Wednesday, September 4, 2013

APABILA HARGA MINYAK NAIK- ‘HANYA 20 SEN’!.....

APABILA HARGA MINYAK NAIK- ‘HANYA 20 SEN’!.....

Harga minyak dah naik. Kata pemimpin-pemimpin kerajaan BN (UMNO) hanya 20 sen. Dan mereka memberitahu rakyat bahawa bukan ‘ harga minyak naik’ tetapi ‘ Kerajaan mengurangkan subsidi’ sebanyak 20 sen. Dan ada pula menteri yang mengatakan bahawa kenaikan harga barang makanan hanya akan ada kenaikan sekitar 0.1%.

Aku tak tahu macam mana menteri berkenaan buat kira-kira. Memang hebat. Aku tak berpeluang belajar di Cambridge atau di Harvard. Mungkin dia belajar di university berkenaan agaknya untuk mengetahui cara-cara membuat perkiraan demikian. Dan seingat aku, itulah ‘bunyi’ kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri berkaitan ( sebelum ini ) apabila kerajaan menaikkan harga minyak. Mereka akan mengeluarkan kenyataan untuk ‘menyedapkan hati’ rakyat dengan kata-kata, ‘ kerajaan ingin memberi amaran kepada peniaga-peniaga agar tidak menaikkan harga barang. Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang’

Orang kampung seperti aku akan percaya dengan ‘pujukan’ yang sudah berulang kali dilaungkan setiap kali harga minyak naik. Semenjak zaman berzaman begitulah bunyinya ‘suara’ para menteri kita untuk menenangkan perasaan rakyat. Terutamanya rakyat luar bandar. Radio dan TV saluran kerajaan pula akan mengatur ayat-ayat yang sesuai dan ‘manis’ untuk didengar oleh orang kampung seperti aku. Tidak cukup dengan peranan radio,TV dan akhbar, maka ajen-ajen seperti ahli JKKK, guru-guru KEMAS akan digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada orang kampung mengenai tindakan kerajaan menaikkan harga minyak.

Aku sedih dengan kenaikan ‘ hanya 20 sen ‘ ini. Amat sedih. Aku dapat bayangkan keluhan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana seperti aku. Aku tidak hairan dengan rakan-rakan dalam Kerajaan atau pun yang mendokong parti UMNO.  Mereka senang-senang belaka.  Ketua cawangan UMNO pun aku perhatikan kaya-kaya belaka. Apatah lagi yang berjawatan tinggi. Ketua Bahagian  misalnya. Lagi hebat ler. Itu belum lagi yang berjawatan dalam Majlis Tertinggi atau Naib Presiden.

Aku tahu bahawa mereka tidak akan menghadapi masalah langsung dengan kenaikan ini. Mereka pastinya tidak akan terjejas. Mereka kelihatan sihat-sihat dan ‘gemuk-gemuk’ belaka. Mereka memiliki kereta-kereta mewah untuk kegunaan mereka. Bukan sebuah tetapi beberapa buah. Dengan demikian golongan elit dalam UMNO ini tidak akan ambil pusing kangsung tentang kenaikan harga minyak ini. Dengan sebab itulah ramai antara mereka yang akan mempertahankan tindakan kerajaan menaikan harga minyak ini.

Aku menungkan semula tentang kenaikan harga minyak ini walaupun ‘ hanya 20 sen’. Aku terfikir juga bahawa tidakkah ada cara lain yang boleh difikirkan oleh kerajaan selain daripada menaikkan harga minyak ini. Aku berkata demikian kerana kenaikan harga minyak mempunyai ‘domino effect’ nya. Kesannya akan ‘ bertali-tali’. Semua harga barangan keperluan akan naik. Kerajaan tak boleh buat apa-apa sebab ‘market forces’ yang menentukan harga sesuatu barangan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri itu hanya untuk ‘menyedap’ hati dan perasaan rakyat. Setahu aku dan seingat aku tidak banyak yang dapat dilakukan.  Namun begitu aku tidak pula akan menidakkan usaha menteri PRU 13 yang ada kini. Mungkin dapat melakukan ‘miracle’. Mungkin……

Yang berpendapatan rendah dan sederhana pasti tidak lena tidur dengan kenaikan ini. Si bapa akan memikrkan nasib anaknya yang bersekolah. Tambang bas pasti akan naik. Harga barangan makan di sekolah pasti akan naik. Harga baju dan pakaian seragam sekolah pasti akan naik juga. Pendek kata semua akan naik. Bagaimanalah si ayah dan si ibu akan melelapkan mata mereka dalam keadaan sekarang.

Ramai rakyat kini hanya menunggu jamuan Hari Raya atau majlis khenduri untuk dapat menikmati hidangan daging kambing atau daging lembu. Termasuklah aku. Ramai yang sudah tidak mampu untuk menyediakan daging kambing atau lembu bagi menyara keluarga mereka. Jauh sekali untuk menikmati makanan laut seperti udang dan ketam. Tak mampu. Jenguklah ke dapur-dapur golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Pergilah ke flet-flet dan ke kawasan-kawasan setinggan dan lihatlah makanan yang dihidangkan oleh mereka  untuk keluarga mereka. Pasti amat menyedihkan.

Sekali lagi aku sedih. Apakah kerajaan tidak ada cara lain selain dari tindakan menaikkan harga minyak walaupun ’20 sen’?

Aku pasti para pemimpin sedang memikirkan strategi bagaimana untuk mententeramkan perasaan rakyat terbanyak dengan kenaikan harga minyak. Aku pasti juga para ‘pemikir’ di pejabat-pejabat akhbar, di setesen TV sedang memikirkan bagaimana bentuk berita yang hendak ‘dipusingkan’ untuk ‘memujuk’ hati rakyat, terutama orang kampung seperti aku.

Dan pastinya rakyat Melayu yang ‘baik hati’ yang berada di kampung-kampung akan termakan juga dengan pujukan pihak kerajaan itu. Sudah begitu keadaannya. Orang Melayu ‘mudah lupa’, kata Tun Mahathir. Mereka tetap mengukirkan senyuman walaupun dalam penderitaan. Mereka hanya akan mengatakan bahawa ‘ sudah takdir’ dan ‘ sudah begitu nasib yang ditentukan’.

Sedihnya aku mengenangkan nasib bangsaku diperlakukan demikian. Diperlakukan sedemikian oleh bangsaku juga.


abuhassanadam

4 September 2013

No comments:

Post a Comment