BIARKAN
ANJING MENYALAK BUKIT
Kerajaan baru saja menaikkan harga minyak. Kerajaan kata, ‘ mengurangkan
subsidi sebanyak 20 sen’ bukannya harga minyak naik. Walau apa pun, yang
menanggung kerugian ialah rakyat terbanyak. Yang miskin dan yang kaya. Orang bandar
dan orang kampung. Kaum Melayu, Cina, India sama-sama terkena secara langsung
atau ‘tempias’nya. Kena tetap kena.
Rata-rata rakyat Malaysia kini terlibat dengan pembelian minyak petrol.
Mana ada rakyat Malaysia yang menggunakan basikal, kecuali kanak-kanak kecil
dan orang dewasa yang menggunakan basikal untuk beriadah. Dalam kampung pun
mana ada yang menggunakan basikal. Pakai kereta atau menggunakan motosikal.
Begitulah ‘mewahnya’ rakyat di negara
kita.
Apabila diumumkan kenaikan harga minyak baru-baru ini, rakyat
‘menjerit’, marah. Berbagai-bagai celaan dilemparkan kepada kerajaan. Tidak ada
seorang pun yang aku temui yang mengatakan ‘gembira dengan pengurangan subsidi’
itu. Maknanya mereka marah. Tetapi ada yang melahirkan kemarahan dengan meludah-ludah
ke bumi dan ada pula yang menyorok kemarahan itu. Pada hakikatnya rakyat begitu
marah.
Namun begitu apa yang boleh dilakukan lagi. Kerajaan tentunya tidak akan
menarik balik pengumuman itu. Kerajaan pastinya tidak akan menarik balik
keputusannya mengenai harga minyak itu. Harga minyak akan tetap RM 2.10 sen.
Seolah-olah pihak kerajaan akan tertawa berdekah-berdekah sambil mengatakan, ‘
biarkan mereka menyalak…. Memang betul bahawa rakyat boleh terus ‘menyalak’ dan
pastinya ‘bukit’ tidak akan runtuh.
Pihak kerajaan BN ( UMNO ) amat tahu bahawa kedudukan mereka tidak akan
tergugat lagi dengan kenaikan harga minyak itu. Mereka amat sedar bahawa
keputusan PRU 13 memberikan mereka mandat untuk meneruskan apa saja rancangan
yang dirancang sebelum ini. Mungkin kerajaan BN (UMNO) agak berhati-hati untuk
melaksanakan sesuatu projek sebelum PRU 13, takut kalau-kalau mendapat
tentangan daripada rakyat dan lantas menggugat kedudukan PRU 13. Tetapi ‘bahaya’
sedemikian sudah tidak ada lagi. Sudah
beres.
Kini keputusan telah dibuat yang memberikan mandat kepada kerajaan untuk
berbuat apa saja yang difikirkan perlu walaupun majoriti rakyat tidak
menyetujuinya. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ tepuk dada tanya selera’. Kerajaan kini boleh umumkan projek yang
bernilai berbilion ringgit untuk diberikan kepada saudara mara dan sahabat
handai dengan tidak payah melalu tender terbuka. Walaupun ada tentangan dari
pihak pembangkang dan rakyat, namun persetankan tentangan itu kerana kuasa
adalah ditangan kerajaan BN(UMNO). Pihak pembangkang dan rakyat yang perihatin
hanya boleh ‘menyalak dan menyalak’, dan ‘bukit’ tidak akan runtuh.
Kerajaan mungkin terus menandatangani perjanjian mengenai TPPA (menyertai Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik) walaupun mendapat tentangan dari banyak pihak
termasuk dari Tun Mahathir sendiri. Amerika Syarikat tidak berjaya memujuk
Korea Selatan walaupun usaha memujuk sudah bermula semenjak tahun 2010. Dan
jawapan yang diberikan oleh Seoul pada ketika itu ialah ‘ tunggu dulu’ dan
hanya akan memberikan jawapannya setelah dikaji buruk baiknya.
Sehingga kini Korea Selatan masih tidak menyertai bloc berkenaan. Kita
tidak tahu apa sebabnya. Mungkin Amerika Syarikat akan terus memujuk Korea
Selatan supaya membuat pendirian dengan segera. Peribahasa Melayu ada menyebut,
‘ jikalau tidak ada-ada takkan Tempua bersarang rendah’. Dan mungkin ada agenda
yang terselindung yang membuat Amerika bersungguh benar memujuk Korea Selatan.
Suatu perkara yang amat disedari ialah bahawa dengan menyertai bloc ini Korea
Selatan akan membukakan pasaran pertaniannnya kepada barangan import. Sedangkan
ini yang sentiasa dilindungi olehnya.
Ramai yang mengatakan bahawa ada agenda tersembunyi yang menyebabkan
Amerika Syarikat bersungguh benar meralisasikan TPPA ini. Antaranya ialah
hasrat Amerika Syarikat untuk menyekat kemaraan China dari segi ekonomi dan
dengan demikian mengekalkan penguasaan Amerika Syarikat di rantau ini.
Jepun pun pada mulanya teragak-agak untk menyertai bloc TPPA apabila
memikirkan tentang nasib industri pertanian mereka. Begitu juga dengan Canada
yang tidak dapat terlepas dari kebimbangan demikian. Maknanya sekiranya mereka
menyertai bloc ini mereka terpaksa membenarkan kemasukan import barangan
pertanian dari luar yang berkemunginan membahayakan juga industri pertanian
mereka. Mungkin itu alasannya. Dan dalam senarai yang akan hadir di persidangan
ke 18 di Sabah nanti tidak ternampak pula penyertaan Canada.
Jikalau diperhatikan ahli-ahli yang hadhir dalam persidangan ‘ The 18th round
of TPPA talks’ yang bermula di sabah baru-baru ini – United States, Australia,
Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapore, Japan and
Vietnam -menampakkan bahawa South Korea dan Canada masih lagi belum menyertai
bloc sedemikian. Mengapa? Itu merupakan satu tindakan berhati-hati
pentadbiran negara berkenaan. Namun negara Malasia telah bersetuju menyertai Bloc
demikian pada tahun 2010.
Apakah Malaysia tidak merasa bimbang dan ragu dengan penyertaan ini.
Sudahkah para pemimpin negara membuat perhitungan dan pertimbangan yang teliti
mengenai penyertaan Malaysia itu. Apakah sememangnya cara Malaysia tidak
berfikir panjang apabila mengambil sesuatu keputusan yang membabitkan negara.
Ataupun para pemimpin Malaysia tidak begitu peduli tentang baik buruk sesuatu
tindakan mereka terhadap kepentingan negara.
Tun Mahathir telah memberikan pandangan atas kebimbangannya, takut-takut
Malaysia akan terjerumus dan ‘terjajah’ semula. Jikalau dahulu Negara ini
pernah dijajah dalam bentuk politik, maka dengan menyertai bloc TPPA ini negara
akan dijajah dalam bentuk ekonomi pula. Tun Mahathir telah mengemukkan hujah
yang cukup konkrit yang perlu diambil perhatian serious oleh pihak-pihak
tertentu.
Aku amat setuju dengan pandangan Tun Mahathir. Dan aku teringat akan
kata-kata Lee Kuan Yew yang mengatakan bahawa ‘ si bodoh adalah makanan si
cerdik dan si tidur adalah makanan si jaga’ Kita berasa sangsi dengan kebolehan
dan kemampuan para pemimpin dan pegawai kita untuk merundingkan sesuatu yang boleh
membawa keuntungan kepada Malaysia. Banyak contoh yang telah ditunjukkan oleh
Tun Mahathir yang menyebabkan Malaysia ‘tewas’ dalam perundingan dan kesannya
tentulah merugikan negara.
Terpanggil juga aku menyelitkan pandangan Kishore Mahbubani dalam bukunya,
“ Can Asians Think’ ( 2009 ). Beliau menyatakan, “ The real danger that the 21st Century
faces is that we will sail into it with 19th Century mental
maps. To prepare for the new world, we will have to discard conventional
wisdom, break up old thought patterns and begin thinking along new mental
corrisdors’
Maknanya rakyat Malaysia perlu berhati-hati untuk ‘meniti’ dan
menempuh kurun ke 21. Jangan hanya sedap bercakap menyebut ‘globalisasi’
sedangkan makna dan hasrat sebenarnya tidak diteliti. Itulah amaran yang
diberikan oleh Mahbubani agar kita tidak ‘merempuh’ kurun ke 21 bersendikan
pemikiran Kurun ke 19. Untuk mendongkah dunia baru, kita harus menukar sikap
dan cara lama kita dan seharusnya menyesuaikan diri dengan dunia yang sedang
kira harungi. Dengan berbuat demikian barulah kita boleh maju.
Apakah rakyat Malaysia mampu berbuat demikian? Aku masih sangsi.
Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Tun Mahathir bahawa telah banyak sangat
kegagalan yang telah kita lalui akibat dari kurang cekapnya para pemimpin dan
pegawai kita di meja rundingan. Banyak sangat kegagalan yang kita alami apabila
berunding pihak luar. Dengan Singapura misalnya. Tun Mahathir telah mendedahkan
masalah penjualan air ke Singapura, masalah penyelesaian Pulau Batu Putih,
persoalan jambatan ( bengkok) dan banyak lagi. Dengan demikian telah
memberikan gambaran bahawa bangsa kita lemah dan selalunya tewas apabila
berunding. Justeru merugikan negara dan memalukan negara dan bangsa. Puncanya
ialah ketidakcekapan pemimpin dan pegawai untuk berunding.
Pihak pemerintah Malaysia seharusnya peka dengan keadaan yang ada dan
seharusnya menjadikan Rundingan TPPA ini sebagai satu ujian kemantapan mereka
merundingkan sesuatu yang gah dan besar demi kepentingan negara. Dan hendaknya
janganlah dirahsiakan butir-butir rundingan supaya rakyat terbanyak tahu ‘apa
biji buahnya’ rundingan berkenaan.
Namun begitu mungkin juga pihak kerajaan tidak peduli dan peka pandangan
rakyat. Mungkin mereka akan berkata, ‘ rakyat apa tahu?.....’ dan kerajaan
mungkin akan memekakkan telinga saja kerana berpegang pada falsafah ‘
biarkanlah anjing menyalak bukit….bukit pasti tak akan runtuh..” Apatah lagi
apabila dikenangkan bahawa PRU 14 amat jauh dihadapan…..
abuhassanadam
13 September 2013
No comments:
Post a Comment