RESTORAN
‘MAKAN’ DI LONDON
Memanglah restoran itu sebagai tempat makan, tetapi
restoran yang terletak di Portobello ini namanya ‘MAKAN’ yang dimiliki oleh
anak Melayu tulin. Azhar Kamarudin namanya. Aku panggil dia dengan nama ‘Ad
sahaja. Kependekkan Saad ( kebiasaan panggilan bagi orang Melayu).Dari Kedah.
Isterinya bernama Ani. Tidaklah pula aku tahu nama sebenarnya. Melayu tulin
juga. Dari Terengganu.
Aku amat bangga melihat Restoran ‘MAKAN” yang
tersergam terletak di tengah-tengah kota London. No 270, Portobello Road,
Ladbroke Grove, W10, 5TY, London. Memang ramai agaknya yang tidak percaya
bahawa restoran ‘MAKAN” dimiliki oleh orang Melayu tulin kerana tidak ada
bezanya dengan restoran-restoran yang dimiliki oleh bangsa lain yang berada di
London. Memang hebat. Dan pengunjung yang datang ke restoran ini juga terdiri
dari berbagai bangsa dan bukan terhad kepada orang Malaysia sahaja. Dan
sepanjang aku berada di restoran berkenaan, para pengunjung bertali arus masuk
dan makan di situ.
Yang agak berbezanya dengan restoran lain di London
ini (mungkin!) ialah tentang makanan yang dihidangkan. Lauk pauk Melayu. Dan
disediakan juga makanan ala barat yang disesuaikan dengan suasana pelanggan
yang datang ke situ. Para petugas di restoran berkenaan juga ( lebih kurang 10
orang ) terdiri dari berbagai bangsa dan keturunan. Dan mungkin dengan sebab
itu jugalah para pengunjung tidak merasakan bahawa restoran ini kepunyaan orang
Melayu tetapi dimilik oleh pengusaha antarabangsa.
Semalam aku pergi ke rstoran “MAKAN’ bersama isteri
dan anak aku. Bukan sekadar nak makan ‘Mee Udang’ ‘Ad, tetapi nak berjumpa ‘Ad
dengan Ani dan anak-anak mereka. Mereka adalah merupakan kenalan lama. Semenjak
tahun 1994.
‘Ad dan Ani sudah pun berada dan menjalankan
perniagaan restoran di Malaysia Hall, London apabila aku mula bertugas pada
tahun 1994. Ketika itu perniagaan mereka hanyalah tertumpu kepada menyediakan
makanan untuk pelajar dan para pengunjung dari Malayisa yang ‘gian’ untuk
menikmati makanan masakan Melayu.
Selama empat tahun aku berada sebagai ‘penghulu’ di
MSD (Malaysia Students Department) yang terletak di Bryanston Square, selama
itulah hubungan kami agak rapat. Walaupun ‘Ad dan Ani bukan merupakan
kakitangan MSD namun bagi aku kehadiran mereka amat penting sebagai pelengkap
kepada tugas yang aku jalankan di United Kingdom dan Eire.
Apa tidaknya. Aku merasa amat beruntung memiliki
pengusaha kantin Malaysia Hall yang mempunyai wawasan dan hasrat yang sama
dengan apa yang aku hendak lakukan. Mereka juga faham dengan hasrat aku.
Misalnya aku pernah memberitahu mereka bahawa tugas mereka ( Ani dan Ad) adalah
lebih kurang sama dengan tugas aku ketika berada di London. Setakat yang
termampu menolong ‘anak-anak’ Malaysia yang belajar di London.
Peranan mereka yang amat diperlukan ialah ketika
berada pada bulan Ramadhan dan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada
setiap bulan Ramadhan (selama empat tahun aku berada di MSD) akan diadakan
jamuan ‘moreh’ selepas sembahayang terawih. Ini merupakan satu galakan kepada
pelajar-pelajar yang berada disekitar kota London untuk datang bersembahayang
sunat terawih dan menikmati juadah ‘moreh’ ( biasanya nasi mnyak) yang
disediakan oleh MSD. (Ingin aku merakamkan terima kasih kepada para penyumbang
yang sudi memberikan sumbangan yang tidak ternilai yang datangnya dari para
penderma dari Malaysia – termasuklah sumbangan dari para menteri dan wakil
rakyat ).
Dan apabila sampai menyambut Hari Raya Aidil Fitri,
maka sekali lagi jamuan besar-besaran akan diadakan di perkarangan Malaysia
Hall selesai sahaja solat sunat Aidilfitri. Sekali lagi ‘Ad dan Ani berperanan
menyediakan jamuan untuk ‘anak-anak’ yang jumlahnya beratus orang yang datang
bukan sahaja dari kota London tetapi dari kawasan-kawasan di luar kota London.
Walaupun sumbangan mereka itu tidak percuma, tetapi
yang aku hargai ialah sikap mereka yang tidak pernah jemu memberi bantuan
kepada pelajar. Orang Melayu tulin kata – ‘Tidak berkira’. Maknanya sekiranya
ada pelajar yang memohon pertolongan, maka mereka akan bersedia menghulurkan bantuan.
Dan pastinya yang terdaya dan termampu oleh mereka. Dan sepanjang masa aku
berada di London, mengetuai MSD, selama itulah tidak pernah berlaku sebarang perselisihan antara
‘Ad dan MSD.
Perhubungan kami sehingga sekarang tetap ikrab. Dan
aku sentiasa mendoakan kesejahteraan ‘Ad dan Ani dan seluruh keluarga. Dan yang
paling penting sekali mereka telah ‘menolong’ memertabatkan nama Melayu yang
sentiasa dikatakan lemah dalam perniagaan. Sekurang-kurangnya mereka telah
membuktikan bahawa sebenarnya Melayu tidak lemah sekiranya usaha yang betul dan
berterusan dilakukan.
Mungkin juga kejayaan mereka ini adalah disebabkan
keikhlasan dan kejujuran mereka memberikan pertolongan kepada orang yang
memerlukan terutamanya kepada para pelajar yang menuntut di London pada suatu
ketika dulu.
Mungkin sekarang pun begitu juga….
abuhassanadam
London
13 Disember 2013
No comments:
Post a Comment