Malaysiakini 19 September 2013.Maknanya DS Najib
tidak setuju dengan pendapat Tun Mahathir itu. Beliau menyatakan bahawa UMNO
merupakan party yang sentiasa melakukan perubahan dari masa ke masa dan di di
setiap peringkat kepimpinan.
Bagi
aku pula, semacam bersetuju dengan pendapat Tun Mahathir itu. Aku rasa UMNO
masih berada di takuk lama. Jikalau ada perubahan sedikit benar. Mahu tak mahu UMNO
kena berubah ikut zaman. Sekiranya tidak mahu berubah atau terlalu degil untuk
membuat perubahan maka lambat laun UMNO akan lenyap ditelan zaman. Itu kata Tun
Mahathir juga. Dalam banyak hal UMNO terpaksa buat perubahan. Bak kata
peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun
berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan yang memaksa ‘pasir’ berubah.
Hukum alam mengatakan bahawa pasir mesti berubah selepas air bah. Oleh itu
tidak salahnya ahli UMNO melihat keadaan sedemikian daripada mencari jalan
menyalahkan ‘orang’ itu dan menyalahkan ‘ pihak’ ini. Buang masa. Bukan
zamannya kita membebal dan menyalahkan orang lain. Orang UMNO juga selalu’
menyalak’ ke sana ke mari menyuruh orang lain ‘ think positive’. Diri sendiri
bagaimana?
Aku perhatikan
ramai pemimpin UMNO yang masih ‘berada’ pada tahun-tahun 60an. Pemimpin
dan pengasas UMNO tahun –tahun 50an amat berbeza dengan UMNO 60an dan selepas
itu. Katalah apa pun, aku masih berpegang pada persepsi aku. Jikalau ada pun
perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya berlaku dikalangan setengah
pemimpin. Sedikit benar bilangannya. ‘handful’ kata orang putih. Selainnya tu
masih di takuk lama. Khayal. Masih memikirkan mereka berada pada tahun-tahun
60an.
Keadaan
pemikiran bentuk lama itulah yang menyebabkan UMNO bergerak mengikut rentak
lama walaupun DS Najib mengatakan ada perubahan dalam UMNO. Ada. Tetapi tidak
dinamik mengikut perkembangan zaman. Tanyalah anak-anak muda dalam UMNO. Apakah
sesuai ‘selera’ mereka dengan ‘selera’ ahli-ahli UMNO ‘tua’ yang ada dalam
UMNO.
Apa tidaknya.
Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada setiap
tahun itu. Dan aku tak tahu bagaimana keadaannya pada persidangan agung UMNO
yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. Itulah rupanya semenjak dari dulu
sehinggalah sekarang . Yang berubah ialah tempat PAU itu diadakan. Dari hotel
yang ‘spartan’ berpindah ke hotel-hotel bertaraf lima bintang. Dan perubahan
juga dari segi cara ahli-ahli UMNO berpakaian ketika hadir di perhimpunan. Itu
yang aku nampak perubahan yang besar. Hebat. Maklumlah orang kaya-kaya.
Dari segi
penyampaian dan ‘input’ aku rasa tak banyak beza dengan keadaan pada
tahun-tahun 60an dan 70an, walaupun ada usaha pembaharuan yang cuba
hendak diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘ tak
jalan’. Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.
Mengikut kata
Tun Mahathir, keadaan pemimpin yang sudah lanjut umur menyebabkan keadaan
terjadi demikian. Beliau membandingkan dengan keadaan UMNO ketika dipimpin oleh
para pengasas UMNO yang rata-ratanya terdiri dari mereka yang muda-muda.
Bersemangat dan kesannya dapat menumbangkan Malayan Union dan mencapai
kemerdekaan.
PAU pada
pandangan aku adalah ‘pesta gelak ketawa’ yang akan ‘dihiburkan’ oleh
‘badut-badut’ yang didatangkan khas dari serata pelusuk tanah air. Jangan
dipersalahkan pulak ‘ badut-badut’ berkenaan. Mereka terpaksa menjadi ‘badut’
ketika menyampaikan hujah-hujah mereka. Sekiranya mereka tidak berlagak
demikian, pasti para ‘ penonton’ akan meninggalkan dewan dan dewan akan kosong.
Oleh itu si badut terpaksa memenuhi kehendak ‘penonton’ juga. Begitulah keadaan
PAU semenjak dari dulu hingga kini dan mugkin selama-lamanya.
Dalam PRU 13,
dapat kita lihat seolah-olah DS Najib dan TS Muhyiddin sahaja yang ke hulu dan
ke hilir berkempen menyelamatkan BN-UMNO. Itu pengamatan aku. Dulu-dulu,
Perdana Menteri tidak banyak turun ke padang. Timbalannya yang sentiasa berada
bersama rakyat. Berbeza dengan keadaan DS Najib. Beliau terpaksa bertungkus
lumus ke hulu ke hilir, ke darat dan ke baruh, ke padang dan ke sawah…. Jadi
seolah-olah kemenangan BN-UMNO kali ini adalah kemenangan dua orang pemimpin
tertinggi ini. Peranan pemimpin lain itu tidak boleh juga dipertikaikan. Ada.
Tetapi tidak sehebat dua orang pemimpin ini.
Berbalik kepada
persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat memberikan
formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat memberikan
penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak
memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi
oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.
· Cadangan Dato’Onn
pada tahun 1950 supaya UMNO membukakan keahliannya kepada kaum lain harus
difikirkan semula. Cadangan ‘orang tua’ yang ‘very far-sighted’. Ahli UMNO
boleh menolak mentah-mentah cadangan itu pada tahun 1950an tetapi kena berfikir
panjang-panjang akan cadangan itu pada awal Kurun ke 21. Tetapi nampaknya apa
yang berlaku kini seolah-olah cadangan sedemikian untuk dilaksanakan adalah
seperti ‘jauh panggang dari api’.
· UMNO terpaksa
mengambil kira perasaan anak muda generasi DEB, terutamanya anak muda Melayu
yang berpendidikan tinggi. Cara berfikir mereka agak berlainan dengan cara
berfikir generasi lama – generasi sebelum DEB. Golongan ini tediri daripada
para eksekutif yang boleh berdikari dengan ilmu dan ijazah yang mereka
perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’ atau penggantungan kepada sesiapa.
Mereka berdikari. Lantas cara berfikir mereka juga amat sukar dipengaruhi.
Ramai anak muda
generasi Kurun ke 21 sudah tidak berfikir berlandaskan kaum dan bangsa. Ini
berlaku pada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Mereka sudah tidak berapa
peduli sangat tentang kedudukan kaum dan bangsa. Mereka adalah Bangsa Malaysia.
Keadaan ini berlaku adalah ekoran daripada sukatan pelajaran yang merentasi
kurikulum yang didedahkan kepada mereka di sekolah-sekolah.
Aku perhatikan
UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang dinyatakan di
atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu. Masih
‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang endah
sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang berlaku
disekeliling.
Memang berlaku.
Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam cerita
seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu selesa
berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan. Si katak
baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.
Apakah begitu
keadaan orang Melayu dalam UMNO?
Abuhassanadam
20 September 2013
No comments:
Post a Comment