Friday, December 6, 2013


'LEMBU SHAHRIZAT'

Kisah ‘ Lembu Shahrizat’ hanya merupakan satu ‘kisah’ dari beribu kisah penyelewengan lain yang berlaku di Malaysia. Bak kata orang putih hanya sebagai ‘ the tip of an iceberg’. Banyak lagi penyelewengan lain, kecil dan besar yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa dan menggunakan kuasa tanpa segan silu ‘memerah keringat ’ rakyat yang membayar cukai.

Banyak sangat telah diperkatakan tentang kisah pihak berkuasa yang sudah tidak segan silu lagi menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi mereka dengan memperalaskan yang tindakan mereka itu adalah atas urusan kerajaan dan rasmi. Mereka yang melakukan tindakan sedemikian seolah-olah tidak langsung ‘menghormati’ rakyat Malaysia. Maksud aku mereka seolah-olah merasakan semua rakyat Malaysia boleh ditipu dan ‘dikelentong’ dengan memberikan berbagai alasan yang dianggap mereka ‘munasabah’.

Yang agak menghairankan aku ialah ada diantara pihak yang berkuasa ini sanggup membuat kenyataan yang langsung tidak masuk akal di parlimen. Maknanya mereka juga menganggap bahawa ramai ahli parlimen yang boleh diperbodohkan dengan penerangan mereka. Dan yang paling menghairankan aku juga ialah ada diantara ahli parlimen yang sanggup mengiakan dan menyokong sesuatu kenyataan yang sudah jelas tidak betul dan tepat. Mungkin demi kepentingan ‘perut’ agaknya.

Aku faham bahawa masih ramai lagi rakyat di Malaysia yang boleh ‘ditipu dan dikelentong’ oleh golongan tertentu yang berkuasa. Namun begitu bilangan yang sedar dan yang boleh berfikir dan yang tidak boleh diperkotak-katikan oleh mereka juga sudah bertambah.Namun bagi golongan berkuasa yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat ini tidak sedar tentang hakikat bahawa ramai rakyat sudah ‘celik’.

Kegiatan menipu oleh golongan tertentu yang berkuasa mungkin sudah berjalan begitu lama. Dan sekadarkan kita tidak tahu kegiatan mereka disebabkan oleh ketiadaan maklumat yang disampaikan ke telinga kita. Pendek kata dengan adanya media sosial inilah maka banyak penyelewengan yang telah terbongkar dan dibongkar. Dan dengan tindakan sedemikian kita tahu bahwa banyak penyelewengan berlaku.

Akhir-akhir ini banyak sangat pembongkaran yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang menyebabkan rakyat mula sedar dan tahu kegiatan penyelewengan ini. Pembongkaran yang dilakukan oleh Ketua Audit Negara, soal-jawab di parlimen dan tidak kurang juga pembongkaran yang dilakukan oleh persendirian yang sedar tentang betapa pentingnya penyelewengan itu didedahkan.

Satu perkara yang luar biasa berlaku di Malaysia kini ialah pihak yang dipersolakan kredibiliti mereka itu seolah-olah memekakkan telinga dengan kritikan yang dilemparkan oleh rakyat terhadap mereka. Mereka seolah-olah memiliki kulit muka yang begitu tebal dan tidak ambil pusing langsung tentang sungutan rakyat sedangkan wang yang mereka guna dan selewengkan itu adalah wang rakyat dan dari hasil titik peluh rakyat., termasuklah rakyat miskin di bandar dan di luar bandar.

Bagi aku ini merupakan satu ‘trend’ yang luar biasa. Kebiasaannya sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, ia merasakan dirinya amat bersalah dan amat malu untuk bertemu dengan sesiapa pun. Tetapi keadaan atau ‘ trend’ yang sebgini sudah tiada lagi wujud dalam masyarakat Melayu khususnya. Yang melakukan kesalahan ( dan terbukti kesalahan yang dilakukan) akan ‘cuba menegakkan benang basahnya’. Akan memekkakkan telinganya. Kadang-kadang seolah-olah ‘berbangga’ dengan tindakan yang dilakukan. Jauh sekali mereka akan takut atau gentar kepada balasan Allah di akhirat nanti. Jauh sekali…..

Dan yang paling anih dan yang amat pelik ialah ramai pula yang menyokong kegiatan penyelewengannya itu…….

Teguran oleh Ketua Audit Negara sepatutnya diambil perhatian serious oleh pihak-pihak tertentu. Teguran demi teguran telah dilakukan. Saban tahun. Namun ‘ anjing masih lagi bercawat ekor walaupun sudah berapa jong masuk kampung’. Walaupun beribu kali ditegur tentang penyelewengan yang dilakukan, namun ‘kesilapan’ terus juga berlaku dan terus dilakukan.

Persidangan Agung UMNO yang sedang berjalan kini adalah merupakan medan yang amat penting untuk menyuarakan perkara penyelewengan ini. Seruan yang dilakukan oleh para perwakilan UMNO membawa erti yang besar. Banyak isu yang boleh dikemukakan oleh perwakilan sekiranya mereka betul-betul berhasrat untuk memajukan negara ini dan membela rakyat, khusunya orang Melayu.

Mereka tentu tahu dan sedar bahawa telah berlaku berbagai penyelewengan yang dilakukan oleh ‘rakan dan taulan’ mereka yang menerajui tampuk pemerintahan negara. Rakyat sudah agak puas dan jemu menyuarakan segala penyelewengan yang dilakukan oleh golongan ini namun masih seperti anjing menyalak bukit. Tidak ada kesannya.

Hanya pada perwakilan UMNO diserahkan untuk membetulkan keadaan yang melanda negara yang tercinta ini, sekiranya perwakilan UMNO itu sendiri peka dan masih sayangkan orang Melayu yang tercinta sebagaiman yang selalu mereka sebut-sebut dalam ucapan mereka itu….

Amat malang sekali sekiranya tidak ada seorang pun dari ahli perwakilan UMNO yang berani menyuarakan tentang penyelewengan itu.

abuhassanadam
London
6 Disember 2013

P/S: Kita turut bersedih dengan kematian Nelson Mandela seorang pemimpin dunia yang jujur dan ikhlas.

No comments:

Post a Comment