CARA ORANG PUTIH MENGHALAU MERPATI DI TRAFALGAR SQUARE
Semacam tidak sah melancong ke London sekiranya tidak
melawat Trafalgar Square untuk ‘bergambar’ bersama-sama dengan burung merpati
yang ‘menghiasi’ kawasan Trafalgar Square. Kini sudah tidak ada lbanyak agi
burung merpati di situ. Sudah terbang entah ke mana. Seolah-olah ‘merjauk hati’
dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang merasa ‘rimas’ dengan kehadiran
merpati berkenaan.
Namun pada suatu ketika dulu yang menjadi tarikan
pengunjung ke Trafalgar Square ialah untuk memberi makan burung merpati disamping ‘bergambar’ dengannya.
Sehubungan dengan itu ada seorang watak penting di situ bernama Bernie Rayner
yang menjalankan perniagaan menjual makanan merpati yang tentunya dijual dengan
harga yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran biasa. Dan kesan buruknya pula
ialah pihak berkuasa terpaksa membelanjakan jumlah wang yang agak besar
disebabkan kerosakan akibat dari najis merpati berkenaan.
Bagi aku semacam tidak sah juga sekiranya tidak
singgah sekejap di Trafalgar Square. Untuk sama ‘meraikan’ kawasan berkenaan
bersama dengan ratusan ( mungkin ribuan ) pengunjung lain yang datang dari
seluruh pelusuk dunia, aku pergi juga ke situ.
Memang sudah tidak banyak kelihatan burung merpati di
Trafalgar Square kini berbanding dengan keadaan sepuluh tahun lampau dimana
para pelawat merasa bimbang akan berada di situ, takut ‘dihujani’ najis burung
merpati. Namun masih tetap mahu ke situ juga disebabkan ‘tarikan’ yang ada di
Trafalgar Square – patung singa yang agak besar, pancutan air dan ‘pokok
krismas’ (musim Krismas) yang dihadiahkan oleh kerajaan Sweden.
Keadaan ‘sunyi’ dengan ketiadaan burung merpati di
Trafalga Square ini bermula semenjak tahun 2000 apabila Ken Livingstone
dilantik menjadi Datuk Bandar London yang baru. Beliau telah mengambil langkah
drastik untuk mencantikkan lagi bandar London termasuklah membuat beberapa
perubahan mengenai Trafalgar Square supaya nampak lagi bersih dan cantik dan dapat memikat hati bukan sahaja
penduduk persekitaran tetapi juga para pelancong dari luar negara. Dan antara
langkah yang dilaksanakannya ialah ‘memerangi’ burung merpati yang dianggarkan
berjumlah 4000 ekor yang berkeliaran disitu.
Antara langkah awal yang dijalankan ialah meluluskan
undang-undang yang melarang sesiapa sahaja untuk memberi makanan kepada merpati
berkenaan disamping ‘menggunakan khidmat’ burung helang untuk menakutkan burung
merpati berkenaan. Satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Harris
Hawks Liam dan Jack merupakan pertubuhan awal yang ditubuhkan bertujuan untuk
mengawal merpati dengan menggunakan burung helang itu. Kesan daripada tindakan
yang mereka jalankan itu telah dapat mengurangkan jumlah merpati di kawasan
Trafalga Square daripada 5000 ekor kepada lebih kurang 1000 ekor sahaja. Itu
merupakan satu langkah yang berkesan dan mesra alam.
Tindakan yang dijalankan oleh Datuk Bandar London
bukanlah tidak mendatangkan penentangan dari pihak-pihak tertentu. Apatah lagi
keadaan di London yang amat biasa dengan penentangan atas sebarang perkara yang
dilakukan. Antara yang menentang tindakan itu tentulah para pencinta alam dan Bernie Rayner yang hilang punca
pendapatanya dari hasil menjual makanan burung. Namun begitu Datuk Bandar
berjaya menyelesaikan masalah penentangan itu dan Trafalgar Square memasuki era
baru tanpa merpati di kawasannya.
Ketiadaan merpati tentulah ada juga pro dan
kontranya. Tentu ada juga para pelancong luar negara yang merasakan bahawa
merpati itu penting berada di situ kerana memunjukkan kelainannya tempat
berkenaan berbanding dengan tempat-tempat lain. Mungkin ada yang berpendapat
begitu.
Aku teringat pula keadaan di Kelang yang terdapat
terlalu banyak burung gagak pada suatu ketika dahulu. Dan pihak berkuasa di
Malaysia mengambil jalan mudah untuk ‘menghalau’ burung gagak berkenaan ia itu
dengan menembak mati burung-burung berkenaan. Senang dan mudah…..
Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa pihak berkuasa
di negara kita sentiasa mengambil jalan mudah dan ringkas untuk menyelesaikan
sesuatu isu. Kelihatan semacam para pegawai kita langsung tidak mahu berfikir
untuk mencari penyelesaian yang terbaik sepertimana yang dilakukan oleh pihak
berkuasa di London itu. Ternampak kreatif dan innovatifnya tindakan mereka itu.
Mungkin tidak ramai yang terfikir bahawa antara langkah yang diambil ialah
menggunakan ‘khidmat’ burung helang untuk menakutkan merpati-merpati yang
berkeliaran di Trafalgar Square. Dan mereka tidak membunuhnya seperti yang
dilakukan oleh pihak penembak yang membunuh gagak di Kelang dan di kawasan
Bangsar pada awal tahun-tahun 1980an dulu.
Sehingga sekarang nampaknya bangsa Malaysia semacam
agak malas berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam isu kenaikan
toll dan pengurangan subsidi kini, jelas kelihatan bahawa pihak tertentu
semacam tidak langsung berfikir untuk mengelakkan cukai berkenaan dikenakan
kepada rakyat tetapi sebaliknya kepada rakyatlah diletakkan tanggungjawab
memikul bebanan itu.
Apa nak dikatakan…..
abuhassanadam
London
21 Disember 2013
Burung gagak tu mmg patut pon di tembak. Merpati tu xape..
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete