Thursday, September 12, 2013

PPSMI: KE MANA PERGINYA KESATUAN GURU-GURU

PPSMI:
KE MANA PERGINYA KESATUAN GURU-GURU

Aku hairan ke mana perginya kesatuan guru-guru ataupu persatuan guru-guru ( kalau-kalau ada). Sepatutnya kesatuan guru-gurulah yang berada di barisan hadapan untuk memperkatakan hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran. Sepatutnya lah. Sebab mereka terdiri dari guru-guru. Tentu lebih arif dan faham tentang masalah pelajaran, terutama yang berkaitan dengan PPSMI. Mereka yang terlibat secara langsung. Tentu lebih tahu baik buruknya. Dan tentulah Menteri Pelajaran akan mendengar cakap dan nasihat mereka. Begitulah sepatutnya. Aku fikir begitu la….

Aku pernah jadi Pegawai Khas kepada Menteri Pelajaran selama lebih kurang sembilan tahun.  Tiga menteri pendidikan. DS Abdullah Ahmad Badawi, Ds Anwar Ibrahim dan Dato’ Amar Sulaiman Daud. Bukan nak tunjuk hebat. Dan tak sehebat manapun. Nak bercerita. Tidak juga nak bercakap hal politik. Nak bercerita hubungan antara Pejabat Menteri Pendidikan dengan kesatuan guru-guru. Seperti aur dengan tebing. Seperti isi dengan kuku. Kadang-kadang seperti anjing dengan kucing. Tak tahulah siapa ‘ anjing’ dan siapa ‘kucing’. Beigutlah mesranya sekali hubungan itu.

Yang menjadi tali penghubungnya, ramai. Aku bertuah kerana menjadi salah sseorang yang diiktiraf sebagai tali’ penghubung. Kadang-kadang sebagai ‘ errand boy’ pun ada.

Dulu ada kesatuan guru-guru seperti Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat ( KGGMMB ), National Union of Teaching Profession ( NUTP) , Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab ( KGGLM ) dan lain-lain. Inilah kesatuan guru-guru yang banyak ‘ menyusahkan’ aku pada waktu itu.  Tokoh dan wiranya pada waktu itu ialah Cikgu Nordin Mahmud ( KGGMMB ), Cikgu Siva Subramaniam ( dah dapat Dato’), Cikgu Nallathambi, dari NUTP, Cikgu Kassim Haron, Cikgu Muhammad Mustafa ( KKGLM ) dan lain-lain yang tidak kurang pentingnya.

Aku ingat nama-nama ni sebab mereka ini adalah kumpulan yang ‘ garang ‘ tetapi baik-baik belaka. Aku dapat katakan mereka inilah species guru yang tulin. Apa tidaknya. Mereka inilah menjadi mata dan telinga rakyat yang berkaitan dengan pendidikan negara. Segala dasar kementerian pendidikan sentiasa diperhati dan diperhalusi oleh mereka samada boleh dilaksanakan ataupun tidak. Sekiranya ada dasar-dasar baru yang hendak diperkenalkan oleh kerajaan, mereka mesti setuju. Kalau tidak akan ‘ huru-hara’ lah negara. Mereka akan bangun mempersoalankan kewajaran sesuatu dasar itu. Sehinggalah mereka berpuas hati, barulah boleh sesuatu dasar itu dilaksanakan.

Ke mana hilangnya kesatuan-kesatuan ini? ( Mungkin mereka bersuara, hanya sekadar aku yang tidak mengikuti. Aku mohon berbanyak maaf)

Aku masih ingat apabila Pak Lah menasihatkan aku, “ Hang tanya depa dulu…” supaya meminta pandangan kesatuan guru-guru sebelum sesuatu dasar hendak dilaksanakan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula kerap kali mengadakan majlis perjumpaan dan makan-makan dengan pemimpin kesatuan guru-guru. Kadang-kadang hampir setiap bulan. Malah pada bulan Ramadhan pun dijemput semua guru-guru yang bukan Islam berbuka puasa denganya. Dengan demikian hubungan itu tersangatlah erat.

Bukan tidak ada isu yang ditentang oleh pemimpin kesatuan. Banyak sekali. Tetapi dapat diselesaikan dengan baik melalui rundingan. Diselesaikan satu persatu isu yang kusut, terutama yang berkaitan dengan isu perkauman. Syukur, semuanya berjalan dalam suasana yang aman dan menyeronokkan. Aku amat merindui keadaan sedemikian.

Yang menjadikan suasana begitu mesra antara kesatuan-kesatuan guru dengan kementerian pendidikan pada ketika itu ialah adanya pimpinan pelajaran yang hebat-hebat. ( Tidak pula bererti ketua pengarah selepas itu tidak hebat ). Tan Sri Abdul Rahman Arshad, Dato Aziz Ismail ( arwah), Tan Sri Omar bin Mohd Hashim, Dato Asiah Abu samah, Tan Sri Wan Mohd Zahid Nordin. Kehebatan dan gabungan tokoh-tokoh pendidi yang hebat inilah menjadikan kementerian perlajaran pada ketika itu sebagai tempat yang menyeronokkan untuk bekerja.

Berbalik kepada persoalan PPSMI. Kestuan guru-guru mesti mengambil peranan penting menasihati Menteri Pelajaran tentang arah tuju yang hendak di bawa. Pasti beliau akan mendengar nasihat daripada para pemimpin kesatuan yang juga seorang guru. Guru mesti tahu buruk baik sekiranya sesuatu dasar itu hendak dilaksanakan.

Bagi aku, mengemukakan pandangan dan pendapat bukan bererti menentang dasar kerajaan ataupun menentang kerajaan. Mengemukakan pendapat bererti bertujuan untuk membetulkan keadaan yang pincang sekiranya ada. Mungkin pihak Menteri tidak Nampak tentang kepincangannya. Mungkin persatuan ibu bapa juga tidak Nampak dimana kesilapan mereka. Dan tugas para gurulah untuk memberikan penjelasan. Mungkin dnegan penjelasan yang diberikan nanti akan dapat memberikan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikan banyak  masalah.

Sudah sampai masanya pihak kesatuan guru-guru bergerak aaktif semula dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada kementerian pelajaran. Masyarakat sedang menunggu peranan guru-guru dalam hal ini. Kesatuan guru-guru tidak payah lagi memperjuangkan tentang gaji guru-guru seperti yang dilakukan oleh pemimpin kesatuan guru yang terdahulu. Pada ketika ini aku difahamnkan bahawa ramai  guru amatlah berpuas hati dengan tawaran gaji yang diberikan oleh kerajaan.

Oleh itu tugas para guru pula membalas jasa kerajaan dengan memberikan input yang berguna agar taraf pendidikan negara kita betul-betul bertaraf dunia. Pihak kesatuan guru-guru pula hendaklah memainkan peranan sepertimana yang pernah dimainkan oleh tokoh-tokoh kesatuan ( pendidik ) terdahulu.

Walau apa pun Cikgu jasamu tetap dikenang.



Abuhassanadam
12 SEPTEMBER  2013

No comments:

Post a Comment