Saturday, May 31, 2014

MENANTI KEMENANGAN DYANA SOFEA

Rakyat menunggu dengan penuh debaran. Bukan sahaja rakyat di Teluk Intan tetapi rakyat seluruh Malaysia yang merasakan bahawa PRK Teluk Intan adalah luar biasa. Lain dari yang lain. Dan tentulah kesan daripada keputusannya nanti juga agak berlainaan. Dikatakakan ramai orang bahawa kesan keputusan PRK ini nanti akan mengubah landskap politik di Malaysia.

Semalam YB Tengku Razaleigh menyatakan bahawa DAP bijak mengatur tektik dalam PRK berkenaan dengan mengemukakan calon muda –Dyana Sofea. Dan diperhatikan bahawa terlalu ramai yang bercakap mengatakan bahawa dalam perkembangan politik baru di Malaysia (yang sedang bermula sekarang) orang muda memainkan peranan yang cukup penting. Hanya UMNO(BN) sahaja yang masih menyepi tentang hal ini menampakkan seolah-olah pemimpin UMNO(BN) yang kebanyakannya sudah merangkak ke alam purba masih mahu berpaut kepada cara dan adat lama dengan mengekalkan pemimpin purba dalam struktur parti mereka.

Apakah tindakan sedemikian wajar?

“I have been saying many times in my speeches that Umno has to buck up. They have to start looking into all those reform measures demanded by society…………(They would do it) if they are really listening to the people, especially the youths because they are going to be 60 percent of new voters in the next general election,” kata YB Tengku Razaleigh Hamzah. (Malaysiakini 31 Mei 2014)

Dengan sebab itulah dapat aku katakan bahawa keputusan PRK Teluk Intan ini amat penting untuk menentukan bahawa apakah benar suara orang benar telah ‘kedengaran’. Dalam PRK Kajang yang diadakan baru-baru ini telah nampak jelas bahawa anak muda memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan DS Wan Azizah. Anak muda tidak lagi kelihatan berperanan semata-mata sebagai perayu undi atau pekerja pilihan raya sahaja tetapi telah menampakkan diri mereka penting sebagai penentu kemenangan seseorang calon.

Dalam hal untuk ‘memikat’ orang muda supaya terlibat secara aktif dalam politik ini, nampaknya Pakatan Rakyat telah terkehadapan dalam hal ini berbanding dengan UMNO (BN). Kemunculan tokoh-tokoh muda seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Tony Pua, dan beberapa orang lain telah menampakkkan bahawa Pakatan Rakyat telah sedar tentang peranan orang muda dalam politik  baru di Malaysia. Dan kini dengan kemunculan Dyana Sofea telah merancakkan lagi suasana ‘kemeriahan’ yang sedia ada.

Mungkin Tun Dr Mahathir sudah nampak akan kemungkinan kemunculan politik baru yang didokong oleh orang muda. Dengan sebab itulah awal-awal lagi (semasa pentadbirannya) beliau telah menubuhkan Puteri UMNO dan Putera UMNO. Namun disebabkan ketokohan pemimpin-pemimpinnya maka seolah-olah Puteri UMNO dan Putera UMNO ‘hidup segan mati tak mahu’. Kini kedua-dua cawangan itu masih berfungsi tetapi disebabkan ‘kehebatan’ dan ‘aura’ yang ditonjolkan oleh pemimpin muda dari  Pakatan Rakyat seolah-olah telah menenggelamkan pemimpin muda dari kalangan UMNO.

Dan ‘tenggelamnya’ pemimpin muda dari UMNO bukanlah disebabkan semata-mata oleh ‘aura’ pemimpin muda Pakatan Rakyat seperti Dyana Sofea, tetapi adalah juga disebabkan oleh keadaan anak muda kini yang seolah-olah dahagakan perubahan. Mereka seolah-olah melihat anak muda yang berada dalam UMNO sebagai wakil ‘kaum tua’ yang masih mahu berpegang kepada tradisi lama sedangkan dunia sedang bergerak dengan begitu laju yang menuntut berbagai-bagai perubahan. Dan mereka merasakan bahawa pemimpin muda dalam Pakatan Rakyat adalah serasi dan sesuai dengan perjuangan yang sedang mereka perjuangkan.

Rata-rata anak muda terpelajar tahu tentang penyelewengan yang berbagai-bagai yang sedang berlaku kini. Mereka membaca dan mengetahui berbagai-bagai perkara buruk dan berbagai skandal melalui media sosial yang berlegar dengan pantas. Walaupun ada berbagai usaha untuk menutup berita-berita yang tidak enak didengar dan tak molek dibaca namun dalam zaman ini ‘mulut tempayan tidak akan boleh ditutup dengan adanya media sosial yang pastinya akan menewaskan bila-bila masa sahaja media arus perdana.
PRK Teluk Intan yang sedang berjalan kini pastinya akan memberikan berbagai jawapan dan tafsiran apabila keputusannya diumum dan dianalisis nanti. Pastinya juga akan menimbulkan suasana panik kepada setengah parti politik terutamanya UMNO (BN) apabila keputusan diumumkan.

Ditakdirkan Allah Dyana Sofea menang dalam PRK Teluk Intan ini berbagai persoalan telah terjelma dan terjawab.

  • · Maknanya sekurang-kurangnya Teluk Intan telah dapat memecahkan persoalan Melayu-bukan Melayu apabila kaum Cina beramai-ramai telah menyokong calon Melayu dengan tidak berbelah bagi.

  • ·     Maknanya orang Melayu juga telah rela hati mengundi calon DAP yang semenjak sekian lama dianggap oleh orang Melayu bahawa DAP ini adalah parti yang dimonopoli orang Cina.

  • ·      Maknanya pengundi di Teluk Intan yakin dengan kemampuan calon muda seperti Dyana Sofea.

  • ·      Maknanya PAS, PKR dan DAP sangat akrab dan bekerjasama bersungguh-sungguh memenangkan calon DAP itu.


Dan berbagai-bagai analisis lain yang boleh diketengahkan. Kita tunggu keputusan yang mendebarkan nanti.

Semua persoalan ini pasti terjawab.

abuhassanadam

31 Mei 2014


PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam

Friday, May 30, 2014

UMNO ITU MELAYU TETAPI MELAYU BUKAN UMNO

Perkembangan terkini di PRK Teluk Intan telah jelas memberikan gambaran bahawa UMNO tidak lagi mewakili orang Melayu, walaupun pemimpin UMNO melaungkan bahawa UMNO itu milik orang Melayu. Begitu juga dengan parti MCA dan MIC yang tidak lagi mewakili orang Cina dan orang India di Malaysia. Sekiranya masih ada lagi pemimpin-pemimpin yang merasakan demikian seolah-olah mereka sedang bermimpi di siang hari.

Sekali air bah dan sekali pasir berubah. Sekadarkan pemimpin UMNO yang tidak mahu melihat akan perubahan itu. Mungkin juga mereka melihat perubahan itu berlaku tetapi mereka tidak mahu mengakui bahawa perubahan sedang berlaku. Pemikiran mereka masih berada di takuk lama. Mereka masih merasakan bahawa orang Melayu Kurun ke 21 masih berfikiran seperti orang Melayu pada tahun-tahun 1950an. Mereka lupa bahawa zaman beredar dan pemikiran manusia juga bergerak seiring dengan zaman yang dilaluinya.

Orang Melayu menentang cadangan Dato Onn untuk membukakan keahlian UMNO kepada bukan Melayu pada tahun 1951 dan seterusnya mengubah nama United Malay National Organization kepada United Malayan National Organization. Cadangan Dato Onn ditolak oleh UMNO yang menyebabkan beliau terus meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO pada ketika itu. Tahun 1951. Pemikiran Dato Onn mendahului zaman. Lantas tidak diterima oleh orang Melayu yang berfikiran sedemikian pada ketika itu.

Dulu antara PAS dan DAP adalah seperti ‘anjing dengan kucing’ yang sentiasa ‘bercakaran’. Hanya pemimpin yang berfikiran jauh sahaja yang boleh beramalkan ketika itu bahawa PAS dan DAP akan menjadi rakan karib dalam perjuangan membela nasib bangsa di Malaysia seperti yang dapat dilihat di PRK Teluk Intan sekarang. Tidak ada siapa yang boleh menjangkakan bahawa kepimpinan tertinggi sanggup memberikan sokongan yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah perjuangan mereka demi untuk memenangkan calon DAP.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa PAS bertungkus lumus di PRK Teluk Intan disebabkan oleh calonnya yang terdiri dari orang Melayu. Mungkin juga. Namun sejarah kerjasama PAS,DAP dan PKR telah terjalin dengan begitu erat  dalam banyak PRK dan PRU yang telah diadakan sehingga hampir-hampir menumbnagkan kerajaan BN dalam PRU 13 yang lalu.

Sememangnya PRK Teluk Intan menyaksikan berbagai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia. Ia lebih merupakan satu perkembangan yang akan mencetuskan ‘chain reactions’ selepas ini. Maknanya apa yang berlaku di Teluk Intan hanya merupakan satu permulaan dan berbagai-bagai perkembangan lain yang menakjubkan akan berlaku selepas ini. Mari kita renungkan senario berikut,

·      Pertama kali dalam sejarah Malayisa seorang gadis  Melayu yang berusia 27 tahun menjadi calon DAP dalam kawasan yang pengundinya hampir sama bilangannya antara Melayu dan bukan Melayu. Dan lawannya ialah seorang calon veteran dari BN ( Presiden parti Gerakan), seorang bukan Melayu yang pernah pun memenanngi kawasan ini satu masa dahulu.

Kita tidak dapat meramalkan keputusan PRK ini nanti. Sekiranya pengundian dijalankan dalam suasana yang betul adil dan saksama maka mengikut ramalan pengundi di Teluk Intan jelas menunjukkan bahawa Dyana Sofia akan mendapat tempat di Parlimen Malaysia nanti dan mencipta sejarah sebagai wakil rakyat Melayu (wanita) pertama mewakili DAP. Keadaan itu akan berlaku sekiranya PRK ini berjalan tanpa ‘gangguan-gangguan’ pihak tertentu.

Pendek kata PRK Teluk Intan telah menjadi ‘eye opener’ kepada rakyat Malaysia keseluruhannya dan kepada penduduk Teluk Intan khususnya. Ramai penduduk Teluk Intan yang ‘membisikan’ bahawa mereka tidak pernah lagi menyaksikan satu fenomena yang agak luar biasa yang berlaku di Teluk Intan ini. Jikalau DAP adalah merupakan parti politik yang agak renggang dengan orang Melayu di kawasan ini tetapi kini sudah menjadi sesuatu yang ingin didekati. Banyak faktor yang boleh dijadikan alasan mengapa keadaan terjadi demikian.

Sekiranya keadaan sebegini berlaku d Teluk Intan, maka adalah tidak mustahil keadaan sedemikian juga boleh berlaku di tempat-tempat lain di Malaysia dalam masa akan datang menjelang PRU14. Teluk Intan sudah boleh djaidikan ‘bahan ujikaji’ para penganalisis politik tanah air bagi menentukan arus masa hadapan kepimpinan negara.

Dan yang penting yang perlu difikirkan oleh UMNO khususnya ialah bahawa UMNO tidak boleh lagi mendabik dada yang mereka mewakili orang Melayu kerana parti lain seperti PAS, PKR dan DAP juga sudah boleh mengatakan bahawa mereka juga mewakili rakyat Malaysia (termasuklah orang Melayu). Dan mungkin juga pemimpin UMNO sudah menyedari hakikat ini. Cuma mungkin mereka tidak mahu mendedahkan keadaan ini disebabkan kebimbangan akan merendahkan  moral pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi. Mungkin.

Namun sesuatu yang jelas dan perlu diperjelaskan  ialah bahawa sekiranya ada kumpulan UMNO yang mengatakan bahawa mereka mewakili orang Melayu untuk melakukan sesuatu tindakan seperti mana yang berlaku ke atas Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang  tempoh hari, maka mereka tidak ada hak langsung untuk membuat pengakuan sedemikian.

Orang Melayu tidak berkelakuan sebiadab itu….

Abuhassanadam
30 Mei 2014

PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam



Thursday, May 29, 2014

ERA DYANA  SOFIA :  MUNCULNYA POLITIK BARU DI MALAYSIA

Satu trend baru kelihatan dalam masa berkempen PRK Kawasan Teluk Intan ialah kecondongan kepimpinan parti komponen Pakatan Rakyat untuk menonjolkan golongan muda supaya bergiat cergas dalam politik. Perkembangan ini amat jelas kelihatan pada kepimpinan PAS ataupun DAP mahupun PKR. Dan tentunya amat berbeza dengan ‘fahaman’ yang masih ditonjolkan oleh UMNO (BN) yang masih berpaut kepada cara lama ia itu seolah-olah mengenepikan orang muda. Dengan sebab itulah sekiranya Dyana mengikut jejak langkah ibunya menyertai puteri UMNO berkemungkinan beliau tidak akan dapat menduduki tempat sebagaimana beliau diletakkan oleh DAP kini.

DS Anwar Ibrahim, TG Haji Hadi dan YB Saudara Lim Kit Siang nampaknya telah mengorak langkah yang luar biasa memberikan perhatian khusus kepada anak muda. YB Lim misalnya telah mempertaruhkan tindakannya dengan pengorbanan yang bukan kecil meletakkan Dyana bertanding di PRK Teluk Intan. Seorang calon muda. Melayu. Masih dikira tidak berpengalaman dalam sepak terajang politik, tetapi ‘disuruh’ bertanding di situ. Menunjukkan bahawa YB Saudara Lim Kit Siang telah ‘memperjudikan’ masa hadapan politiknya. Pastinya ada suara-suara sumbang yang menentang tindakannya itu. Namun disebabkan keyakinannya untuk mengenengahkan anak muda sebagai calon maka keputusan terpaksa dibuat.

Melalui gerak gerinya, dapat ‘dibaca’ bahahwa sememangnya beliau sangat mengharapkan kemenangan Dyana, kerana kemenangan itu nanti akan membawa kepada implikasi yang amat besar. Melalui gerak gerinya juga dapat ‘dibaca’ bahawa sememangnya hasrat YB Lim Kit Siang berusaha untuk ‘memadamkan’ tanggapan banyak pihak yang mengatakan bahawa partinya DAP adalah parti milik orang Cina. Tetapi dengan mengemukakan Dyana sebagai calon, gambaran sedmikian sudah mula agak pudar. Dan akan lenyap sekiranya Dyana menang dalam PRK nanti dengan undian dari berbagai kaum yang dapat membuktikan dengan jelas bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak memihak kepada mana-mana kaum di Malaysia..

Aku yakin kemenangan Dyana nanti (Insyallah) akan merupakan titik tolak dalam pembentukan satu rupa bangsa Malaysia yang akan dicorakkan oleh anak muda dengan restu dan bimbingan ‘orang tua’ yang berpengalaman. Aku perhatikan tindak tanduk YB TG Haji Hadi adalah luar biasa sekali dalam PRK Teluk Intan ini. “kemesraan’ dan hubungan ‘bapak-anak’ yang ditonjolkannya terhadap Dyana adalah merupakan sesuatu yang luar biasa. Aku tidak tahu apakah tarikan yang ada pada anak gadis ini yang menyebabkan seolah-olah TG Haji Hadi sanggup memberikan sokongan PAS yang tidak berbelah bagi pada DAP untuk memenangi PRK ini.

Dengan kehadiran dan penglibatan DS Anwar Ibrahim sudah cukup memberikan bukti bahawasanya ketiga-tiga kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengharapkan kemenangan DAP dalam PRK. Seolah-olah kemenangan itu nanti akan merupakan kemenangan calon muda yang akan mencorak dan menentukan masa depan politik negara.

Anak-anak muda di seluruh negara sudah dapat ‘membaca’ dan memerhati bahawa sebenarnya Pakatan Rakyat sedang melatih dan membimbing anak-anak muda supaya terjun ke kancah politik. Dan sememangnya PRU 14 nanati adalah PRU yang akan ditentu dan dimiliki oleh anak muda. Anak muda akan menjadi penentu segalanya. Dengan demikian kepimpinan Pakatan Rakyat telah mengorak langkah dengan menampilkan orang muda untuk ditonjolkan menduduki kerusi di parlimen atau di dewan undangan negeri nanti.

Konsep perjuangan amat rapat kaitannya dengan orang muda. Malah konsep perjuangan hampir sama dengan konsep nasionalisme yang dipopularkan Barat. Memperkatakan mengenai pemuda atau orang muda seolah-olah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan perkataan ‘perjuangan menentang Malayan Union’ oleh pemuda UMNO pada suatu ketika dahulu.

Persoalannya ialah apakah orang muda kini atau lebih tepat lagi generasi muda  kini betul-betul memahami perjuangan sebagai mana kefahaman yang dianuti oleh generasi lama ( yang mungkin sudah tidak ramai lagi yang berada di dunia ini).

Orang Melayu berjuang habis-habisan menentang gagasan yang cuba merendah-rendahkan dan menghina bangsa Melayu. Bermulalah satu perjuangan anak muda Melayu menegak dan menebus maruah bangsa Melayu yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah Malaysia sehingga tercapainya kemerdekaan pada 1957.

Apakah perjuangan orang Melayu sudah selesai? Dan apakah agenda dan bentuk perjuangan bangsa Malaysia pula dalam era globalisasi kini? Dengan kata-kata lain apakah perancagan konkrit orang muda kini  untuk mengharungi Kurun ke 21. Apakah sumbangan anak muda era kurun ke21 dalam meningkatkan taraf dan maruah bangsa Malaysia di persada antarabangsa. Aku nampak masih kosong. Mungkin ada tetapi belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak muda 1940an dan 1950an. Belum….

Dilihat dari persepektif sejarah, persiapan yang telah disiapkan oleh pemimpin terdahulu agak lengkap atau hampir lengkap. Bermula dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak seolah-olah telah menyediakan tapak yang cukup kukuh bagi anak muda untuk melonjak ke hadapan.

Anak muda harus meneruskan perjuangan yang terhenti itu. Konsep anak muda di Malaysia tidak lagi terhad kepada anak muda Melayu tetapi sudah merangkumi anak muda Cina, India dan lain-lain. Anak muda Malaysia seharusnya mempunyai agenda yang tersendiri bagaimana untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bermaruah. Anak muda Melayu, Cina dan India harus berfikiran sebagai anak muda Malaysia dan bukan sebagai anak muda Melayu yang berjuang untuk menentang Malayan Union pada 1946 dahulu. Hakikat ini harus disedari oleh semua anak muda Malaysia.

Masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu agenda besar yang harus diperjuangkan oleh generasi muda Malaysia kini. Apakah generasi muda kini masih belum bersedia untuk merangka satu agenda besar untuk kepentingan rakyat Malaysia. Apakah belum cukup ilmu di dada dan belum ‘terasah keris di pinggang’ untuk melancarkan satu perjuangan Abad ke 21.

Satu hakikat yang perlu ditegaskan juga walaupun amat pahit untuk ditelan ialah masih ada – atau sebenarnya masih ramai – anak-anak muda Malaysia ‘terikut-ikut’ dengan rentak ‘orang tua’ di negara ini. Maknanya apa yang telah dirangka oleh ‘orang tua’ terus menerus diikuti secara membuta tuli tanpa memikirkan baik buruknya ‘langkah’ yang telah diatur oleh orang tua ( yang terlebih dahulu makan garam) itu. Bak kata orang sekarang – tidak ternampak satu anjakan paradigma.

Anak muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan yang akan mereka lalui. Masa hadapan adalah milik anak muda kini bukan milik ‘orang tua’ kini. Dan malangnya apa yang ‘diperjuangkan’ oleh anak muda kini tidak dapat dihayati oleh keseluruhan anak muda. Apakah tidak adanya ‘ Malayan Union’ maka anak muda kini sudah hilang arah dan tujuan dan seolah-olah mereka hilang pedoman. Seolah-olah anak-anak muda seperti layang-layang putus tali.

Sudah tentulah tidak ada masa bagi memikirkan soal perjuangan sekiranya kebanyakan masa dihabiskan untuk membicarakan perkara remeh dan tidak menguntungkan. Generasi muda harus mempersiapkan diri menempa dan berusaha untuk mengukir satu perjuangan yang boleh mengakngkat martabat bangsa di hari muka.

Tugas itu bukan senang. Ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan kepalang. Walaupun ‘ribut dan taufan’ yang melanda, ‘orang tua’ masih yakin bahawa anak muda Malaysia yang terdiri Melayu, Cina dan India, India dan Kadazan dapat melakarkan satu perjuangan besar yang boleh dibanggakan oleh bangsa Malaysia dan generasi tua yang bakal meninggalkan dunia ini, lambat laun.

‘Dyana Mania’ harus diteruskan.

Abuhassanadam
29 Mei 2014

PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam


Tuesday, May 27, 2014

DYANA MANIA :  ANAK MUDA MENINGGALKAN UMNO

Satu waktu dulu pernah aku tulis membayangkan kemungkinan UMNO akan senasib dengan dinosaur, sejenis binatang yang gagah dan kuat yang ditakuti oleh semua binanatang di atas bumi ini, akhirnya hilang dan lenyap. Oleh itu aku membayangkan apakah UMNO juga akan serupa nasibnya dengan dinosaur. Kini sudah mula muncul satu ‘petunjuk’ yang dinamakan ‘Dyana Mania’ dalam PRK Teluk Intan. Apakah ‘Dyana Mania’ akan menjadi pemangkin kepada proses penghijrahan anak muda Melayu khususnya meninggalkan UMNO.

Apakah Tun Mahathir yang merupakan pemimpin UMNO begitu lama sudah dapat membayangkan keadaan sedemikian akan berlaku. Mungkin agaknya Tun sudah dapat merasakan keadaan sedemikian akan berlaku dan hanya sekadarkan beliau tidak mahu menyebutnya dan mungkin juga terlalu gerun untuk melafazkannya. Jikalau tidak begitu ‘ramalan’nya tentulah tidak mungkin beliau begitu gabra meperkatakan tentang penampilan anak muda bernama Dyana dalam PRK Teluk Intan.

Mungkin pemimpin UMNO yang lain tidak dapat nampak apa yang ‘dilihat’ dan ‘direnung’ oleh Tun Mahathir. Pastinya Tun Mahathir amat bimbang tentang perkembangan yang berlaku kini. Apa tidaknya. Dulu DAP adalah dianggap sebagai parti kaum Cina. Dan sehingga kini DAP sentiasa dianggap dan diwar-warkan sebagai parti rasis yang memperjuangkan kepentingan Cina dan anti Melayu. Tetapi dengan kehadiran beberapa pemimpin Melayu dalam DAP, tohmahan dan anggapan sebegini pastinya akan hilang dengan sendirinya.

Yang paling merunsingkan para pemimpin UMNO ialah hilangnya label UMNO yang sentiasa dikatakan bahawa UMNO sahajalah yang akan memperjuangkan orang Melayu. Kini sudah ada tiga parti yang kuat dan kukuh yang  bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu tetapi juga kaum Cina, India, Kadazan, Dayak dll Maknanya lama kelamaan orang Melayu yang berpendidikan akan lebih selesa dengan parti yang berorientasikan bangsa Malaysia, yang berteraskan orang Melayu.

Hakikat ini yang pada fikiran aku amat membimbangkan pemimpin UMNO terutama Tun Dr. Mahathir. Dan kemunculan Dyana mungkin merupakan ‘catalyst’ dan ‘game changer’ yang akan mencetuskan berbagai-bagai perkembangan selepas ini. Mungkin….

Oleh itu mahu tak mahu UMNO kena berubah ikut zaman. Jikalau tidak nasib UMNO akan sama dengan nasib Dinosaur. Lenyap di atas muka bumi ini. Dalam banyak hal UMNO terpaksa buat perubahan. Bak kata peribahasa Melayu, ‘sekali air bah sekali pasir berubah’. ‘Air bah’ telah pun berlaku dan telah meninggalkan kesan-kesan yang memaksa ‘pasir’ berubah.  Hukum alam mengatakan bahawa pasir mesti berubah selepas air bah. Oleh itu tidak salahnya ahli UMNO melihat keadaan sedemikian daripada mencari jalan menyalahkan ‘orang’ itu dan menyalahkan ‘ pihak’ ini. Buang masa. Bukan zamannya kita membebel dan menyalahkan orang lain. Orang UMNO juga selalu’ menyalak’ ke sana ke mari menyuruh orang lain ‘ think positive’. Diri sendiri bagaimana?

Aku perhatikan ramai pemimpin UMNO yang masih berada pada tahap tahun-tahun 60an.  Jikalau ada pun perubahan cara berfikir dan bertindak, ia hanya berlaku dikalangan setengah pemimpin. Sedikit benar bilangannya. Apa tidaknya. Hadirkanlah diri di Persidangan Agung UMNO (PAU) yang diadakan pada setiap tahun itu. Itulah rupanya semenjak dari dulu sehinggalah sekarang. Dari segi penyampaian dan ‘input’ aku rasa tak banyak beza dengan keadaan pada tahun-tahun 60an dan 70an, walaupun ada usaha  pembaharuan yang cuba hendak diketengahkan oleh golongan muda, namun usaha yang sedemikian ‘tak jalan’. Itulah UMNO sehingga kini dan mungkin selama-lamanya.

Berbalik kepada persoalan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO. Aku tidak dapat memberikan formulanya. Aku hanya ‘pandai’ mengkritik tetapi tidak dapat memberikan penyelesaiannya. Itu aku mengakuinya. Dan bukan pula tugas aku nak memikirkannya. Cuma aku dapat memberikan senario yang sedang dan akan dihadapi oleh UMNO sekiranya mahu menjadikan parti itu relevan.

      UMNO terpaksa mengambil kira perasaan anak muda generasi DEB, terutamanya anak muda Melayu yang berpendidikan tinggi. Cara berfikir mereka agak berlainan dengan cara berfikir generasi lama – generasi sebelum DEB. Golongan ini tediri daripada para eksekutif yang boleh berdikari dengan ilmu dan ijazah yang mereka perolehi. Mereka tidak memerlukan ‘tongkat’ atau penggantungan kepada sesiapa. Mereka berdikari. Lantas cara berfikir mereka juga amat sukar dipengaruhi.

      Ramai anak muda generasi Kurun ke 21 sudah tidak berfikir berlandaskan kaum dan bangsa. Ini berlaku pada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Mereka sudah tidak berapa peduli sangat tentang kedudukan kaum dan bangsa. Mereka adalah Bangsa Malaysia. Keadaan ini berlaku adalah ekoran daripada sukatan pelajaran yang merentasi kurikulum yang didedahkan kepada mereka di sekolah-sekolah.

Aku perhatikan UMNO secara umumnya semacam tidak sedar tentang perkembangan yang dinyatakan di atas. UMNO masih syok sendiri. UMNO masih ‘melayan’ orang Melayu. Masih ‘menjaga’ hati orang Melayu. Begitu ‘enaknya’ melayan ‘mimpi-mimpi’ yang endah sehinggakan ramai orang Melayu tidak sedar tentang perkembangan yang berlaku disekeliling.

Memang berlaku. Dan aku perhatikan keadaan itu dengan penuh minat. Aku nampak macam cerita seekor katak yang berada dalam air yang dipanaskan. Disebabkan terlalu selesa berada dalam air berkenaan, sikatak lupa bahawa air sedang dipanaskan. Si katak baru sedar yang ia dalam bahaya setelah air telah mendidik.

Kesannya….. fikirlah sendiri…..

Abuhassanadam
27 Mei 2014

PS

Didapati "ANTARAPOS"  telah beberapa kali menggunakan nama saya Abu Hassan Adam untuk artikel yang disiarkannya. Saya tidak pernah memberi apa-apa sumbangan artikel kepada blog berkenaan dan tidak pernah menulis artikel bagi pihak berkenaan dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Harap maklum.

abuhassanadam