Tuesday, December 13, 2022

ARAH TUJU YAB SAUDARA ANWAR

 ARAH TUJU YAB SAUDARA ANWAR


Berbanding dengan pentadbiran dua orang Perdana Menteri yang terdahulu, ia itu TS Muhyiddin Yasssin dan DS Ismail Sabri Yaakub, jelas menampakkan bahawa apa yang hendak dilakukan oleh YAB Saudara Anwar Ibrahim amat jelas dan terang. Ketiadaan atau kurangnya sidang akhbar yang diadakan oleh dua perdana menteri yang terdahulu menampakkan ada sesuatu yang hendak 'disorokkan' oleh pimpinan terdahulu. Mereka seolah-olah begitu takut dan bimbang bertemu dengan para wartawan, membayangkann bahawa mereka tidak begitu yakin untuk mentadbir negara ini dengan berkesan.

Tidak seperti apa yang dilakukan oleh YAB Saudara Anwar yang terus mengadakan sidang akhbar pada hari pertama selepas 'dinobatkan' sebagai Perdana Menteri. Itu memberikan bayangan bahawa beliau begitu bersedia untuk memimpin negara ini disamping bersedia bersama rakyat membentuk sebuah pentadbiran dengan cara yang difikirkannya sesuai dan selari dengan apa yang telah dilafazkan.

Awal semasa berkempen dalam PRU15, telah dijelaskan bahawa beliau tidak akan menerima gaji sebagai Perdana Menteri sekiranya ditakdirkan menjadi Perdana Menteri yang ke10. Pengumuman beliau itu dipersendakan oleh rakyat yang kurang yakin dengan pengumuman sedemikian. Memberikan bayangan bahawa masih ramai anggota masyarakat di Malaysia yang merasakan bahawa pengumuman itu sebagai omong kosong. Memberikan bayangan bahawa tindakan dan pengumuman oleh Saudara Anwar itu sebagai omong kosong kerana menampakkan bahawa pengumuman sedemikian bukan merupakan budaya pemimpin Malaysia. Kebanyakan yang ingin memimpin dan ingin menjadi pemimpin berhasrat untuk mengaut seberapa banyak 'keuntungan' yang boleh 'dikaut'. 

Telah diperhatikan semenjak zaman berzaman tidak ada seorang pun pemimpin negara yang bersikap sedemikian rupa. Malah setiap pemimpin yang wujud telah mempamirkan kehghairhan untuk 'mengaut' keuntungan semaksimum mungkin, berdasarkann kepada imej kekayaan yang diperolehi. Jika diperhalusi dan diperhatikan dengan jelas menampakkan bahawa tidak terdapat walau seorang pun pemimpin yang 'miskin' ( jauh dari papa kedana) setelah menjadi wakil parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Malah dengan jawatan sebagai Ketua Bahagian sesuatu parti pun, kekayaan yang mereka perolehi adalah luar biasa.

Rakyat pada umumnya sedang menunggu dengan penuh debaran akan 'terkota'nya apa yang hendak dilakukan oleh YAB Saudara Anwar. Hasratnya untuk membasmi rasuah dikalangan Menteri dan Timbalan Menterinya ( dan tentunya para pegawai kerajaan juga) telah disambut dengan lapang dada oleh rakyat Malaysia. Sudah terlalu lama, rakyat Malaysia menunggu pengumuman sedemikian. Ada hasrat sedemikian dilafazkan tetapi hanya sebagai satu ungkapan 'melepaskan batuk ditangga' sahaja. Dan kadang-kadang lebih merupakan 'harapkan pegar, pegar makan padi'.

Tindakannya menjadikan 'Seri Perdana' sebagai medan untuk mengembangkan ilmu adalah sesuatu yang luar biasa. 'Seri Perdana' tidak dijadikannya sebagai singgahsana beliau malah lebih merupakan bangunan untuk rakyat yang mesti dihormati dan disanjung tinggi. Kesanggupan beliau untuk terus tinggal dirumah sendiri menandakan dan memberikan gambaran bahawa beliau hanya akan berada di puncak pentadbiran negara hanya buat sementara waktu sahaja. Lantas tidak terlintas untuk mendiami Seri Perdana (yang bukan milik peribadinya). Tentulah amat jauh bezanya dengan sikap Perdana Menteri yang terdahulu yang sehingga kini masih teringin untuk terus mendiami Seri Perdana.

Tentulah banyak lagi 'pembaharuan dan reformasi' yang hendak dlperkenal dan dilaksanakan oleh YAB Saudara Anwar Ibrahim. Pastinya rakyat sedang menunggu dengan penuh debaran dan amat bersedia untuk bersama menjayakannya.

Bagi mereka yang masih 'menentang' perancangan dan pembaharuan yang hendak dilaksanakan, rakyat tyang dahagakan pembaharuan dan kemajuan  hanya mampu mengatakan 'Selamat Tinggal' dan jadilah 'seperti si Luncai terjun dengan labu-labunya'.


abuhassanadam

13 Disember 2022

No comments:

Post a Comment