Tuesday, December 20, 2022

BAH (BANJIR) ALANG BAHAK


WAKTU DULU-DULU

(Siri 6 )

Aku sambung semula usahaku yang terhenti pada suatu ketika dulu) ia itu menulis sesuatu yang berbentuk sejarah sosial ia itu kehidupan dan peristiwa yang telah berlaku yang tidak dialami oleh anak-anak zaman ini. Apa yang aku cerita itu adalah benar belaka. Ada peristiwa sejarah lampau telah aku ceritakan dalam episod yang lepas, namun aku merasa semacam tidak lengkap apa yang telah aku tulis sebelum ini.

Dirasakan coretan ini amat berguna kepada anak muda Padang Rengas untuk lebih mengenali 'kampung kita' dalam ertikata sebenarnya.

Aku mohon kepada pembaca coretan aku ini untuk menokok tambah apa yang tidak lengkap tentang apa yang aku tulis demi untuk 'anak-anak' kita mengetahui dan memahami keadaan 'zaman itu' ( zaman kita dulu) untuk mereka memikirkan tentang zman ini (zaman mereka).

Silakan terus membaca dan menghayati apa yang tertera. 

 BAH (BANJIR) ALANG BAHAK

Dinamakan 'Bah Alang Bahak' kerana terdapat peristiwa yang menyedihkan di kampung Keroh Hilir ( kampung aku) di mana Toki Alang Bahak telah meninggal kerana lemas ketika mengharungi banjir besar di bendangnya. Orang kampung tidak tahu bagaimana dia boleh lemas sedangkan kematiannya hanya berlaku dibendang dia sahaja. 

Aku masih teringat tentang Bah Alang Bahak itu. Memang bah besar. Maknanya ramai orang kampung aku yang hidup ketika itu tidak dapat melupakan Bah Alang Bahak. Tahun 1966. Orang kampung aku dan masyarakat Kuala Kangsar juga sentiasa menghubungkan tarikh 1946, 1966, 1986 dan seterusnya. Melalui pengamatan mereka bah besar biasanya berlaku tiap-tiap dua puluh tahun. Dan apabila disebut sebagai bah besar atau banjir besar yang berlaku bah itu tentulah di Sungai Perak. Tumpuannya tentulah di Kuala Kangsar.

Kegiatan di kampung yang boleh dimanfaatkan ketika banjir  ialah memancing ikan Keli. Entah mengapa ikan Keli  suka sungguh berkeliaran ketika banjir di sungai. Semacam pestalah budak kampung selepas berlaku hujan lebat yang diikuti dengan banjir. Masing-masing keluar dengan joran ditangan masing-masing untuk memancing ikan Keli.

Ketika banjir besar tahun 1966, aku sudah menjadi 'orang muda' tang-tang. Dah jadi cikgu. Dah ada scooter. Dan tentulah dah boleh ke mana saja dengan scooter. Dengan sebab itulah aku dapat merasakan pengalaman melihat bah besar tahun 1966 dekat Kuala Kangsar. Mungkin anak-anak zaman ini tidak percaya sekiranya aku katakan bahawa air Sungai Perak melimpah sampai ke Kampung Talang, lebih kurang tiga kilometer dari pekan Kuala Kangsar.

Aku berpeluang melihat jam besar di tengah pekan Kuala Kangsar itu tenggelam. Muka jam sudah tidak kelihatan ketika banjir besar tahun 1966. Bukit Chandan dan istana masih ada disebabkan terletak di atas tanah tinggi. Pekan Kuala Kangsar sudah tidak kelihatan lagi. Mengambil masa yang agak lama untuk menunggu airnya surut.

Suatu hal yang agak pelik bagi aku ialah banjir sebegitu tidak pula berlaku setiap tahun. Ada berlaku banjir  tetapi tidak pula banjir besar seperti yang berlaku ketika ini - di Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri lain. Kini kerap benar kita mendengar suasana banjir. Hairan juga. Di Kuala Lumpur banjir bukan lagi sesuatu fenomena yang luar biasa.

Apakah dunia ni nak kiamat ?

abuhassanadam

20 Disember 2022



No comments:

Post a Comment