PEMIMPIN RASUAH PENYEBAB SEGALA
Kata Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li ), ‘ Corruption is the biggest
problem. If we can get rid of some or
most then ( the problem) is resolved….
Projects
are too expensive and the costs are passed on to consumers and finally the
people at the bottom have to bear the additional cost’.
51% rakyat Malaysia mungkin
kata begitu. Setuju sangat dengan pandangan Ku Li yang mengatakan bahawa rasuah
dan penyelewengan adalah merupakan masalah besar dan sekiranya masalah ini
dapat diatasi maka banyak masalah akan dapat selesai. Sebahagian besar rakyat
sudah lama tahu mengenai rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin.
Dan yang menyebabkan mereka mengundi pembangkang dalam PRU 13 adalah berpunca
daripada keadaan itu.
Ku Li merupakan
pemimpin lama dan berpengalaman dalam kerajaan. Pernah memegang jawatan Menteri
Kewangan Malaysia buat beberapa lama. Dan berkhidmat di bawah beberapa orang
Perdana Menteri. Seorang pemimpin berkeliber. Nyaris-nyaris menewaskan Tun Dr.
Mahathir dalam pemilihan Presiden UMNO pada awal tahun 1980an dahulu.
Dikalahkan dengan hanya dengan lebih kurang 40 undi sahaja. Maknanya di sudut
hati ahli UMNO pada ketika itu, kehebatan Ku Li tidak kurang hebatnya.
Pengaruhnya dikalangan ahli UMNO lebih kurang sama dengan Tun Dr. Mahathir.
Terus terang aku
katakan bahawa ramai yang menyokong pembangkang bukan disebabkan mereka tidak
bersetuju dengan dasar UMNO ( BN) tetapi mereka tidak menyukai perangai ramai
pemimpin UMNO (BN) yang rasuah dan terlibat dalam berbagai penyelewengan. Lebih
daripada 51% rakyat Malaysia kini yang agak meluat dengan perangai dan sikap
sebahagian besar pemimpin UMNO (BN) yang memerintah negara ini.
Para pemimpin UMNO
(BN) seolah-olah memekakkan telinga dan memejamkan mata apabila isu rasuah dan
penyelewengan ini diperkatakan oleh rakyat. Seolah-olah bukan mereka yang
terlibat dengan apa yang diperkatakan oleh rakyat. Mereka dapat menafikan apa
yang mereka telah lakukan. Oleh kerana mereka berkuasa, maka mereka dapat
menggunakan jentera kerajaan untuk ‘tolong’ menidakkan apa yang telah mereka
lakukan. Mereka amat ‘bijak’ menggunakan ‘ilmu pengetahuan’ yang mereka
pelajari untuk melakukan penyelewengan dan rasuah sehingga terlalu sukar pihak
berkuasa untuk menuduh kegiatan jahat mereka.
Lebih 51% rakyat
Malaysia tahu apa yang mereka lakukan. Jikalau tidak masakan 51% rakyat
menentang UMNO ( BN ) dalam PRU 13 yang lalu. Sudah jelas di mata rakyat ada
perbuatan-perbuatan sumbang yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak
tahu malu dan bermuka tebal. Mereka ‘tergamak’ menafikan perbuatan terkutuk
mereka. Dan sebaliknya ada pula yang terus menuduh orang yang melaporkan
perbuatan terkutuk mereka.
Yang anihnya, pemimpin
sedemikian masih ada yang mahu ‘mengikut’nya. Pengikutnya terus menerus
mengangkatnya menjadi pemimpin. Bukan itu saja, malah terus dilantik memegang
jawatan dalam kerajaan. Dan yang empunya diri yang terpalit, tidak pula segan
silu menerima jawatan yang ditawarkan.Apakah rakyat Malaysia yang sebegini
sudah hilang pertimbangan langsung dan sudah tidak dapat menilai sesuatu yang
baik dengan yang buruk. Apakah sudah dikaburi agaknya mata mereka yang sudah
tidak dapat melihat dengan jelas, membezakan antara keburukan dan kebaikan.
Jikalau keadaan
sebegini berjalan terus menerus, maka aku tidak tahu ke manalah agaknya
akhirnya ‘destinasi’ negara ini. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ku Li,
‘Projects are too expensive and the costs are passed on to consumers and
finally the people at the bottom have to bear the additional cost’. Maknanya
sesuatu projek yang dijalankan oleh kerajaan adalah terlalu mahal dan dibahu
rakyatlah diletakkan bebanan untuk menanggung
kos –kos tambahan. Lantas kesimpulan yang dibuat oleh Ku Li itu ialah,
kerajaan seharusnya memerangi rasuah dan penyelewengan ini dengan
sekeras-kerasnya dan bukan sepatutnya menaikkan harga minyak. ( Kerajaan kata
mereka mengurangkan harga subsidi minyak).
Ku Li mencadangkan,
‘Make everybody declare their assets. See what we have and don’t have and let
the people decide as we belong to the people,”. Tentulah baik sekali cadangan
itu supaya setiap pemimpin mengisytiharkan harta mereka. Namun begitu aku
khuatir berapa orang antara pemimpin yang sanggup melakukan apa yang
dicadangkan. Sekiranya dilakukan apa yang disarankan, aku pasti tidak
dijalankan setelus sebagaimana yang dikehendaki. Berbagai cara dan berbagai
helah akan digunakan pemimpin untuk mengelakkan daripada mengisytiharkan harta
mereka yang sebenar.
Oleh kerana ramai
yang berpendapat bahawa keadaan dalam negara sudah bertambah runcing, maka
telah disarankan diadakan satu dialog antara pemimpin kerajaan dan pembangkang
untuk mencari jalan penyelesaian masalah itu, sebagaimana yang disarankan oleh
DS Anwar Ibrahim. Hanya pemimpin yang pemerhatianya ‘kabur’ saja yang tidak
dapat melihat dan merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat terbanyak kini.
Rakyat Malaysia sedang ‘sakit’. Perasaan curiga mencurigai antara satu kaum
dengan kaum lain sedang menular kini. Perasaan perkauman sudah sampai ke
peringkat yang agak membahayakan, apatah lagi apabila ‘diapi-apikan’ oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab. Ada dikalangan pemimpin yang tidak segan silu
mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan satu-satu kaum.
Sudah sampai masanya dialog sebagaimana yang
disarankan diadakan segera. Cadangan Ku Li itu amat berguna. Beliau
menyarankan“Any dialogue is useful. Don’t think of who wins or who loses
because it will benefit the people, especially the poor.” Amat bertepatan
dengan hasrat ramai rakyat di negara ini. Dialog itu bukan pertarungan menang
kalah tetapi adalah sebagai mencari jalan penyelesaian bagaimana kemelut yang
berlaku kini dapat diatasi dengan segera dan berhemah supaya keadaan harmoni
sepertimana yang pernah kita alami dulu. Supaya perasaan curiga-mencurigai
antara satu kaum dengan kaum lain dapat diatasi.
Aku rasa ramai rakyat Malaysia merasakan tidak
salah diadakan dialog itu kecualilah ada pihak-pihak yang merasakan bahawa
dialog itu tidak perlu kerana tidak ada isu yang hendak ‘didialogkan’. Mungkin
ada juga pihak yang merasakan bahawa negara kini dalam keadaan aman dan
sejahtera.
Sekiranya begitulah anggapan setengah pemimpin
kini, maka sebenarnya pemimpin yang bersikap demikian adalah pemimpin yang amat
tidak bertanggungjawab. Aku harap tidak ada pemimpin yang bersikap sedemikian
rupa.
abuhasssanadam
9 September 2013
No comments:
Post a Comment