PELIK BETUL BUNYI KOKOK AYAM DI ENGLAND
Ketika aku berada dalam SMC 2 ( Special Malay Class
Two) dulu, kami ( pelajar-pelajar Melayu ) telah didedahkan dengan buku-buku
bacaan yang didatangkan dari England. Tentulah Bahasa Inggeris. Yang aku hairan
( sampai sekarang ) bagaimana kami agak berjaya menguasai Bahasa Inggeris dalam
masa dua tahun. Kami boleh membaca buku-buku cerita (dan faham) dalam Bahasa
Inggeris.
Special Malay Class (SMC) diwujudkan oleh penjajah
British untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu memasuki sekolah
Inggeris. Hanya untuk anak Melayu. Anak Cina dan India belajar melalui sekolah
rendah Inggeris biasa. Bermula dari Primary One sampailah ke Primary Six
sebelum memasukki sekolah menengah. Ada juga anak Melayu yang belajar melalui
cara begitu. Anak Melayu yang tinggal di bandar. Kebanyakannya bukan Melayu
tulin. Berapa ‘kerat’ saja Melayu (tulin) yang tinggal di bandar.
Kebanyakan orang Melayu ( tulin) tinggal di
kampung-kampung. Di Padang Rengas, Talang, Lubuk Merbau, Cegar Galah, Padang
Assam, Sayung, Rambai Tujuh, Sauk, Kati, Cheh, Teroso, Manong, Kota Lama
Kanan-Kiri, Enggor, Liman, Tanah Merah, Laneh, Kuala Dal, dan banyak lagi
kampung-kampung yang berada di daerah Kuala Kangsar.
Pelajar-pelajar Melayu tulin dari kampung-kampung ini
( termasuk akulah) belajar di sekolah Melayu terlebih dahulu. Aku belajar di
Malay Boys School Padang Rengas. Sekolahnya pun dalam Bahasa Orang Putih. Aku
belajar di situ sampai Darjah empat. Diadakan peperiksaan oleh British untuk
memasukki SMC One. Tidak tahu pulak aku nama peperiksaannya. Tentulah cakap
orang putih juga. Lulus peperiksaan demikian barulah dapat memasukki SMC One di
Government English School Padang Assam. Tiga tahun di situ baru melanjutkan
pelajaran ke sekolah menengah. Clifford School Kuala Kangsar. ( Government
English School Padang Assam sudah tidak ada lagi sekolah berkenaan dan
digantikan dengan Sekolah Kebangsaan Padang Assam. Tepi jalan dari Kuala
Kangsar menghala ke Padang Rengas).
Ketika dalam SMC Two aku teringat lagi bagaimana Mr
Ang Chui Pek mengajar kami Bahasa Inggeris. Membaca buku-buku cerita dalam
Bahasa Inggeris. Antara yang menarik ( sampai hari ini ) ialah bagaimana Mr Ang
Chui Pek mengajukkan bagaimana ayam di England berkokok. Cock-a-Doodle-Do….. Cock-a-Doodle-Do….
Cock-a-Doodle-Do……katanya. Semua kami tergelak dan ada yang ‘tercengang’ (
hairan) disebabkan kokok ayam di England jauh benar bezanya dengan kokok ayam
di Padanag Rengas – kampung aku.
Tidak seorang pun antara kami yang berani
‘mempertikaikan’ tentang kokok ayam itu. Hampir setiap waktu kami mendengar
kokok ayam di kampung kami. Tidak pula begitu ‘irama’ dan bunyi kokoknya. Amat
jauh sekali berbeza. Tetapi ‘persoalan’ itu terus disenyapkan saja. Cuma pada
ketika itu, dalam hati kami merasakan bahawa, ‘begitu agaknya bunyi ayam di
England berkokok’.
Setiap kali aku berada di London, sentiasa aku
ceritakan peristiwa ini kepada rakan-rakan yang berada di sini. Kepada
rakan-rakan yang berbangsa Inggeris juga aku ceritakan. Bolehlah dibayangkan
deraian ketawa mereka. Kadang-kadang sampai terkeluar makanan dari mulut
disebabkan hilaian dan ketawa yang berdekah-dekah. Kadang-kadang ada juga
‘jiran’ sebelah ( ketika di restoran makan) yang ingin tahu apakah cerita yang
begitu menggelikan hati…..
Satu lagi kisah yang tidak mudah aku lupakan ketika
membaca buku-buku cerita ( dari England ) ialah tentang jenis-jenis makanan
yang terdapat di England terutama apabila menceritakan tentang hidangan ketika
mereka ‘lunch’ dan ‘dinner’. Mr. Ang Chui Pek cuba menerangkan jenis-jenis kuih
yang terdapat di England seperti Jelly, Pie, berbagai jenis cake dan lain-lain.
Begitu sukar sekali beliau menerangkan kepada kami
disebabkan kuih-kuih sedemikian tidak langsung pernah terlintas di fikiran kami
apatah lagi menikmatinya. Ada juga kawan-kawan aku yang bertanya bagaimana rupa
kuih-kuih berkenaan. Dan Mr. Ang Chui Pek akan menjelaskannya dengan panjang
lebar. Masih juga tidak faham disebabkan tidak pernah melihat dan merasa
kuih-kuih berkenaan. Pada ketika itu makanan yang sentiasa dimakan oleh kami
ialah seperti rebus ubi, rebus
pisang, Bengkang, Dokok-Dokok, Limas, Tepung Talam, Lepat Pisang, Lepat Ubi,
Lengkong (agar-agar), Puteri Mandi, Puteri baju Hangus, Anak Dara Dua Sebilik,
Badak Berendam, Dodol, Buahulu, Kuiah Bakar, Putu Kacang, Halua Betik, Halua
Kabung, Kekaras dan lain-lain.
Begitulah keadaannya persekolahan yang aku dan
beberapa orang rakan lain alami pada zaman British. Dan ketika berada di London
setiap kali aku ‘bertemu’ dengan kuih-kuih yang dihidangkan di
restoran-restoran atau dipamerkan di pasaraya-pasaraya, fikiran aku terus
‘menerpa’ semula kepada suasana dan keadaan ketika aku berada di sekolah orang
putih dulu yang mana setiap bahan pelajarannya ‘menyogokkan’ tentang budaya penjajah.
Walaupun penjajah Inggeris ‘mengaut’ dan
‘mengeringkan’ khazanah negara aku, sekurang-kurangnya aku berterima kasih
kepada penjajah kerana menyediakan persekolahan yang bermutu untuk aku dan
berapa kerat anak Melayu yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat
lebih inggi.
Dan menjadikan aku seorang manusia. Bukanlah hanya
setakat untuk menjadikan aku, ‘…….a better farmer and fishermen’ sebagaimana
yang pernah dilafazkan oleh R.O. Winstedt.
abuhassanadam
London
22 Disember 2013
salam saudara..tiap kali tulisan yang saudara publish berjaya mengenyangkan buah minda saya. semoga saudara terus diberikan kesejahteraan dan kekuatan untuk melontar kata2 sebagai hidangan kepada insan kerdil seperti saya.
ReplyDelete