ROBIN
HOOD
Kali terakhir kali aku melawat Sherwood Forest ialah
pada tahun 1995. Dan terasa juga hati nak melawat Sherwood Forest dalam sehari
dua lagi. Tidak begitu jauh dari London. Lebih kurang macam dari Kuala Lumpur
ke Ipoh saja. Ke Utara. Nottingham. Entah mengapa aku begitu ‘gian’ untuk
melawat hutan yang pernah didiami oleh Robin Hood ini. Aku semacam merasa
begitu seronok dan puas sekali apabila berada di Sherwood Forest yang terletak
menghala ke utara England, ia itu di Nottinghamshire.
Terlalu sukar untuk aku paparkan di sini mengapa aku
begitu berminat untuk ke Sherwood Forest. Dan aku pasti ramai lagi kawan-kawan
aku yang berpeluang melawat England pasti akan memasukkan ‘ lawatan ke Sherwood
Forest’ dalam jadual lawatan mereka. Kawan-kawan yang aku maksudkan itu ialah
yang pernah mengikuti pendidikan dalam zaman penjajahan British. Ataupun zaman
selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan. Awal tahun 1960an.
Yang aku nak kisahkan pada kali ini ialah mengapa
cerita mengenai “Robin Hood’ ini begtu mendapat tempat di hati aku dan dihati
rakan-rakan lain yang pernah mengikuti pelajaran English Literature pada zaman
penjajahan dahulu. Buku ‘ The Adventure of Robin Hood’ adalah merupakan teks
pelajaran English Literature yang mesti dipelajari oleh kanak-kanak ketika
dalam Standard Six ( Darjah Enam) disamping teks-teks lain seperti ‘Oliver
Twist’, ‘The Adventure of Tom Sawyer’.
Maknanya semenjak di sekolah rendah lagi, kanak-kanak
sudah didedahkan dengan buku kesusasteraan Inggeris yang mesti dibaca oleh
pelajar-pelajar. Dan mungkin dengan asuhan yang sedemikianlah agaknya yang
telah menanamkan minat untuk membaca dikalangan anak-anak yang diasuh pada
zaman penjajahan. Dan sehingga kini sudah menjadi amalan kebanyakan kami yang
suka dan berminat membaca.
Apabila mengenangkan pada zaman itu, aku terfikir
juga dengan keadaan pendidikan kini dimana tidak begitu didedahkan dengan hasil
kesusasteraan ketika anak-anak kita berada di sekolah rendah lagi. Dan mungkin
dengan sebab itulah agaknya tidak timbul minat membaca dikalangan anak-anak
kita di Malaysia kerana kurangnya galakan yang diberikan di sekolah. Apatah
lagi apabila pelajar-pelajar dan ibu bapa lebih mengutamakan pencapaian dalam
peperiksaan dari segala-galanya. Kadang-kadang anak-anak kita sentiasa dalam
kerugian – ‘ yang dikejar tak dapat dan yang dikandung berciciran’…..
Aku amat yakin cerita Robin Hood itu memberi kesan
yang amat mendalam kepada pemikiran pelajar-pelajar pada ketika itu. Aku masih
teringat bagaimana Mr Muthusamy ( yang mengajar English Literature di
Government English School, Padang Assam pada tahun 1958) menceritakan dengan
penuh minat tentang kisah Robin Hood yang mahir dalam panah memanah di
Sherwood Forest. Diceritakan juga
tentang ‘orang kanan’ Robin Hood yang bernama Little John dan Friar Tuck yang
sama-sama berjuang menentang Sheriff dan Raja England.
‘Passion’ yang ada pada Mr. Mutuhusamy sebagai
seorang guru adalah luar biasa pada pandangan aku. Beliau bukan sahaja
menanamkan minat kepada pelajar apabila berada dalam kelas tetapi sanggup
menjemput beberapa orang pelajar untuk tidur di rumahnya di Taiping semata-mata
untuk bersama-sama menonton Filem Robin Hood yang ditayangkan disana. Bukan itu
saja, Mr Muthusamay akan memperkenalkan beberapa buku yang berkaitan dengan
cerita Robin Hood yang terjual di kedai buku di Taiping kepada para pelajar.
(Mr. Muthusamy tinggal di Taiping dan berulang alik
ke Padang Assam (Padang Rengas) pada setiap hari. Dan pada ketika itu tidak
terdapat walau sebuah kedai buku pun di Padang Rengas ( dan sehingga sekarang
masih belum ada sebuah pun!!) dan untuk mendapatkan buku-buku cerita ( dalam
bahasa Inggeris) adalah melalui Mr. Muthusamy yang berusaha mendapatkannya).
Orang Melayu ada juga wira yang sepatutnya diagungkan
seperti Hang Tuah misalnya. Ada juga buku Hang Tuah yang diedarkan oleh pihak
penjajah untuk diserahkan ke sekolah-sekolah Melayu pada ketika itu, tetapi
mengapa cerita Robin Hood juga yang bertakhta di hati setiap pelajar ( ketika
itu) walaupun cerita Hang Tuah tetap diminati.
Kesan yang ditinggalkan oleh buku-buku seperti Robin
Hood itu amat mendalam. Sehingga kini aku masih tertanya-tanya tentang beberapa
persoalan yang terlalu sukar bagi aku untuk menjawabnya. Begitu juga dengan
kesan-kesan yang ditinggalkan oleh hasil kesusasteraan lain seperti ‘Oliver
Twist’, ‘The Adventure of Tom Sawyer’ dll. Sehingga kini masih terbayang
tentang bagaimana Mr Muthusamy menunjukkan gaya Robin Hood mengacukan panahnya
dan memejamkan sebelah matanya sepertimana yang dilakukan oleh Robin Hood pada
zaman itu.
Hebat betul Cikgu-Cikgu zaman dulu……
abuhassanadam
London
9 Disember 2013
No comments:
Post a Comment