Tuesday, December 3, 2013

SYABAS SELANGOR !!.......


SYABAS SELANGOR !!.......

Menonton secara langsung Parlimen British bersidang, terfikir di benak aku tentang bilakah agaknya Parlimen Malaysia akan mengikut jejak langkah parlimen British ini. TV Malaysia ada juga menayangkan secara langsung persidangan parlimen kita tetapi bagi aku lebih merupakan seperti ‘melepaskan batuk ditangga sahaja’.

Apoa tidaknya. Yang diperlukan oleh rakyat terbanyak ialah tentang perbahasan dan isi perdebatan dan bukan sekadar jawapan bertulis. Dan rakyat tahu dan sedar bahawa para Menteri atau Timbalan Menteri yang menjawab soalan-soalan yang dikemukakan hanyalah sebagai ‘pembaca’ sahaja sedangkan teks yang dibaca telah pun ditulis oleh pegawai-pegawai di kementerian masing-masing. Lantas memberikan tanggapan umum bahawa ‘siapa’ pun boleh jadi menteri atau timbalan menteri.

Rakyat tidak nampak kehebatan seorang menteri atau timbalan menteri ataupun wakil rakyat yang dipilih oleh mereka disebabkan rakyat tidak nampak dan dapat menilai prestasi mereka melalui persidangan parlimen yang dipancarkan secara langsung seperti mana yang dilakukan di Britain itu. Rakyat hanya didedahkan dengan kehebatan wakil rakyat kita ‘berbahas’ apabila berlaku keadaan  yang menyerupai ‘circus’ yang berlaku sekali sekala di parlimen. Itulah yang merupakan bentuk ‘hiburan’ yang dihidangkan kepada rakyat yang sekali gus dapat menilai sejauh mana krdibiliti seseorang ahli parlimen yang mereka pilih.

Aku merasa amat gembira apabila kerajaan Selangor mengorak langkah mengadakan berbagai pembaharuan di negeri itu yang terarah untuk menjadikan kerajaan negeri itu sebagai sebuah kerajaan yang betul-betul mengamalkan prinsip demokrasi. Antara cadangannya ialah untuk menjadikan persidangan dewan negerinya dijalankan secara langsung oleh Radio Selangor atau pun melalui sosial media lain. Bagi aku satu langkah yang cukup berkesan kerana dengan berbuat begitu dapatlah rakyat negeri Selangor khususnya menilai sejauh mana berperanannya wakil-wakil rakyat yang dipilih mereka. Sekiarnya ada wakil-wakil rakyat mereka yang hanya datang ke Dewan Undangan Negeri semata-mata untuk memanaskan kerusi sahaja, maka rakyat tentunya akan ‘menghukum’ wakil yang sedemikian sekiranya terpilih pada pilihan raya yang akan datang.

Perbahasan antara David Cameron ( Perdana Menteri) dan Ed Miliband ( ketua pembangkang) yang dipancarkan secara langsung adalah amat menarik sekali. Berbagai kesimpulan dapat dibuat apabila menonton perdebatan antara mereka berdua itu.

·      Samada Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang perlu bersedia dengan fakta-fakta yang cukup konkrit ketika membahaskan sesuatu isu. Maknanya datangnya mereka ke parlimen itu bukanlah dengan ‘tangan kosong’ ataupun hanya untuk memanaskan kerusi. Kedua-duanya perlu memiliki kepetahan berdebat yang bukan kepalang. Dari situlah rakyat dapat menillai kemampuan Perdana Menteri atau pun Ketua Pembangkang mereka.
·      Bukan sahaja Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang sahaja yang perlu bersedia dengan fakta-fakta konkrit mengenai sesuatu isu, wakil-wakil parlimen yang lain juga perlu bersedia. Dan ketika menyampaikan sesuatu hujjah menampakkan bahawa mereka amat bersedia untuk membahaskan sesuatu yang diselitkan dengan fakta-fakta konkrit. Maknanya mereka amat bertanggungjawab kepada rakyat yang diwakili oleh mereka.

Mungkin begitu juga agaknya persediaan yang dilakukan oleh ahli-ahli parlimen kita di Malaysia. Mungkin……

Hasrat kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan Ketua Pembangkangnya sebagai Pengerusi PAC disamping memberikan berbagai-bagai kemudahan kepadanya adalah juga merupakan suatu langkah yang terpuji. Ini adalah merupakan suatu pengisian prinsip demokrasi yang sebenar.

Disedari bahawa peranan Ketua Pembangkang adalah amat penting untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi tulin. Beliau adalah merupakan mata dan telinga yang akan ‘membetulkan’ di mana yang salah dan di mana yang silap kerajaan yang memerintah. Dengan ‘memuliakan’ Ketua Pembangkang di Selangor ini memberikan satu tanggapan kepada rakyat Selangor khususnya bahawa sememangnya kerajaan Selangor merupakan sebuah kerajaan rakyat yang sentiasa memikirkan untuk keksejahteraan rakyat.

Dalam hal yang sebgini aku terpaksa juga menyebut tentang kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman yang sangat-sangat menghargai sumbangan pembangkang seperti Allahyarham Zulkifli Muhammad dari PAS. Pemergiannya ditangisi bukan sahaja oleh rakan dan taulan tetapi ‘musush-musuh’ politiknya juga yang sedar tentang betapa pentingnya sumbangan beliau ketika membahaskan sesuatu di parlimen ketika itu.

Langkah kerajaan Selangor untuk mewujudkan keadaan sedemikain dalam Dewan Undangan Negerinya pastinya dialu-alukan oleh rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

abuhassanadam
London
3 Disember 2013

No comments:

Post a Comment