WAKTU DULU-DULU
(Siri 1)
Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.
Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.
Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).
Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera.
Padang Rengas -1950an
Ketika itu negara kita ini 'MALAYA' namanya. Belum merdeka. Masih di bawah pentadbiran British. Dengan demikian dinamakan Malaya. Orang Melayu memanggilnya Tanah Melayu. Ketika itu Malaysia betum tertubuh lagi. Malaya pada ketika itu terdiri dari sebelas buah negeri ia itu (dari utara) Perlis, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Sabah dan Sarawak belum lagi tergolong dalam negara Malaysia. Malaysia ditubuhkan kemudian pada 16 September 1963.
Tahun 1952, aku berada dalam Darjah dua di Sekolah Melayu padang Rengas. Ketika itu namanya Malay Boys School Padang Rengas. Bahasa orang putih. Kini nama sekolah berkenaan adalah Sekolah Tun Dr. Ismail. Sayang aku pada sekolah itu bukan main sayang lagi! Sekarang baru aku betul-betul sedar tentang sumbangan yang amat berharga yang diberikan oleh guru-guru ketika itu yang mengajar aku. Antaranya ialah Cikgu Samad, Cikgu Yunus, Cikgu Rahman dan lain-lain yang kesemuanya sudah pergi meninggalkan kita menemui penciptanya.
Pastinya aku akan menulis lebih panjang lagi mengenai guru-guru yang mengajar kami. Akan dicoretkan tentang peranan mereka yang boleh menjadikan anak muridnya menjadi 'manusia'.Apakah perbezaan 'ajaran' yang diberikan oleh guru pada ketika itu berbanding dengan ajaran guru-guru kini yang selalu dikatakan kurang berkesan kepada anak murid. Dan betulkah begitu. Ataupun mungkin ada faktor-faktor lain yang menyebabkan ajaran guru kini kurang berkesan. Akan dikaji juga secara terperinci dalam tulisan aku yang akan menjelang.
Padang Rengas tahun 1950an hanya lah sebuah pekan kecil yang terletak di sepanjang jalan dari utara ke selatan. Maknanya bagi orang utara ( dari Perlis misalnya) hendak ke Kuala Lumpur pasti melalui pekan Padang Rengas kerana pada ketika itu belum ada lagi terbina lebuhraya Utara-Selatan. Begitu juga dengan jalan keretapi. Pasti sesiapa dari utara yang hendak pergi ke Kuala Lumpur pasti melalui Padang Rengas. Dengan sebab itulah Padang Rengas begitu 'popular' disebabkan tidak ada jalan lain untuk samada ke utara atau ke selatan.
Aku masukkan 'cerita' jalan raya yang hampir 'dilupakan' kini disebabkan kurangnya kereta melalui pekan Padang Rengas. Pekan yang memberikan banyak peristiwa pada aku kini sudah hampir dilupakan. Hanya 'anak' Padang Rengas sahaja yang menggunakan ketika balik kampung. Ataupun mungkin pencinta sejarah sahaja yang mahu melewati pekan Padang Rengas yang ditinggalkan.
'Peristiwa' yang paling malang sekali bagi kebanyakan yang lalu lintas sebelum terbinanya lebuhraya Utara Selatan ialah 'hilang lenyap'nya Bukit Berapit, ia itu tempat perkelahan yang sangat nyaman dan menyeronokkan. Bukit Berapit (tempat perkelahan) sudah tidak ada lagi. Dalam hal ini kerajaan Perak harus bertanggungjawab untuk dipersalahkan kerana 'membiarkan' musnahnya perkelahan Bukit Berapit. Terlalu sukar untuk aku bayangkan nyaman suasana di Bukit Berapit disekitar tahun-tahun 50an, 60an, 70an. Kini sudah tiada lagi. Apabila aku balik kampung dan melalui Bukit Berapit pasti aku berhenti di situ untuk mengenangkan Bukit Berapit yang ditinggalkan.
Bagi mereka dari utara yang hendak ke selatan menaiki keretapi, pasti juga akan melalui stesen keretapi Padang Rengas. Pasti. Tidak ada jalan lain. Aku masih ingat tambangnya RM 8.05 sen (pada waktu itu) dari Padang rengas ke Kuala Lumpur. Bertolak pukul 11.30 pagi sampai pukul 6.30 petang di Kuala Lumpur. Dengan sebab itulah penduduk Padang Rengas tidak merasa ketinggalan dalam arus pemodenan di negara ini tidak seperti kawasan lain di Malaysia yang kedudukannya terpencil yang tidak disentuh oleh kemajuan dan pemodenan.
abuhassanadam
14 Disember 2022
Siri 2 -akan datang
- Pendudukan Jepun menyebabkan dua buah kedai di Padang Rengas dibom.
- Seorang pengganas Komunis terbunuh dalam satu pertempuran di Padang Rengas
- Peranan dua sekolah Arab di Padang Rengas
No comments:
Post a Comment