Monday, December 16, 2013


‘ORANG POLITIK’ TAK PERLU CAMPUR HAL PENDIDIKAN

Gesaan yang disuarakan oleh YB DS Mustafa Mohamed selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar sistem pendidikan di Malaysia perlu di ‘overhaul’ dengan segera agar para graduan yang ‘dikeluarkan’ sesuai dengan keperluan dan kehendak industri yang berkembang di Malaysia. Maknanya kurikulum di pusat-pusat pengajian tinggi mesti selari dengan kehendak pekerjaan yang ditawarkan dalam pasaran. Maknanya dasar yang perlu dilaksanakan ialah ‘ curriculum for relevance’

Isu sedemikian telah begitu lama disuarakan oleh golongan bijak pandai dalam selok belok pendidikan. Namun masalah yang wujud di Malaysia ialah golongan yang melaksanakan segala perancangan pendidikan adalah ‘orang politik’. Yang aku maksudkan ialah tokoh pendidikan yang berkepentingan politik. Dengan sebab itulah segala perancangan yang dilakukan seolah-olah sebagai ‘Melepaskan batuk ditangga’ saja. Seolah-olah segala tindak tanduk para perancang pendidikan negara sentiasa ‘ditunjuk’ oleh golongan politik negara ( yang bertindak seolah-olah serba tahu tentang hal pendidikan negara) . Ternampak semacam begitu……

Kedudukan Malaysia dalam PISA  (Program for International Student Assessment) yang merupakan ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan, telah meletakkan negara kita hampir tercorot. Sedangkan negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas.

Apakah ini bukan mundur namanya?
Apakah masih kita mahu mendabik dada mengatakan bahawa sistem pendidikan di negara kita adalah antara yang termaju didunia?

Aku rasa banyak perubahan (‘Overhaul’ mengikut kata DS Mustafa Mohamed) yang perlu dilakukan. ‘Blue-print’ pendidikan sudah diketengahkan. Baguslah tu. Tetapi persoalan yang berhadapan dihadapan kita ialah bahawa setakat ‘Blue-print’ tidak akan membawa kita ke mana-mana. Memang nampak cukup hebat di atas kertas tetapi apabila sampai ke peringkat implimentasinya maka akan diketemukan dengan berbagai masalah.

Satu perkara yang agak unik yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara kita ialah penglibatan orang politik dalam hal-hal pendidikan. University telah dijadikan pentas untuk orang politik berpencak dan menunjukkan kehebatan masing-masing. ‘Orang politik’ diberikan peranan untuk mengetuai institusi pendidikan di negara ini. Yang aku maksudkan ialah ramainya golongan pengajar di university yang berminat dalam hal berkaitan dengan politik sehinggakan seolah-olah segala tindakan mereka di university seharusnya berbau politik.

Kadang-kadang pihak pentadbir university sudah ‘melebihi sudu dari kuah’. Maknanya sudah melampau batas-batas dan peraturan yang dikenakan oleh pihak pemerintah. Disebabkan oleh adanya perasaan untuk ‘menyenangkan hati’ pihak kerajaan maka sudah terdapat pihak pentadbir di university yang melakukan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang bergelar pendidik.

Keadaan sedemikian tidak pula berlaku di negara-negara maju seperti Singapura dan Taiwan. Tidak pula terdapat ‘orang politik’ yang menjadi peneraju sesebuah universiti. Mungkin keadaan sebagaimana yang berlaku di Malaysia itu hanya berlaku di negara-negara yang ‘sama waktu’ dengan negara kita.Tegasnya yang sentiasa bimbang dengan pergerakan mahasiswa dan yang  sentiasa mahu mengawal segala kegiatan para mahsiswa. Dan kesannya telah menjadikan para mahsiswa kita agak terkebelakang berbanding dengan negara-negara yang memberikan kebebasan (dalam hal yang berkaitan dengan kemajuan bangsa dan negara) yang seluas-luasnya kepada mahsiswa mereka.

Sudah sampai masanya isu pendidikan menjadi agenda utama negara menjelangnya fajar 2014. Isu pendidikan bukan lagi isu remeh temah yang boleh diperkotak-katikkan. Isu pendidikan membabitkan isu marwah negara. Maju mundurnya negara ini bergantung kuat kepada kemajuan pendidikan kita. Dan sudah tentu masalah pendidikan hendaklah ditangani oleh golongan pendidik yang amat tahu selok belok mengenai pendidikan negara.

Bukan ‘orang politik’……….

abuhassanadam
London
16 Disember 2013



No comments:

Post a Comment