Tuesday, December 10, 2013

TPPA – JANGAN PISANG BERBUAH DUA KALI


TPPA – JANGAN PISANG BERBUAH DUA KALI

Sekurang-kurangnya pada zaman ini ada pihak tertentu yang menasihati atau memberitahu pihak kerajaan tentang sesuatu tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan dengan isu besar yang membabitkan negara atau negeri. Misalnya dalam hal isu TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) yang sedang melanda keputusan kerajaan samada untuk terlibat atau tidak.

Pihak kerajaan menampakkan seolah-olah sudah ‘committed’ untuk turut serta menyertai TPPA yang diwar-warkan oleh Amerika Syarikat ini. Namun begitu ramai juga yang menyatakan tentang keburukan yang akan dideritai oleh negara sekiranya Malaysia menyertainya. Malah ada yang meramalkan bahawa ini merupakan satu lagi bentuk ‘kolonisasi’ yang akan menimpa negara kita.

Rakyat nampaknya seolah-olah sudah hilang keyakinan tentang kebolehan dan kemampuan pihak tertentu yang mewakili negara untuk merundingkan perkara berkenaan. Sudah ada satu tanggapan dihati rakyat bahawa pihak-pihak yang merundingkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan masalah negara tidak melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Seolah-olah pihak-pihak yang merundingkan sesuatu perkara penting berkaitan dengan negara tidak merasakan bahawa negara ini kepunyaan mereka dan mereka sepatutnya mempertahankan negara ini  sehingga ‘titisan darah terakhir’.

Akhir-akhir ini rakyat sudah mula mempersoalkan tentang wajar atau tidaknya rundingan mengenai  ‘tanah keretapi’ di Woodlands dan kehilangan pulau Batu Putih. Kini kita berhadapan dengan masalah TPPA yang kebanyakan rakyat merasakan bahawa penyertaan Malaysa itu tidak wajar dan akan merugikan negara.

Nasihat dari Joseph Stiglitz yang merupakan pemenang Noble Laureate  patut diambil secara serious oleh pihak kerajaan disamping teguran-teguran yang telah dibuat oleh pihak tertentu termasuk Tun Mahathir sendiri. Katanya TPPA akan memerangkap negara-negara peserta in ‘ the worst features of the worst laws’. Katanya lagi,

“ The TPPA proposes to freeze into a binding trade agreement many of the worst feature of the worst laws in ( the TPPA) countries, making needed reforms extremely difficult if not impossible’ Malaysiakini.

Para pemimpin negara kadang-kadang terpaksa juga mendengar pandangan dari pihak luar samada pandangan itu betul atau tidak. Sekurang-kurangnya perlu didengar dan difikrikan secara mendalam supaya tidak berlaku sesuatu yang betul-betul merugikan negara dan bangsa Malaysia.

Sejarah telah mengajar kita tentang hal yang sebegini. Sejarah telah menunjukkan bahawa disebabkan ‘terhutang budi’ maka negeri jadi cagarannya. ‘Tergadai body’. Mungkin juga kuasa-kuasa besar dunia ataupun kuasa yang tidak begitu besar juga akan menggunakan berbagai tipu helah untuk memerangkap kita ( pemimpin-pemimpin negara terutamanya) untuk melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan mereka. Dan tektik yang digunakan kini tentulah lebih ‘canggih’ yang menyebabkan kita tidak sedar yang kita sudah terperangkap dan ‘terjerut’.

Aku ingin merujuk kepada beberpa peristiwa sejarah  yang telah menyebabkan kita ‘terjerut’ dan terperangkap dengan tindak tanduk British yang berjaya melakukan berbagai tipu helah untuk mendapatkan beberapa buah negeri Melayu pada zaman dahulu. Hampir semua negeri Melayu di Malaysia ‘diperolehi’ oleh Inggeris melalui tipu helah yang menyebabkan para pemimpin tempatan pada ketika itu ‘tidak dapat lari’ dan akhirnya menyerahkan negeri mereka melalui perjanjian yang tentunya berat sebelah.

Tertandanya Perjanjian Pangkor 19874, yang menyebabkan bermulanya pendudukan British di Perak adalah ekoran daripada ‘terhutang budinya’ suatu pihak kepada British kerana ‘pertolongan’ yang dihulurkan oleh British kepadanya. Lantas Perjanjian Pangkor’ ditandatangani yang ‘menyerahkan’ negeri tercinta ini kepada British.

Dan terlepasnya Singapura dari tangan Sultan Johor juga adalah disebabkan isu ‘terhutang budi’ juga. Suatu pihak ingin mendapatkan kuasa memerintah negeri dan telah ‘meminta pertolongan’ daripada Stanford Raffles yang kemudiannya menyebabkan ‘body’ tergadai. Raffles memperolehi Singapura, petempatan yang amat diidamkan oleh British. Dan sehingga kini Singapura telah pun terlepas dari tangan kita amnya dan Kesultanan Johor khususnya. Dan akhir-akhir ini yang paling malang sekali, Pulau Batu Putih juga terlepas dari tangan kesultanan Johor. Namun tidak pula ditangisi oleh rakyat negeri Johor……..

Begitulah keadaan bangsa Melayu yang satu demi satu kehilangan negeri-negeri Melayu. Hampir kesemua negeri-negeri Melayu diperolehi melalui tipu helah yang dilakukan oleh British dan ketidakpekaan pemimpin-pemimpin Melayu pada ketika itu.Dan mungkin juga disebabkan adanya pemimpin-pemimpin tempatan pada ketika itu yang tidak begitu bertanggungjawab kepada rakyat dan negerinya yang menyebabkan keadaan semalang itu berlaku.

Oleh itu dalam hal TPPA, peristiwa yang pernah berlaku kepada negeri-negeri Melayu pada suatu ketika dahulu, diharapkan tidak berulang lagi. Hendaknya slogan ‘Hidup Melayu’ sebagaimana yang selalu dipekikkan oleh ahli UMNO itu dipegang teguh. Janganlah hanya seperti ‘melepaskan batuk ditangga’.

Hendaknya janganlah ‘Pisang Berbuah Dua kali’

abuhassanadam
London
10 Disember 2013

No comments:

Post a Comment