MENGHADAPI CABARAN TAHUN 1950AN
Sepertimana yang selalu aku nyatakan bahawa dalam tahun-tahun 1950an, aku masih disekolah rendah - Darjah Dua (1952). Justeru aku merasa terpanggil dan amat berasa bertanggungjawab utnuk menceritakan pengalaman aku ketika mengharungi zaman itu. Penuh dengan cabaran tetapi tidak terasa bahawa sebenarnya ketika mengharungi satu keadaan yang cukup mencabar. Tentulah tidak terfikir pada ketika itu yang aku boleh berjaya 'meredah' cabaran sedemikian. Dan begitu jugalah dengan rakan-rakan sebaya yang lain mengalami nasib yang sama seperti aku. Budak kampung.
Merujuk kepada falsafah Pak Pandir ( dari cerita Pa' Pandir ) bahawa ' aku bukan keseorangan yang mengalami nasib sedemikian' sebenarnya sekiranya direnungkan kembali zaman itu dan bagaimana boleh mengharunginya tentulah amat 'menakutkan'. Dan yang terus 'membanggakan' hati dan perasaan ini ialah bagaimana boleh berjaya 'menempuh' hidup yang penuh cabaran itu. Dan tidak semudah sebagaimana yang difikirkan untuk anak-anak zaman itu berjaya melepasi berbagai 'sekatan' kehidupan untuk terus berjaya. Terlalu getir cabaran yang kami hadapi. Mungkin jika diperhalusi, agak sukar untuk dipercayai yang anak-anak zaman itu ( yang berjaya ke Menara Gading) boleh sampai ke tahap itu. Syukur saja lah.
Terlalu banyak kisah persekolahan pada zaman itu untuk dikisahkan. Terlalu banyak dan terlalu banyak cabaran yang perlu diepani. Yang paling 'menakutkan' adalah anak-anak berhadapan dengan para ibu bapa yang tidak berminat menghantar anak ke sekolah. Aku tergolong dalam kategori yang amat bernasib baik disebabkan kedua ibu bapa aku sememangnya bersemangat untuk memberi pelajaran kepada aku. Aku dan adik aku (Latipah) amat bernasib baik kerana mendapat dorongan yang luar biasa dari kedua-dua arwah ibu dan bapa. Alfatihah untuk kedua-duanya.
Tentulah tidak ramai ibu bapa di kampung (khususnya Kampungku) yang bersemangat untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka pada ketika itu. Jikalau pun mereka dihantar ke sekolah, namun layanan yang diberikan oleh ibu bapa mereka tidaklah sebagaimana yang sepatutnya. Agak tidak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa pakaian mereka tidak bersih, jauh sekali diseterika (cap ayam menggunakan arang). Mereka datang ke sekolah tanpa buku dan pensil ( yang kerapkali meminjam pensil aku). Mungkin ramai antara mereka yang datang ke sekolah tanpa mendapat alas perut ( walaupun sekeping roti atau sebiji pisang ). Banyak lagi contoh-contoh yang hendak aku huraikan, tetapi sekadar cukup begitu.
Nasib anak Melayu di sekolah Melayu pada zaman pemerintahan British memanglah amat menyedihkan. Sememangnya tidak ada 'masa hadapan' bagi lepasan sekolah Melayu (Darjah Tujuh). Ada bagi yang 'bergeliga' otak saja dan pelajar-pelajar ini berpeluang melanjutkan ilmu perguruan di SITC ( Sultan Idris Training College, Tanjung Malim). Hanya untuk satu atau dua orang). Kebanyakan anak Melayu pada ketika itu akan tercicir di tengah jalan dan jadilah mereka sebagai petani mengikut jejak langkah ibu bapa mereka.
Aku agak bernasib baik kerana mendapat peluang melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris (SMC 1 - Special Malay Class - 1 ) di Government Englsih School Padang Assam sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Kangsar. Aku dapat bayangkan sekiranyalah aku tidak dapat memasuki sekolah Inggeris, aku tak tahu apalah aku akan jadi menempuh cabaran yang mendatang. Mungkinlah aku dapat memaskki SITC dan jadi guru. Mungkin! Jikalau tidak maka aku akan mengikut jejak langkah ibu dan bapa aku menjadi penoreh getah dan bersawah padi. Mungkin. Begitulah nasib rakan-rakan aku yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di sekolah Inggeris.
Takut aku memikirkan keadaan sekiranya aku tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Cukuplah hanya sekadar bersyukur kepada Tuhan.
abuhassanadam
23 Disember 2022
No comments:
Post a Comment