‘PENYAKIT’
TIDAK MAHU MENGAKU KELEMAHAN DIRI
Aku petik kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dari
Malaysian Insider bertarikh, 22 Disember 2013. “Instead of wailing,
lamenting and demanding more Bumiputera participation in the economy, Malays
should take a good look at themselves and ask why they have been left behind’.
Lebih kurang maknanya ialah beliau cuba
mengingatkan orang Melayu bahawa daripada sentiasa merayu, merintih, (mengeluh)
dan mendesak agar orang Melayu (Bumiputera) diberikan peranan lebih dalam
ekonomi, lebih baiklah orang Melayu itu sendiri ‘cerminkan’ diri sendiri dan
tanya mengapa mereka ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi itu.
Aku setuju.
‘Penyakit’ sentiasa menyalahkan orang
lain sudah lama dihidapi oleh orang Melayu. Bukan lah semua….Tetapi
kebanyakannya begitulah. Bangsa lain pun ada yang bersikap begitu. Itu aku tak
peduli. Yang aku ingin persoalkan ialah mengenai orang Melayu tulin seperti
aku. Terlalu ghairah menyalahkan orang lain dan menyembunyikan kelemahan diri.
Satu contoh yang amat ketara ialah apabila
ada pihak yang menyalahkan orang Cina yang menyebabkan Barisan Nasional
hampir-hampir tewas dalam PRU yang lepas. Dan hampir tidak ada yang mengaku
bahawa punca kekalahan itu disebabkan oleh kelemahan sendiri. Dan tidak pula
ada usaha bersungguh-sungguh untuk cuba mengatasi kesilapan yang telah ada.
Kebanyakan kenyataan yang dibuat ke arah membetulkan kesilapan hanyalah sebagai
‘melepaskan batuk di tangga’.
Aku ingin juga menyingkap peristiwa
sejarah.‘
The Malays were lazy’ kata R.O. Winstedt dan Maxwell (penjajah British yang
pernah menjajah Tanah Melayu). Berasa ‘panas’ juga apabila ada bangsa lain
mengatakan bahawa orang Melayu itu malas dan ‘easy-going’. Berasa marah juga
apabila mereka memperkatakan perkara
yang buruk mengenai bangsa aku. Sekiranya ada orang Melayu (tulin) yang tidak
terasa dan ‘terhangat’ dengan kenyataan sedemikian, maka jelaslah bahawa ‘dia’
bukan orang Melayu tulin. Bukan orang ‘Melayu’ yang emak bapaknya orang Melayu
tulin. Bukan orang ‘Melayu’ yang emak bapaknya keturunan sakai dan orang darat.
‘Orang asli’ mengikut kata orang sekarang.
Mengikut pemerhatian R.O. Winstedt, (seorang pentadbir dalam zaman penjajahan
British ) itulah rupa keadaan orang Melayu ketika beliau memulakan
pentadbirannya di Tanah Melayu. Dan juga semasa beliau menjalankan pentadbiran.
Begitulah rupa orang Perak ketika James birch mula menjalankan pentadbirannya
di sana selepas tertandatangannya Perjanjian Pangkor. Begitulah juga rupa orang
Pahang ketika Dato Bahaman dan Mat Kilau menentang British. Dan begitu jugalah
keadaan orang Kelanatan, Terengganu ketika Abdullah Munshi mengembara ke
Kelanatan dan Terengganu.
Kini aku sedang berada di negara penjajah yang pernah
menjajah datuk nenek aku dulu. Dan rupanya dari sini lebih mudah aku
‘meneropong’ melihat kembali tentang keadaan anak cucu datuk nenek aku dulu.
Masyarakat Melayu di Malaysia sekarang. Kini. Apakah telah ada perubahan
daripada keadaan sebagaimana yang digambarkan oleh R.O.Winstedt itu. Atau
apakah orang Melayu masih berada di takuk lama sebagaimana yang digambarkan
oleh Winstedt dan Maxwell itu. Malas, suka berpoya-poya, ‘relax’, selalu
mengucapkan ‘tidak apa’…….
Sambutan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap
kenyataan R.O. Winstedt dan Maxwell itu ialah dengan ‘marah-marah’. Rata-rata
orang Melayu marah dan ‘melenting’ dengan kenyataan sedemikian. Jarang sangat
aku bertemu dengan keadaan dimana para pemimpin Melayu menyeru rakyat agar
menerima kenyataan berkenaan. Terima walaupun pahit bunyinya. Itu merupakan
pandangan mereka yang dilihat dari persepsi mereka. Mungkin juga betul.
Dan sepatutnya ada pemimpin Melayu yang berusaha
menggerakkan orang Melayu supaya ‘menafikan’ kenyataan sedemikian. Kenyataan
Winstedt yang mengatakan orang Melayu malas itu sepatutnya dijadikan ‘slogan
ransangan’ untuk merangsang anak Melayu supaya bergerak menuju kemajuan dan
berusaha ‘menafikan’ kenyataan demikian. Letakkan satu target dimana orang
Melayu boleh ‘melihat’ tahun berapakah target itu boleh dicapai semacam kita
berhasrat untuk merealisasikan Wawasan 2020.
Namun dalam usaha kita untuk maju telah timbul pula
satu lagi ‘wabak’ yang dihidapi oleh orang Melayu ia itu kebanyakannya malas
berfikir. Tidaklah semuanya begitu. Tetapi aku masih merasakan ‘penyakit’ ini
terbawa-bawa sampai kini. Apa tidaknya? Masih ramai lagi orang Melayu khususnya
yang tidak langsung mahu memikirkan secara kritikal tentang sesuatu isu
mengenai keadaan negara kini. Masih ramai lagi orang Melayu yang menerima
sesuatu kenyataan yang dibuat oleh seseorang pemimpin itu sebagai betul belaka.
Tidak nampak langsung usaha mereka memikirkan sesuatu isu yang diperkatakan
secara kritikal.
Dalam masa kempen pilihan raya misalnya, aku dapat
rasakan bahawa masyarakat Melayulah yang paling senang untuk dipengaruhi kerana
amat mudah menerima apa saja yang diperkatakan oleh pihak yang menyampaikan
sesuatu. Orang Melayu amat malas untuk berfikir secara rasional. Mereka
seolah-olah tidak mahu langsung merunsingkan fikiran mereka. Lantas mereka
hanya menerima sesuatu keadaan itu seadanya. ‘Easy-going’…..’lantaknya lah..’
kata orang Perak.
Dari segi hiburan memang amat disukai oleh orang
Melayu. Termasuklah aku juga. Namun begitu sudah ada kumpulan Melayu yang sudah
bergerak meninggalkan amalan lama orang Melayu yang agak lapuk.
Suka sangat menyalahkan orang lain…..
abuhassanadam
London
23 Disember 2013
No comments:
Post a Comment