Saturday, September 28, 2013

SEMACAM ADA PERBALAHAN DALAM UMNO ANTARA GOLONGAN TUA DAN GOLONGAN MUDA......

SEMACAM ADA PERBALAHAN DALAM UMNO
ANTARA GOLONGAN TUA DAN GOLONGAN MUDA....

Aku nampak telah muncul  keadaan yang agak luar biasa dalam UMNO kini.

·      Kepimpinan UMNO kini terutama golongan berfikiran ‘tua’ seolah-olah tidak mempedulikan nasihat dan pandangan Tun Mahathir. Mereka anggap Tun MM adalah sama seperti ‘quran buruk’. Hendak ‘dibaca’ tak boleh dan hendak dibuang begitu sahaja pun tak boleh. Oleh itu wujud satu keadaan dalam UMNO kini seperti ‘api dalam sekam’. Menjalar dan tetap menjalar perasaan tidak puas hati terhadap Tun Mahathir, terutama apabila Tun Mahathir menyarankan agar kepimpinan lama (yang berfikiran jumud) ditukar dengan yang baru. Pastinya mendapat tentangan yang hebat daripada golongan berfikiran tua.

·      Ternampak semacam ada perbalahan dalam UMNO kini. Antara golongan tua dan golongan muda. Terbukti apabila ada usaha semacam untuk menyekat kemasukan golongan muda dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam kepimpinan UMNO.

Semenjak zaman berzaman, pemimpin UMNO ( golongan tua dan berfikiran jumud) sememangnya tidak begitu gembira dengan kehadiran golongan bijak pandai. Ada dua tiga ‘kerat’ pemimpin yang agak cerdik yang berada dalam UMNO kini adalah dikira beruntung dan bernasib baik. Penerimaan mereka dalam UMNO mungkin disebabkan kaitan mereka dengan pucuk pimpinan samada melalui hubungan kekeluargaan ataupun dengan sebab-sebab lain.

Banyak contoh-contoh yang boleh diketengahkan untuk menjelaskan lebih lanjut tentang perkara ini. Kejayaan Khairy dalam UMNO ada kaitan dengan persoalan kekeluargaan. Begitu juga dengan Mukhriz. Malah kemasukan dan kejayaan DS Najib sendiri dalam UMNO adalah berkaitan soal hubungan kekeluargaan. Penglibatan DS Tajol Rosli juga adalah berkait rapat dengan persoaalan keluarga juga. Pendek kata sekiranya tidak ada hubungan keluarga, maka amatlah susah golongan cerdik pandai memasuki UMNO. Ketua-ketua Bahagian UMNO lebih suka untuk menjadikan golongan bijak pandai dalam UMNO hanya sebagai ‘buruh kasar’ dan bukan sebagai pemimpin UMNO.

Sejarah telah membuktikan bahawa ramai golongan bijak pandai Melayu yang cuba melibatkan diri dalam UMNO dengan hasrat dan harapan untuk memajukan UMNO yang dianggap sebagai parti yang boleh memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam disamping tidak meminggirkan bangsa lain di Malaysia. Usaha ke arah itu pernah dilakukan oleh para graduan Melayu dalam tahun-tahun 1970an di mana ketika itu bermulanya kebanjiran para graduan Melayu hasil daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan selepas berlakunya Persitiwa 13 Mei 1969.

Ramai anak muda Melayu pada ketika itu yang terpelajar ingin berjinak-jinak dengan UMNO. Walaupun tidak dinafikan sememangnya ada yang ingin  mengambil kesempatan peribadi dengan menyertai UMNO, namun ramai anak muda graduan pada ketika itu yang ingin berjuang memajukan orang Melayu melalui UMNO. Mereka merasa terhutang budi yang amat sangat kepada kerajaan kerana membantu mereka dari segi kewangan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat university. Dapat menjejakkan kaki di university adalah merupakan sesuatu yang amat besar ertinya kepada golongan muda Melayu pada ketika itu.

Justeru, mereka mahu membalas budi dengan cara berjuang melalui UMNO. Malangnya hasrat anak muda yang berpelajaran pada ketika itu tidak disenangi oleh kebanyakan pemimpin UMNO samada peringkat pusat, apatah lagi peringkat bahagian dan cawangan. Mereka amat tidak senang. malah mereka amat ‘takut’ dengan kemasukan golongan ini. Mereka merasa amat tidak selamat dengan kemasukan golongan muda yang sebegini. Kelulusan golongan ini hanyalah kebanyakannya hanya lulus sekolah Melayu sahaja dan amat sedikit yang berkelulusan SPM ataupun STPM.

Para pemimpin UMNO diperingkat bahagian dan cawangan pada ketika itu telah ‘memperalatkan’ para guru untuk mengukuhkan kedudukan UMNO. Tidak hairanlah kebanyakan para perwakilan ke persidangan agung UMNO pada tahun-tahun 60an dan 70an terdiri daripada kaum guru. Dan ramai juga kaum guru ( lepasan SITC Tanjung Malim atau pun kelulusan ‘Normal’ ) yang berjaya menjadi Ketua Bahgian UMNO dan menjadi wakil rakyat peringkat parlimen atau negeri.

Golongan ini juga amat bimbang dengan kemasukan golongan graduan muda kerana pastinya akan menggugat kedudukan mereka. Pada ketika itu rakyat umumnya telah mula menyuarakan agar pemimpin UMNO terdiri daripada golongan lepasan university. ‘Desakan’ dari masyarakat ini ‘menghantui’ pemikiran golongan ‘lepasan sekolah atap’ terus menerus ‘mengawal kubu’ mereka agar tidak ditembusi oleh golongan graduan muda.

Tidak ramai graduan muda yang berjaya menembusi kubu itu. Kebanyakannya akan ‘ditendang’ keluar sebelum menjejakkan kaki di gelanggang. Mereka akan cuba mengenepikan golongan bijak pandai ini dengan berbagai-bagai alasan. Amat mustahil bagi seorang anak muda dapat menewaskan ‘pengaruh’ seorang wakil rakyat ( ketua bahgian) yang telah lama bertapak di satu-satu bahagian. Setelah mencuba beberapa kali untuk ‘memasuki gelanggang’ dengan harapan untuk berjuang dalam UMNO memajukan orang Melayu dan sentiasa menemui kegagalan menyebabkan ramai graduan muda yang putus asa.

Golongan ‘ yang kecewa’ inilah yang terus beramai-ramai ‘mengabdikan’ diri mereka dalam PAS dan Keadilan kini. Semacam ‘membalas dendam’.Walaupun mereka tidak terang-terangan menyokong Pakatan Rakyat namun secara senyap mereka memberikan sokongan  padu kepada Pakatan Rakyat. UMNO masih berpegang kepada golongan yang tidak begitu berpelajaran sedangkan Pakatan Rakyat memiliki golongan bijak pandai negara, sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir. Dengan sebab itulah pandangan Tun Mahathir itu perlu diambil perhatian serious oleh kepimpinan UMNO.

Dan kepimpinan UMNO perlu memandang serious tentang usaha untuk menarik golongan bijak pandai yang terdiri dari golongan muda ke dalam UMNO. Sejarah tahun-tahun 1970an, sebagaimana yang aku jelaskan tadi seharusnya tidak akan berulang lagi. Golongan tua yang merasakan diri mereka sudah tidak sesuai dengan perkembangan zaman ini seharusnya bersiap sedia mengundur diri demi penerusan dan kesinambungan bangsa Melayu. Janganlah merasakan diri kita masih sesuai dan masih diperlukan. Itu tak sedar diri namanya.

Peribahasa Melayu mengatakan, “ Patah Tumbuh Hilang Berganti’.

abuhassanadam
28 September 2013


No comments:

Post a Comment