Wednesday, December 14, 2022

PADANG RENGAS PERNAH DIBOM OLEH JEPUN

 WAKTU DULU-DULU

(Siri 2)

Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.

Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.

Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).

Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera.


PADANG RENGAS PERNAH DIBOM OLEH JEPUN

Pada suatu ketika dahulu ketika melalui di persisiran Gunung Pondok pasti kelihatan bangunan kesan daripada dimusnahkan oleh sesuatu malapetaka. Aku sering bertanya ibu ku ketika itu. Dan ibuku menerangkan bahawa itu bangunan kedai yang dimusnahkan oleh Jepun ketika menduduki Malaya pada tahun-tahun 1939-1945.

Aku yakin apa yang emak aku katakan sebabnya dia masih muda remaja ketika Jepun berada di Malaya. Aku dilahirkan pada tahun 1944 ia itu mengikut apa yang diceritakan oleh ibuku ketika itu Jepun hampir 'nak surrender' katanya. Maknanya dia tahu betullah tentang kisah Jepun membakar dua buah kedai yang terletak berhampiran Gunung Pondok itu.

Untuk anak-anak yang mahu tahu dan lebih mengetahui tentang bangunan kedai yang dibakar oleh Jepun itu, ia terletak berhampiran dengan pintu masuk ke Sekolah Arab Al-Yahyawiyah. Sudah tidak kelihatan lagi kesannya disebabkann ditelan zaman. Tidak pula aku bertanya mengapa kedai sedemikian dibakar dan sekiranya aku bertanya ibu tentulah jawabnya dia pun tak tahu. Dan tidak pula ada kedai lain deretan di pekan Padang Rengas yang dibakar oleh Jepun. Ini sesuatu yang menarik dan perlulah anak Padang Rengas cuba mencungkil peristiwa kebakaran kedai oleh Jepun ini.

Satu lagi kisah yang jarang diketahui oleh penduduk Padang Rengas terutamanya anak muda adalah keterlibatan penjahat komunis. Awal tahun 1950an tidak ramai penduduk di sini yang menyangka adanya kegiatan pihak komunis di kawasan Padang Rengas ini. Pihak British mungkin sudah tahu adanya kegiatan seperti itu, jikalau tidak masakan pihak British berusaha menempatkan kaum Cina di Kem Cina yang berhampiran dengan Balai Polis Padang Rengas.

Aku dapat tahu tentang adanya kegiatan komunis di Padang Rengas ekoran daripada cerita yang diceritakan oleh Opah aku yang duduk di Kampung Paya Ranggam. Suatu hari aku melawat Opah. Tidak sempat aku nak bertanya apa khabar, Opah menarik aku masuk ke dalam rumah. 'Takut!' katanya. Tentulah aku terpinga-pinga. Takutkan apa pulak. Hujan tidak, ribut tidak hantu tidak, setan pun tidak. Rupanya baru semalam berlakunya pertempuran antara tentera British (askar Melayu) dengan komunis di kawasan hutan yang tidak jauh dari rumah Opah aku. Jikalau tak silap nama komunis berkenaan ialah Perumal. Begitulah tersebarnya kisah peristiwa pertempuran komunis dengan askar Melayu itu. Menunjukkan bahawa kegiatan komunis berleluasa juga di kawasan Padang Rengas disekitar tahun-tahun 1950an. Dan pada ketika itu kegiatan komunis bermaharajalela di Grik, Baling, Gua Musang dan tempat-tempat lain.

Seingat aku, sebelum tahun 1970 tidak ada jalan raya (jalan tar) untuk menyambungkan Pekan Padang Rengas dengan kampung-kampung disekitar pekan Padang Rengas. Apatah lagi dengan kampung aku - Kampung Keroh Hilir. Jauh panggang dari api. Desa pingitan. Tidaklah pula terlalu jauh dari pekan Padang Rengas tetapi disebabkan ketiadaan jalan raya menyebabkan terasa jauhnya. Menyeberang dua kawasan sawah dan melalui dua buah kampung ( Kampung Lalang dan Kampung Pondok) menyebabkan terasa kejauhannya.

Bukan sahaja kampung aku yang tidak dihubungi jalan raya (bertar) pada ketika itu, hampir semua kampung dipersekitaran tidak ada kemudahan jalan raya. Ada jalan 'penarikan' hanya boleh berbasikal atau berjalan kaki. Tidak boleh dibayangkan sekiranya musim hujan dan terpaksa melalui jalan sedemikian. Itulah jalan 'bertuah' yang memberi kemudahan kami anak kampung untuk ke sekolah walaupun terpaksa mengharungi selut dan becak.

Jalan bertar hanya setakat deretan kedai di persisiran Gunung Pondok. Kini sudah tidak. kelihatan walau sebuah kedai pun di situ dan sudah 'diganti' dengan lebuh raya  yang boleh terus sampai ke Grik dan Kota Baharu Kelantan. Yang paling sukar aku melupakan jalan dari pekan Padang Rengas ke Gate Keretapi Padang Rengas ialah pemandangan di kawasan persekitaran. Sudah tidak ada lagi pemandangan sedemkian. Cantik dan menawan apatah lagi pemandangan waktu petang ketika padi sedang menguning yang berlatar-belakangkan Gunung Pondok yang gagah menghijau. Sayangnya kesemua yang aku kisahkan itu sudah tiada lagi. Sudah tidak ada padi menguning. Sudah tidak ada sawah padi yang terbentang luas .Yang masih ada adalah Gunung Pondok, Itu pun sudah mula dirobek oleh tangan-tangan yang tidak bertanggung jawab kepada 'anak Padang Rengas'


abuhassanadam

15 Disember 2022





No comments:

Post a Comment