Sunday, December 8, 2013

BUKAN ‘TSUNAMI MELAYU’ TETAPI ‘KEBANGKITAN INTELLIGENTSIA’


BUKAN ‘TSUNAMI MELAYU’ TETAPI ‘KEBANGKITAN INTELLIGENTSIA’

Pada pandangan aku yang akan menentukan kalah menang PRU 14 akan ditentukan oleh golongan intelligentsia yang terdiri dari semua kaum di negara ini. Pengolongan kumpulan berasaskan kaum akan beransur-ansur pudar disebabkan pengaruh luar yang amat kuat menular masuk ke dalam negara melalui asakan media sosial dan faktor-faktor lain juga.

Pemimpin Barisan Nasional khususnya UMNO sedar (hanya berpura-pura tidak sedar… mungkin) bahawa orang Melayu yang menyokong mereka dalam PRU 13 adalah golongan orang Melayu yang samada tidak sedar tentang apa yang berlaku disekeliling mereka ataupun golongan Melayu yang mencari kesempatan diatas ‘perjuangan’ mereka dalam UMNO.

Bagi aku yang merupakan penyokong UMNO tulin adalah terdri dari golongan orang Melayu kampung yang kononnya terhutang budi kepada UMNO kerana memberikan sedikit sumbangan kepada mereka ketika mereka dalam kesusahan ( sebenarnya orang kampung sentiasa dalam kesusahan berbanding dengan golongan berada di bandar). Maknanya sokongan mereka itu dalam PRU 13 yang lalu adalah untuk mengenang budi ( walaupun kecil budi yang dihulurkan) diatas sumbangan yang diberikan. Golongan ini akan terus menerus memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Tetapi persoalannya ialah golongan ini hampir pupus. Golongan yang berfikiran sedemikian hampir ‘tenggelam’ ditelan usia mereka yang rata-ratanya dalam lingkungan 60an dan 70an. Golongan yang masih ‘takut’ kepada zaman Jepun, zaman pemerintahan Komunis di Malaya dan Peristiwa 13 Mei hampir pupus. Oleh itu ‘modal besar’ Barisan Nasional dalam menakut-nakutkan pengundi ketika menjelang pilihan raya hampir tidak berkesan kepada generasi selepas itu.

Oleh itu sekiranya UMNO tidak bersedia dengan anjakan paradigma baru, maka UMNO akan menjadi sebuah parti seperti Dinosaur. Akan hilang dalam lipatan sejarah tanah air dan hanya untuk menjadi perhiasan muzium. UMNO telah berada dalam keadaan zon selesa buat beberapa ketika. Persidangan Agung UMNO yang diadakan pada setiap tahun itu lebih merupakan pesta-pestaan bagi memberikan peluang kepada ahli UMNO ( dari luar Kuala Lumpur) khususnya untuk melepaskan ‘ penat lelah’ setelah ‘bertungkus lumus’ selama setahun ‘memperjuangkan’ parti yang disayangi.

Dengan sebab itulah para perwakilan dan para pemerhati perlu ‘dihiburkan’ dengan berbagai bentuk lawak jenaka dan ‘dibakar’ semangat mereka dengan slogan-slogan yang kadang-kadang amat susah diterima oleh pemikiran yang rasional. Mereka datang bukan untuk memikirkan sesuatu isu dalam suasana yang serious mengenai kemajuan bangsa dan negara tetapi ‘nawaitu’ yang telah tersemat dihati dan perasaan mereka adalah untuk ‘menikmati’ jamuan dan lawak jenaka. Mungkin tidak semua yang berperasaan demikia. Mungkin…

Saudara Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO sedar akan keadaan sebagaimana yang aku gambarkan ini akan berakhir dalam jangka masa yang tidak berapa lama lagi. Senario politik di negara ini akan berubah dengan kemunculan golongan intelligentsia, ia itu golongan anak muda yang terpelajar yang sedar tentang peranan mereka dalam menentukan arah tuju negara ini. Mereka tidak mudah untuk ‘digula-gula’. Dan sekiranya ada usaha untuk ‘menggula’ mereka maka ‘quantum’nya bukan kecil seperti sekarang ini. Zaman ‘kain batik, beras, susu’ dan pemberian BRIM sebanyak RM 500 akan dipandang oleh golongan ini dengan ‘sebelah mata’ saja.

Mereka dapat menilai yang mana yang baik dan yang mana yang buruk. Mereka tidak akan terpengaruh dengan propaganda yang dipaprkan melalui akhbar dan TV milik BN (UMNO). Dan golongan ini juga tidak terpengaruh membabi buta untuk menyokong pembangkang kerana mereka tahu dan sedar apa yang mereka mahu dan perlukan untuk sesbuah negara untuk maju. Matlamat mereka adalah sebuah negara maju yang cemerlang seperti negara-negara maju yang lain.

Rafizi, Nurul Izzah, Tony Pua adalah antara icon-icon yang menjadi idola golongan intelligentsia ini. Dan ‘Idola’ tidak juga bermakna bahawa mereka akan menyokong setiap perjuangan secara membabi buta. Sekiranya ternampak ‘bayang-bayang’ untuk menyeleweng maka mereka akan menentangnya secara habis-habisan juga.

Bagi aku golongan intelligentsia inilah yang akan menguasai era menjelang tahun 2020. Aku dapat katakan bahawa inilah sumbangan kerajaan yang paling besar melaksanakan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 ia itu dapat melahirkan golongan intelligentsia Melayu yang begitu ramai.

Namun begitu golongan ini tidak pula berfikiran sempit seperti yang digambarkan oleh PAU UMNO yang baru yang menyokong konsep ‘1 Melayu’. Aku yakin dan pasti golongan intelligentsia era baru akan menentang segala saranan dan pandangan golongan tua ( dalam UMNO ) yang pada pandangan mereka amat tidak sesuai dengan peredaran zaman ini, terutama yang berkaitan dengan perpaduan kaum. Mereka akan bergerak sederap sebagai satu bangsa Malaysia sebagaimana yang dapat dilihat dalam masa kempen Pakatan Rakyat pada masa menjelang PRU 13 yang lalu. Suasana itu sebenarnya telah memperlihatkan kewujudan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Pakatan Rakyat ( PAS, DAP dan Keadilan) telah pun mencipta senario sedemikian. Dan sekiranya UMNO-BN berhasrat untuk terus menerajui kepimpinan negara ini, mereka juga perlu mewujdukan suasana sedemikian sebagaimana yang telah diwujudkan oleh Pakatan Rakyat itu.

Terpulanglah……..

abuhassanadam
London
8 Disember 2013


No comments:

Post a Comment