Sunday, December 11, 2022

PERJUANGAN KE ARAH PERPADUAN

 PERJUANGAN KE ARAH PERPADUAN

Entah macam mana aku terserampak dengan beberapa rangkap pantun yang dirasakan boleh dimanfaatkan terutama dalam keadaan kerajaan yang mengambil sempena 'Kerajaan Perpaduan' sedang 'mencari-cari' arah tuju kepimpinan. Dalam kehidupan orang Melayu tradisional, pantun memainkan peranan yang cukup penting dalam 'membimbing' hala tuju yang sepatutnya dilalui oleh masyarakat Melayu. Pantun boleh mengubah cara berfikir masyarakat pada ketika itu dengan tidak payah mengambil tindakan yang drastik tetapi dengan cara 'bersahaja'.

Aku mulakan dengan pantun di bawah,


Pergi ke hutan memburu rusa,

    Dapat seekor di bagi rata;

Eratkan perpaduan tak kira bangsa,

    Menjaga keamanan bumi tercinta.


Matlamat kepimpinan YAB Saudara Anwar Ibrahim adalah, 'eratkan perpaduan tak kira bangsa, menjaga keamanan bumi tercinta. Inilah yang sedang diperjuangkan sekarang dan sebahagian besar rakyat Malaysia faham tentang matlamat ini. Namun ada juga segelintir rakyat Malaysia yang masih mempersoalkan perkara-perkara titik bengik yang boleh melemahkan usaha menyatukan negara. Segala tindak tanduk mereka seolah sengaja mahu menimbulkan masalah kepada usaha memajukan negara dan bangsa Malaysia. Namun yang 'luar biasanya' ialah majoriti rakyat Malaysia sedang bersama-sama ke arah memajukan bangsa dan negara. Semacam golongan ini sudah betul-betul jemu dengan keadaan yang boleh melemahkan negara dan bangsa Malaysia.

Mari kita lihat rangkap pantun seterusnya,


Emas perak intan suasa,

    Cantik bersinar cahaya berkilauan:

Biar berbeza agama dan bangsa,

    Mimpi bersama kukuhkan perpaduan.


Walaupun rakyat Malaysia berbeza dari segi agama dan asal keturunan namun mimpi bersama akan mengukuhkan perpaduan. Jelas. Kajilah dengan teliti sejarah Malaysia atau pun sejarah perjalanan bangsa Malaysia akan dapat kita lihat tentang banyak perkara yang unik. Janganlah dilihat tentang 'keburukan' sahaja, tetapi hendaklah diteliti tentang perjalanan keunikan sejarah pembentukan bangsa yang murni ini. Jikalau hendak dikatakan peristwa 'hitam' dalam sejarah negara kita hanya sekali, hanya sekali terjadi peristiwa 'hitam' dan itu pun dapat dikawal dan akhirnya dapat mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu walaupun berbeza agama dan bangsa, mimpi bersama kukuhkan perpaduan.

Lihat pantun ini pula,


Tumbuh melata buah bidara,

    Didalam acuan berbagai warna;

Elakkan sengketa demi negara,

    Barulah perpaduan dapat dibina.


Sengketalah yang perlu dijauhi. Rakyat Malaysia yang berfikiran waras yakin bahawa keadaan sengketa yang boleh merosakkan perpaduan rakyat Malaysia tidak mungkin akan berlaku memandangkan kepada beberapa keadaan yang dapat mengelakkan rakyat daripada terlibat dalam kancah persengketaan. Rakyat Malaysia tahu tentang kesan yang akan menimpa sekiranya keadaan sedemikian berlaku.

Lantas walaupun ada nampak bibit-bibit yang boleh membawa kepada perpecahan dan persengketaan para pemimpin negara cepat-cepat 'memadamkan'nya tanpa disuruh arah oleh pihak berwajib. Semacam rakyat sendiri sedar bahawa perpaduan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah bangsa dan negara. Walaupun ada sekumpulan kecil yang berfikiran sempit, namun negara Malaysia kelihatan 'belayar' dengan tenang menuju destinasi walaupun ada juga gangguan ombak kecil.

Insyallah akan berjaya juga sampai ke 'seberang'.

abuhassanadam

11 Disember 2022








No comments:

Post a Comment