Saturday, December 7, 2013


NELSON MANDELA BERJUANG BUKAN MACAM PEMIMPIN UMNO

Sudah dua hari kisah Mandela menguasai media elektronik/ cetak di London.  Dan ada juga sekolah-sekolah di Great Britain yang mengadakan perhimpunan khas mengingati perjuangan Nelson Mandela di Afrika Selatan, semata-mata untuk menunjukkan kepada anak-anak pelajar tentang perjuangan yang suci yang dilakar oleh pemimpin berkenaan. Dan apabila ditemuramah oleh Berita TV, ramai anak-anak yang tahu dan faham akan perjuangan Nelson Mandela terutama perjuangannya menghapuskan Apartheid di Afrika Selatan.

Dan di Kuala Lumpur pula telah berlaku Persidangan Agung UMNO, dan aku tidak tahu samada terlintas atau tidak di benak perwakilan UMNO untuk menyeru agar pemimpin mereka mencontohi perjuangan Nelson Mandela. Walaupun tidak ada pejuang kita yang boleh disamakan dengan perjuangan pemimpin Afrika Selatan itu, sekurang-kurangnya perlu ada seruan agar anak-anak muda ( Pemuda UMNO) mencontohi perjuangan suci itu. Mungkin ada….

Menyentuh tentang PAU yang berlaku sekarang menyebabkan aku betul-betul dalam keadaan serba salah apabila terbaca komen-komen yang negatif berkaitan dengan persidangan yang berlaku kini. Ada yang menyifatkan PAU yang berlaku pada setiap tahun itu adalah sebagai ‘perhimpunan Raja Lawak’ di mana para badut mempamerkan kehebatan masing-masing untuk mempamerkan lawak jenaka yang terbaru.

Keadaan serba salah aku berpunca daripada keadaan aku sebagai orang Melayu. Orang Melayu tulin. Orang Melayu totok sebagaimana yang pernah aku ulang dan ulang dalam beberapa siri artikel yang disalurkan melalui beberapa blog yang lepas. Apabila aku mengatakan yang aku orang Melayu dan apabila ada komen yang negatif yang menyentuh tentang ‘adik-beradik’ aku maka pastinya aku juga ‘melenting’. Marah. Maklumlah peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ‘ jika dicubit peha kiri paha kanan juga sakit’ dan peribahasa Cina pula mengatakan bahawa ‘blood is thicker than water’.

Tetapi apabila melihatkan tentang gelagat dan isi ucapan dan perbincangan dalam PAU itu semacam mahu juga aku bersetuju dengan pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh pengulas-pengulas yang muncul dalam media sosial itu. Misalnya ada beberapa isu yang dibincangkan yang membuatkan aku juga merasakan tidak berapa kena dan sesuai dengan keadaan yang kita sedang berada dalam Kurun ke 21.

Ada perwakilan yang mencadangkan konsep ‘1 Malaysia’ digantikan dengan konsep ‘ 1 Melayu’. Bagi aku amat tidak kena memandangkan keadaan Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum. Seolah-olah kita sedang berundur ke belakang. Seperti binatang yang bernama tiong, yang berjalan dengan mengundur ke belakang. Dan seolah-olah semacam kita tidak faham tentang perasaan kaum-kaum di negara ini yang pastinya ‘terasa’ dengan kenyataan yang berbau perkauman itu.

Hal ini yang aku persolakan. Apakah para perwakilan UMNO hanya mementingkan diri sendiri tanpa mementingkan perasaan orang lain. Mungkin aku sependapat juga dengan para perwakilan apabila mereka mengatakan bahawa kaum lain seolah-olah telah ‘lari’ dari menyokong perjuangan Barisan Nasional berpandukan kepada keputusan Pilihan Raya Umum yang lepas. Namun para perwakilan seharusnya juga sedar bahawa ‘lari’nya sebahgian besar rakyat daripada menyokong BN adalah disebabkan tindakan pemimpin BN itu sendiri yang amat tidak menyenangkan hati rakyat. Sehinggakan Tun Mahathir sendiri pernah memberikan komen yang negatif terhadap perangai setengah pemimpin BN.

Walaupun kisah rasuah, penyelewengan, sikap angkuh dan sombong para pemimpin UMNO menjadi buah mulut masyarakat Malaysia ketika ini, tidak pula dibincangkan dalam persidangan UMNO yang berjalan sekarang. Mungkin ada dibincangkan tetapi aku yang tidak tahu. Aku mencari-cari juga melalui media sosial samada isu –isu penyelewengan ini dibincangkan secara terperinci di persidangan itu. Aku tidak terjumpa.

Pada pandangan aku sekiranya ahli UMNO mahu kembali ke zaman keagungannya, isu-isu yang mengkeritik diri ini perlu diketengahkan disamping menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa UMNO betul-betul merupakan parti yang begitu serious memperjuangkan bangsa dan negara dan ingin meletakan negara ini hebat dipersada antarabangsa.

Tidak juga aku dengar tentang perwakilan menyuarakan tentang kelemahan sistem pendidikan di negara kita ini yang meletakkan Malaysia pada kedudukan hampir tercorot dalam senarai PISA yang menguji kecekapan pelajar dalam lingkungan umur 15 tahun dalam subjek Matematik, Sains dan Membaca. Dengan kata lain kita telah ketinggalan hampir empat tahun kebelakang berbanding dengan negara-negara seperti China, Korea Selatan, Jepun, Singapaura dan beberapa negara lain. Dengan Vietnam pun kita telah ketinggalan.

Apabila isu yang sebegini tidak dibincang dan diperhalusi dengan sendirinya menunjukkan yang pemimpin UMNO  itu tidak serious menangani isu yang sebesar ini. Slogan-slogan yang berapi-api mengatakan bahawa UMNO memperjuangkan bangsa dan negara adalah slogan yang kosong. Cakap tak serupa bikin. Sebagaimana kata Opah aku dulu, ‘ cakap saja berdegar-degar…….”

Para pemimpin kita harus sedar dan peka dengan perkembangan sedemikian. Mereka tidak harus hayal dengan tepukan yang bergemuruh yang diberikan oleh perwakilan dan tidak juga harus lena dan khayal dengan ‘standing ovation’ yang diberikan dan tidak juga harus leka dengan pujian-pujian yang dilemparkan. Sekiranya para pemimpin kita memerlukan idola maka aku suka mengesyorkan agar mereka menghayati perjuangan Nelson Mandela dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

abuhassanadam
London
7 Disember 2013

No comments:

Post a Comment