Saturday, December 17, 2022

KURANG KESEDARAN TERHADAP PENDIDIKAN

 WAKTU DULU-DULU

(Siri 5 )

Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.

Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.

Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).

Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera. 

DI PADANG RENGAS:

KURANG KESEDARAN TERHADAP PENDIDIKAN

Tahun 1950an memang masyarakat di sini kurang berminat untuk mengejar pendidikan. Di kampung aku - Kampung Keroh Hilir boleh dibilang dengan jari anak-anak yang pergi ke sekolah walaupun terdapat tiga buah sekolah yang hanya 'walking distance' (kata orang putih) dari rumah. Tidak pula aku tahu sebabnya terjadi begitu. Yang dapat aku 'selami' ialah besar kemungkinannya punca yang menyebabkan mereka menjauhi sekolah ialah sekolah 'mengikat' mereka daripada punca kewangan. Mungkin mereka merasakan bahawa dengan pergi ke sekolah mereka tidak dapat menoreh getah dan hilang punca pendapatan. Mungkin.

Ramai yang merasakan begitu.

Kemiskinan juga menjadi punca mengapa ramai anak-anak tidak ke sekolah ketika itu ( awal 1950an). Itu hanya menjadi alasan dan bukan sebab sebenarnya. Untuk pergi ke sekolah pada ketika itu tidak pun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Hanya cukup sekadar duit saku yang hanya 20 sen. Untuk Darjah satu dan dua tidak diperlukan membeli buku dan hanya cukup sekadar sekeping Papan Batu sahaja. Dan seingat aku, sampai Darjah empat aku tidak pernah memiliki buku teks (dan tidak ada pun buku teks). Buku yang menjadi bacaan di sekolah ialah buku 'Hang Tuah' yang dibaca berulang kali. Dan aku tak tahu 'apa benda' yang hendak dicari.

Sebenarnya tidak wujud suasana menuntut ilmu dikalangan orang kampung pada ketika itu. Tidak ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Arab Adiniah ataupun sekolah Arab Al-Yahyawiyah. Jikalau hendak dikira, hanya Atuk aku yang menghantar anaknya (arwah ibuku) dan ibu saudaraku untuk belajar di sekolah Adiniah Kampung Lalang. Aku yakin tidak ramai yang pergi ke sekolah Arab berkenaan. Tidak pernah ibu semasa hayatnya menyebut nama rakan-rakan se kampungnya yang pergi belajar di sekolah Arab Adiniah Kampung Lalang kecualilah yang disebutnya ialah Sakinah (Datin Sakinah, isteri arwah Dato Asri)

Dan apabila terbina dan tertubuhnya Sekolah Al-Yawiyah di Kampung Pondok, tidak ramai juga anak-anak kampung yang belajar di situ. Boleh dibilang dengan jari juga. Antaranya yang masih aku ingat ialah Pakchu aku, Musa Mat Arip, Yahaya Ismail dan Daud Dahlan. Aku ingat sangat nama mereka kerana mereka lah anak kampng Keroh Hilir yang belajar di sekolah Arab Al-Yahyawiyah. Semacam wakil dari kampung yang menuntut di situ.

Suatu keadaan yang kurang aku faham dan mengerti mengenai Sekolah Arab Al-Yahyawiyah ini ialah kurangnya anak kampung persekitaran Padang Rengas yang belajar di sini. Kebanyakan pelajar yang belajar di Sekolah Al-Yawiyah adalah dari luar Padang Rengas. Dengan sebab itulah disediakan asrama bagi pelajar lelaki dan pelajar. perempuan. Mudir atau pengetua sekolah Al-Yahyawiyah ialah Ustaz Samad Noh, anak Padang Rengas. Dan pernah juga aku dengar bahawa puncanya masyarakat disini tidak mahu menghantar anak belajar di sekolah ini adalah disebabkan perbezaan fahaman politik. Ustaz Samad Noh adalah pemimpin PAS tulin bersama dengan Ustaz Hassan Shukri sedangkan kebanyakan orang Padang Rengas adalah dari parti kerajaan.

Lantas mereka rela menghantarkan anak mereka ke sekolah Inggeris. Termasuklah aku dan adik perempuan aku. Ramai lagi yang mengambil tindakan sedemikian. Apatah lagi apabila diperhatikan tentang economic value lulusan sekolah Inggeris. Maka berduyun-duyunlah anak-anak Padang Rengas belajar di Government English School, Padang Assam ( SMC 1-Standard 6) yang kemudiannya pergi ke Clifford School Kuala Kangsar untuk menyambung pelajaran menengah.

Tidak ramai juga yang pergi belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu, walaupun sekolah sudah berada 'di hadapn tangga'. Terlalu sukar untuk menyedarkan masyarakat Melayu ketika itu tentang pentingnya pendidikan. Seingatku hanya pada awal tahun 1960an barulah timbul kesedaran dikalangan masyarakt Melayu tentang pentingnya pendidikan kepada anak-anak mereka.

Tidaklah begitu terlambat bagi mereka.

abuhassanadam

18 Disember 2022



No comments:

Post a Comment