Friday, December 16, 2022

PADANG RENGAS SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN

  WAKTU DULU-DULU

(Siri 4 )

Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.

Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.

Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).

Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera.


PADANG RENGAS SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN

Selalu aku mengatakan bahawa Padang Rengas sebagai tempat yang bertuah dari segi 'mewah'nya pusat pendidikan pada zaman pemerintahan British. Maksudnya terdapat begitu banyak sekolah dan pusat pendidikan di kawasan ini.Di kawasan Padang Rengas sahaja sudah terdapat beberapa buah sekolah Melayu dan sekolah agama (Arab).

Jangan pula digambarkan yang sekolah yang aku maksudkan itu seperti sekolah Malay College tu. Aku tak bermaksud begitu. Sekolah Melayu terdapat di Kampung Lalang. Khas untuk kanak-kanak perempuan sahaja. Jarang terdapat keadaan sedemikian dimana didirikan sekolah khusus untuk kanak-kanak perempuan sahaja - di sebuah kampung di pendalaman Padang Rengas.

Terdapat juga sekolah kebangsaan Paya Salak yang terletak di kampung Paya Ranggam. Di Kampung Laneh ( lebih kurang tiga kilometer dari Paya Salak) terdapat sebuah sekolah ia itu SK Laneh. Dan yang menghubungkan Paya Salak dengan Laneh adalah jalan penarikan ( pada ketika itu). Tidak ada kenderaan kereta untuk pergi ke Laneh. Untuk bergerak ke Laneh terpaksalah samada berbasikal atau pun berjalan kaki. Aku selalu berjalan kaki apabila untuk melawat rumah saudara opah aku di Paya Lintah pada waktu itu.

Terdapat dua buah sekolah agama (Arab) di Padang Rengas pada waktu itu. Sekolah Arab Adiniah (Kampung Lalang) dan Sekolah Agama Al-Yahyawiyah ( Kampung Pondok). Sekolah Arab Adiniah Kampung Lalalng mungkin telah ditubuhkan lebih awal (Arwah emak mengatakan yang dia pernah belajar di situ. Munkgin dalam tahun-tahun 1930an). Sekolah Arab Al Yahayawiyah mungkin awal tahun 1950an.

Aku paparkan keadaan sebegini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap pelajaran dikalangan orang Melayu di kawasan ini telah mula bercambah lebih awal. Mengikut apa yang diceritakan oleh arwah ibu yang merupakan penuntut lebih awal di Sekolah Arab Adiniah, kebanyakan guru-guru yang mengajar di sekolah itu didatangkan dari Indonesia. Arwah ibuku dulu begitu berbangga menceritakan yang rakan sedarjahnya waktu itu ialah Datin Sakinah Sheikh Jonid ia itu isteri kepada Dato Asri Haji Muda ( pemimpin PAS). Sememangnya mudir sekolah berkenaan ialah ayah kepada Datin Sakinah.

Disamping dua sekolah berkenaan, terdapat juga 'Madrasah-madrasah' ( sekolah Agama kecil) di kampung-kampung yang mengajar Agama (Fardhu Ain) kepada anak-anak ( kerana pada waktu itu belum ada lagi  diajar matapelajaran agama Islam di sekolah-sekolah kerajaan). Pada waktu malam pula terdapat kelas-kelas mengaji quraan di rumah-rumah ustaz dan ustazah yang mengajar secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Ibu saudara ku adalah antara ustazah yang memberikan sumbangan ke arah ini. Pak Haji Sulaiman (guru ku) adalah antara ustaz yang mengajar Quraan untuk pelajar lelaki. Tidak ada sebarang bayaran dikenakan.

Pendek kata pada ketika itu (1950an dan negara masih belum merdeka) tidak ramai penduduk Padang Rengas yang buta huruf. Peluang menuntut ilmu berada di mana-mana. Masalahnya pada ketika itu masih ramai anak-anak yang malas ke sekolah.

Akan ku ceritakan pada episod akan datang.

abuhassanadam

17 Disember 2022


No comments:

Post a Comment