Thursday, February 28, 2013

WUJUDKAN BUDAYA MENUKAR KERAJAAN BILA PERLU


WUJUDKAN BUDAYA MEMBUAT PERUBAHAN BILA PERLU

Sudah berpuluh tahun kita dibawah kerajaan yang sama. Dulu Perikatan ( UMNO, MCA dan MIC ) dan kini Barisan Nasional. Lebih kurang sama saja. Tidak ada beza. Negara-negara lain di dunia entah berapa kali tukar kerajaan dan pemerintahan. Menukar kerajaan bukanlah untuk suka-suka. Mestilah ada sebab-sebab tertentu yang mewajarkan kita menukar kerajaan yang ada.

Ada orang kata apa perlunya ditukar kalau kerajaan yang ada tu baik dan lancar pemerintahannya. Jangan nak pandai-pandai buat eksperimen. Nanti kita yang rugi. Ada juga betulnya. Tetapi kebiasaanya ialah apabila sesebuah kerajaan itu terlalu lama memerintah, besar kemungkinannya ia akan lalai dan selesa. Khayal. Lupa dengan tanggungjawab yang semestinya dipikul  dan dilakukannya. Lantas lupa daratan. Lupa segala-galanya. Dan apabila sudah sampai ke peringkat itu, tampuk pemerintahan berkenaan mesti ditukar. Dicuba yang baru.

Aku tidak pula menyuruh menukar kerajaan kita yang ada. Melarang pun tidak. Cuma tugas aku memberikan pandangan dan buah fikiran. Sekiranya perlu diikut dan dihargai. Kalau tak mahu ‘pakai’ tak apa.

Mesti ada sebab mengapa dalam demokrasi digalakkan mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.  Tujuannya ialah untuk menilai samada wakil rakyat yang dipilih itu telah menjalankan tugasnya dengan baik atau sebaliknya. Kalau hanya ‘ makan gaji buta’ maka sudah sewajarnya ditukar kepada orang lain yang lebih efisien dalam menjalankan tugas dan peranannya.

Pada zaman dulu-dulu kebanyakan wakil rakyat, terutama yang berkhidmat di kawasan kampung memang makan gaji buta. Tak le semua. Tapi ramai yang begitu. Datang ke kawasan hanya apabila pilihan raya hampir tiba. Sepanjang lima tahun tidak sekali pun pergi meninjau keadaan di kawasannya. Bukan itu sahaja, untuk berjumpa dengannya merupakan satu masalah besar. Terpaksa pergi berkali-kali ke pejabatnya dan ke rumahnya untuk mendapatkan bantuan. Seperti peminta sedekah. Dan kebiasaanya dia buat layan tak layan. Lainlah kalau dia berjumpa dengan towkey Cina.

Tetapi apabila hampir tarikh pilihanraya, kebanyakan wakil rakyat akan pergi ke kawasan berjumpa dengan orang kampung. Berlakon. Pura-pura perihatin dan bertanggungjawab terhadap pengundi di kawasannya. Berpakaian baju yang sudah lusuh. Baju lama . Menunjukkan kepada pengundi yang dia dalam keadaan yang tidak berapa kaya. Memandu kereta yang jauh lebih murah dari kereta mewah yang dimilikinya. Menunjukkan kepada orang kampung bahawa inilah kereta yang dimilikinya.

Orang kampung yang baik hati akan percaya. Percaya kepada cakap wakil mereka, walaupun sudah berapa kali ditipu. Rakyat akan terus mencium tangan wakil mereka, walaupun tangan yang dicium adalah merupakan tangan yang penuh dengan ‘kekotoran’, tangan yang tidak segan-segan menerima wang rasuah. Orang kampung tidak tahu kerana mereka telah ditipu dengan bahasa-bahasa yang indah-indah dan ditambah pula dengan pemberian gula, beras, kopi, kain batik dan lain-lain. Bukan bermakna orang kampung terlalu miskin untuk membeli barangan itu, tetapi sebenarnya mereka tahu mengenang budi orang. Dah termakan budi.

Selama setengah abad wakil Rakyat di Malaysia menerima status VVIP sedangkan mereka adalah sebagai wakil rakyat disatu-satu kawasan menyampaikan masalah di kawasannya kepada pihak yang berwajib supaya diambil tindakan oleh pihak-pihak tertentu. Ini tidak begitu. Wakil rakyat sudah menjadi semacam boss yang mesti dihormati ( melampau-lampau ) sehinggakan mereka lupa tugas dan yang parahnya  ada diantara mereka lupa daratan.

Apakah kita perlu mengekalkan wakil rakyat kita ( BN atau Pakatan) sekiranya mereka tidak berfungisi sebagai wakil rakyat?
·      Tidak mempedulikan kebajikan rakyat dibawah seliaannya.
·      Tidak memberikan sebarang pertolongan atau bantuan ( yang termampu olehnya) kepada rakyat di kawasannya.
·      Tidak  terlibat dalam apa-apa perbahasan dan memberikan apa-apa sumbangan dalam DUN atau Parlimen demi untuk memajukan bangsa dan negara secara umumnya.

Itu dilihat dari segi peribadi seorang wakil rakyat. Persoalan yang lebih besar yang berada di hadapan kita kini ialah kemampuan parti yang memerintah untuk meneruskan usakanya menerajui kerajaan. Mampukah mereka melaksanakan tugas yang amat berat ini untuk kesekian kalinya. Bagi mereka tentulah jawapannya dalam bentuk yang positif. Tetapi terpulanglah pada diri kita pula untuk menilai samada mereka boleh atau tidak.

Banyak juga pertimbangan yang perlu dilakukan oleh kita.

·      Apakah dasar yang dijalankan oleh kerajaan kini sesuai bagi negara dan rakyat menggalas prinsip-prinsip Wawasan 2020 dan seterusnya meneroka Kurun ke 21 dengan jayanya.
·      Apakah pencapaian yang telah dicapai oleh negara dalam lapangan ekonomi – kemasukan pelabur-pelabur asing misalnya.
·      Pengiktirafan oleh negara asing tentang keupyaan pemimpin-pemimpin kita mentadbirkan negara.
·      Apakah tindakan yang dijalankan oleh pihak pemerintah untuk memerangi gejala rasuah, mengekalkan kredibiliti badan perundangan, pasukan polis dan tentera.

Setelah mengambil kira semua faktor-faktor ini dan faktor-faktor lain yang tidak sempat dan muat untuk dijelaskan, barulah rakyat dapat membuat penilaian yang terperinci dan  kritikal.
Dan sekiranya kita merasakan bahawa kerajaan yang ada sekarang sudah sampai masanya digantikan, maka rakyat sepatutunya tidak harus ragu-ragu untuk membuat kepputusan. Begitu juga sebaliknya, sekiranya kita merasakan kerajaan yang ada perlu dikekalkan. Dan rakyat tidak harus bimbang dengan keputusan yang dibuat sebab keputusan yang dibuat itu hanya ‘berumur’ lima tahun sahaja. Sekiranya sampai masanya perlu pula membuat satu lagi perubahan, maka rakyat perlu lakukan juga.

Pendek kata, jadikan pilihanraya itu sebagai tempat kita melakukan perubahan. Jadikan sebagai satu budaya kita untuk menukar pemerintahan. Itu sebenarnya elemen demokrasi tulin.


Abuhassanadam
1 Mac 2013


Wednesday, February 27, 2013

MATAPELAJARAN BAHASA INGGERIS, JANGAN FLIP-FLOP


 MATAPELAJARAN  BAHASA INGGERIS, JANGAN FLIP-FLOP

Aku pun hairan juga mengapa takut sangat nak mewajibkan matapelajaran English dalam peperiksaan SPM. Jikalau kita dah merasakan English itu amat penting untuk kita meneroka Kurun ke 21, maka mahu tak mahu kita terpaksa melengkapkan diri kita dengan bahas Inggeris. Dah tak boleh elak. Nak buat macam mana.

Tapi janganlah pulak dilupakan peranan Bahasa Melayu. Itu amat penting didaulatkan.  Semua kaum di Malaysia perlu faham bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu bukan untuk kebanggan dan suka-suka, tetapi adalah disebabkan peranan bahasa itu sendiri. Dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat berperanan menyatukan rakyat Malaysia. Kaum lain ( Tionghua dan India ) mesti betul-betul faham tentang hakikat ini. Segala acara-acara rasmi mesti menggunakan Bahasa Melaysia. Tak boleh menggunakan bahasa lain. Lagipun sudah termaktub dalam perlembagaan Malaysia yang Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan.

Dan oleh kerana Bahasa Melayu hendak diperkukuhkan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan dalam ertikata yang sebenar-benarnya, bahasa-bahasa lain jangan pula disekat penggunaannya. “ Bior lantaknya le dema nak bercakap…mana kite nak nahannya” kata orang Perak. Jangan pula ada usaha untuk menyekat penggunaan bahasa dan loghat Cina atau Tamil. Begitu juga dengan kewujudan sekolah Cina dan Tamil. 

Sepatutnya sekolah Cina dan Tamil tidak patut wujud di Malaysia sepertimana yang dilakukan oleh Phibul Songgram di Thailand ( yang menghapuskan sekolah Cina dan membakar akhbar-akhbar Cina pada suatu ketika dahulu ). Dan jikalau kita lihat di negara-negara barat  terdapat hampir seluruh negara barat ada ‘China Town’ tetapi tidak pula wujud sekolah Cina.

Itu di negara orang. Negara kita lain. Datuk nenek kita sudah setuju tentang kewujudan sekolah Cina dan Tamil. Perlembagaan kita ada mencatatkan tentang penubuhan sekolah Cina dan Tamil. Justru harus tidak disentuh tentang penggunaan bahasa Cina dan bahasa Tamil di sekolah-sekolah verakular ini dengan syarat penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan diperkukuh dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Dan bukan Bahasa Cina dan Tamil sahaja harus diperluas penggunaannya, bahasa-bahasa lain juga harus dipelajari oleh rakyat Malaysia. Apa salahnya mengetahui dan mahir dalam banyak bahasa. Belajarlah bahasa Perancis, Arab, Jerman, Jepun dan bahasa-bahasa lain. Tak rugi.

Berbalik tentang mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris. Sekiranya telah difikirkan betul-betul penting dan amat berguna dipelajarai untuk rakyat menerokai Kurun ke 21, apa salahnya diimplementkan. Takut kalau-kalau ramai orang Melayu tak lulus?. Pandangan sedemikian aku rasa sudah agak ketinggalan. Kita kena fikir semula. Mahir dalam penggunaan bahasa Inggeris itu penting ke ataupun lulus dalam peperiksaan itu penting.

Ramai dikalangan orang Melayu ( dulu-dulu le ) melanjutkan pelajaran di Universiti untuk mendapatkan ‘segulung ijazah’ bukan untuk mendapatkan ilmu. Itulah sikap orang Melayu dulu-dulu. Ini berbeza dengan pandangan kaum lain menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran. Mereka mahu menacri ilmu. Dengan sebab itulah ramai pelajar-pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran ke USA misalnya memilih universiti yang bukan ivy League, yang agak senang untuk lulus. Sebab matlamat mereka ke universiti ialah untuk mendapatkan ‘ segulung ijazah’. Sekiranya mereka pergi untuk mendapatkan ilmu tentulah mereka memilih uiniversiti yang terkenal seperti Harvard, Standford, Princeton, Yale , MIT dan lain-lain. Namun begitu bukanlah tidak ada pelajar kita yang memasuki universiti berkenaan. Ada. Tak ramai. Bukan mereka tak layak memasuki universiti berkenaan, tetapi mereka sentiasa memilih jalan senang.

Berbaiik kepada persoalan mewajibkan bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM, sekiranya pihak kerajaan merasakan langkah ini penting, jangan teragak-agak lagi. Sediakan perancangan yang rapi kearah itu. Jangan berdolak dalik. Sekiranya kerajaan memikirkan rakyatnya perlu dilengkapkan dengan kemahiran berbahasa Inggeris, sepertimana yang difikirkan oleh negara Indonesia, Thailand dan Jepun juga, maka pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu bersiap sedia kearah itu.

Jangan terlalu banyak ‘songeh’ ( meminjam kata-kata orang muda sekarang ). Sekiranya pihak kerajaan bimbang dengan apa yang terjadi kepada orang Melayu sekiranya dasar ini dilaksanakan, maka aku rasa kerajaan agak tersilap sikit. Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ketika dibawah sistem penjajahan British, English adalah matapelajaran wajib lulus dalam semua peperiksaan kerajaan. Bukan sahaja ‘Lulus’ tetapi mesti mendapat “Credit” ( Kepujian ). Ramai pelajar-pelajar Melayu yang berjaya mendapat Credit. Dan ada juga yang gagal. Biasalah…

Soalnya ialah mengapakah ramai anak-anak Melayu berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik ketika itu? Seingat aku lah tidak ramai anak Melayu ( dari kampung ) yang mendapat bimbingan dari guru-guru tuition. “ Meghacun” ( kata orang Perak). Tetapi mengapa boleh berjaya. Dengan cemerlang pulak!. Dan sampai ke universiti. Tun Sufian Hashim, anak kampung dari Kuala Kangsar berjaya pula menjadi pelajar terbaik dari Cambridge University dalam bidang undang-undang.  Mengapa boleh?

Berdasarkan andaian ini aku rasa jikalau kerjaan betul-betul merasakan bahasa Inggeris ini cukup penting dan yakin bahawa sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, maka negara ini akan lebih berjaya menguasai dunia global, maka kerajaan terpaksa mengorak langkah dengan segera. Tak salah mendapatkan pandangan dari rakyat terbanyak, tetapi kerajaanlah akhirnya yang membuat keputusan. Jangan flip-flop. Jikalau sudah betul-betul yakin, ayuh lakukan yang terbaik.


Abuhassanadam
28 Februari 2013 





TEORI GOEBBELS DAN FALSAFAH MELAYU


 TEORI GOEBBELS DAN KEYAKINAN MELAYU

Joseph Goebbels, Menteri propaganda Adolf Hitler dalam zaman pemerintahan Nazi di negara Jerman pada suatu ketika dahulu pernah berkata bahawa, “If you repeat a lie often enough, it becomes the truth”. Maknanya kalau kita berbohong dan kita ulangi pembohongan itu beberap kali, nescaya lambat laun akan dipercayai juga akhirnya ( oleh siapa yang mendengarnya)

Aku tak tahu samada ramai yang cuba mengamalkan teori Goebbels ini. Memandangkan ‘trend’ dalam negara kita kini seolah-olah teori Goebbels ini sudah menjadi semacam ‘ ayat-ayat suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad’. Masing-masing cuba mengguna-pakai dalam amalan setiap hari. Para pemimpin negara cuba meyakinkan rakyat dengan mengulani  hujjah-hujjah yang serupa pada setiap masa agar rakyat yakin apa yang dicakapkan.

Tahun 1998 berlaku peristiwa hitam dalam sejarah negara ( bagi aku le). Saudara Anwar Ibrahim dituduh melakukan liwat disamping berbagai-bagai tuduhan lain. Pihak tertentu menggunakan berbagai-bagai cara untuk meyakinkan rakyat bahawa Saudara Anwar ada melakukan perkara terkutuk itu. Dan berkemungkinan besar juga pihak propaganda kerajaan  mengguna-pakai teori Joseph Goebbels ini dalam usaha perang saraf itu.

Namun begitu teori Joseph Goebbels ‘ tewas’ apabila berhadapan dengan falsafah  Melayu.

 “ Aku tak percaya…”
“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”
“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”
“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Berapa kali pun disogokkan dengan cerita karut itu pada masyarakat Malaysia, pada orang Melayu khususnya ‘jawapan’ yang diberikan oleh masyarakat Melayu ialah tetap sama. Kalau dia kata dia tak percaya, dia akan kata tak percaya ' sampai kiamat' le.

“ Aku tak percaya…”
“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”
“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”
“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Inilah sifat orang Melayu yang telah diwarisinya turun temurun. Teori Goebbels Nampak semacam ‘ tak lut’ apabila berhadapan dengan teori dan falsafah Melayu.Aku sengaja memilih isu ini kerana kewujudan keadaan sekeliling yang menghairankan aku dan ramai orang. Semenjak tahun 1998 lagi, tidak habis-habis tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Walaupun beliau dijatuhi hukuman bersalah dan dikenakan penjara beberapa tahun, namun masyarakat masih tidak mempercayai yang dia ada melakukan perkara-perkara yang dituduh. Maknanya masyarakat masih tidak percaya kepada tuduhan-tuduhan itu walaupun hakim mengatakan beliau bersalah.

Hakim mengatakan bersalah tetapi masyarakat umum merasakan beliau tidak bersalah. Ini ialah persoalan persepsi. Aku mengatakan begitu kerana sambutan terhadap Saudara Anwar Ibrahim seolah-olah tidak berubah. Malah semakin bertambah. Ketika beliau berada di penjara, tidak putus-putus orang ramai pergi melawat keluarganya dan apabila beliau dibebaskan dari penjara, lautan manusia hadhir di rumahnya untuk menyambut kepulangannya.

Maknanya masyarakat ‘menentang’ keputusan hakim yang mengatakann dia bersalah.
Maknanya masyarakat menganggap Saudara Anwar Ibrahim tidak bersalah.
Maknanya teori Goebbels tidak berkesan kepada masyarakat Malaysia dan masyarakat Melayu khususnya. Orang Melayu tidak ambil peduli tentang beberapa kempen yang dijalankan untuk memburuk-burukkan beliau.

Seolah-olah teori Joseph Goebbels terus menerus diguna-pakai walaupun nampak jelas tidak berkesan. Dalam kempen untuk memburukkkan Saudara Anwar kini, berbagai tuduhan dan tohmahan dilimparkan. Aku tidak pasti samada tuduhan atau tohmahan itu betul atau tidak. Namun yang dapat aku pastikan ialah masyarakat tidak percaya kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.

Mungkin juga ada yang percaya. Tak ramai. Jikalau ada yang percaya pun aku pasti, jauh disudut hatinya tidak juga begitu yakin dengan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan. Seorang kawan aku yang ‘ terpaksa’ mempercayai segala tuduhan dan tohmahan terhadap Saudara Anwar terpaksa mengaku juga akhirnya bahawa sebenarnya dia juga tidak mempercayai fitnah berkenaan. Dia mengaku bersalah membuat tuduhan sedemikian disebabkan ‘terpaksa’.

Aku pernah menghadhir satu ceramah dimana Saudara Anwar berucap. Aku tahu Saudara Anwar memang hebat ketika menyampaikan ucapan. Tapi persoalannya ialah apakah rakyat masih mahu lagi mendengar ucapannya setelah ditohmah dengan berbagai tohmahan oleh siaran TV dan akhbar-akhbar milik kerajaan.

Apa yang menghairankan aku ialah sambutan yang diberikan oleh rakyat dari berbilang kaum terhadap Saudara Anwar Ibrahim memang luar biasa. Lautan manusia hadhir mendengar ucapannya. Mereka datang bukan dibayar. Bukan disediakan nasi bungkus. Tidak disediakan bas-bas untuk membawa mereka pergi dan balik. Tidak dibekalkan wang saku. Rakyat datang untuk mendengar ucapan Saudara Anwar Ibrahim.

Maknanya  falsafah dan pegangan orang Melayu itu amat berkesan dalam suasana masyarakat Malaysia. Orang Melayu khususnya tetap mengatakan

“ Aku tak percaya…”
“ Jikalau aku kata tak percaya….tak percaya la……”
“ Berapa kali aku nak kata aku tak percaya….tak percaya la..”
“ Jikalau kerat empat pun …aku tak percaya”

Maknanya teori Jospeh Goebbels tidak sesuai dan tidak berkesan dipraktikkan di Malaysia. Mungkin…….


Abuhassanadam
27 Februari 2013



Tuesday, February 26, 2013

TAKKAN MELAYU HILANG.....




TAKKAN MELAYU HILANG………

Seorang kawan aku mengatakan sekiranya kerajaan yang ada sekarang kalah dalam PRU 13 nanti, “ Melayu akan habis…hilang”. Maknanya mengikut pandangan dia Melayu akan terus jadi mundur. Jadi pengemis di tanah air sendiri. Jadi papa kedana, meminta-minta, macam minta sedekah yang ada di pasar-pasar minggu sekarang.

Aku katakan yang aku kurang setuju dengan pendapatnya.Dia pula menuduh aku menentang kerajaan. Menentang BN. Menentang UMNO. Aku jelaskan aku tidak menentang dan tidak pula menyokong membabi buta. Jikalau nak dikaji sejarah perjuangan keluargaku menyokong UMNO boleh dilihat semenjak zaman Atuk ( nenek ) aku menyokong perjuangan Tunku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan lagi. Sampailah ke arwah bapaku sememangnya ‘orang kuat ‘ UMNO.

Tapi persoalan yang nak aku utarakan ialah kenyataan yang mengatakan “ Habislah Melayu sekiranya BN tewas dalam PRU 13 nanti”. Aku tafsirkan kenyataan ini dalam konteks yang berbagai-bagai.

·      Seolah-olah orang Melayu cukup lemah, tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan kepada UMNO untuk membolehkan orang Melayu bertenaga, kuat, bersemangat dan lain-lain. Dan sekiranya UMNO hilang, orang Melayu akan hilang. Dan menyebabkan aku berfikir pula. Ramai lagikah orang Melayu yang berfikiran sedemikian dalam Kurun ke 21 ini?
·      Seolah-olah orang Melayu itu memerlukan ‘ tongkat’ selama-nya untuk hidup sepanjang zaman. Selalu mengharapkan pertolongan orang lain untuk ‘survival’nya. Sekiranya ‘tongkat’ ditiadakan atau dibuang maka seolah-olah orang Melayu akan ‘mati’, lemah, tidak berdaya dan tidak akan dapat hidup lagi di tanah air sendiri.
·      Seolah-olah orang Melayu cukup lemah. Membayangkan seolah-olah orang Melayulah bangsa yang paling lemah dalam dunia ini. Apa tidaknya. Setelah mencapai kemerdekaan selama setengah abad, masih ada lagi yang berpendapat bahawa orang Melayu akan berfikiran jumud. Dan pendapat sedemikian disuarakan oleh seorang yang diistilahkan sebagai seorang intelek. Lulus university dari luar negara pulak.
·      Seolah-olah orang Melayu itu cukup takut dan bimbang apabila bersaing dengan orang Cina dan India dalam lapangan yang berbagai-bagai. Orang Melayu seolah-olah telah menyerah kalah sebelum masuk bertanding. Seolah-olah begitulah, menurut pendapat kawan ku itu.
·      Seolah-olah segala kejayaan yang dicapai oleh orang Melayu dalam berbagai lapangan bukan kejayaan yang dicapai oleh individu itu sendiri. Seolah-olah semua kejayaan yang dicapai  adalah hasil daripada pertolongan dan bantuan pihak kerajaan. Dengan lain perkataan seolah-olah menidakkan kehebatan dan pencapaian seseorang itu.

Aku hairan setelah empat puluh dua tahun terlaksananya Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) dan setelah beratus ribu anak Melayu yang mendapat pendidikan tinggi dari dalam dan luar negara, masih ada lagi anak Melayu yang terpelajar yang berfikiran sedemikian rupa. Takut benar untuk berhadapan dengan kenyataan. Tak percaya kepada diri sendiri bahawa sebenarnya orang Melayu sudah kuat, sudah lebih kurang sama dengan kaum-kaum lain di negara ini, dari segi pencapaian akademiknya, diukur dari bilangan orang Melayu yang menerima pendidikan tinggi.

Aku tak nafikan orang Cina sememnagnya mahir dalam lapangan perniagaan, dalam lapangan ekonomi. Kemahiran ini diwarisi oleh mereka dari datuk nenenk mereka semenjak beribu tahun yang lampau. Kajilah sejarah peradaban Cina ( Hwang HO civilization misalnya). Mereka mendahului sejarah peradaban Melayu. Itu hakikat sejarah. Begitu jugalah dengan sejarah peradaban orang India ( Indus Civilization). Beribu-ribu tahun mendahului peradaban orang Melayu.

Namun bagitu takkanlah orang Melayu tidak boleh belajar dari pengalaman dan kemahiran yang orang Cina dan India ada. Dan mereka juga akan bersedia untuk berkongsi pengalaman dalam hal ini. Sudah terbukti yang kaum-kaum di Malaysia sanggup bekerjasama dalam lapangan yang orang Melayu kurang mahir.

Persoalannya ialah kesediaan orang Melayu untuk bekerja keras ( kuat) seperti orang lain. Aku tak kata orang Melayu malas, suka berpoya, suka pada hiburan. Aku tak kata. Tapi R.O. Winstedt ( orang Putih yang pernah mentadbir Tanah Melayu dulu ) pernah kata begitu. Kadang-kadang semacam aku nak setuju. Sikit-sikit le. Tetapi apa salahnya kalau kita jadikan kenyataan orang putih itu sebagai satu cabaran bagi orang Melayu untuk berubah, untuk memperbaiki diri. Apa salahnya kalau kita berusaha untuk menafikan kenyataan itu dengan membuktikan kebolehan kita.

Orang Melayu mudah lupa kata Tun Dr. Mahahthir. Tapi bagi aku orang Melayu juga mudah percaya kepada perkara-perkara yang ‘merosakkan’ dirinya sendiri.

·      Dikatakan orang Melayu lemah dalam pelajaran Matematik dan Sains. Orang Melayu ( dulu-dulu dan mungkin tidak sekarang ) setuju. Dia setuju disebabkan untuk ‘memujuk’ hatinya kerana anaknya gagal dalam lapangan sains dan matematik.
·      Orang Melayu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana latarbelakang kampung yang dimilikinya. Orang Melayu juga setuju !
·      Orang Melayu sememangnya lemah dalam lapangan ekonomi. Lapangan ekonomi di Malaysia adalah milik orang Cina. Orang Melayu juga setuju.

Tidak pula mereka ( segelintir orang Melayu ) meninjau bahawa sudah ramai anak Melayu yang hebat, sudah ‘bersepak-terajang’ di lapangan antarabangsa. Mereka tidak tahu bahawa sudah ramai anak Melayu yang berjaya dalam berbagai lapangan di negara luar. Di United Kingdom misalnya dan di negara-negara lain. Mungkin mereka tidak mahu keluar dari ‘tempurung’nya.

Orang Melayu sudah setanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Tetapi mengapa orang Melayu masih memerlukan ‘sokongan’ pelindung’ ‘penyelamat’ dan ‘ tongkat’. Mengapa?. Selagi kita memerlukan ‘tongkat’ selagi itulah orang Melayu tidak maju. Pasif. Penakut untuk menempuh cabaran. Orang Melayu kadang-kadang macam gajah ( bukan gajah). Tidak tahu tentang kekuatannya disebabkan telinga yang besar melindungnya daripada melihat badannya yang besar dan gagah.

Aku yakin orang Melayu akan bangun tanpa ‘tongkat’. Takkan Melayu hilang di dunia. Entah ya atau tidak Hang Tuah yang kata…..

Abuhassanadam
26 Februari 2013

Monday, February 25, 2013

DEBAT SYARAT DEMOKRASI


 DEBAT SYARAT DEMOKRASI

Mahu tak mahu aku fikir perdebatan bagi siapa sahaja yang ingin bertanding dalam pilihanraya yang ke 13 mesti diadakan. Tidak kiralah di peringkat parlimen atau peringkat negeri. Samada nak jadi Perdana Menteri atau pun nak jadi Menteri Besar. mesti berdebat dulu. Mesti mengeluarkan pendapat tentang cara mana seseorang itu nak menjalankan pentadbirannya nanti.

Rakyat kena dengar. Adakan perdebatan itu di Dewan Orang Ramai di kampung-kampung ataupun adakan perdebatan di Dewan Bandaran kalau di bandar. Dan untuk peringkat pusat adakan di dewan-dewan besar secara terus menerus. Live. Supaya rakyat boleh dengar. Supaya rakyat boleh tahu dan faham ke mana arah tuju yang hendak dibawa. Bukan ‘one-way’ traffic. Beri peluang kepada semua untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.

Masanya telah sampai supaya rakyat kita jangan diperbodohkan lagi. Rakyat Malaysia kini sudah celik. Bukan saja celik huruf tetapi sudah celik komputer. Celik Internet. Celik Facebook dan tweeter. Sudah tidak ramai rakyat Malaysia yang buta huruf. Mungkin ada saki baki yang sedemikian. Tidak ramai. Kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi dan membukakan peluang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menikmati segala peluang yang diberi.

Namun begitu, pihak kerajaan seolah-olah masih menyampaikan maklumat secara ‘one-way’ traffic. Maksudnya hanya pemimpin pihak kerajaan sahaja yang dapat menyalurkan pandangan mereka melalui saluran maklumat yang disediakan oleh kerajaan. Maklumat dari pemimpin kerajaan seolah-olah dipaksa dan disogokkan kepada rakyat walaupun mereka tahu ada dan ramai rakyat yang tidak mahu menerima sogokkan itu. Maknanya para pemimpin sedemikian seolah-olah berada dalam keadaan syok sendiri. Mereka tentu tahu atau pura-pura tak tahu bahawa rakyat tidak akan menerima bulat-bulat apa yang disarankan oleh mereka.

Pihak kerajaan perlu sedar bahawa masyarakat Malaysia Kurun ke 21 adalah masyarakat yang hampir-hampir sama dengan masyarakat yang ada di Amerika Syarikat ataupun di United Kingdom ataupun yang ada di Jepun. Masyarakat terpelajar. Cuba kita menungkan. Semenjak terlaksananya Dasar Ekonomi Baru ( 1970) sudah berapa ratus ribu agaknya kerajaan menghantar pelajar untuk belajar di pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Mungkin sudah mencapai angka million. Dan kini berapa ratus pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang ada di Malaysia.

Maknanya golongan terpelajar yang ada di Malaysia meningkat saban tahun. Dan kalau dulu kita sentiasa memperkecilkan kebolehan anak-anak kampung, kini anak-anak kampunglah yang memenuhi bandar Kuala Lumpur. Mereka adalah golongan yang celik segala-galanya. Mereka mengikuti perkembangan zaman. Mereka tahu apa yang berlaku disekeliling mereka dan juga diluar negara.

Yang anihnya ‘treatment’ yang diberikan oleh kerajaan adalah sama dengan ‘ teatment’ ketika Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Mungkinlah ada sedikit perubahan. Terlalu sedikit. Cara pemimpin kita menghebahkan dasar-dasar kerajaan tidak jauh bezanya dengan cara yang disampaikan oleh pemimpin terdahulu. Seolah-olah pemimpin kini tidak sedar dan tidak peka dengan perubahan radikal yang berlaku.

Dengan sebab itulah aku menyarankan dan menyeru sangat-sangat agar ‘treatment’ yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan seharusnya bersesuaian dengan keadaan perkembangan semasa. Tak usahlah bercakap mengenai penyediaan jalan raya, lampu letrik, bekalan air lagi. Itu modal yang sudah basi. Orang dengar. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Serupalah juga dengan cara menakutkan rakyat dengan isu ‘Zaman Jepun’ atau “ Zaman Komunis”. Tak lut dah. Begitu juga dengan cuba menakutkan  rakyat dengan ‘Persitiwa 13 Mei”. Aku rasa juga dah tak lut dah. Sebab rakyat sekarang lebih suka kepada perdamaian daripada permusuhan ( kaum ).

‘Perbalahan’ atau ‘ peperangan’ atau ‘pertembungan’ yang mereka idamkan ialah pertembungan fikiran. Menguji kepintaran melalui perdebatan. Dengan cara itu rakyat akan mengiktiraf kebolehan sesorang pemimpin yang akan memimpin mereka untuk  menembusi Kurun ke 21. Meletakkan negara di persada dunia global dan bukan berada ‘dibawah tempurung’ lagi.

Langkah yang diambil oleh pihak yang menganjurkan debat untuk pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi dalam bahasa Melayu bagi seluruh pelajar dunia adalah satu langkah yang patut dipuji. Dan kesediaan DS Najib untuk merasmikan acara perdebatan merupakan langkah yang menunjukkan Perdana Menteri kita sememangnya merestui dengan bersungguh-sungguh acara demikian. Dan tidak timbul isu yang mengatakan bahawa debat bukanlah merupakan amalan budaya di Malaysia.

Rakyat terbanyak mahu keadaan sedemikian diamalkan secara meluas di Malaysia. Bukan sahaja diamalkan di pusat pengajian tinggi, malah boleh diamalkan juga di luar pusat pengajian tinggi. Dan amat bertepatan sekiranya budaya debat ini dimulakan bersempena dengan PRU 13 yang akan diadakan tidak lama lagi..

Debat boleh di adakan. Jikalau tidak dapat dijalankan di peringkat kampung atau daerah pada permulaanya, eloklah dimulakan di peringkat bandar atau peingkat pusat. Ada disarankan agar diadakan perdebatan antara calon-calon yang hendak bertanding dalam PRU 13 di kawasan Lembah Pantai. Itu sebagai permulaan. Dan selepas itu bolehlah diadakan di kawasan lain di Wilayah persekutuan, di negeri-negeri yang lain seterusnya. Dan kemuncaknya tentulah perdebatan antara pemimpin tertinggai pihak kerajaan dan pembangkang.

Kegiatan sedemikian adalah merupakan kegiatan yang sihat, sesuai, menepati aspirasi rakyat kini dan merupakan amalan rakyat negara maju yang akan menempuh arus globalisasi dengan jayanya.

Semoga dapat direalisasikan. Insyallah.

Abuhassanadam
25 Februari 2013

Saturday, February 23, 2013

TAK TAHU MALU....


TAK  TAHU MALU…..

Apakah orang  sekarang dah tak tahu malu?……inilah soalan-soalan yang selalu menerpa benak aku. Tak kira masa. Kadang-kadang ketika memandu, aku terserampak dengan keadaan yang menunjukkan manusia sekarang dah tak tahu malu. Sedang menonton TV di rumah , tiba-tiba ditayangkan satu peristiwa menunjukkan yang manusia sekarang dah tak tahu malu. Di majlis-majlis khenduri diketemukan juga dengan manusia yang tak tahu malu.

Semasa kecil-kecil dulu terlalu kerap diucapkan perkataan ‘ malu ‘ oleh orang sekeliling kita. Entah berapa kali dalam seminggu diucapkan perkataan ‘ malu’ oleh ibu, bapak,  opah dll.

“ Jangan bercakap begitu….malu”
“ Jangan buruk laku di rumah khenduri….malu”
“Jangan mencuri. Ditangkap orang malu…..”
“ Jangan bercakap bohong. Nanti orang tak percaya pada kita….malu”

Dengan demikian, kita akan sentiasa berwaspada  dan berhati-hati melakukan sesuatu. Takut malu. Atau dimalukan. Tetapi malangnya pada hari ini nilai malu seolah-olah sudah diketepikan. Dibuang jauh-jauh. Seolah-olah perkataan malu sudah tidak terdapat lagi dalam perbendaharaan kata. Manusia sudah tidak mempunyai sifat malu.

Apa tidaknya.

Sebagai contoh, keluar berita mengatakan seorang yang bertaraf pemimpin melakukan perbuatan sumbang di mata masyarakat. Melakukan hubungan sulit. Ada bukti kukuh. Tetapi tidak dihebuhkan oleh akhbar disebabkan orang tertentu ada cara-cara tertentu untuk ‘menutup’ berita di akhbar berkenaan. Namun begitu dalam zaman internet, berita telah tersebar luas.

Persoalannya pemimpin berkenaan tak merasa malu ke?

Itu persoalan yang berkait dengan hubungan sulit. Ada terdapapt juga pemimpin bertaraf menteri atau timbalan menteri atau wakil Parlimen yang melakukan rasuah melibatkan wang negara bermilion ringgit. Meluluskan sesuatu projek tanpa melalui proses yang biasa dijalankan. Ada terdapat bukti jelas misalnya. Tetapi disebabkan kuasa dipegang oleh mereka maka kegiatan sedemikian hanya ditenggelamkan. Ada juga yang menggunakan kuasa untuk memberikan projek pada anak isteri. Takpa. Kalau anak isteri sememangnya ahli perniagaan dan tahu hal ehwal pengurusan. Ini tidak. Anak isteri jahil dalam perniagaan. Dan tentunya projek yang berbillion ringgit di ali babakan.

Soalnya, tak malu ke ?

Seorang wakil rakyat misalnya yang tugasnya untuk berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya, tetapi mengabaikan tugasnya sebagai wakil rakyat. Datang menemui rakyat setahun sekali. Dan terlalu susah bagi rakyat menemuinya. Apabila rakyat memerlukan pertolongan akan cuba menjauhkan diri. Dan apabila sampai masa untuknya bertanding dalam pilihanraya, barulah datang semula berjumpa dan menemui rakyat.

·      Yang hairanya wakil rakyat sedemikian tak malu ke?
·      Yang menambahkan lagi hairan kita ialah rakyat ‘termakan’ dengan janji-janji kosongnya sedangkan sudah berapa kali rakyat ditipu dan tertipu. Apakah rakyat tak tahu malu dan masih bangang.

Aku pernah melakukan kesalahan jalan raya dan ditahan oleh polis. Aku mengaku aku melakukan kesalahan itu. Bukan sengaja. Aku katakan aku tak perasan langsung tanda yang menunjukkan ‘ tak boleh buat U- turn.Aku bersedia untuk disaman. Dan di mahkamah akan ku minta pengadilan. Tetapi polis berkenaan minta agar kes ini diselesaikan. Aku kata itulah penyelesaiannya. Dia masih mengulangngi ayat ‘ boleh selesai’. Aku faham apa yang dimaksudkannya. Akhirnya aku bertanya dia, ‘ berapa?’. Jawabnya ’ berapa yang encik adalah…” Aku tetap tidak melayan ‘permintaan’nya. Akhirnya dia menasihati aku supaya jangan melakukan lagi.

·      Tak malu ke……
·      Tak terfikir kah dia ajaran emak bapaknya . Aku rasa semua emak bapak tak suruh anaknya berkelakuan demikian.
·      Tak terfikirkah dia bahawa wang sedemikian adalah wang haram. Apakah rasanya menggunakan wang haram untuk menyara hidup anak isteri.
·      Tapi bukanlah semua polis bersikap demikian.

Yang menghairankan aku lagi ialah sudah ada terdapat kaum pendidik ( guru-guru) yang sanggup melakukan perkara yang sepatutnya tidak tergamak dilakukan oleh kaum guru. Ada terdapat Pengetua atau Guru Besar sekolah yang menyelewengkan wang yang diberikan oleh kerajaan untuk tujuan yang lain dari tujuan yang sepatutnya. Misalnya  ada pengetua / Guru Besar sekolah disebelah utara ( Penang dan Selatan Kedah ) yang sanggup datang ke Kuala Kangsar untuk membeli barang keperluan untuk sekolahnya. Walaupun bilangannya tidak ramai, tetapi cukup untuk mengahirankan. Apakah barang-barang keperluan yang diperlukan disekolahnya tidak terdapat di Pulau Pinang misalnya. Kata orang tua-tua, “ jikalau tidak ada-ada takkanlah tempua bersarang rendah.”

Tak malu ke…

Apakah perasaan seorang pegawai kastam pencen/ ataupun seorang pegawai polis pencen/ ataupun pegawai kerajaan ( PTD ) pencen misalnya, yang semua orang tahu  berapa pendapatannya ketika memegang jawatan kerajaan, mampu membina beberapa buah banglo yang bernilai bermilion ringgit, memiliki beberapa buah  kereta mewah, dan sanggup pula makan angin keluar negara hampir setiap tiga bulan. Apakah dia selesa dan lena ketika tidur dalam banglo mewahnya. Apakah selesa dan bahagia ketika menaiki kereta mewahnya. Apakah senang hati dan dapat menikmati sepenuhnya percutiannya ketika berada di luar negara, sedangkan dia sedar bahawa wang yang digunakannya adalah wang haram yang bukan sepatutnya dimilikinya.

Tak malu ke……..

Abuhassanadam
24 Februari 2013




TAK GILA KE NAMANYA TU......


TAK GILA KE NAMANYA TU.......

“ Aku hairan betul budak-budak sekarang ni….gila yang bukan tempat” kata kawan lama.

“ Maksud kamu ?” tanyaku

“ Yalah…yang dema ( mereka)  tergila-gila sangat kat Psy (Gangnam ) itu, apasal?”

“ Ai …bukan ke dulu kita juga pernah jadi orang gila…” kataku menyindir.

Aku tak mahu sebut nama kawanku ini. Bukan aku takutkan dia. Jauh sekali. Aku tak mahu anak cucu dia tahu tentang kisah hidupnya menjadi ‘orang gila’. Gila macam budak-budak sekarang gilakan penari Psy tu. Aku takut dia malu sekiranya anak dan cucunya tahu. Nanti tentu ada diantara cucunya yang ‘berani’ buka cerita dia menjadi ‘orang gila’.

Aku mengaku yang aku juga pernah menjadi ‘orang gila’ ketika berumur dalam lingkungan belasan dan awal dua puluhan. Mungkin ada sedikit perbezaan antara ‘gila’ tahun 60an dengan ‘gila’ Kurun ke 21.

Aku tak pandai untuk menganalisis ‘gila Kurun ke 21” tetapi aku agak mahir menceritakan ‘ gila tahun 60an’. Itu zaman aku. Zaman pop yeh yeh. Sampai sekarang ada diantara muda-mudi  yang  nak tahu dengan sejelas-jelasnya tentang kisah artist 60an. Apa yang mereka dengar tu mungkin hanya ‘lapisan atas’ kisah-kisah 60an. Tak dapat mereka menyelami secara mendalam.

Menceritakan tentang pakaian sahaja sudah mengambil masa berhari-hari untuk menceritakannya. Baru tentang pakaian. Belum lagi tentang kisah artist, lagu-lagu 60an, pasar minggu, anak gadis 60an, motor scooter, reaksi ibu bapa 60an. Dan banyak lagi. Itu le aku kata, tiga hari tiga malam tak cukup untuk menceritakan kisah 60an. Aku merasa bertuah kerana aku jadi orang muda tahun 60an. Dapat menikmati suasana 60an sebenarnya. Zaman keemasan, kata kawan-kawanku. Sebenarnya Syok sendiri……

Baju, seluar, kasut muda-mudi 60an mempunyai identity tersendiri. Aku kadang-kadang tersenyum sendirian apabila melihat gambar aku dan kawan-kawan ku dengan pakaian tahun 60an. Apa tidaknya. Seluar ketat sampai ke kaki. Macam balut buah nangka. Nak pakai pun seksa. Kena duduk atas kerusi dulu dan kemudian baru boleh pakai. Seksa. Tetapi kena pakai sebab itu fesyen 60an. Nanti kita dikatakan kolot. Tak ikut zaman. Tambahan pula orang muda kena pakai. Nanti orang perempuan tak pandang sebelah mata. Tentang kasut pula. Kasut ‘Clarke’ berkulit terbalik. Maknanya kasut suede. Zaman sekarang jarang sangat orang memakai kasut berjenama Clarke. Mahal. Tahun 60an harganya cuma RM 24.00. Boleh dibeli di Penang ( bagi orang sebelah utara ).
Apabila mengenangkan tahun 60an ada suatu peristiwa sejarah yang perlu aku katakan yang tidak pernah diperkatakan apabila membicarakan tentang kisah P.Ramlee. Mungkin ada dibicarakan, tetapi aku yang tidak sedar perkara itu dibicarakan. Yang aku maksudkan ialah kemunculan penyanyi 60an lah yang telah ‘ membunuh’ lagu-lagu P.Ramlee. Kemunculan Jeffry Din, A.Ramlee dan beberapa orang penyanyi lain telah ‘mengenepikan ‘ lagu-lagu P.Ramlee.

Lagu-lagu yang dibawa oleh M.Osman, A.Ramlee, Jeffry Din dalam bentuk yang lain dari yang lain telah dapat menawan muda-mudi tahun 60an. Betul-betul ‘viral’. Kemaraanya seperti merebaknya api yang membakar hutan pada musim kemarau. Dalam masa yang amat singkat, ‘Termenung’ dan ‘Oh Fatimah’ sudah dapat menengelamkan lagu-lagu P.Ramlee pada ketika itu seperti ‘ Jeritan batinku” “ Jangan tinggal daku’ dan lain-lain. Di kampung-kampung pula sudah muncul guitar-guitar ‘ papan sekeping’, meniru guitar yang digunakan oleh ‘ The Siglap Five’ atau ‘ The Rythem Boys” dari Singapura ketika mengiringi penyanyi pop yeh-yeh pada ketika itu. Anak muda dikampung sudah mula membuat guitar sendiri. Dan ada juga yang telah menubuhkan kumpulan guitar rancak ( Kugiran) di kampung-kampung. Di Padang Rengas sahaja ada tertubuh dua kumpulan Kugiran – ‘ The Swampers’ dan ‘ Rentak Teruna”. Sekali lagi aku tak mahu dedahkan siapa yang menganggotai kumpulan berkenaan, takut kalau-kalau mereka malu kepada anak cucu mereka. Salah seorang ahli kumpulan berkenaan kini bergelar Datuk gelaran yang dikurniakan oleh DYMM Sultan Perak!

Suasan pada tahun-tahun 60an betul-betul ‘gila’. Mungkin sama dengan ‘gila’ yang dialami oleh anak muda sekarang. Ataupun zaman ‘60an’ itu lebih ‘gila’ daripada keadaan sekarang. Bezanya pada zaman itu ialah siaran TV belum meluas seperti sekarang. Seingat aku le, di seluruh kawasan Padang Rengas tu, hanya terdapat kurang daripada lima buah rumah yang memiliki TV. Tak lebih dari lima buah. Yang aku ingat betul, yang ada peti TV ( itu pun hitam putih. Warna belum ada lagi) ialah rmah Cikgu Ibrahim Abdullah, Guru Besar SK Tun Dr. Ismail, padang Rengas. Aku tak ingat kalau-kalau ada orang lain juga yang memiliki. Aku tak ingat.

Bagi orang kampung aku ( kampung Keroh Hilir) yang ingin menonton TV terpaksa ke pekan Padang Rengas, menonton di sebuah kedai TV kepunyaan orang Cina. Penuh sesak,( termasuklah aku) terutama pada hari Jumaat malam Sabtu. Cerita Melayu. Cerita lama-lama. Dan ada satu lagi program yang aku ingat berjodol, Aslirama’ yang menampilkan penyanyi-penyanyi seperti Rahim Omar dll.

Oleh kerana tidak dapat melihat wajah penyanyi kesayangan 60an melalui kaca TV menyebabkan ramai anak muda yang gila bayang. Mereka hanya mendengar suara penyanyi pujaan mereka melalui radio. Dan jikalau ingin melihat gambar-gambar penyanyi berkenaan hanya melalui majalah-majalah. Dengan sebab itulah apabila ada pertunjukan pentas yang menampilkan penyanyi-penyanyi pujaan mereka dari Singapura seperti A.Ramlee dan Jeffry Din, mereka tidak melepaskan peluang untuk pergi menonton.

Aku tak dapat gambarkan sepenuhnya ‘lautan’ manusia yang membanjiri Padang Polo di Kuala Kangsar yang datang untuk menyaksikan persembahan A.Ramlee dan Jeffry Din. Aku tak tahu berapa puluh ribu yang datang. Dari seluruh ‘ antero’ Kuala kangsar. Dari Padang Rengas, Talang, Sauk, Lubuk Merbau, Kati, Liman, Cegar Galah, Sayung, Karai, Cheh, Manung, Kota Lama, Teroso dan banyak lagi le. Penuh Padang Polo.

Tak gila ke namanya tu………

Abuhassanadam
23 Februari 2013