Saturday, December 14, 2013


ORANG KAMPUNG MENIKMATI KABUS DI LONDON

Semalam  hujan gerimis. Hujan renyai-renyai kata orang kampung aku. Dua hari lepas London diselubungi kabus tebal sehinggakan banyak penerbangan di lapangan terbang Heathrow terpaksa dibatalkan. Jarak penglihatan agaknya tidak sampai pun 100 meter di setengah tempat.

Walaupun ramai juga pengguna jalan raya yang merasa tidak selesa dengan keadaan sedemikian tetapi bagi aku merasa bertuah kali ini kerana dapat ‘menikmati’ suasana kabus pagi yang sudah lama tidak aku ‘nikmati’ di negara kita. Walaupun sejuk dan jarak penglihatan agak dekat namun aku masih merasa bahagia ‘menikmati’nya ketika aku bersiar-siar di kawasan ‘park’ berdekatan dengan rumah anak aku di sini.

Aku teringat suasana sebegini yang aku alami ketika aku masih kanak-kanak, ‘membelah’ kabus pagi ke sekolah bersama dengan rakan-rakan, meniti batas bendang yang menghubungkan kampung aku dengan Kampung Lalang. Dan kadang-kadang basah baju sekolah disebabkan embun dan kabus pagi yang begitu tebal.

Tentulah aku teringat juga tentang beberapa peristiwa lucu yang kami alami ketika masih kecil ketika kabus pagi masih menyelubungi kampung ku. Walaupun kabus di kampung ku dahulu tidak sama dengan keadaan kabus yang menyelubungi England, namun kesannya mendalam dalam perasaan ku. Walaupun kesejukannya tidaklah sebagaimana kesejukan kabus di London, namun sekiranya nafas dihembus keluar akan kelihatanlah juga ‘asap’ yang keluar dari mulut.

Dan kegiatan menghembuskan ‘asap’ keluar dari mulut adalah merupakan amalan dan ‘permainan’ yang dilakukan ketika masih kecil terutama pada waktu kabus pagi. Sepanjang perjalanan ke sekolah kami akan beterusan ‘menghemuskan asap’ keluar dari mulut. Semacam ada satu pertandingan pula. Agak menggelikan hati juga apabila aku lakukan perbuatan sedemikian ketika ‘menikmati’ kabus pagi di London baru-baru ini. Masih keluar lagi asap melalui mulut…..Tentulah aku ketawa bersendirian.

Suasana berkabus tidak muncul lagi di Malaysia. Jangankan di Kuala Lumpur, di kampung-kampung pun sudah tidak kelihatan lagi kabus pagi. Tidak seperti zaman aku kecil-kecil dulu. Aku tidak dapat melukiskan tentang ‘keindahan’ tentang kabus pagi tetapi yang jelasnya aku merasa begitu bahagia dan seronok berada dalam suasana sedemikian.

Kampung aku tahun-tahun 1950an agak berbeza dengan keadaan kini. Walaupun waktu paginya masih sejuk namun kesejukan pada tahun-tahun 1950an adalah amat luar biasa. Terpaksa ‘bergebor’  ( berselimut ) ketika tidur pada waktu malam berbanding dengan keadaan kini yang sentias ‘bolin’ ( tidak berselimut) disebabkan cuaca yang agak panas. Dan sudah ramai penghuni kampung aku yang memasang penghawa dingin di rumah masing-masing kerana kepanasan cuaca, sesuatu yang tidak pernah berlaku tahun-tahun 1950an dahulu.

Sebagaimana aku jelaskan tadi, hujan gerimis turun di London semalam. Hujan di London agak berbeza dengan hujan di Malaysia. Ini tidaklah pula bermakna bahawa air hujan di London datang dari bumi !..Bukan begitu. Hujan tetap hujan dan air hujan datangnya dari langit. Yang aku maksudkan ialah jarang-jarang terdapat hujan lebat sebagaimana yang terdapat di Malaysia dimana akan kelihatan air turun bertali-tali melalui cucuh atap.

Hujan gerimis sedemikian tentulah mengingatkan aku kepada keadaan di kampung juga ketika masih kecil-kecil. Sekiranya berlaku hujan  di waktu pagi sedemikian, maka tentulah ramai penduduk kampung ku yang tidak keluar menoreh getah. Dan terbantutlah punca rezeki mereka sekeluarga.

Dalam suasana  hujan sebegitu suatu peristiwa yang sukar aku lupakan ialah tentang ‘sarapan’ pagi yang dihidangkan oleh arwah emak. Sarapan’ pagi yang disajikan tentulah jauh berbeza dengan sarapan yang disediakan di rumah keluarga Inggeris di sini. Seperti ‘’antara langit dan bumi’ atau seperti ‘jauh panggang dari api’. Namun bagi aku dari segi ‘kenikmatannya’ adalah sama.

Kebiasaanya arwah emak akan menyediakan ubi atau pisang rebus yang dicecah dengan kelapa yang diparut ataupun akan menyediakan nasi goreng yang digaulkan dengan kelapa. Mungkin ‘Nasi goreng kampung’ ala emak aku dan tidak terdapat lagi resepi sedemikian dimana-mana tempat di Malaysia. Dan sekali sekala emak akan buat nasi lemak atau memasak kuih ‘tuan puteri baju hangus’ atau cucur-kodok.

Menikmati rebus pisang atau rebus ubi kayu dalam suasana hujan di waktu pagi begini adalah sesuatu yang sukar dilupakan terutamanya memakan rebus ubi yang panas-panas.

Sebentar lagi aku akan pergi ke pasar Afrika mencari ubi kayu untuk direbus sebagaimana yang dilakukan oleh arwah ibuku dulu….

abuhassanadam
London
14 Disember 2013

No comments:

Post a Comment