Friday, December 27, 2013

KERAJAAN ‘MUFLIS’ KERANA PEMBAZIRAN


KERAJAAN ‘MUFLIS’ KERANA PEMBAZIRAN

Rakyat akan simpati kepada kerajaan sekiranya keadaan  ketiadaan wang  yang dialami oleh negara kini disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Bukan faktor yang ‘dibuat-buat’. Buktinya pada zaman kemelesetan pertengahan tahun-tahun 1980an yang dialami oleh Malaysia dan seluruh dunia pada ketika itu mendapat simpati rakyat Malaysia.

Rakyat umumnya bukan lah golongan yang tidak langsung ‘berhati perut’. Rakyat akan bersama-sama dengan kerajaan dalam keadaan senang susah. Ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’, ‘bukit sama didaki dan lurah sama dituruni. Dan itulah yang diamalkan oleh rakyat Malaysia pada pertengahan tahun-tahun 1980an. Dan tambahan pula pada ketika itu kerajaan mendapat sokongan majoriti rakyat disebabkan ada dua tokoh pemimpin yang berkeliber pada ketika itu DS Dr. Mahathir Mohamed dan Saudara Anwar Ibrahim. Rakyat betul-betul berada dibelakang kerajaan yang memberikan sokongan padu ke atas segala tindakan pemimpin pada ketika itu.

Aku masih ingat pada pertengahan tahun 1990an negara sekali lagi diserang kegawatan ekonomi yang melibatkan bukan sahaja Malaysia tetapi kebanyakan negara-negara di dunia terutama negara-negara di Asia Tenggara. Tidak pun ada sungutan daripada rakyat membayangkan tentang kekesalan mereka mengenai kegawatan itu. Rakyat faham bahawa keadaan sedemikian tidak dapat dielakkan walaupun kesilapan dipihak kerajaan tetap ada. Rakyat sanggup mengenepikan hakikat sedemikian. Rakyat simpati. Tidak ada tunjuk perasaan menentang kerajaan. Dan tidak pula berlaku kenaikan cukai, tol , pengurangan subsidi yang mendadak.

Kerajaan pada ketika itu sentiasa berfikir tentang bagaimana mencari jalan dan ikhtiar untuk memulihkan ekonomi negara. Berbagai langkah dijalankan dan kadang-kadang mendapat tentangan juga dari rakyat. Namun kepimpinan negara seolah-olah yakin dengan langkah yang dijalankan dan terus melaksanakannya, walaupu ada tentanga dari rakayat. Maknanya kepimpinan negara menunjukkan ‘keseriousan’ menangani kegawatan ekonomi negara dan rakyat memerhatikan dengan penuh minat. Dan tentulah rakyat juga simpati akan tindkan sedemikian.

Berbanding dengan keadaan sekarang, menampakkan bahawa kepimpinan negara seolah-olah tidak begitu serious dalam menangani kegawatan ekonomi negara. Nampak semacam begitu keadaannya. Laporan Ketua Audit Negara seolah-olah langsung tidak dipedulikan. Teguran dan pembuktian yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dipandang ringan dan dipandang ‘sebelah mata’ oleh kepimpinan negara. Tidak nampak sebarang tindakan yang serious yang dilakukan oleh kerajaan terhadap beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab. Jangankan untuk bertindak ke atas perkara besar yang melibatkan ratusan juta wang negara (rakyat), kes-kes yang lain  pun tidak ditangani dengan berkesan.

Sepatutnya kerajaan bertindak dengan segera ke atas laporan Ketua Audit itu. Mungkin telah ada dilakukan. Aku yang tak tahu. Tetapi apa yang dilihat  oleh rakyat segala tindakan itu hanya sebagai ‘melepaskan batuk ditangga’ sahaja. Tidak nampak kesungguhannya dan berkesan. Dan rakyat pasti akan beranggapan bahawa pembaziran akan terus dilakukan dan ‘bermaharaja - lela’.

Dalam keadaan kegawatan negara yang sebegini, ada terdapat pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang seolah-olah tidak merasakan bahawa apa yang ‘ditegur’ oleh Ketua Audit Negara itu tidak langsung melibatkan diri mereka. Seolah-olah teguran itu bukan ditujukan kepada mereka tetapi ditujukan kepada ‘orang lain’.

Aku kini masih berada di London. Aku tidak pun mengambil satu sen pun wang kerajaan ( wang haram) untuk datang dan tinggal di sini. Apa yang ingin aku katakan bahawa terdapat kegiatan setengah pegawai kerajaan yang seolah-olah membazirkan wang kerajaan untuk datang mengadakan ‘kursus’ di sini. Kursus Perkahwinan misalnya sebagaimana yang dijelaskan oleh beberapa orang pelajar ( yang tidak aku kenali) yang ‘terpaksa’ hadir untuk mengikuti kursus demikian. Aku tidak tahu siapa yang menganjurkannya dan dari kementerian mana. Itu aku tidak tahu. Yang aku tahu pelajar-pelajar berkenaan ‘marah-marah’ kerana kursus yang dianjurkan itu kononnya tidak memberi manfaat kepada mereka. ‘Hanya menghabiskan wang rakyat’ kata mereka.

Apakah rasionalnya mengadakan ‘kursus perkahwinan’ kepada pelajar-pelajar yang berada di London dengan ‘mendatangkan’ berpuluh orang pegawai dari Malaysia semata-mata untuk mengadakan kurusus demikian. Bagi aku ini merupakan satu pembaziran. Dan aku tidak pula menafikan bahwa Kursus Perkahwinan itu penting. Tetapi apa perlunya diadakan di London dan dikhususkan kepada pelajar-pelajar. Apakah para pelajar kita sudah begitu ‘gatal’ untuk berkahwin dan tidak ‘menyempat’ untuk pulang ke Malaysia?

Itu yang aku dengar dari ‘sosek-sosek’ pelajar di sini. Mungkin aku silap. Aku harap perkara ini tidak benar.

Pada zaman kegawatan ekonomi terdahulu ( Pertengahan 1990an) kerap kali diingatkan supaya rakyat berjimat dan berhemah dalam menjalankan urusan hari-hari. Bukan sahaja rakyat yang perlu berjimat tetapi pemimpin juga menunjukkan contoh bahwa sememangnya mereka juga berjimat. Rakyat nampak. Apabila Perdana Menteri dan isterinya ( pada ketika itu ) menunjukkan contoh yang beliau juga bersungguh dalam hal menjaga wang rakyat maka dengan sendirinya rakyat akan mengikuti jejak langkah demikian.

Rakyat tahu dan sedar bahwa terdapat juga kesilapan dan kesalahan pemimpin ketika itu. Namun disebabkan rakyat nampak tentang kesungguhan pihak pemerintah untuk mengatasinya maka rakyat terus simpati dan bersama-sama mengatasi masalah berkenaan

Apabila DS Dr. Mahathir dan isterinya menunjukkan contoh yang beliau amat pentingkan negara dan rakyat dari segala-galanya maka rakyat akan membalasnya dengan penuh simpati.

Itu yang dikatakan kepimpinan melalui teladan.

abuhassanadam
London
27 Disember 2013

No comments:

Post a Comment