“ANAKKU MENUNTUT DI UNIVERSITY…….”
Aku fikir kebanyakan orang
Melayu (di kampung khususnya) hanya tahu menyebut bahawa ‘anakku menuntut di
university’ sekiranya anaknya sedang menuntut di pusat pengajian tinggi.
Mungkin ramai juga yang masih tidak tahu tentang kursus dan bidang pengajian
yang dipilih oleh si anak. Mungkin juga ada diantara mereka yang tidak peduli
university mana anaknya belajar. Yang
mereka tahu bahawa anaknya belajar di university di Kuala Lumpur. Jauh sekali
mereka nak mengetahui tentang ‘ranking’ university tempat anaknya belajar. Jauh
sekali. Tidak juga mereka memikirkan bidang kursus yang diambil oleh anak
mereka supaya memudahkannya mendapat pekerjaan apabila sudah tamat nanti.
Aku rasa masih ramai orang
kampung yang berkeadaan begitu.
Ekoran daripada penurunan
taraf university-university di Malaysia yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS), aku terpanggil untuk
mencungkil isu yang mungkin dianggap lapuk. Aku masih belum yakin bahawa ramai
orang Melayu di kampung betul-betul faham tentang keadaan university-university
yang berada di negara atau di luar negara. Aku begitu yakin bahawa orang Melayu
begitu bersemangat untuk memberikan pendidikan setinggi yang mampu kepada
anak-anak mereka kini. Tetapi mereka tidak ambil tahu tentang university yang
hendak dituju oleh anak mereka. Mungkin mereka tidak tahu ataupun tidak mahu
ambil tahu.
Dari segi semangat untuk menyekolahkan anak-anak
adalah amat membanggakan. Tidak seperti orang Melayu pra DEB (1970an) yang amat
‘liat’ dan tidak bersemangat untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak
mereka. Aku ingat bagaimana para mahsiswa dari university-university tempatan
pada awal 1970an terpaksa mengadakan ‘kempen kesedaran’ kepada masyarakat
Melayu di kampung. Ini dijalankan pada musim cuti panjang. Pada waktu-waktu
begini akan berkeliaranlah para anak-anak muda mahasiswa pergi ke kampung-kampung
menjalankan berbagai aktiviti, semata-mata untuk memberi kesedaran pada anggota
masyarakat Melayu di kampung tentang pentingnya pelajaran kepada anak-anak.
Berbagai pertubuhan menjalankan kempen berkenaan dengan mendapat sokongan
kerajaan-kerajaan negeri dan badan-badan tertentu.
Syukur kepada Allah bahawa jerih payah para
mahasiswa pada ketika itu telah menampakkan hasilnya. Kesedaran yang diberikan
oleh anak-anak muda mahasiswa itu rupa-rupanya mendatangkan kesan yang amat
positif. Ini dapat dilihat daripada ratusan ribu anak-anak Melayu kampung yang
telah berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi samada di dalam dan di
luar negara. Tentulah usaha kerajaan tidak harus dilupakan dalam meberikan
bantuan seadanya untuk membantu anak-anak luar bandar yang memerlukan.
Persoalan yang menendang benak aku ialah apakah
orang kampung kini faham tentang keadaan university, tempat anak-anak mereka belajar.
Mungkin ‘bodoh’ bunyinya persoalan yang aku ketengahkan pada kali ini. Namun
aku masih merasakan bahawa ramai orang kampung yang tidak begitu faham tentang
perjalanan dan keadaan unversity ini. Kajian ini aku dasarkan kepada
pemerhatian aku melihatkan tentang keadaan orang kampung aku. Saudara mara
aku. Sahabat handai aku di kampung. Aku
yakin masih ada diantara mereka yang masih tidak begitu faham. Dan aku agak
begitu jugalah keadaan orang lain di kampung yang lain di Malaysia ini. Aku
yakin begitu jugalah.
Lantas aku betul-betul terpanggil untuk ‘meneroka’
semula isu lapuk ini.
·
Orang Melayu harus tahu dan faham apakah sebenarnya
yang dikatakan ‘university’ itu. Bukan macam sekolah menengah. Bukan macam
maktab perguruan. Lain. Bukan sahaja tempat menuntut ilmu tetapi adalah sebagai
tempat untuk segala-galanya- mengasah bakat, berlatih untuk berfikir secara
kritikal, berlatih untuk bebas mengeluarkan pendapat dll.
·
Kursus yang perlu diikuti. Bukan hanya ‘tangkap
muat’. Orang Melayu kena tahu apakah kursus yang relevan untuk dipelajari oleh
anak-anak ketika belajar di University. Orang Melayu kena tahu keperluan
pasaran dalam negara. Bukan hanya setakat menjejakkan kaki di menara gading dan
kemudiannya dapat segulung ijazah. Orang Melayu kena tahu keperluan pasaran
supaya anak-anak mendapat pekerjaan apabila keluar dari university nanti.
·
Orang Melayu kena tahu juga university dan kolej yang
bermutu. Bukan semua university dan kolej di Malaysia bermutu. Orang Melayu
kena tahu sebab perbelanjaan untuk ke university amat mahal. terpaksa meminjam.
Dan perlu di bayar semula!!....
Aku dapat
katakan sehingga kini – sehingga tahun 2013 masih ramai orang Melayu ( di
kampung dan juga di bandar ) yang masih tidak faham dan mengerti sedalam-dalamnya
tentang university samada dalam dan luar negara. Kadang-kadang aku merasakan
bahawa kerajaan membelanjakan berbilion ringgit semata-mata untuk menghantar
pelajar ke luar negara itu adalah sangat membazir sekiranya menghantar
pelajar-pelajar ke university yang rendah tarafnya.
Banyak pusat
pengajian tinggi di luar negara yang begitu keadaannya. Mereka ‘menahan lokah
dipergentingan’. Mereka tahu ramai pelajar-pelajar dari negara-negara yang
sedang membangun ( termasuk Malaysia) bersedia untuk membelanjakan wang yang
banyak untuk mendapat pendidikan di United Kingdom atau di Amerika Syarikat.
Justeru ‘tumbuh’lah university-university seperti cendawan selepas hujan. Dan
berduyun-duyunlah pelajar kita belajar di sana. Dan yang malangnya ke
university-university yang tidak sepatutnya.
Sejarah
penghantaran perlajar-pelajar ke luar negara secara beramai-ramai bermula pada
tahun-tahun 1970an, iaitu semenjak dilancarkan Dasar Ekonomi Baru. Dan
‘berhijrahlah’ beramai-ramai anak-anak Melayu ke luar negara untuk belajar di
univerity di luar negara untuk mendapatkan ‘segulung’ ijazah. Yang dipentingkan
ialah ‘ segulung’ ijazah dan bukan untuk mendapatkan ilmu. Tidak kiralah dari
university mana pun mereka mendapatkan ‘segulung ‘ ijazah itu. Maknanya tidak
ramai yang pergi ke university ternama seperti Oxford, Cambridge di Great
Britain ataupun terlalu sedikit bilangannya yang pergi ke Harvard, Stanford,
Yale, Princeton sekiranya mereka ke Amerika Syarikat.
Dan secara
kebetulan pula ramai pelajar Melayu ketika itu yang amat suka belajar di
university-university yang senang untuk lulus disebabkan tujuan mereka ke
university di Amerika Syarikat itu adalah untuk mendapatkan ‘segulung ijazah’
dan bukannya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.
Mereka
pulang dengan segulung ijazah. Emak bapa berbangga dengan kejayaan itu. Orang
kampung juga berasa bangga dengan kejayaan
anak kampung mereka. Maka disembelihlah lembu dan kambing untuk majlis
kesyukuran atas kembalinya anak kampung dari luar negara. Dan yang malangnya
ialah apabila si graduan luar negara ini memohon mendapatkan pekerjaan, mereka
tidak diterima bekerja. Alasannya ialah mereka tidak dapat memenuhi kehendak
dan keperluan sesebuah syarikat. Mungkin disebabkan ‘kepakaran’ yang ada pada
mereka tidak sesuai dengan keperluan syarikat berkenaan. Yang selalu kita
dengar ialah penguasaan Bahasa
Inggerisnya agak lemah…..
Maka
menganggurlah si anak buat beberapa tahun menunggu peluang bekerja, walaupun setelah
belajar di luar negara….
Malangnya
nasib anak bangsaku…..Melayu.
abuhassanadam
12 September
2013
No comments:
Post a Comment