Thursday, February 27, 2014

MENYEKAT KEMARAAN ANWAR IBRAHIM

‘Langkah Kajang’ pada mulanya dianggap peristiwa kecil dalam sejarah Malaysia. Tetapi dengan berbagai perkembangan mutakhir menampakkan bahawa PRK Kajang bukan lagi seperti PRK yang biasa diadakan sebelum ini. Ia sudah mendapat perhatian bukan saja oleh rakyat Malaysia tetapi sudah menjadi buah mulut para wartawan di CNN, BBC, Aljazeera. Malah sudah ada pemimpin setengah negara di dunia sudah mula berminat untuk mengetahui perkembangan di ‘KAJENG’ (Kajang). Ini disebabkan oleh DS Anwar Ibrahim yang akan bertanding untuk menjadi calon di PRK berkenaan. Maknanya disebabkan yang bertanding itu DS Anwar Ibrahim sudah boleh ‘mengocakkan’ suasana di Malaysia dan setengah tempat di dunia.

Bagi golongan yang tidak beberapa faham tentang sepak terajang politik, tentulah menganggap bahawa PRK kajang hanya merupakan PRK biasa. Namun bagi yang tahu ‘bahana-nya’ ekoran daripada ‘Langkah kajang’ ini  akan mula merasa ‘panik’ dan tidak ketentuan tentang apakah yang patut dilakukan bagi mengawal ataupun menyekat terus keadaan ini. Mengawal ‘kemaraan’ DS Anwar Ibrahim. Dapat dilihat dengan jelas ‘kelaku’ setengah pemimpin UMNO khususnya yang mula ‘gabra’ memikirkan bagaimana menangani PRK Kajang ini.

Langkah melewatkan PRK Kajang oleh SPR  jelas menampakkan tindakan dan tektik yang amat silap. Tindakan SPR itu telah memberikan peluang seluas-luasnya kepada DS Anwar Ibrahim untuk berjumpa rakyat dan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya segala kepincangan yang sedang berlaku dalam pentadbiran negara sekarang. Rakyat Kajang sudah betul-betul faham mengenai isu tentang kenaikan harga barang, penglibatan kroni dan anak-anak pemimpin yang begitu ghairah mengaut kekayaaan negara dan berbagai isu lain. Pendek kata penduduk Kajang khususnya dan rakyat Selangor lain umumnya sudah diberikan penjelasan yang amat jelas tentang ‘Langkah Kajang’ ini.

Sememangnya tindakan SPR melewatkan PRK Kajang itu merupakan ‘senjata makan tuan’. Mungkin pada awalnya pihak SPR merasakan bahawa mereka telah ‘berbakti’ kepada kepimpinan BN dengan melewatkan PRK Kajang ini dengan mengandaikan bahawa DS Anwar Ibrahim akan ‘letih dan lelah’ untuk berkempen bagi menunggu hari pengundian. Rupa-rupanya mereka belum faham dengan sebenar-benarnya siapa dia ‘manusia’ yang bernama Anwar Ibrahim. Dalam hal PRK Kajang menampakkan yang SPR telah memulakan strategi mereka dengan kegagalan. Walaupun berbagai  alasan diberikan untuk meyakinkan rakyat mengapa PRK Kajang dilewatkan, namun persepsi rakyat tetap merasakan bahawa tentu ada muslihat tertentu yang menyebabkan PRK berbuat demikian.

‘Langkah Kajang’ bukan sebarang langkah. Ibarat pahlawan yang turun ke gelanggang memerlukan persediaan yang bukan kepalang untuk menentang hulubalang yang bernama Anwar Ibrahim. Apabila BN hanya mengemukakan calon dari MCA sudah menampakkan dengan jelas bahawa BN hanya ‘melepaskan batuk di tangga’. Dengan sebab itulah DS Anwar Ibrahim seolah-olah tidak begitu peduli tentang calon MCA yang akan menentangnya. Tidak pula beliau cuba memperkecilkan calon berkenaan. Yang dipertikaikannya ialah mengapa BN tidak menghantar wakil UMNO untuk bertanding di PRK Kajang untuk menentangnya sedangkan wakil UMNO yang sepatutnya berbuat demikian. UMNOlah yang sentiasa menimbulkan kekacauan dan mengharu-birukan keadaan politik di Selangor. Namun apabila ‘dipelawa’ untuk ke gelanggang, pihak UMNO terus menikus.

Rakyat dan pengundi di Kajang sudah tahu dan merasakan mereka beruntung PRK kajang diadakan. Mereka sudah mula merasakan ‘kenikmatan’nya apabila DS Anwar Ibrahim sudi untuk bertanding dan seterusnya mewakili mereka. Mereka sedar bahwa selepas ini Kajang bukan sahaja terkenal dengan sate nya tetapi akan terkenal diseluruh Malaysia dan seluruh dunia kerana wakil mereka adalah Anwar Ibrahim.

Ramai yang merasakan kemaraan DS Anwar Ibrahim sukar sekali disekat dan ‘diempang’. Ibarat menyekat air yang sedang mengalir, walaupun disekat dan diempang, air akan terus mengalir dan mengalir yang berkemungkinan ‘empangan’ akan pecah. Itulah ibratanya PRK Kajang ataupun strategi ‘Langkah Kajang’ oleh Pakatan Rakyat.

Tambah mengukuhkan lagi keyakinaan rakyat bahawa PRK Kajang merupakan episod penting dalam sejarah ialah ternampaknya penglibatan pemimpin-pemimpin besar UMNO, termasuk yang sudah ‘bersara’ mula menampakkan diri melahirkan kebimbangan mereka sekiranya DS Anwar Ibrahim menerajui Selangor nanti. Mereka pastinya dapat lihat kesan dan akibatnya sekira keadaan ini terjadi.

Dengan sebab itulah mereka mula turun padang melakukan apa saja langkah yang boleh menyekat kemaraan DS Anwar Ibrahim. Yang anihnya pula pemmpin-pemimpin UMNO Selangor yang dulunya sentiasa ‘berkokok’ sudah tidak kedengaran kokok mereka. Seolah-olah  mereka sudah diketepikan dan tidak dilibatkan langsung dalam PRK Kajang. Jikalau ada pun penglibatan mereka, kehadiran mereka hanyalah sebagai ‘buruh kasar’ yang sentiasa patuh dan mengikut arahan pihak ‘atasan’. Seolah-olah mereka tidak diperlukan.

Jelas juga menampakan bahawa mereka sebenarnya bukan tandingnya untuk ‘berpencak’ di gelanggang PRK Kajang ini.

Persoalan yang berada di hadapan sekarang ialah dapatkah mereka menahan kemaraan Anwar Ibrahim?

abuhassanadam
27 Februari 2014






Wednesday, February 26, 2014

DS ANWAR BERCERAMAH DI GEREJA - PUN TAK BOLEH!!….

Yang anihnya ketika muncul isu yang berkaitan dengan akidah yang ditimbulkan oleh Kassim Ahmad, tidak pula kedengaran ‘suara’ penentangan dari ‘ulama-ulama’ UMNO Begitu juga tidak kedengaran suara-suara dari NGO-NGO ‘yang sewaktu dengannya’. Senyap. Sepi. Tidak kedengaran langsung. Orang Perak kata, ‘tak berketik ‘langsung. Diam membisu seribu bahasa. Agaknya tidak mendapat isyarat untuk ‘berketik’. Ataupun mungkin mereka memikirkan tidak ada untungnya jikalau ‘berketik’ pun berbanding dengan isu ke atas DS Anwar Ibrahim yang pergi berceramah gereja di Kajang!

Aku tidak pernah terfikir bahawa masih ada lagi saki baki ‘ Kaum Tua’ yang berfikiran seperti setengah ‘ulama’ yang pada anggapan aku masih belum keluar dari ‘tempurung’ ataupun yang belum keluar dari ‘cocoon’nya. Takkanlah begitu sempit sekali pemikiran golongan ulama yang sebegini yang menganggap bahawa pemergian ke gereja dan menyampaikan ceramah sebagai suatu kesalahan yang bertentangan dengan akidah Islam.

Bagi aku sekiranya beginilah cara berfikir yang diamalkan oleh ‘ulama’ saki baki ‘Kaum Tua’ maka bolehlah aku samakan dengan pemikiran Opah aku yang melarang aku merayakan Tahun Baru Cina di rumah kawan aku bernama Loo Lik Chou pada tahun-tahun 1950an dulu. Puas aku menjelaskan kepada Opah pada ketika itu yang aku ke rumah Loo Lik Chow hanya untuk menikmati limau dan makanan yang dipesan oleh bapaknya dari kedai mamak Ar-Rahman disebelah kedai ubat bapanya. Namun Opah masih membantah. Dan terbatallah rancangan aku untuk meayakan Tahun Baru Cina Lik Chow.

Tidak berapa lama dulu pernah juga dikeluarkan satu ‘fatwa’ oleh golongan ‘ulama’ yang mirip ‘Kaum Tua’ bahawa ‘ holy water can turn Muslims into Christians’. Aku ketawa besar mendengar hujah sedemikian. Aku ketawa disebabkan bahawa ‘hujah’ ini telah digunapakai oleh para ‘ulama’ semenjak aku kecil-kecil lagi. Maknanya hujah ini sudah wujud di alam Melayu ini sekurang-kurangnya lima puluh tahun yang lampau. Mungkin lebih lama agaknya.

Dalam zaman penjajahan, anak-anak yang menuntut di sekolah Inggeris terutamanya sentiasa diberikan ‘tunjuk ajar’ oleh para ‘ulama’ kampung bahawa kami perlu sentiasa berwaspada kerana sememangnya tujuan padri Kristian untuk memerangkap kami supaya memeluk agama Kritian. Itu tuduhan mereka. Dan salah satu cara yang  digunakan ialah dengan memberikan minuman ‘holy water’ yang sekali gus akan menukarkan agama kita kepada Kristian. Hanya dengan segelas air minuman!.....

Itulah ‘ayat-ayat suci’ yang dipantakkan ke telinga kami pada ketika itu oleh ‘ulama’ kampung kami. Ada yang yakin tetapi ramai yang tidak. Namun untuk menyatakan ‘tidak yakin’ dengan ‘fatwa’ berkenaan tentulah tidak berani dilakukan, kerana para ‘ulama’ ketika itu sudah mengeluarkan satu ‘fatwa’ bahawa ‘ tuan guru jangan disoal…..BERDOSA!...” Oleh yang demikian tidak ada diantara kami yang berani menyuarakan pendapat dan menentang. Dan kesannya tidak ada pula yang menuntut di sekolah Inggeris memeluk agama Keristian. Mungkin juga disebabkan kami tidak minum ‘holy water’ agaknya!!.......

YB Ustaz Mujahid Yusof Rawa dalam artikel berjodol,’ Holy water won’t turn Muslim into Christians’ (Malaysiakini 11 Januari 2014) ada menyatakan,” "There is no such thing as going to Church and suddenly becoming a Christian. That is rubbish’. Rupanya fahaman sedemikian masih wujud lagi pada awal Kurun ke 21. Melihatkan keadaan sebegini yang menyebabkan aku begitu sedih kerana seolah-olah masyarakat Melayu itu tidak ubah seperti zaman Pak Pandir. Aku tak hairan sekiranya ‘fatwa’ sebegini disuarakan pada zaman-zaman awal Kurun ke 20. Sememangnya orang Melayu pada ketika itu dalam keadaan yang amat daif dan ‘ignorant’ (aku terpaksa gunakan bahasa Inggeris untuk ‘melapik’ perkataan yang digunakan).Tetapi yang aku hairan ialah bahawa masih ada lagi orang Melayu (Islam) yang masih berkeadaan sedemikian walaupun sudah berada pada awal Kurun ke 21.


Aku teringat satu peristiwa pada tahun 1997 di mana DS Mustafa Mohamed ( ketika itu sebagai Menteri Perusahaan Awam, jikalau tak silap aku) bersama-sama dengan beberapa orang pelajar di Kent, England telah menunaikan solat Maghrib di sebuah bilik di gerjeja di situ. Aku masih teringat. Kami tutup ‘salib’ dengan kain buat sementara kami menunaikan solat Maghrib. Dan sehingga kini kami semua masih merupakan penganut Islam yang kuat dan kukuh termasuklah DS Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa kini.

Aku teringat satu lagi peristiwa. Tahun 1996, pelajar-pelajar di Birmingham England telah mengadakan solat jenazah disebuah bilik di sebuah gereja di Birmingham yang diimamkan oleh Dr. Badrul Amin, memandangkan tidak ada tempat lain yang lebih sesuai untuk mengadakan solat jenazah berkenaan. Aku ada bersama-sama pelajar berkenaan yang mengadakan solat jenazah untuk yang meninggal akibat serangan ‘Meningjitis’.

Aku mengemukakan kisah-kisah berkenaan semata-mata bertujuan untuk mengingatkan diri kita supaya melihat bahawa agama Islam itu dari perspektif yang betul. Dek kerana kesempitan cara berfikir setengah orang Melayu (Islam) itulah yang menyebabkan ada dikalangan mereka yang mudah diperalatkan oleh golongan yang menamakan diri mereka ‘ulama’. Apabila pengetahuan mengenai agama itu cetek, maka apa saja yang diperkatakan oleh para ‘ulama’ akan diikuti  sepenuhnya. Aku teringat ungkapan yang mengatakan bahawa ‘ si tidur makanan sijaga’ dan ‘ si bodoh makanan si cerdik’

Abuhassanadam
26 Februari 2014


Tuesday, February 25, 2014

KESAN PEMANSUHAN PBS – PELARIAN GOLONGAN ELIT MENINGGALKAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Kemelut dalam sistem pendidikan negara kini agak parah. Mungkin agaknya pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia sengaja pura-pura tidak tahu atau pun tidak mahu tahu kesan akibat daripada tindakan kementerian Pendidikan yang ‘flip-flop’ atau pun yang ‘celum-celam’ ataupun yang dikatakan oleh orang Perak sebagai ‘surung-sentap’ ini. Tindakan ‘sorong-sentap’ yang terakhir sekali ialah apabila diumumkan tentang penangguhan ataupun pemansuhan PBS. ‘The last straw that broke the camel’s back’, kata Orang Putih. Rakyat masih tertanya-tanya samada ‘tangguh’ atau ‘mansuh’. Rakyat betul-betul keliru dengan keadaan ini.

Sehingga kini, ibu bapa yang anak-anak mereka terlibat dalam pelaksanaan PBS dalam keadaan kegelapan.
·      Tanya Cikgu, mereka tak tahu nak bagi jawapan.
·      Tanya Pengetua sekolah, pengetua juga ‘tergagap-gagap’ nak bagi jawapan.
·      Tanya Pegawai Pendidikan Daerah, mereka suruh tanya Kementerian.
·      Apabila pihak wartawan tanya Menteri Pendidikan beberapa minggu yang lepas, maka jawapannya ‘ kita tangguh dulu’
·      Ibu bapa soal lagi, ‘ tangguh sampai bila?’
·      Maka jawab Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan ialah,
         Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran             Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan             mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia    (KPM) dalam masa terdekat..
            Pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian             semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan Tan Sri             Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan             yang dicadangkan.

TS Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa pelaksanaan Penilai Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun lepas dan pelaksanaannya yang sepatutnya dijalankan pada tahun ini terpaksa dikaji semula. Ini yang aku namakan ‘surung-sentap’. Sepatutnya PBS yang dikatakan amat baik dan berkesan itu ( di negara-negara seperti Australia dan negara-negara maju lain) dikaji sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan di negara ini. Apakah tidak difikirkan tentang pelaksanaannya di kawasan pendalaman dimana masalah pencapaian internet merupakan perkara yang sangat rumit. Atau apakah tidak difikirkan tentang kualiti guru kita di Malaysia yang akan melaksanakan program itu secara berkesan. Apakah tidak terlintas di kepala perancang pendidikan ini tentang ‘validity’ dan ‘reliability’ ujian yang diperkenalkan itu.

Kononnya sistem ini telah dijalankan di negara-negaar maju seperti di Australia, Hong Kong, Finland dll. Inilah hujah yang sentiasa digunakan oleh pihak kementerian apabila hendak melaksanakan sesuatu projek. Selalu sangat menggunakan alasan bahawa ‘negara-negara maju telah menggunakannya’. Dan kebiasaannya sesuatu idea baru yang hendak diperkenalkan di negara ini biasanya ‘dibawa’ oleh para pegawai yang menghadhiri kursus di luar negara. Lantas mereka cuba mempraktikkan di negara ini tanpa melihat ‘kiri-kanan’ sama ada pelaksanaannya sesuai atau tidak dengan keadaan dan ‘iklim’ masyarakat di negara ini.

Penanguhan PBS oleh Menteri Pelajaran telah menjadi isu yang hangat dibincangkan oleh ibu bapa yang anak-anak mereka terlibat secara langsung dengan dasar ini. Dan tidak kurang juga diperbahaskan oleh golongan rakyat yang peka terhadap pentingnya pendidikan dalam pembangunan sesebuah negara. Rata-rata penduduk Lembah Kelang yang kebanyakannya terdiri dari golongan elit merasakan bahawa mereka perlu ‘lari’ dan terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada sistem pendidikan kebangsaan yang ada sekarang. Seolah-olah mereka sudah tidak ada keyakinan lagi terhadap dasar dan perjalanan sistem pendidikan kebangsaan.

Golongan elit berkenaan terdiri dari mereka yang mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah persendirian yang yurannya tidak akan termampu dibayar oleh kebanyakan rakyat di negara ini sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan para menteri kita yang memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah berkenaan atau terus belajar di luar negara. Golongan ini adalah terdiri dari semua kaum. Melayu, Cina, India. Mereka adalah golongan yang mampu berbuat demikian’ Dengan sebab terdapat permintaan yang terlalu tinggi untuk kelas-kelas IGCSE(The International General Certificate of Secondary EducationEducation (IGCSEmisalnya, maka sudah mula tumbuh sekolah-sekolah persendirian antarabangsa di Lembah Kelang seperti cendawan selepas hujan.

Bagaimana pula dengan golongan yang tidak berada dan tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah persendirian antarabangsa. Golongan yang tidak mampu dan tidak berdaya inilah yang akan menjadi mangsa ‘sorong-sentap’ Kementerian Pendidikan Malaysia. Maka golongan inilah yang akan terus menerus ketinggalan dalam lapangan pendidikan di negara yang kaya raya ini.

Orang Melayu yang miskin dari kampung hanya menyerahkan nasib mereka kepada kerajaan. Mereka tidak peka tentang nasib yang akan dilalui oleh anak mereka disebabkan dasar ‘sorong-sentap’ kerajaan itu. Lagi pun mulut mereka sudah pun ‘disumbat’ dengan BRIM yang menyebabkan mereka ‘gembira’ tidak terkata. Kaum guru yang boleh disifatkan sebgai golongan yang celik dan cerdik juga sudah ‘dikunci’ mulut mereka dengan berbagai-bagai imbuhan yang disediakan yang juga menyebabkan ramai kaum guru yang sudah ‘tidur lena’.

Keadaan kemelut dalam sistem pendidikan negara kini akan menelurkan satu kesan yang amat besaar dan parah kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang. Sekiranya golongan ‘pelarian’ ini bermai-ramai lari meninggalkan sistem pendidikan negara dan ‘tenggelam’ dalam sistem pendidikan yang  didatangkan dari Britain (IGCSE) maka nantinya rakyat Malaysia akan terbahagi dua.

Yang amat membimbangkan ialah bahawa pelajar-pelajar IGCSE tidak ‘berminat’ untuk mempelajari Bahasa Melayu (walaupun Bahasa Melayu dimestikan diajar) dan tidak mengetahui tentang Sejarah Malaysia (kerana sukatan pelajaran Sejarah tidak menitikberatkan Sejarah Malaysia). Mereka akan menjadi rakyat jahil dalam Bahasa Melayu dan ‘buta’ mengenai sejarah tanah air.

Perlu diingat bahawa pelarian beramai-ramai golongan berada ini bukan disebabkan kehendak mereka sendiri tetapi adalah disebabkan oleh ‘sorong-sentap’ dasar pendidikan kita yang menyebabkan golongan berada ini ‘lari’ meninggalkan sistem pendidikan kebangsaan. Jangan sekali-kali mereka dipersalahkan. Pihak berwajib harus mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu yang semakin parah ini.

Abuhassanadam
25 Februari 2014


Monday, February 24, 2014

PENGHIJRAHAN BERAMAI-RAMAI AHLI UMNO DI KAJANG….

Sayup-sayup kedengaran berita yang mengatakan bahawa ramai ahli UMNO di Kajang telah ‘bertukar angin’ untuk memberikan sokongan padu kepada DS Anwar Ibrahim. Aku tidak tahu sejauh mana betulnya berita sedemikian. Tidak pula ada statistik yang jelas menunjukkan berapa jumlah yang telah meninggalkan parti berkenaan dan ‘akan berhijrah’ ke parti Pakatan Rakyat.

Cuma yang boleh aku faham dan membuat andaian adalah berdasarkan kepada beberapa faktor yang berkemungkinan mendorong pengundi Kajang, khususnya ahli UMNO untuk memberikan undian mereka kepada DS Anwar Ibrahim. Melalui ‘cakap-cakap’ yang aku dengar bahawa golongan UMNO ini bukannya cenderung sangat untuk menyokong Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya mereka ‘mengubah haluan’ disebabkan calon yang bertanding adalah DS Anwar Ibrahim. Itu saja. Maknanya sokongan ahli UMNO itu bukan kepada Pakatan Rakyat tetapi kepada calonnya. Dan ramai juga ahli UMNO yang berfikiran (agak conservative juga pandangan sebegini) bahawa sepatutnya calon UMNO diletakkan bertanding di sini dan bukannya calon dari MCA.

Walau apa pun Itulah cerita ‘penghijrahan’ ahli UMNO yang menyokong DS Anwar Ibrahim. Majority rakyat dan pengundi Kajang yang ditemui seolah-olah sebulat suara mengatakan bahawa ‘kemeluatan’ mereka kepada BN (UMNO) dan  penghargaan mereka kepada kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor merupakan faktor yang paling dominan yang menyebabkan rakyat akan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat. Kenaikan harga barang adalah ‘nyanyian’ yang sentiasa berkumandang di mana-mana saja dan seolah-olah tidak kedengaran langsung ‘lagu’  BRIM. Dan seolah-olah juga bahawa ‘lagu’ BRIM adalah nyanyian solo DS Najib Razak di kawasan Kajang ini memandangkan bahawa kebanyakan penduduknya adalah terdiri dari golongan elit yang berpendapatan ‘5 Angka’.

Rakyat dan pengundi Kajang sudah diberitahu oleh DS Anwar Ibrahim bahawa Selangor akan dijadikan model untuk pembaharuan yang bakal dilaksanakan sekiranya beliau diberikan mandat di Kajang nanti. Selangor sudah agak mantap dari segi kemajuan dalam bidang ekonomi dibawah kepimpinan TS Abdul Khalid Ibrahim. Memang sudah jauh kehadapan berbanding dengan negeri-negeri lain di bawah pentadbiran BN. Ini diakui sendiri oleh Ketua Audit Negara menerus laporannya. Namun pada anggapan kepimpinan Pakatan Rakyat, Selangor boleh terus dimajukan dalam lapangan-lapangan lain selain dari kemajuan ekonomi.

Aku yakin bahawa ‘sasaran’ seterusnya bagi memajukan Selangor adalah dalam lapangan pendidikan. Aku amat yakin bahawa bidang pendidikanlah yang akan ‘digembelingkan’ sepenuhnya oleh DS Anwar Ibrahim (bekas Guru Besar Yayasan Anda) sekiranya beliau berjaya menguasai Kajang dan seterusnya Selangor. Pendidikan adalah amat dekat di hatinya dan terbukti bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia yang diterajuinya ketika berada dalam kerajaan dulu telah begitu berjaya dan dapat dibanggakan. Malah beliau penah dipilih menjadi Presiden UNESCO pada tahun 1989 .

UNESCO (The United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO)  telah ditubuhkan pada  16 November 1945 dan mempunyai keahlian seramai 195 negara ( mungkin lebih ramai ). Ditadbirkan oleh ‘General Conference’ dan Majlis Eksekutif. UNESCO yang beribu pejabat di Place de Fontency di Paris, dan mempunyai 50 cawangan-cawangan di seluruh dunia.
Seingat aku DS Anwar Ibrahim terpaksa ‘berhempas-pulas’ bertanding menentang bekas Timbalan Perdana Menteri Australia untuk memenangi jawatan berkenaan. Dan akhirnya beliau dinobatkan sebagai Presiden badan dunia itu satu-satunya anak Malaysia yang pernah memegang jawatan berkenaan sehingga kini. Dan tidak pernah ada sebelum dan selepas itu para menteri pendidikan dari Malaysia menyandang jawatan berkenaan. Ramai rakyat yang tidak tahu hal sedemikian.

Elok aku petik antara initisari ucapan DS Anwar Ibrahim selaku Presiden UNESCO yang ke 25 pada 23 Oktober 1989.

            …...The current twenty-fifth session of the General Conference, among other documents, is considering the Draft Medium-Term Plan for 1990-1995 which addresses the challenges confronting mankind the world over, which, as the present century is drawing to a close, Unesco must respond to, meaningfully and effectively, through planned actions in its established fields of competence: education, science and culture. These actions, needless to say, place the highest demands on the international community’s resources of intelligence and creativity”

Itu merupakan hasrat beliau selaku Presiden UNESCO pada tahun 1989 dan hasrat sedemikian belum lagi tercapai sepenuhnya pada angapan beliau. Dengan sebab itulah laungan REFORMASI masih lagi bergema dan terus bergema. Aku tak tahu bilakah akan padamnya.

Mungkin setelah beliau berjaya menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia. Ataupun mungkin setelah berjaya menduduki Puterajaya nanti. Insyallah.

abuhassanadam
24 Februari 2014