APAKAH
MELAYU MASIH BERTARAF JAGUH KAMPUNG?
Setiap kali menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO maka
akan bergemalah slogan ‘Hidup Melayu’ disuarakan oleh para perwakilan dan juga
para pemerhati yang hadir. Cuma pada persidangan kali ini mungkin ‘kelantangan’
seruan sedemikian mungkin dalam nada yang agak rendah sedikit. Mungkin.
Bagi aku, Melayu ( seperti aku, yang merupakan Melayu
tulin ) akan terus hidup. Tidak perlu bimbang. Tetapi aku tentulah tidak mahu
Melayu seperti kata peribahasa Melayu, ‘ hidup segan mati tak mahu’. Perlulah
bangsa Melayu itu hidup seperti mana hidupnya bangsa-bangsa lain di dunia ini.
Dalam bahasa pasarannya ialah, ‘Biarlah serupa orang…’
Dan Hang Tuah pernah berkata (kalau-kalau betul dia
berkata begitu) bahawa ‘tidak akan hilang Melayu di dunia’. 100% setuju. Tidak
akan hilang sesuatu bangsa di dunia. Akan tetap wujud sekiranya nama ‘Melayu’
itu dipentingkan. Tetapi persolananya ialah apakah wujud Melayu yang berkualiti
yang boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tegak dan megah dengan
bangsa-bangsa lain di dunia. Tentulah juga kita tidak mahu bangsa Melayu
menjadi bahan senda bangsa-bangsa lain di dunia.
Maknanya kita mengharapkan agar orang Melayu itu
betul-betul maju seperti majunya bangsa lain di dunia ini. Maknanya untuk orang
Melayu maju tentunya memerlukan pemimpin Melayu yang bukan bertaraf jaguh
kampung. Bukan hanya berani berkokok di kalangan Melayu sahaja tetapi merentasi
bangsa dan agama dan warna kulit. Pendek kata kita memerlukan pemimpin Melayu
yang bertaraf dunia dalam ertikata yang sebenarnya. Bukan hanya mendapat
pengiktirafan dari orang kampung atau ahli UMNO sahaja.
Sebenarnya pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul
Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail telah meletakkan diri mereka sebagai
pemimpin Melayu yang bertaraf dunia. Rasionalnya ialah sekiranya mereka tidak
dianggap oleh British sebagai pemimpin yang hebat, maka kemungkinan besar
British tidak akan ‘tewas’ berhujah dengan mereka dan menyerahkan kembali
negara ini dengan tidak menumpahkan darah walau setitik pun. Pastinya pada
ketika itu pihak British telah memandang mereka ( pemimpin Melayu berkenaan)
sebagai salah seorang dari mereka (pemimpin British). Setaraf…..
Dan bagi aku usaha mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah
Melayu tentunya lebih susah dan sukar berbanding dengan usaha untuk
menyelamatkan Pulau Batu Putih yang terang-terang dimiliki Kesultanan Johor yang berasal dari
titisan darah Kesultanan Melaka. Hilangnya Pulau Batu Putih memberikan gambaran
bahawa kehebatan kita berhujah di peringkat antarabangsa belum lagi sampai ke
peringkat yang boleh membanggakan rakyat Malaysia dan masih merasakan bahawa
sebenarnya pemimpin kita belum lagi menanggalkan ‘tag’ sebagai jaguh kampung.
Sebenarnya tahun-tahun 1990an sudah melakar
jejak-jejak yang boleh mewujdukan kepimpinan Melayu yang bertaraf antara bangsa
dan sudah mahu meninggalkan taraf jaguh kampung. Aku masih ingat bagaimana DS
Dr. Mahathir ‘walking tall’ di persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu membahaskan isu-isu dunia yang
berkaitan dengan ‘Apartheid’ dan “Antartica’. Dan aku masih teringat juga
bagaimana DS Anwar Ibrahim selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah dipilih
untuk menerajui UNESCO yang berpusat di Paris pada awal 1990an. Kehebatan
beliau terserlah apabila dapat menewaskan bekas Perdana Menteri Australia yang
juga bertanding untuk merebut jawatan berkenaan.
Sebenarnya pemimpin Melayu ( Dr. Mahathir dan Saudara
Anwar Ibrahim ) telah pun menunjukkan contoh yang orang Melayu boleh bersepak
terajang di arena antara bangsa sepertimana bangsa-bangsa lain di dunia. Dan
mereka juga telah menunjukkan kepada dunia bahawa bangsa Malaysia adalah juga
bangsa yang bermaruah dan tidak boleh diperkotak-katikkan.
Sehingga kini kedua-dua tokoh ini masih ‘dihargai’
oleh dunia walaupun mereka sudah tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.
Pandangan dan fikiran mereka sentiasa dirujuk oleh setengah pertubuhan dunia
sepertimana juga peranan yang dimainkan oleh Lee Kuan Yew dari Singapura.
Kehebatan mereka terserlah dan
mereka telah jauh meninggalkan ‘tag’ jaguh kampung itu.
Agak menyedihkan juga apabila ada rakyat (Melayu ) di
negara kita yang sentiasa memandang rendah dan mempersendakan tokoh-tokoh ini
sedangkan mereka dihormati oleh dunia. DS Anwar Ibrahim contohnya sentiasa
‘dikutuk dan dihina’ di Persidangan Agung UMNO, dinafikan kehadirannya di
universiti-universiti di Malaysia sedangkan negara-negara lain di dunia
menghormati dan menghargai pandangan dan pendapat beliau.
Rakyat ternanti-nanti kewujudan pemimpin Melayu yang
betaraf dunia dan bukan beraraf jaguh kampung. Sudah nampak ‘bayang-bayang’
akan kemunculan pemimpin (Melayu) yang bertaraf sedemikian. Apa yang sedang
dilakukan oleh Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah adalah merupakan
langkah-langkah yang sedang diatur untuk meletakkan diri mereka sebagai
pemimpin bertaraf dunia.
Dan bukan bertaraf Jaguh Kampung……
abuhassanadam
London
5 Disember 2013
No comments:
Post a Comment