MENGGUNAKAN KHIDMAT McKINSEY &CO, APAKAH
PEGAWAI PENDIDIKAN KITA SUDAH TIDAK BERGUNA LAGI?
Berita dari
parlimen Malaysia mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggunakan
tenaga consultant McKinsey and Co untuk merangka blueprint pendidikan yang baru
saja diumumkan. Berita ini tentunya amat mengejutkan ramai orang, terutamanya
para pendidik dan bekas pendidik.
Aku hairan!
· - Apa yang telah terjadi kepada EPRD ( Educational
Planning and Research Development ) kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab
untuk merancang mengenai pendidikan negara. Selama ini kementerian pendidikan telah
menyerahkan kepada Bahagian ini untuk merancang sistem pendidikan Malaysia.
· - Apa yang telah terjadi kepada puluhan ribu pegawai
pendidikan yang dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara di peringkat
Sarjana dan Doktor Falsafah dan kini seolah-olah tidak berguna lagi. Apa
tidaknya. Pihak kerajaan merasakan bahawa tenaga dari luar lebih hebat dan
berguna daripada menggunakan tenaga dalaman. Ibarat ‘ Sudah dapat gading
bertuah, tanduk tidak berguna lagi’. Namun apakah ‘gading’ yang digunakan oleh
kerajaan itu betul-betul berguna atau lebih ‘teruk’ lagi daripaa tanduk yang
dibuang.
· - Mengapakah pihak kerajaan tidak menggunakan
tenaga-tenaga pakar dan berpengalaman seperti Tan Sri Abdul Rahman Arshad, Tan
Sri Omar bin Mohd Hashim, Tan Sri Asiah Abu Samah, Tan Sri Wan Mohd Zahid
Nordin yang boleh digunakan kepakaran untuk merangka blueprint pendidikan ini.
Mereka masih ada dan bertenaga untuk melaksanakan tugas-tugas seperti itu.
Mengapa tenaga mereka tidak digunakan sepenuhnya?Dan ‘orang lama’ ini boleh
berpadu tenaga dengan ‘orang baru’ yang masih berkhidmat di Kementerian
Pendidikan untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan zaman ini – Kurun ke
21.
· - Mengapakah kesatuan-kesatuan guru tidak ‘bersuara’
menyatakan ketidakpuasan hati mereka mengenai perkara ini. Mengapa mereka
menyepi – sesepinya. Ataupun sekiranya mereka bersetuju dengan langkah ini,
mengapa mereka tidak menyuarakan sokongan mereka. Apakah kesatuan-kesatuan guru
sudah seperti kata peribahasa Melayu ‘ hidup segan mati tak mahu’. Ke manakah
perginya pemimpin-pemimpin kesatuan Gruru. Apakah mereka tidak sedar tentang
hal sebegini berlaku. Apakah mereka sanggup memekakkan telinga dan memejamkan
mata mereka dan membiarkan saja hal-hal pendidikan ‘dinodai’. Apakah mereka
sudah tidak layak dipanggil guru kerana seolah-olah ‘sudah meletakkan jawatan
sebagai seorang guru.
Kerajaan
sanggup berbelanja 20 juta ringgit untuk merangka pendidikan milik orang
Melaysia yang dirangka oleh ‘orang luar’ yang hampir tidak tahu dengan mendalam
perasaan,falsafah, hala tuju pendidikan di negara ini. Dan mereka bukannya
pakar dalam bidang pendidikan yang ditugaskan untuk melaksanakan tugas
pendidikan. Mereka seolah-olah ditugaskan hanya sebagai ‘melepaskan batuk di
tangga’ sahaja. Jika dibandingkan pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai
pendidikan di Malaysia, maka kepakaran mereka adalah seperti langit dengan bumi
jika dibandingkan dengan tenaga pakar kita yang ada di Malaysia. Persoalannya
mengapalah pihak kerajaan kita sanggup berbelanja jutaan ringgit untuk itu.
Amat sedih memikirkannya…..
Apakah
negara kita sudah betul-betul ketandusan pemikir-pemikir yang boleh memikirkan
sesuatu ke arah menyediakan blueprint pendidikan negara kita. Aku merasakan
amat dayus penduduk negara ini yang tinggal pada awal Kurun ke 21 berbanding
dengan tokoh-tokoh pendidikan yang hidup
pada pertengahan dan penghujung Kurun ke 20.
Tidakkah kita merasa malu dengan tokoh-tokoh seperti Dato’ Abdul Razak,
Abdul Rahman Talib, Aminuddin Baki dan ramai lagi yang sanggup merangka sistem
pelajaran yang praktikal dan boleh digunapakai sehingga kini berbanding dengan
blueprint yang ada kini.
Seingat akulah, sebelum ini tidak pernah lagi kementerian
Pendidikan menggunakan tenaga asing untuk membuat kerja-kerja sebegini. Dan
satu perkara yang perlu difikirkan oleh rakyat Malaysia ialah tentang Consultan
yang digunakan oleh kementerian pelajaran ini adalah milik Yahudi. Dan yang
anihnya tidak pula terdengar suara yang menentang tindakan kerajaan ini yang
datang dari NGO-NGO yang kononnya memperjuangkan bangsa dan agama di negara
ini. Tidak terdengar langsung suara mereka. Senyap. Sepi. Seolah-olah
memberikan gambaran bahawa NGO-NGO ini lebih merupakan NGO cari makan. Mencari
sesuap pagi dan sesuap petang. Amat hina ….
Sayup-sayup terdengar juga suara dari ‘atas’ yang
mengatakan bahawa blueprint yang dirangka oleh ‘expert’ dari luar negara ini
merupakan yang terbaik dalam sejarah pendidikan negara. Apakah setiap yang
dihasilkan oleh orang luar semuanya ‘tip-top’ belaka? Apakah mereka tidak
memperhalusi atau pun tidak tahu tentang
kewujudan Penyata Razak atau Penyata Rahman Talib. Bukankah inti
laporan-laporan berkenaan yang telah wujud sehingga kini dan menampakkan bahawa
‘blueprint’ yang dirangka pada tahun 1956 dan 1960 telah tahan diuji zaman.
Bukankan itu yang dikatakan ‘hebat’. Blueprint yang dirangka oleh orang luar
ini belum tentu lagi dapat bertahan atau tidak. Malah belum dilaksanakan. Dan
sudah nampak penentangan yang bukan kepalang sebelum dilaksanakan. Inilah hasil
kerja orang luar….
Tindakan
kerajaan menggunakan tenaga konsultan dari luar ini memberikan satu andaian
bahawa sekiranyalah keadaan ‘menggaji’ tenaga luar ini berterusan, maka apakah
guna dan apakah perlunya para pegawai kita yang dibayar gaji dan dihantar ke
luar negara untuk melanjutkan pelajaran. Wujudnya keadaaan sedemikian
seolah-olah memberikan gambaran bahawa para pegawai kita tidak layak untuk
menjalankan tugas sedemikian dan lantas terpaksa menggunakan tenaga dari luar.
Apa yang
dilakukan oleh kementerian pendidikan ini adalah sesuatu yang amat luar biasa.
Apa tidaknya. sekiranya diperhalusi dan
direnungkan sedalam-dalamnya, apakah boleh tenaga dari luar memahami tentang
keadaan ‘yang sebenar’ mengenai perjalanan pendidikan di negaar kita. Maksud
aku mengenai latar belakang penduduk dan budaya kita di Malaysia. Mereka
mungkin kata mereka faham. Tetapi apakah mereka betul-betul faham sepertimana
kefahaman yang dimiliki oleh TS Abdul Rahman Arshad yang telah bergelumang
dengan warga pendidik sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Apakah kefahaman
mereka tentang sejarah pendidikan negara ini dapat menandingi kefahaman yang
dimiliki oleh TS Omar bin Mohd Hashim yang sampai kini masih rapat dan
berjinak-jinak dengan sistem pendidikan negara.
Mengapa
tenaga yang tepu dengan pengalaman sebegini diketepikan? Malang sungguh nasib
bangsaku.
abuhassanadam
25 September
2013
thanks gan infonya !!!
ReplyDeletewww.bisnistiket.co.id