KETIKA ITU NAMANYA LCE
BUKAN PMR
Ini musim peperiksaan. Pelajar-pelajar sibuk. Emak bapak lagi sibuk.
Anak-anak risau tetapi emak bapak lagi risau kalau-kalau anaknya gagal dalam
peperiksaan. Malu. Emak bapak lagi malu kalau anak tidak berjaya mendapat keputusan
cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Aku menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1961. Lower Certificate of
Education ( LCE) . Kini dipanggil PMR ( Penilaian Menengah Rendah). Pada akhir
tingkatan tiga, pepriksaan LCE dijalankan. Sama seperti sekarang. Akhir
tingkatan tiga, pelajar menduduki peperiksaan PMR. Yang berubah hanyalah nama
peperiksaan itu. Yang lain tidak banyak berubah, kecualilah penambahan mata
pelajaran yang terpaksa diambil oleh calon-calon. Dan penggunaan bahasa. Pada
ketika itu semuanya dalam bahasa Inggeris. Hanya Bahasa Melayu sahaja yang
ditulis dalam Bahasa Melayu!....
Kadang-kadang aku termenung juga memikirkan zaman itu. Maksud aku dari
segi kemampuan anak-anak Melayu pada ketika itu. Apabila disebut anak Melayu
bermakna anak Melayu dari kampunglah. Ketika itu belum ramai lagi orang Melayu
tinggal di bandar. Boleh dibilang dengan jari. Yang menyebabkan aku termenung
ialah ‘kehebatan’ anak kampung ketika itu, kalau boleh dikatakan ‘hebat’.
Maksud aku ‘kehebatan’ anak kampung yang boleh lulus beberapa
peperiksaan yang dijalankan dalam bahasa Inggeris. Bermula dari ‘Standard Six
Entrance Test’ ( peperiksaan untuk memasuki Tingkatan Satu), Lower Certificate
of Education Examinations ( LCE – untuk memmasuki Tingkatan Empat), Senior
Cambrige / Malaysia Certificate of Education ( selepas Tingkatan Lima) dan
kemudiannya Higher School Certificate ( untuk memasuki uiniversity). Kesemua
peperiksaan ini dijalankan dalam Bahasa Inggeris. Kertas soalan dibuat di
Cambridge.
Soalan yang selalu menerpa kepala aku sehingga kini ialah bagaimana kami
( anak kampung ) boleh lulus peperiksaan-peperiksaan ini. Para belia kini
tentulah agak pelik mendengar ‘persoalan’ yang aku menungkan ini. Tentulah
tidak masuk akal bagi mereka ‘ persoalan’ yang aku menungkan itu.
Bagaimana kami boleh berjaya?. Dengan cemerlang pulak……
Rata-rata orang Melayu pada ketika itu tersangatlah miskin. Dari semua
segi. Pendek kata orang Melayu pada ketika itu ‘ TERAMAT KAYA DENGA
KEMISKINAN’. ( kenyataan yang selalu aku gunakan apabila diminta memperkenalkan
diri aku ketika berada di persidangan luar negara – ‘ I’M RICH IN POVERTY’).
Tinjaulah dari sudut mana pun. Jawapannya miskin. Miskin sungguh….
Kami tidak kenal erti ‘breakfast’. Apabila Cikgu menyebut perkataan ‘breakfst’
ramai yang terpinga-pinga, sebab kami tidak menikmati ‘brakfast’ dalam ertikata
yang digambarkan oleh Cikgu. Hampir setiap hari, ‘breakfast’ kami ialah rebus
pisang, atau rebus ubi, nasi sejuk ( lebihan semalam) berlaukkan ikan kering
dan secawan kopi O atau teh O. Susu tidak pernah ‘ singgah’ di kebanyakan rumah
orang kampung pada ketika itu. Susu tin ‘cap junjung’ biasanya untuk makanan
bayi kecil!!....
Sepanjang zaman persekolahan aku, hanya ‘bertemankan’ pelita bersumbu
untuk aku membaca dan membuat kerja rumah. Mungkin anak-anak zaman ini tidak
pernah melihat pelita bersumbu yang ‘bertenagakan’ minyak tanah ( orang kampung
panggil minyak gas). Di sekolah Cikgu kerapkali menasihati murid-murid agar
membaca dalam suasana yang terang supaya mata tidak rosak. Aku terpinga-pinga
mendengar ‘nasihat’ sedemikian. Aku mendengar nasihat Cikgu tetapi apakan daya
kami. Itulah saja ‘cahaya’ yang boleh menerangi kami ketika membaca. Pelita
bersumbu itulah yang memberikan cahaya. Dan mujurlah mata aku masih terang
benderang sehingga kini dan hanya memerlukan cermin mata untuk membaca. Mata
orang tua…
‘Keazaban’ pergi dan pulang dari sekolah jangan ‘dikira’. Terpaksa
bangun pukul 5.00 pagi dan pulang dari sekolah Pukul 3.00 petang. Dari rumah ke
perhentian bas di Padang Rengas terpaksa menaiki basikal. Dari Padang Rengas
menaiki bas ke Kuala Kangsar. Dari setesen bas Kuala Kangsar ke sekolah,
berjalan kaki pulak. Berbanding dengan kebanyakan rakan-rakan ( Cina dan India)
yang tinggal di bandar Kuala Kangsar, tidaklah mengalami kesusahan sebagaimana
yang kami anak kampung alami.
Banyak lagi cerita derita yang hendak aku sampaikan. Sekurang-kurangnya
untuk diketahui dan dihayati oleh anak-anak zaman ini tentang kesusahan yang
dialami oleh orang tua mereka ketika bersekolah. Dalam keadaan dan suasana
‘kesusahan’ itu, ramai juga anak-anak kampung yang berjaya setanding dengan
anak-anak kaum lain yang tinggal di kawasan bandar dengan berbagai-bagai
kemudahan yang tersedia.
Berbagai-bagai cabaran yang kami hadapi dalam mengejar cita-cita untuk
menjadi seorang yang berilmu pendidikan. Disamping dorongan dan galakan yang
diterima terdapat juga golongan orang Melayu ( di kampung-kampung ketika itu
yang melemahkan semangat untuk meneruskan pelajaran di sekolah Inggeris pada
ketika itu. ‘Nasihat’ yang boleh
melemahkan ibu bapa di kampung untuk memberikkan pendidikan Inggeris kepada
anak-anak ialah ‘ugutan’ yang mengatakan bahawa ‘ sesiapa saja yang menghantar
anak ke sekolah Inggeris akan menukar agama ke agama Kristian’. Ramai juga ibu
bapa Melayu yang ‘termakan’ dengan ‘nasihat’ sedemikian. Dan merupakan salah
satu punca yang melemahkan orang Melayu dalam pelajaran pada tahun-tahun 50an
dan 60an.
Kami bersyukur kerana kami bernasib baik mempunyai ibu bapa yang ‘progressive’
dan ‘ far-sighted’. Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan orang yang
beriman.
abuhassanadam
27 September 2013
Tuan ,saya minta izin untuk saya kongsikan artikel tuan ini dengan anak anak kami... makasih
ReplyDeleteSilakan.
Delete