Saturday, December 21, 2013


PMR –KEPUTUSAN CEMERLANG YANG DIPERSOALKAN

Sekali-kali aku tidak memperkecilkan kemampuan anak-anak kita yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan samada UPSR, PMR, SPM atau STPM. Dan sekalung tahniah kepada para ibu bapa yang telah bersungguh-sungguh mengambil berat tentang pendidikan anak-anak sehinggakan anak-anak mereka dapat mencapai kejayaan yang cemerlang.

Yang aku hendak persoalkan ialah mengenai ‘kecemerlangan ‘ yang diperolehi oleh anak-anak itu. Apakah kecemerlangan itu menepati erti kata yang sebenar-benarnya bahawa anak-anak itu sememangnya cemerlang walau diukur dari segi mana pun ataupun hanya ‘cemerlang’ yang ‘direka-cipta’. Dalam bahasa yang mudahnya apakah cemerlang yang diperolehi itu hanya bagi negara Malaysia sahaja dan tidak setaraf dengan konsep cemerlang bagi negara-negara lain?

Tentu ada yang mempertikaikan kenyataan sedemikian.

Tidak apa. Seingat akulah, pada zaman dulu-dulu ( zaman aku bersekolah dulu)  begitu sukar sekali untuk mencapai keputusan cemerlang sebagaimana yang diperolehi oleh anak-anak zaman ini. Kadang-kadang aku terfikir pula. Apakah anak-anak pada zaman dulu ‘bodoh-bodoh’ belaka sehinggakan tidak mencapai kejayaan cemerlang seperti anak-anak sekarang. Jawapannya tentu tidak mungkin begitu.

Seingat akulah, untuk mendapatkan satu ‘distinction’ dalam sesuatu peperiksaan ( Lower Ceritificate of Education (LCE) atau Malaysia Certificate of Education (MCE) – Senior Cambrige ) misalnya, bukanlah sesuatu yang mudah sepertimana yang dialami oleh pelajar-pelajar kini. Dengan sebab itulah sekiranya memperolehi keputusan Gred 2 sudah merupakan satu pencapaian yang cukup baik pada ketika itu. Sudah boleh sembelih kambing……( makna sudak boleh buat khenduri kesyukuran)

Itu baru Gred 2. Apatah lagi sekiranya dapat keputusan Gred 1. Memang tidak ramai (anak Melayu) yang memperolehi keputusan Gred 1. Boleh dikira dengan jari. Dan sememangnya yang berotak ‘geliga’ ( gelaran yang diberikan oleh orang kampung pada ketika itu) sahaja yang boleh mendapat keputusan sedemikian. Dan hampir tidak kedengaran adanya anak Melayu di sesebuah daerah itu yang mendapat keputusan ‘ straight As’. Jauh panggang dari api. Kebanyakannya hanya mendapat Gred 2 dan Gred 3. Dan yang menghairanakan juga ialah bahawa golongan ‘mediocre’ itulah yang berjaya memasuki university dan mendapat keptusan cemerlang dan menjadi graduan berguna kepada negara.

Berbanding dengan keadaan zaman sekarang, terlalu ramai pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang ‘straight As’ dan begitu ramai juga yang berjaya memasuki university dan kolej dan tentulah begitu ramai juga graduan yang mencari pekerjaan. Tetapi malangnya timbul pula suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa graduan yang dilahirkan tidak dapat dterima oleh kebanyakan syarikat disebabkan tidak dapat memenuhi kehendak sesuatu syarikat itu.

Tentulah timbul persolan pula. Apakah ramai yang mendapat ‘straight As’ dalam peperiksaan SPM itu akhirnya tidak dapat diterima untuk bertugas disyarikat-syarikat swasta tertentu. Kerajaan tentunya sudah ada statistik yang menggambarkan keadaan sedemikian. Dan yang perlu kita tahu juga ialah berapa ramaikan graduan Melayu yang menerima nasib sebegini.

Satu perkara lagi yang merunsingkan kita ialah apabila keluar laporan PISA  (Program for International Student Assessment ) adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.

Laporan itu  jelas menunjukkan bahawa  negara kita Malaysia berada pada kedudukan yang hampir tercorot berbanding dengan negara-negara Asia lain seperti China (Shanghai), Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan yang telah menunjukkan keadaan yang begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas.

Bagaimanakah agaknya kita mahu mentafsirkan keadaan laporan PISA ini dengan pencapaian ‘cemerlang’ yang telah kita capai dalam peperiksaan PMR yang baru sahaja diumumkan itu? Apakah kita masih lagi mahu ‘syok’ sendiri dan masih mahu menganggap diri kita sebagai ‘jaguh kampung’ untuk menjadi ‘bahan ketawa’ negara-negara lain.

Tentulah ‘pahit’ dan ‘perit’ untuk kita ‘telan’ keadaan itu. Namun itulah hakikatnya. Sekiranya kita katakan kita berjaya dengan cemerlang tentulah dipersoalkan pula kecemerlangan dari segi apa? Apakah ukuran yang kita gunakan. Dan kononnya kita mahu ‘bersepak-terajang’ di arena antarabangsa dan kita mahu anak-anak kita berpandangan secara global. Tetapi apakah kita sudah siap sedia menghadapi keadaan sedemikian?

Yang paling membimbangkan kita juga ialah takut-takut adanya pelajar-pelajar kita yang sudah mula tidak ‘menghormati’ keputusan yang diperolehi oleh mereka. Dan kesan yang amat buruk lagi ialah apabila keputusan peperiksaan sudah tidak diyakini oleh ibu bapa yang terdiri dari golongan berada di negara ini yang berkemungkinan mereka mencari jalan keluar dari sistem peperiksaan negara.

Keadaan ini tentunya amat menggerunkan. Apakah pihak berkuasa belum terfikir akan berlakunya keadaan sedemikian?

abuhasssanadam
London
22 Disember 2013


No comments:

Post a Comment