Wednesday, September 18, 2013

ORANG KAMPUNG HANYA MAKAN ‘KUAH’

ORANG KAMPUNG HANYA MAKAN ‘KUAH’

Aku merasakan bahawa ramai rakyat Malaysia agaknya tidak begitu setuju dengan apa yang dilakukan oleh DS Najib dan TS Muhyiddin kini. Maksud aku yang berkaitan dengan ‘Bumiputera Economic Empowerment’ yang diperkenalkan beberpa hari lalu yang berkaitan dengan usaha untuk mengutamakan orang Melayu dalam lapangan ekonomi. Aku dapat merasakan bahawa ramai orang Melayu sendiri pun tidak begitu setuju dengan langkah yang diambil pihak kerajaan itu, maksudnya dengan cara tindakan yang bakal dilakukan. Orang bukan Melayu pastinya ‘terasa’ dengan tindakan itu. Dan yang mungkin setuju seratus peratus ialah orang Melayu yang ada ‘bau-bau bacang’ dengan UMNO dan kumpulan pemimpin UMNO yang sentiasa memperolehi habuan dari UMNO yang hanya menggunakan ‘air lior’ sahaja untuk mendapatkan projek yang besar-besar.

Tetapi bagi TS Muhyiddin Yassin, "For me, today is a very lucky day and indeed the most-awaited event. We are not apologetic or worried if the non-bumiputeras or even the international communities see this as something concerning only a certain group. For us, what matters most is the bumiputera agenda and we truly respect the prime minister's firmness and courage," katanya sebagai mengulas kenyataan DS Najib yang dipetik dari Malaysiakini.

Maknanya pihak pemimpin kerajaan UMNO (BN) tidak begitu peduli apa orang  lain ( bukan Bumiputera) nak kata. Jikalau adapun suara menentang daripada pihak luar negara, kerajaan tetap dengan hasratnya itu. Yang penting mengikutnya ialah agenda Bumiputera. Bumiputera harus dimajukan.

DS Mohd Najib dalam ucapanya di UITM Shah Alam beberapa hari lalu ada menyatakan bahawa,"I want chief executive officers in all government-linked companies to set targets for bumiputera participation, including procurement by vendors’. Dan ada yang mengatakan hasrat ini adalah ekoran daripada keinginan untuk membalas budi orang Melayu yang memenangkan UMNO (BN) dalam PRU 13 yang lalu yang membolehkan UMNO (BN) terus menerajui kerajaan walaupun dengan majority yang paling tipis.

Dan dinyatakan dengan jelas oleh DS Najib bahawa tindakannya itu adalah ekoran daripada,"Based on the support by the Malays and bumiputera in the recent 13th general election, therefore today, the government will do a quantum leap to execute concrete and swift strategies and approaches.
We call this the Bumiputera Economic Empowerment. All this is to safeguard Malays and bumiputera, from then, now and forevermore,"


Manis bunyinya. Dan kenyataan sebgini juga telah dinyatakan oleh pemimpin UMNO yang terdahulu. Namun sehingga kini orang Melayu belum juga berjaya sebagaimana yang dikehendaki. Aku tak menafikan yang orang Melayu telah maju jikalau dibandingkan dengan orang Melayu tahun 1950an dulu. Memang maju. Tetapi jika dibandingkan dengan bangsa lain di dunia, jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar orang Melayu memang tak maju. Dalam bahasa yang mudahnya ‘ masih mundur’.

Kononnya DS Najib telah dihujani dengan berbagai-bagai sungutan mengenai orang Melayu yang datangnya dari berbagaai pihak yang perihatin dengan kedudukan orang Melayu. Dan DS Najib telah ‘mendengarnya’ dengan fikiran terbuka sebagaimana dinayatkannya. "After the last general election, we heard all kinds of complaints, concerns and unhappiness raised by the bumiputera community about their future and direction.Yes, we have indeed heard you, we hear you loud and clear’.

Terima kasihlah kerana DS Najib mendengar rungutan golongan-golongan itu dan tentulah mengembirakan golongan itu dan tentunya ada pula golongan lain yang juga merupakan rakyat Malaysia yang tidak berapa gembira dengan pengumuman sedemikian. Aku merasakan bahawa DS Najib harus melihat ‘ the big picture’. Betul orang Melayu dan kaum Bumiputera lain perlu disokong untuk maju.Tetapi selama mana? Kerajaan telah memberikan sokongan kepada orang Melayu semenjak berpuluh-puluh tahun yang lampau. Apakah kesannya?

Betul orang Melayu maju. Tetapi belum dapat memuaskan hati kita bahawa orang Melayu sudah maju. sepatutnya sudah ada ‘ quantum leap ‘ ( meminjam kata-kata DS Najib) dari segi kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu. Orang Melayu masih belum maju.Salah siapa? Salah orang Melayu itu sendiri. Mungkin. Tetapi aku rasa kerajaan pun juga perlu dipersalahkan. Sepatutnya kerajaan ( Kurun ke21 ) harus memikirkan satu tindakan yang kreatif sesuai dengan zaman globalisasi yang selalu disebut-sebut oleh pemimpin UMNO setia kali diadakan Perhimpunan UMNO.

Aku masih melihat bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO (BN) masih memberi ‘ikan’ kepada rakyat yang tidak berdaya dan tidak memberikan ‘pancing’. Tindakan sebegini sudah berjalan berdekad-dekad lamanya. Sekiranya betulah orang Melayu sememangnya tidak boleh maju sepatutnya kerajaan tidak mengambil jalan mudah untuk menenangkan perasaan orang Melayu. Kerajaan seharusnya ‘jangan tunduk’ kepada tekanan sekumpulan kecil orang Melayu yang hanya mahukan kesenangan dengan hanya melalui ‘air lior’ sahaja.

Orang Melayu sepatutnya diajar untuk berdikari. Diajar bersusah-susah untuk mendapatkan sesuatu. Ada orang Melayu yang berjaya melalui kesusahan. Secara berdikit-dikit. Berpegang kepada falsafah, ‘sikit-sikit lama menjadi bukit’ Ada orang melayu yang sedemikian. Ramai yang berjaya tetapi malangnya mereka bukan ‘kaum kerabat’ UMNO. Lantas mereka tidak dipedulikan. Ada kalanya mereka diainaya oleh pihak-pihak tertentu. Malangnya kerajaan UMNO(BN) mengabaikan golongan ini. Mereka amat susah sekali untuk mendapatkan bantuan dari kerajaan kerana mereka bukan ‘kaum kerabat’ UMNO. Dan mereka juga tidak dapat mendekati, apatah lagi membisikkan sesuatu yang berguna ke telinga pemimpin negara, walaupun yang akan disampaikan oleh mereka demi untuk bangsa dan negara.

Yang selalu membisikkan sesuatu ke telinga kepimpinan negara ialah golongan yang sentiasa mencari kesempatan melalui ‘air lior’. Mereka jugalah golongan yang ‘menasihati’ kepimpinan negara dengan ‘nasiht-nasihat yang berguna’. Malangnya bagi rakyat ialah kepimpinan negara lebih mementingkan golongan ini yang lebih  merupakan ‘perosak negara’.

Golongan ini berada di mana-mana. Golongan inlah yang akan ‘ketawa’ berderai-derai ketika si pemimpin itu berjaya dan berkuasa tetapi akan melarikan diri ketika si pemimpin sedang ‘menangis’. ‘Nasihat’ golongan ini jugalah yang sentiasa didengar oleh pemimpin negara untu menentukan sesuatu dasar.

Aku yakin bahawa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh DS Najib dan timbalanya itu adalah atas nasihat golongan yang berkepentinagn ini jugalah. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi kepada negara. Yang dipentingkan ialah ‘perut’ dan ‘perut’ mereka sahaja.

Aku amat khuatir kalau-kalau  tindakan kerajaan kini sesuai dengan semangat 1 Malaysia dan bangsa Malaysia secara keseluruhanya.

Abuhassanadam
18 September 2013


No comments:

Post a Comment