ISU
SYIAH – APAKAH RAKYAT MASIH DIANGGAP ‘PANDIR’?
Sengaja aku masukkan perkataan ‘pandir’ dalam tajuk
rencana ini. Tujuan aku ialah untuk mendekatkan semula anak muda ( yang sudah
agak terpisah dan renggang dengan sastera dan budaya Melayu lama) dengan cerita-cerita orang Melayu lama
yang pada suatu ketika dahulu merupakan cerita yang menghiburkan disamping
terselitnya pengajaran dan sindiran yang tajam.
Aku telah pun menceritakan tentang kisah Pak Kaduk
dalam artikel aku yang terdahulu. Cerita Nujum Pak Belalang telah pun
‘diceritakan’ oleh P. Ramlee ( hampir setiap bulan melalui kaca TV). Yang
jarang diceritakan ialah kisah Lebai Malang, Pak Pandir dan Mat Jenin, walaupun
‘peribahasa’ –angan-angan Mat Jenin sentiasa digunakan dalam percakapan
hari-hari.
‘Pak Pandir’ adalah kisah watak dalam masyarakat
Melayu yang berperwatakan lurus bendul disamping memiliki ciri-ciri manusia
yang bodoh. Banyak terdapat ciri-ciri kebodohan dalam beberapa cerita mengenai
Pak Pandir. Dan kadang-kadang aku terfikir bahawa masih ramaikah orang Melayu
kini yang berperwatakan seperti Pak Pandir dalam masyarakat Melayu hari ini.
Aku tidak hadir dalam Persidangan Agung UMNO
baru-baru ini apabila isu Shiah yang dilemparkan kepada tokoh No.Dua PAS. Dan aku
bayangkan tentu ada agaknya para perwakilan dan pemerhati yang hadir pada
ketika itu yang bertepuk gamat apabila isu shiah ini diketengahkan. Seperti
gamatnya tepukan Pak Kaduk apabila dilihatnya ayam sabungnya menang. Dan aku
yakin juga bahawa ada perwakilan dan pemerhati yang memberikan ‘standing
ovation’ ketika isu ini diketengahkan sebab sebagaimana yang aku perhatikan
bahawa para perwakilan UMNO kini begitu gian untuk memberikan ‘standing
ovation’ kepada setiap ucapan yang bagi mereka memberangsangkan…..
Sekiranya suasana sedemikian berlaku maka pasti benak
aku akan bertanya – ‘apakah masih wujud Pak Pandir dalam masyarakat Melayu
kini?
Akhir-akhir ini banyak sangat isu yang diketengahkan
seolah-olah menguji kemampuan berfikir masyarakat Malaysia khususnya masyarakat
Melayu. Terlalu banyak. Aku tidak mahu mempersoalkan apakah sesuatu tindakan
kerajaan itu betul atau salah, wajar atau tidak wajar. Yang aku persoalkan
ialah rasional sesuatu isu itu diketengahkan seolah-olah menguji kemampuan
berfikir rakyat Malaysia. Seolah-olah pihak-pihak tertentu yang mengemukakan
kewajaran sesuatu tindakan itu dilakukan merasakan bahawa masyarakat Malaysia
adalah seperti Pak Pandir sepertimana watak yang dimiliki oleh Pak Pandir.
Dalam isu Shiah misalnya (walaupun aku tidak berapa
arif membincangkan soal-soal agama dan hanya mengharapkan ‘ilmu’ yang hanya
diberikan oleh Pak Haji Sulaiman masa kecil-kecil dulu) jelas menunjukkan
bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada seorang tokoh PAS itu merupakan suatu
tuduhan yang hanya boleh diyakini oleh manusia seperti Pak Pandir.
Dan yang paling menghairankan aku juga ialah bahawa
sudah ada manusia yang memiliki gelaran dan berkelulusan tinggi sanggup
menggadaikan prinsip hidup dan kelulusan yang dimiliki semata-mata untuk mencari
‘sesuap pagi dan sesuap petang’. Bagi aku keadaan ini amat malang yang berlaku
kepada anggota masyarakat kita yang bergelar pegawai kerajaan berpangkat
tinggi. Seolah-olah ‘tokoh’ yang sedemikian lupa bahawa masyarakat menilai dan
boleh meletakkan diri mereka di tempat yang sesuai dengan tindakan dan
pemikiran yang dikemukakan.
Aku yakin bahawa masyarakat Malaysia akan begitu
marah kepada tokoh-tokoh yang sebegini kerana cuba memperbodohkan pemikiran
rakyat. Seolah-olah rakyat Malaysia kini begitu bodoh dan tidak boleh berfikir
dan dapat menilai yang mana baik dan yang mana buruk.Seolah-olah rakyat
Malaysia kini boleh dicucuk hidung dan terus menerus mempercayai apa yang
mereka katakan.
Biarlah aku berterus terang. Biarlah aku gunakan
bahasa Pak Pandir. Bahasa orang bodoh. Biarlah aku dianggap bodoh serupa dengan
Pak Pandir. Itu pun aku boleh merasakan bahawa apa yang dihujahkan oleh mereka
adalah merupakan sesuatu perkara yang tidak masuk akal.
Mereka menuduh Tuan Haji Mat Sabu sebagai ahli Shiah
dan dikemukakanlah berbagai alasan yang langsung tidak masuk akal bagi aku yang dianggap bodoh ini.
Dan muncul pula seorang ‘tokoh’ lain yang
berpendidikan tinggi mempunyai ijazah yang berjela juga minta Tuan Haji Mat
Sabu ‘membela’ diri menafikan yang beliau bukan Shiah. Aku mula ‘pening’ kepala
memikirkan keadaan negara dan rakyatnya yang sudah mula tidak ketentuan dan
dalam keadaan yang ‘porak-peranda’.
Kadang-kadang terfikir juga aku bahawa masyarakat
Melayu dalam zaman Pak Pandir lebih bahagia daripada masyarakat Malaysia kini.
Kadang-kadang terfikir begitu…..
abuhassanadam
London
15 Disember 2013
No comments:
Post a Comment