Tuesday, September 17, 2013

HANYA PEMIMPIN UMNO YANG MERAYAKAN ………

HANYA PEMIMPIN UMNO YANG MERAYAKAN ………

Aku tak tahu golongan manakah yang merayakan hari kemerdekaan Malaysia – maknanya tarikh Sabah dan Sarawah merdeka menyertai Malaysia. Yang aku perhatikan, yang merayakan hari bersejarah berkenaan ialah para pemimpin UMNO yang berkumpul di Sarawak, para pengacara TV ( RTM dan TV3) dan juga penontotn-penonton yang hadir diupacara hiburan yang dianjurkan oleh kerajaan.

Selain daripada itu aku tidak nampak golongan lain ( rakyat Malaysia) yang merayakan hari kemerdekaan Malaysia, menepati ertikata yang sebenarnya. Ada dikalangan rakyat yang tidak tahu mengapa 16 September itu merupakan hari kelepasan am. Mereka bertanya. Menunjukkan mereka tidak ambil pusing dan hirau langsung mengenai tarikh 16 September itu.

Aku merasa hairan mengapa terjadi begini keadaan di negara kita. Mengapalah begini jadinya kepada rakyat Malaysia. Ke manalah akan ‘hanyut’nya bangsa Malaysia dan di manalah akan ‘berhentinya’. Setelah 50 tahun merdeka dalam Malaysia, kita masih berada di takuk lama. Mempersoalkan tentang taat setia rakyat Malaysia. Mempersoalkan tentang maslah kaum Melayu, kaum Cina dan kaum India. Dan jarang sangat kita memanggil diri kita sebagai orang Malaysia. Bilakah agaknya isu-isu sebegini akan terhenti.

Salah siapa?

Yang aku dapat lihat ialah bahawa 51% rakyat Malaysia yang mengundi pembangkang dalam PRU 13 yang lalu masih marah dan tidak menyukai apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Bukan kaum Cina dan India sahaja yang merasakan mereka tersisih dan terpinggir, malah sebahgian besar orang Melayu juga merasakan begitu. Yang kelihatan amat gembira ialah orang Melayu yang ‘rapat’ dengan UMNO. Maksud aku yang mempunyai hubungan rapat dengan para pemimpin UMNO ataupun terlibat dalam parti UMNO itu sendiri.

Majoriti rakyat ( Melayu ) tidak teruja dengan pengumuman yang dibuat oleh DS Najib baru-baru ini yang berkaitan dengan usaha kerajaan untuk memajukan orang Melayu. Ramai yang berpendapat bahawa sebahagian besar orang Melayu terutama yang tinggal di kawasan luar bandar tidak akan dapat menikmati apa yang disuarakan oleh pemimpin kita itu. Mereka tahu bahawa yang akan memperolehi ‘isi’ adalah golongan para pemimpin UMNO dan kroni mereka sedangkan rakyat biasa, terutama orang kampung hanya menikmati ‘kuah’nya sahaja.

Kita tidak harus menafikan sumbangan kerajaan terhadap orang Melayu khususnya ia itu dalam lapangan pendidikan. Ini tidak boleh dinafikan. Kesannya ialah begitu ramai rakyat Malaysia yang celik huruf. Ramai yang berjaya menjejakkan kaki di pusat pengajian tinggi. Dan yang paling penting kesan daripada usaha kerajaan itu telah menjadikan rakyat Malaysia celik huruf, sedar dan faham tentang apa yang berlaku disekeliling mereka. Dengan demikian mereka mula tahu dan sedar tentang apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UMNO (BN).

·      Mereka tahu bahawa yang kaya raya di Malaysia kini adalah golongan yang hanya rapat dengan kepimpinan UMNO. Golongan inilah yang ‘menyapu’ segala kontrek yang besar-besar yang ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan kepada mereka.
·      Mereka tahu bahawa ada kontrek yang diberikan itu tidak melalui tender terbuka. Seolah-olah kontrek yang bernilai berbillion ringgit itu dihidangkan terus kepada kroni-kroni.
·      Mereka juga sedar bahawa bantuan BRIM  yang diberikan kepada rakyat hanyalah semata-mata untuk ‘menutup mulut’ dan ‘ hati’ golongan yang tidak berdaya. Mereka akan tersenyum lebar walaupun disogokkan dengan RM 500. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya mereka membenarkan orang Melayu lain ‘merompak’ 500 juta wang kerajaan Malaysia.

Aku rasa kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO akhir-akhir ini agak mengecilkan hati golongan bukan Melayu. Dan boleh juga dikatakan kadang-kadang menghiris hati juga. Apa tidaknya. Dalam keghaiarahan pemimpin-pemimpin ini untuk ‘mengambil hati’ orang Melayu khususnya golongan ahli UMNO ( terutama menjelangnya perhimpunan UMNO dan ramai juga yang akan bertanding merebut jawatan dalam UMNO) kenyataan itu turut menyebabkan golongan bukan Melayu yang juga rakyat Malaysia ‘terasa’ dan ‘terhiris’.

Dan tentulah aku tertanya-tanya tentang rasionalnya mereka ( pemimpin-pemimpin dalam UMNO) mengeluarkan kenyataan–kenyataan yang sedemkian. Aku faham tentang keadaan mereka yang hendak merebut jawatan dalam UMNO itu. Aku faham. Tetapi apakah tidak ada cara lain untuk mengambil hati ahli UMNO supaya mengundi mereka. Apakah itu saja caranya yang boleh digunakan untuk memancing undi. Bukankah peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa sekiranya hendak memukul ular, maka ular biar mati tetapi kayu pemukulnya jangan patah dan tanah jangan lebam. Begitu juga sekiranya mengambil rambut dalam tepung, dinasihatkan agar tepung tidak berserakan.

Begitulah cermat dan halusnya budi bahasa orang Melayu untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Budi bahasa orang Melayu menganjurkan agar setiap masalah dapat diselesaikan tanpa mengharubirukan keadaan. Tingginya budi orang Melayu ‘memukul ular’. Bukan sahaja kayu tidak patah tetapi tanah pun tidak lebam. Maknanya begitu cermat sekali diplomasi yang diamalkan oleh orang Melayu.

Mengapa pemimpin UMNO tidak mengamalkan amalan yang pernah dilakukan oleh datuk nenek moyang kita. Aku rasa tidak salah. Tidak pula rendah darjat kita sekiranya diamalkan. Datuk nenek kita juga berkata, ‘ tidak hilang bisa ular menyusup akar’. Aku rasa pemimpin UMNO tidak perlu ranggi untuk menunjukkan kuasa. ‘Ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk, dan janganlah diikiut rasmi lalang…’

Apakah disebabkan adanya pemimpin kita yang mengikuti rasmi lalang itu dan tidak tahu cara memukul ular itu agaknya yang menyebabkan sambutan hari kemerdekaan Malaysia kita disambut dalam suasana yang agak muram. Hari yang begitu bermakna bagi rakyat Malaysia hanya disambut oleh segelintir manusia sedangkan ada anggota masyarakat dalam negara ini yang hanya membiarkan hari yang bersejarah itu berlalu dengan begitu sahaja tanpa dipedulikan.

Aku tidak mahu anak cucuku nanti bersikap begini. Dan aku yakin masih ramai lagi juga yang tidak mahu keadaan sebegini berterusan di negara yang tercinta ini.

Aku harap para pemimpin negara juga bersikap sedemikian. Kami yang merupakan orang bawahan hanya boleh berharap..

abuhassanadam
17 September 2013


1 comment:

  1. Kalau pemimpin kite faham pepatah ini, negara kita tidak akan sampai ke tahap ini..

    ReplyDelete