WAKTU DULU-DULU
(Siri 3)
Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.
Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.
Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).
Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera.
BENIH NASIONALISME CAMBAH DI PADANG RENGAS
Masa aku kanak-kanak dulu ( tahun-tahun 1950an) seringkali aku mendengar tentang perjuangan orang Padang Rengas menentang British. Cakap-cakap mereka tidak aku pedulikan pun. Lagi pun tak faham aku sembang politik yang selalu diperkatakan . Biasanya di kedai Pak Lang Ibrahim dihadapan rumah aku tu. Kadang-kadang aku perhatikan bersungguh benar tokoh poliitk kampung aku membicarakan tentang perjuangan mereka menentang British.
Pada ketika itu ( ketika umur aku pun dalam lingkungan 12 tahun) aku anggap apa yang diperbincangkan oleh mereka hanyalah sebagai omong kosong. Cakap saja berdegar-degar, fikir aku.
Sampailah pada suatu ketika ia itu ketika aku berada di Jabatan Sejarah University Malaya, aku berkesempatan amat rapat dengan Prof Khoo Kay Kim (mendiang). Selalu berbincang dengan dia terutama tentang perjuangan orang Melayu menentang British. Langsung tersentuh tentang kisah kongres perjuangan Melayu menentang Inggeris. Dan Prof Khoo Kay Kim kata, orang Melayu pada tahun 1946 telah mengadakan kongres secara besar-besaran di Kampung Lalang, Padang Rengas. Tersentak lah aku apabila mendengar Kampung Lalang Padang Rengas.
Tahun 1976 Prof Khoo Kay Kim aku temukan dengan Mak Kecik Rokiah di rumahnya di Kampung Lalang, Kedua-duanya begitu seronok menceritakan peristiwa bersejarah tentang kongres Melayu menentang British. Malah ada satu ketika Mak Kecik Rokiah terus menyanyikan lagu semangat yang mereka nyanyikan dan disambung oleh Prof Khoo Kay Kim. Memang 'menjadi' betullah pada hari itu. Aku hanya sebagai pemerhati - tidak terkata. Prof Khoo Kay Kim semacam tak mahu pulang ke Kuala Lumpur pada hari itu. Dalam kuliahnya pada minggu hadapannya, satu waktu habis dia menceritakan tentang lawatannya ke Kampung Lalang, Padang Rengas meninjau tentang perjuangan nasionalis Melayu menentang British.
Konon ceritanya ( belum ada lagi tulisan lakaran sejarah) kongres ini diadakan selama tiga hari (menurut ceritanya). Kehadirannya menampilkan pemimpin-pemimpin seperti Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Fakta-fakta ini aku kutip hanya melalui pendengaran dan perbincangan dengan orang kampung aku seperti Arwah PakChu Daud ( Ketua kampung Lalang), Arwah Mak Kecik Rokiah ( isteri Pak Chu Daud). Antara pejuang kemerdekaan di Padang Rengas termasuklah mereka yang bekerja sebagai tukang jahit dan tukang gunting. Yang masih aku ingat lagi ialah Pak Rashid Ali, Pak Rashid Karim. Mereka inilah antara pejuang awal menentang Inggeris. Dan mereka pernah dimasukkan ke kem tahanan kerana menentang British pada ketika itu.
Didoakan roh mereka (para pejuang di atas) ditempatkan dikalangan yang beriman. Amin.
abuhassandam
16 Disember 2022
No comments:
Post a Comment