Thursday, December 26, 2013

UMAT ISLAM JANGAN MUDAH TERPEDAYA


UMAT ISLAM JANGAN MUDAH TERPEDAYA

Seingat aku, pada tiap-tiap malam Jumaat (hari Khamis malam Jumaat), Ustaz Kamil ( bukan nama sebenar) akan datang ke masjid di kampungku untuk menyampaikan syarahan agama kepada penduduk kampung. Pada sebelah petang Khamis beliau  mengajar golongan muslimah ( termasuklah arwah emak ) dan pada sebelah malamnya pula adalah giliran golongan muslimin (termasuklah arwah bapaku).

Walaupun agak malas untuk pergi mendengar ceramah Ustaz Kamil namun disebabkan dipaksa oleh bapa, aku pergi juga. Ketika itu aku baru berumur dalam lingkungan sembilan tahun. Kadang-kadang tidak aku tahu apa ‘biji buah’nya yang diperkatakan oleh Ustaz Kamil. Apatah lagi bahan rujukannya adalah dalam bahasa Melayu bernahukan bahasa Arab. Terlau susah nak faham. ( Sehingga sekarang lafaz Nikah di negeri Perak masih menggunakan Bahasa Melayu bernahukan Arab. Misalnya “Aku nikah akan dikau sipolan dengan sipolan dengan mas kahwinnya enam puluh tengah tiga tunai….” Tetapi yang hadir tetap menganggukkan kepala, menandakan ‘faham’ apa yang diajar. ‘Berdosa’ sekiranya tidak berbuat demikian. Tidak menghormati tuan guru……….

Bahan pengajaran yang disampaikan oleh Ustaz Kamil adalah mengenai berbagai larangan dan hal-hal yang berkaitan dengan ‘halal’ dan ‘haram’. Apabila memperkatakan hal yang berkaitan dengan solat, seolah-olah beliau lebih banyak menggalakkan orang supaya tidak bersolat. Apa tidaknya. Banyak sangat ‘pantang larang’ yang dijelaskannya ketika menunaikan solat sehinggakan aku berasa ‘ takut’ untuk menunaikan solat. Takut tak sah solat aku….

Antara begitu banyak ‘halal’, ‘haram’ dan pantang larang yang lain tentulah ada yang terus menerus ‘melekat’ di benak kepala aku. Antaranya,

·      Ustaz Kamil mengatakan adalah haram hukumnya sekiranya orang Islam bersembahayang memakai tali leher ketika memasuki masjid. Dan selanjutnya beliau mengatakan sekiranya seseorang Islam itu memakai baju kemeja dan berseluar panjang (macam yang kita pakai kini) maka hukumnya adalah haram juga kerana menyerupai pakaian orang kafir.
·      Ustaz Kamil juga mengatakan adalah haram sekiranya orang Islam berkawan dan berbaik-baik dengan orang kafir (Kristian).
·      Dan yang betul-betul ‘menghina’ keluarga aku ialah apabila beliau mengatakan bahawa ‘akan menjadi Kristianlah seseorang Islam itu sekiranya belajar di sekolah Inggeris’. Dan secara kebetulan pula pada ketika itu aku baru sahaja diterima untuk memasuki Special Malay Class One ( Sekolah orang Putih)

Sehingga kini suara-suara sumbang yang sebegini masih kedengaran mempersoalkan tentang masalah agama Islam. Dan yang paling malangnya ialah golongan yang ‘bersungguh-sungguh’ benar memperkatakan mengenai ‘larangan-larangan’ ini ialah golongan yang pengetahuan agama mereka amat cetek. Dan seolah-olah apa yang diperkatakan oleh mereka itu didorong oleh nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan.

Dan terfikir juga aku bahawa mengapa golongan sedemikian sentiasa mempersoalkan hal-hal yang remeh temeh. Betul agaknya kata bijak pandai yang mengatakan, ‘ a small mind always think of small thing’. Dan mengapakah agaknya orang Islam di Malaysia tidak menggunakan pemikiran kita untuk memikirkan sesuatu yang besar demi kepentingan kemajuan umat Islam seluruhnya. Dan mengapakah agaknya pemimpin Islam kita yang berada di Malaysia tidak menggunakan saluran OIC (Organization of Islamic Conference) untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku di negara-negara Islam di Timur Tengah.

Mungkin ada agaknya. Aku yang tidak tahu……

Aku nampak semacam ‘pergaduhan’ dan pertelingkahan pendapat antara Kaum Tua dan Kaum Muda yang berlaku dalam tahun-tahun 1920an terus berlarutan sehingga kini. Kesannya tentulah sudah cukup untuk melemahkan orang Melayu. Sudahlah….Biarlah ‘perbalahan’ itu dijadikan sempadan untuk kita (umat Islam) bergerak dan maju kehadapan.

Ternampak semacam ada persamaan antara pergolakan Kaum Tua-Kaum Muda dengan pergolakan yang berlaku kini. Yang membezakan ialah mengenai ‘siapa’ yang berada di belakang, yang ‘menggerakan’ supaya perbalahan sebegini berlaku. Jikalau yang ‘menggerakkan’ perbalahan Kaum Tua-Kaum Muda ialah penjajah British, maka aku tidak tahu siapa pula yang menggerakkan ‘perbalahan’ kini. Penjajah Bristish cuba mengelakkan agar orang Melayu pada ketika itu tidak terpengaruh dengan fahaman progresif yang diketengahkan oleh Kaum Muda kerana mereka tidak mahu orang Melayu maju dan seterusnya menuntut kemerdekaan negara.

Dan mungkinkah ‘perbalahan’ yang berlaku kini semata-mata untuk mengelakkan rakyat daripada memikirkan sesuatu yang melibatkan kepentingan  rakyat itu sendiri. Mungkin….

abuhassanadam
26 Disember 2013

No comments:

Post a Comment